Bab 25

Romance Series 59840

LIMA bulan berlalu. Amira tabah dalam merawat suami dan neneknya. Kini neneknya sudah pun sihat dan Rizal juga sudah mulai boleh berjalan semula namun belum pulih sepenuhnya. Walaupun balutan simen dikakinya sudah dibuka, namun dia masih tidak mampu untuk berlari dan berjalan dengan kuat. Amira sendiri masih melarang suaminya itu untuk keluar bekerja selagi kaki lelaki itu sudah pulih sepenuhnya. Selama lima bulan, Rizal hanya berkurung di dalam rumah. Ketika isterinya sibuk bekerja, neneknya pula yang membantu menguruskan Rizal.

Ketika Amira sedang gigih bekerja di warung yang terletak tidak jauh dari rumah, Rizal menjalani rutin hariannya seperti biasa, termenung di beranda rumah sambil menikmati udara di kampung. Pada fikiran lelaki itu, dia kesal kerana sudah menjadi beban dan menyusahkan isterinya. Rizal sudah tidak sabar untuk keluar bekerja dan mencari nafkah buat keluarga mereka.

Seketika kemudian, sebuah kereta proton saga model lama yang sudah usang berhenti di depan rumah. Kereta itu mengeluarkan bunyi hon beberapa kali sebelum seorang lelaki keluar dari perut kereta. Lelaki itu adalah penjaja yang berjualan makanan dan barangan mentah serta keperluan dapur. Halimah, nenek kepada Amira terkocoh-kocoh berlari anak dari dalam rumah dan segera menuju keluar.

"Ah, dah datang kau Udin.." Halimah melihat dari beranda dan segera menuruni anak tangga untuk melihat barang jualan si penjaja. Rizal yang dari tadi sedia berada di sana hanya memerhati gerak langkah nenek isterinya itu.

"Ha, mari..mari.. cik mah nak beli apa hari ni?" Tanya Udin si penjaja.

"Ikan selar ada? bagi aku sekilo.." Ujar Halimah. Wanita tua itu kemudian mengalihkan perhatiannya kepada sayur-sayuran yang dilonggok di dalam bekas, di dalam perut kereta. Seketika kemudian, beberapa orang wanita berjalan kaki turut muncul dan menghampiri kereta penjaja.

"Eh, siapa lelaki yang duk kat beranda rumah Cik Mah tu? Tanya salah seorang wanita yang baru muncul itu. Matanya tertumpu ke arah Rizal yang sedang duduk di beranda rumah.

"Oh, itu suami cucu aku.. laki si Mira.." Halimah menjawab.

"Hmm.. macam pernah tengok la muka dia.." Ujar salah seorang wanita yang lain.

"Ye la, rasanya macam pernah tengok kat dalam TV.." balas wanita lain.

"Korang jangan macam-macam... itu suami cucu aku.. menantu Shiela.. bukannya artis, sampai korang nampak muka dia kat TV.." Sahut Halimah.

"Tapi.. saya memang rasa macam pernah tengok la muka dia.. memang saya yakin, pernah tengok dia dalam TV.."

"Ah, itu.. muka dia macam pelakon tu.. dalam cerita KL gengster tu.. apa nama dah.. ala, yang jadi hero tu.."

"Aaron Aziz.. haa.. ye la.. muka dia ada iras-iras Aaron Aziz."

"Eh, bukan la.. aku rasa dia lebih mirip dengan Keith Foo.."

"Eh, sudah la.. korang ni tak habis-habis nak samakan menantu aku dengan orang tu, orang ni.. dia bukan artis.. nama dia Rizal.." Halimah mencelah. Dia bosan mendengar para wanita di kampung tidak habis-habis adu pendapat mengenai wajah suami cucunya itu.

Hari ini tiba-tiba para wanita di kampung mula bercakap mengenai Rizal. Padahal sudah lima bulan Rizal di sana. Namun disebabkan dia sering berkurung di dalam rumah, dia jarang di lihat oleh penduduk kampung.

"Tapi, handsome betul la suami si Mira.. muka dah macam pelakon." Bisik wanita di sana sesama mereka.

"Dah, dah.. korang jangan nak menyondol pulak.. tu menantu aku.. korang jangan duk kacau.." Halimah memberi peringatan.

"Hmm..bertuah betul Amira tu.. dapat laki handsome macam Aaron Aziz.." Ujar salah seorang wanita yang masih tidak jemu memandang Rizal.

Rizal pula seolah tidak mendengar perbicaraan para wanita di sana mengenai dirinya. Matanya hanya bertumpu ke arah semak samun dan pepohonan yang berada di sekitar rumah tersebut. Tidak lama kemudian, baru dia kembali berkalih pandang ke arah nenek Amira yang sedang memilih sayur-sayuran dari kereta penjaja.

"Mahalnya kacang panjang ni.. cili tu pun sampai 32 ringgit sekilo kau jual.." Halimah merungut, tidak berpuas hati dengan harga mahal yang dijual oleh si penjaja.

"Itu saya dah jual harga runcit Cik Mah oii.. harga sama kat pasar je.. sekarang ni semua benda pun dah mahal, naik harga.. saya pun dapat modal mahal, nak buat macam mana.." balas Udin yang menjaja.

"Hmm.. bagi aku cili tu sebunga je dah la.. cukup la buat sambal untuk aku tiga beranak.." Ujar Halimah.

Rizal yang melihat celoteh nenek isterinya itu tersenyum kecil. Lelaki itu kemudian melihat kembali ke sekeliling kawasan rumah. Lama termenung, kemudian Rizal mendapat satu akal. Dia mula mendapat jalan untuk membantu isteri dan keluarganya seraya meringankan beban mereka.

Setelah selesai membeli dari penjaja, Halimah segera menaiki anak tangga untuk masuk ke dalam rumah. Penjaja juga sudah mula menggerakkan keretanya dan beredar dari sana termasuklah para wanita yang membeli tadinya, kini sudah pun bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. Ketika Halimah tiba di beranda, Rizal segera menyapa neneknya itu.

"Tok Ma.. tanah kat depan tu, siapa punya?" Rizal menunjukkan ke arah semak samun.

"Itu masih tanah kita la.. tanah peninggalan arwah Tok Ayah. Tanah kat depan tu, tepi sana, termasuklah tapak rumah ni.. satu ekar luasnya.. Tanah tu arwah Tok Ayah dah tukar nama, bagi kat Shiela, ibu mentua kamu la.. Sebab kami takde anak lain dah, anak lelaki pun takde.. tu pasal arwah Tok Ayah ni awal-awal dah tukar nama tu ke atas nama ibu mentua kamu.. Tapi si Shiela tu pulak taknak tinggal kat sini.. dia duk ikut suami dia kerja kat luar.. sekarang suami dia pun dah meninggal, tinggal dia tiga beranak, Amira dengan Anas tu.. sebab Anas tu masih sekolah, dia taknak lagi pindah balik ke sini.. lagipun dia pun dah kerja kat sana.. Entahlah.. mungkin lepas Anas habis belajar, dia pun akan berhenti kerja dan balik duduk kat kampung ni.." Halimah memberi penjelasan. Rizal mengangguk. Dia baru mengerti, kehidupan isteri dan keluarganya juga tidak mudah. Padahal mereka memiliki tanah di kampung, namun tidak diusahakan dan masih memilih untuk bekerja di luar.

"Tok Ma.. saya nak tanya sikit boleh tak.. kalau saya nak guna tanah kat depan tu, buat kebun, Tok Ma izinkan tak?" Rizal meluahkan pendapat yang bersarang di mindanya.

"Hmm.. Tok Ma sendiri takde masalah.. guna je la kalau kau nak guna.. dari duk terbiar dengan semak samun tu, baik jugak kalau buat kebun. Tapi lebih baik kau tanya Mira sendiri.. sebab tanah tu dah jadi milik ibu dia, nanti akan jadi milik dia jugak.. lagipun kau tu suami dia.. takkan la dia tak bagi.." Halimah teruja dengan keinginan dan pendapat Rizal. Walaupun masih belum sihat sepenuhnya, namun lelaki muda itu terlihat bersemangat untuk memajukan tanah di depan rumah yang sudah dipenuhi semak samun.

Pada malam tersebut, Rizal langsung menyampaikan hasratnya untuk bercucuk tanam di hadapan rumah kepada Amira. Amira menyambut baik keinginan suaminya itu. Malah, mungkin itu adalah cara terbaik buat Rizal untuk memulakan kerja. Amira sendiri masih tidak ingin membiarkan suaminya yang belum pulih dengan sempurna itu mencari pekerjaan di luar. Dengan berkebun, setidaknya, Rizal masih berada di sekitar rumah mereka dan memudahkan untuk Amira dan neneknya memantau keadaan Rizal. Malah fikir Amira, sekiranya Rizal berkebun, lelaki itu hanya lebih banyak menggunakan tangannya untuk bekerja. Setidaknya tiada aktiviti yang akan membahayakan kaki Rizal yang masih belum pulih sepenuhnya itu.

Bahkan niat Rizal untuk berbudi kepada tanah, pasti tidak akan sia-sia. Daripada membiarkan tanah di sekitar rumah mereka dipenuhi semak samun, maka lebih baik semua itu diterangkan dan diganti dengan hasil sayur-sayuran. Jika tidak untuk dijual sekalipun, setidaknya mereka sudah tidak perlu untuk membeli sayuran untuk dibuat makan.

Keesokan hari, awal pagi lagi Rizal sudah mula turun ke tanah dengan membawakan parang. Lelaki itu begitu bersemangat untuk menebas semak samun. Fikir Rizal, jika tidak untuk dijadikan kebun pun, setidaknya dia harus membuang semak samun yang meninggi itu bagi mengelakkan daripada menjadi sarang dan tempat persembunyian haiwan berbisa seperti ular.

Baru beberapa minit Rizal menebas, Amira pun keluar menjenguk dari beranda.

"Kenapa tak pakai mesin rumput je? Pakai parang lambat la siap.. kan mesin rumput ada." Amira sedikit melaung kepada Rizal yang sedang ralit menebas semak samun.

"Eh, ada mesin rumput ke?" Rizal tercengang.

"Laa.. kat pintu dapur tu apa? dah duduk lima bulan kat sini, takkan tak pernah tengok? Mesin rumput tu dah lama arwah ayah belikan.. tinggal kat rumah ni untuk senang nak buang semak samun tu la.." Tegur Amira. Rizal pula tersengih seperti kerang busuk.

"Mana la tahu ada mesin rumput.. kalau tahu, takde la letih duk hayun parang ni tadi.."

"Pergi je kat pintu dapur.. nanti saya bukak pintu dari dalam." Amira mengarah seraya berpaling punggung dan kembali masuk ke dalam rumah.

"Dah tahu orang nak tebas semak, bukan nak cakap awal-awal ada mesin rumput.." rungut Rizal sambil mencampakkan parang di tangannya. Lelaki itu tersenyum kecil lalu berjalan menuju ke arah pintu dapur.

Rizal dengan girang kemudiannya menggunakan mesin rumput yang digalas pada bahunya untuk meratakan semak-samun. Amira yang sudah siap menyediakan makanan untuk suami dan neneknya pula bersiap-sedia untuk keluar bekerja di warung.

Hampir setengah jam berlalu, Rizal berhenti untuk berehat seketika. Padahal baru sebahagian semak samun yang ditebasnya menggunakan mesin rumput. Setelah meletakkan mesin rumput yang dipikulnya ke tanah, Rizal menggerak-gerakkan bahu dan lengannya. Tubuhnya terasa pegal. Titisan peluh juga sudah membasahi seluruh tubuh badannya. Lelaki itu meraup wajahnya untuk menyeka titisan penuh yang memenuhi wajahnya seraya berjalan menuju ke arah tangga rumah.

Rizal kemudian melabuhkan punggungnya ke anak tangga sambil mencapai botol air minuman yang disediakan oleh Amira sebelumnya. Air kosong itu diteguknya dengan lahap. Tekaknya benar-benar terasa haus dan kekeringan. Setelah membasahkan tekaknya, Rizal termenung sambil melihat ke arah semak samun yang sudah ditebasnya. Tidak sampai separuh daripada belukar itu yang baru diratakan.

"Huh.." Satu nafas kasar dilepaskan dari mulut Rizal.

"Letih nak mampus.. padahal baru sikit.. lemah betul badan aku ni.." Rizal merungut dengan kelelahan yang dirasakannya. Dia sendiri tidak tahu, itu adalah kali pertama dia melakukan kerja sebegitu seumur hidupnya. Selama ini, dia tumbuh membesar dengan kemewahan dan langsung tidak pernah membuat sebarang kerja keras.

Lelaki itu kemudian melihat ke arah tangannya yang sedikit menggeletar. Anggota tubuhnya itu terasa lenguh. Itu adalah kesan sampingan akibat dia terlalu lama memegang mesin rumput yang bergetaran. Ikutkan hati, Rizal sudah tidak mahu meneruskan kerjanya untuk membuang semua semak samun yang subur dan masih tersisa. Namun apabila memikirkan Amira, dia kembali menguatkan semangat dan membulatkan tekad. Dia harus melakukakan sesuatu demi isterinya itu. Dia tidak ingin sama sekali digelar sebagai biawak hidup dan harus ditanggung kehidupannya oleh sang isteri.

"Aku mesti kuat demi Amira! Aku mesti buang semua semak samun ni dan mula berkebun secepat mungkin.." Rizal meluahkan tekad. Lelaki itu bangkit berdiri dan menatap ke arah semak samun yang masih tersisa. Tanpa disedari, dia mula mengelamun. Rizal mula membayangkan kebun yang akan dia usahakan nanti sudah mengeluarkan hasil. Hasil kebunnya nanti akan dijual dan dia akan menghasilkan wang. Dia akan mengumpulkan wangnya itu dan akan memulakan perniagaannya sendiri. Dia akan kembangkan perniagaannya dan memberikan isterinya kemewahan.

"Angan-angan Mat Jenin? Huh, Mat Jenin bukan orang yang suka berangan kosong, tapi berwawasan tinggi, berpandangan jauh.. Dia dah mulakan usaha pertamanya.. bukan berangan sambil duduk saja-saja.. aku pun kena usaha!" Rizal teringatkan kisah Mat Jenin yang menjadi kisah bidalan masyarakat bagi orang yang suka berangan. Namun pada Rizal, Mat Jenin sudah pun memulakan langkah pertamanya dengan memetik kelapa. Watak dalam cerita rakyat itu memiliki usaha dan wawasannya yang tersendiri. Bukan seorang pemalas yang hanya gemar beromong kosong dan berkhayal semata.

Untuk menjayakan impian, usaha adalah hal yang paling penting. Setiap kejayaan pastilah bermula dengan langkah pertama. Jadi, Rizal juga menguatkan tekadnya untuk menjayakan langkah pertamanya. Rizal kembali memikul mesin rumput pada bahunya. Mata bilah yang berpusing laju pada hujung mesin rumput dihalakan ke arah semak samun yang tinggi separas lutut. Dia kembali fokus kepada kerjanya tanpa mempedulikan hal di sekelilingnya. Hanya deruan enjin mesin rumput yang membingitkan telinga menemani tugas lelaki tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience