Bab 32

Romance Series 59840

"ASSALAMUALAIKUM.. ha, dah balik pun Ira.." Puan Sri Rohayu tiba-tiba muncul dari muka pintu. Wanita itu tesenyum setelah mengetahui kepulangan Shahira ke rumah setelah beberapa hari keluar untuk menguruskan kerjanya. Di tempat parkir tadi, dia sudah pun melihat kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh anak gadisnya. Mengetahui kepulangan Shahira, Puan Sri Rohayu tetap tersenyum walaupun tubuhnya sudah kepenatan setelah seharian keluar melakukan aktiviti persatuan. Wanita yang membimbit beberapa beg kertas itu kemudian terdiam seketika tatkala melihat kehadiran susuk lain di rumahnya itu.

Beg kertas dipegangan tangannya terlepas apabila menyedari anak lelakinya yang hilang lebih dua tahun lalu kini berada di depan matanya. Puan Sri Rohayu segera berlari menuju ke arah Rizal sambil bercucuran air mata.

"Riz!! Anak mama..." Puan Sri Rohayu mendakap erat tubuh Rizal ke pangkuannya. Beberapa ciuman daripada bibirnya hinggap ke wajah anak kesayangannya itu.

"Ke mana Riz pergi selama ni?.. kenapa tak balik?.. Riz dah tak sayangkan mama ke?" Puan Sri Rohayu menangis sambil melontarkan pertanyaan bertalu-talu. Rizal kaku seketika apabila diperlakukan bagai anak kecil oleh wanita tersebut. Semua mata yang berada di ruang tamu tersebut hanya memandang ke arah mereka sambil tersenyum.

Amira pula mengulum senyuman kelat. Dia tidak menyangka jika suaminya itu memiliki keluarga yang sangat penyayang. Rizal sangat dimanjakan oleh keluarganya lebih-lebih lagi ibunya. Wanita yang bergaya dengan pakaian yang terlihat mewah dan barangan perhiasan emas yang memenuhi lengan dan jari-jemarinya itu jelas sangat merindukan anak lelakinya.

Namun fikiran Amira kembali terdetik mengenai jurang perbezaan yang terlalu besar diantara mereka. Melihat penampilann Puan Sri Rohayu, Amira membandingkan pula pakaian yang berada di tubuh badannya. Dia hanya mengenakan baju kurung yang murah dan terlihat lusuh. Dia melihat pula ke sekeliling ruang tamu rumah tersebut. Sangat luas dan mewah. Bahkan mungkin set sofa di ruang tamu tersebut sahaja lebih bernilai dari seluruh isi barangan yang berada di dalam rumah neneknya di kampung. Amira mula merasa rendah diri.

Pertanyaan daripada Puan Sri Rohayu pula di jawab satu persatu oleh Shahira. Dia terpaksa mengulangi semula jawapan sama yang pernah di jawab kepada bapanya sebentar tadi. Gadis itu terpaksa memainkan peranan kerana dia sedar abang dan kakak iparnya mungkin masih kekok dan kebingungan dengan keadaan mereka sekarang. Rizal yang kehilangan ingatan mungkin sedikit sukar untuk menjelaskan keadaannya. Amira yang masih dihambat kejutan dengan keadaan keluarga mereka pula sudah tentu masih gugup dan kekok untuk banyak berbicara. Shahira yang bijak membaca situasi dan sudah mengetahu kejadian yang menimpa abangnya terpaksa mengambil peranan.

Mendengar keadaan Rizal yang sudah kehilangan ingatan, Puan Sri Rohayu menangis semakin kencang. Dia seolah tidak dapat menerima hakikat yang telah terjadi terhadap anak kesayangannya itu. Walaupun Rizal mulai senang dan bersyukur kerana berjaya menemukan keluarganya, namun berbeza pula dengan Amira. Wanita itu sudah tentu gembira dengan penemuan keluarga suaminya, namun dia masih kekok untuk beradaptasi. Wanita itu mula merasa tersisih dan dipinggirkan oleh keluarga suaminya yang sedang gembira meraikan kepulangan lelaki tersebut. Malah Amira turut merasa kurang senang dengan kemunculan Puan Sri Rohayu.

Sejak kemunculan ibu mentuanya, Amira hanya dipandang sekilas oleh wanita itu. Puan Sri Rohayu seolah langsung tidak mempedulikan keberadaan Amira di sana malah wanita itu juga sepertinya tidak berterima kasih atau bersyukur dengan jasa Amira yang telah menjaga dan merawat Rizal selama ini. Puan Sri Rohayu sepanjang masa itu cuma memperhatikan Rizal dan hanya merisaukan keadaan anak lelakinya itu sahaja. Selesai sesi pertemuan, waktu maghrib juga semakin menyusul tiba. Masing-masing yang sudah keletihan sejak dari awal kini semakin lesu.

"Dah la.. dah nak maghrib ni.. kita rehat la dulu.. pergi la mandi, bersiap-siap untuk solat.. nanti kita makan malam sama-sama." Tan Sri Hanafi mengatur dengan arahannya.

"Jom.. Ira tunjukkan bilik abang Riz.. Kak Mira, jom.." Shahira bersuara sambil mendekati Amira dan menarik tangan kakak iparnya itu. Amira hanya menurut. Dia mengangkat punggungnya dari sofa dan mula berjalan beriringan dengan Shahira. Rizal juga turut bersama mereka. Mereka bertiga mula mendaki anak tangga untuk naik ke tingkat atas. Sampai dilantai atas, Shahira dan Amira asyik berbual dan memperlahankan langkah kaki mereka. Rizal pula berjalan melintasi dua perempuan tersebut dan menuju sendiri ke arah biliknya.

Melihat Rizal yang tiba di muka pintu biliknya, Shahira mula tercengang. Lelaki itu mula membuka pintu bilik dan masuk ke dalam kamar tidurnya. Amira turut terkejut dengan tingkah laku suaminya itu.

"Abang Riz.. macam mana abang tahu tu bilik abang? Abang dah ingat ke?" Ujar Shahira dengan girang. Senyuman melebar sehingga ke telinga. Amira juga pelik dengan tindakan Rizal. Dia hampir sahaja percaya jika ingatan suaminya itu sudah pulih.

"Eh, entahlah.. abang pun tak tahu.. betul ke ni bilik abang?" Rizal sendiri terkejut dengan pergerakannya sebentar tadi. Padahal dia sendiri tidak tahu dimana bilik tidurnya di rumah tersebut. Mungkin sahaja tindakan Rizal sebentar tadi adalah refleks tubuh badannya yang terjadi secara semulajadi kerana sudah terbiasa dengan persekitaran rumah tersebut walaupun ingatannya sudah hilang.

"Betul ke abang tak tahu? Tapi ni memang betul bilik abang.." Shahira masih inginkan kepastian.

"Hmm.. mungkin ingatan pada otak dia dah hilang, tapi badan dia masih ingat dengan keadaan rumah ni.. tubuh dia sebelum ni dah terbiasa bergerak menuju ke bilik dia sendiri, jadi pergerakan dia akan jadi automatik bila berada di tempat yang dia dah biasa.." Amira cuba memberikan hujah melalui pandangannya. Shahira mengangguk sebagai bersetuju dengan kakak iparnya itu.

"Mungkin juga.. sebab kalau masa otak kita kosong ke, berserabut ke, kita fikir benda lain, tapi kita boleh buat benda lain.. kadang-kadang Ira pun pernah jadi macam tu.. baru balik rumah, dengan badan penat, otak dah tepu, tak boleh nak berfikir.. tapi kaki tetap je melangkah masuk ke bilik sendiri.." Shahira mengiyakan pendapat Amira melalui pengalamannya sendiri.

"Kan... kadang otak kita kosong, tapi badan kita tahu nak bergerak ke mana dengan sendiri.. tak kena fikir pun.." Amira tersengih.

"Okey, Kak Mira rehat la dulu.. mandi, solat.. lepas tu kita turun makan sama-sama.." Shahira ingin bergerak menuju ke biliknya sendiri dan meninggalkan Amira bersama Rizal.

"Semoga bila dah berada di rumah sendiri, ingatan abang Rizal cepat pulih.. mungkin akan ada benda-benda yang boleh bangkitkan kembali memori dia dulu.." Amira sangat berharap.

"Ya.. Insyaallah.. mudah-mudahan begitulah.." ucap Shahira seraya melangkah pergi bersama senyumannya.

Masuk ke dalam bilik, Amira mendekati Rizal yang sedang melihat ke sekeliling arah ruangan dalam bilik tidurnya. Wanita itu turut memerhati keadaan sekeliling. Kekaguman hadir lagi ke dalam sanubarinya. Keluasan kamar tidur milik Rizal sahaja sudah menyamai keluasan ruang tamu rumah neneknya. Malah di dalam bilik tersebut, sudah dilengkapi bilik air. Lantai jubinnya dilapisi pula oleh permaidani yang lembut dan halus. Gambar Rizal yang bersaiz besar tergantung pada dinding. Pada satu sudut pula, terdapat sebuah komputer. Biliknya kemas dan bersih walaupun sudah lama tidak dihuni. Fikir Amira, bilik suaminya itu pasti sentiasa dijaga dan dibersihkan oleh ahli keluarganya dan mereka sentiasa bersiap sedia untuk menantikan kepulangan anak lelaki mereka itu.

Pada masa yang sama, Rizal sempat melihat sekeping foto kecil yang terdapat di atas meja, berhampiran katilnya. Rizal segera mencapai gambar tersebut. Foto itu adalah gambar kenangan Rizal yang sedang bersama Juana. Jantung lelaki itu mula berdebar. Dia masih tidak mengenali wanita yang sedang bersamanya di dalam foto tersebut. Namun berdasarkan gambar, Rizal dapat mengagak jika dia mempunyai hubungan yang baik dan sangat rapat dengan wanita terbabit.

"Gambar apa tu?" Amira ingin tahu gambar yang sedang dipegang dan ditatap oleh suaminya itu. Rizal kelam-kabut membalikkan foto tersebut.

"Tak..takde apa-apa.. gambar lama abang.."

"Mana nak tengok.." Pinta Amira.

"Tak payah tengok la.. hodoh betul gambar abang tu.." Rizal dengan pantas membuka laci meja dan mencampakkan gambar tersebut ke dalam laci lalu kembali menutupnya. Dia tidak ingin Amira melihat gambar dirinya sedang bersama perempuan lain. Walau apa pun masa lalunya, dia tidak ingin membuatkan isterinya itu cemburu atau sakit hati. Paling penting bagi Rizal kini adalah menjaga perasaan Amira. Di hatinya kini, hanya Amira sahaja wanita yang dicintai olehnya. Rizal tidak ingin ambil peduli dengan masa lalunya apatah lagi yang melibatkan hubungannya dengan wanita lain.

"Sayang pergi la mandi dulu.. tu tuala ada kat situ.." Rizal menyambung kata-katanya untuk mengalihkan perhatian Amira mengenai gambar yang dilihatnya tadi.

"Emm.. ye la.. sayang mandi dulu.." Amira akur dan segera menuju ke arah bilik air. Rizal pula terduduk di birai katil. Mulutnya menghembuskan satu nafas panjang. Terasa lega kerana isterinya tidak melihat gambarnya yang sedang bersama wanita lain.

DI ruang tamu, Tan Sri Hanafi masih bersama dengan isterinya, berbual berduaan sambil duduk di sofa.

"Bang, kenapa perempuan ikut sekali datang sini? Duduk sebilik pulak dengan Riz.. kan bilik tetamu ada.." Luah Puan Sri Rohayu, seakan tidak ikhlas menerima kehadiran Amira.

"Laillahaillallah.. awak ni.. Amira tu kan isteri Riz.. mereka dah kahwin pun.. kenapa pulak nak suruh dia duduk bilik tetamu.. biar la dia duduk sebilik dengan laki dia.. dia pun bukan orang lain, menantu awak jugak.. lagipun, dia yang dah tolong, jaga dan rawat Riz selama dua tahun lebih ni.. hargailah dia sebagai penyelamat Riz.. penyelamat keluarga kita.. menantu kita sendiri.." Balas Tan Sri Hanafi.

"Ish, tapi awak tak rasa ke, dia macam sengaja nak ambil kesempatan kat Riz? Lagipun sengaja kahwin dengan Riz masa dia dah hilang ingatan.. Sah ke diorang kahwin, sedangkan Riz hilang ingatan.. bukan dikira macam orang tak waras ke?" Ujar Puan Sri Rohayu lagi.

"Astagfirullah alazim.. apa yang awak merepek ni? nak ambik kesempatan apa bendanya.. dia pun tak tahu Riz tu siapa.. selama ni dia langsung tak tahu latar belakang dan asal usul Riz.. tadi pun dia terkejut bila tahu Riz tu anak kita.. orang berharta.. silap-silap, kalau takde dia, Riz dah merempat tepi jalan.. jadi gelandangan, dengan hilang ingatan macam tu.. tak ubah macam orang gila.. Lagipun dia dah bagitau, dia terpaksa kahwin dengan Riz pun sebab untuk memudahkan dia jaga dan rawat Riz.. kalau diorang tak kahwin, macam mana dia nak sentuh, pegang Riz.. diorang bukan mahram.. Riz masa eksiden dulu pun patah kaki.. tak boleh nak bergerak.. terpaksa si Mira tu la yang jaga, bagi makan minum, mandikan dia, salin pakaian dia.. Nak jaga orang patah kaki ni, bukan termasuk situasi darurat.. kalau situasi darurat tu melibatkan nyawa.. yang tu takpe la kalau nak pegang, sentuh pun.. Lagi satu, awak belajar dari mana, kata orang hilang ingatan tak sah kahwin? ustaz mana yang ajar awak? Riz tu lelaki.. dia hilang ingatan pun, dia tetap boleh kahwin sebab dia tak perlukan wali.. Kalau orang perempuan yang hilang ingatan, mungkin boleh dijadikan isu.. kahwin pakai wali hakim sedangkan wali mujbir masih ada dan berada sekitar kawasan, tak lebih dari dua marhalah.. itu pun mungkin je la.. saya pun tak pasti.. tapi bagi pihak lelaki macam Riz, memang takde masalah pun.. Kalau dia dah ada isteri pun, tapi kahwin lagi lepas hilang ingatan, pun takde masalah.. sebab orang lelaki dibenarkan berpoligami.. kalau orang perempuan memang akan jadi masalah kalau kahwin lain sebab dah ada suami.. memang tak sah la.." Panjang lebar ulasan Tan Sri Hanafi bagi menjawab persoalan isterinya.

"Abang yakin ke dia tak tahu siapa Riz sebelum ni? Entah-entah, dia saja pura-pura tak tahu.." Tuduh Puan Sri Rohayu.

"Awak ni dah kenapa? Apa yang awak tak suka sangat dekat budak Amira tu? Padahal dia yang dah jaga anak kita selama ni.. kalau dia tahu siapa Riz, kenapa dia tak hantar je Riz kat kita dari dulu lagi? Ni sampai lebih dua tahun dia duk jaga Riz.."

"Tapi.. abang tak pelik ke.. kan kita dah war-warkan dalam media.. masuk TV, surat khabar, media sosial lagi pasal Riz.. takkan la dia tak tahu? Mustahil la dia tak tengok TV, tak main fac.."

"Habis awak ingat, semua orang ada masa dua puluh empat jam duk tengok TV, main fac, baca surat khabar?.. Huh, Dah la.. malas saya nak layan awak.. jaga sikit fikiran awak, hati awak tu.. jangan duk buruk sangka kat orang.. lagi-lagi kat anak menantu sendiri.. orang dah tolong kita, cuba la hargai sikit.. dah, saya nak mandi, nak solat maghrib dulu.. awak pun cepat bersiap, solat.. nanti minta doa supaya hati awak tu terang sikit, jauh dari sikap buruk sangka." Tan Sri Hanafi menempelak isterinya dengan kata-kata nasihat.

Share this novel

Mythic 20 Ronaldojr7
2025-02-12 15:40:54 

nak lg

Mythic 20 Ronaldojr7
2025-02-12 15:40:43 

bersyukur la datin nasib baik Amira jaga rizal


NovelPlus Premium

The best ads free experience