DAPP 1 - Sekufu

Romantic Comedy Series 1700

BURUNG PIPIT sedang berkicauan riang di tengah sawah padi. Matahari pula sedang memancarkan cahaya panas pagi, membuatkan badannya berasa segar sekali.

Pada saat ini, Aneesa sedang mengayuh basikal tuanya. Bunyi rantai berkarat berlagu seiring dengan rentak kayuhan. Di dalam bakul basikal, terisi mangkuk tingkat yang berisi dengan sarapan pagi yang dimasaknya tadi.

Bau nasi lemak dan sambal ikan bilis tercium harum ke dalam rongga hidungnya. Malam tadi abangnya Ajim, memintanya untuk memasak nasi lemak pada pagi ini.

Bukannya Aneesa tidak tahu, musim menanam padi memang selalu membuatkan abangnya sedikit penat, bertambah juga dengan rasa lapar.

Walaubagaimanapun, abangnya tetap mengusahakan tanah sawah padi hasil peninggalan milik arwah ayah mereka. Dengan sawah padi itulah, dapat juga menampung kehidupan mereka berdua.

Ibu mereka pula sudah dua tahun meninggal dunia, kerana penyakit kencing manis yang dihadapinya. Kini, tinggalah mereka dua beradik.

Basikal Aneesa meluncur di jalan tanah kecil yang memisahkan sawah. Rambutnya yang diikat longgar, terlepas beberapa helai. Angin meniup lembut rambutnya, sehingga menampar pipi.

Aneesa yang kini berusia 19 tahun, sudah membuat pelbagai kerja. Kadang-kadang dia mengambil upah menjaga kedai runcit. Dan kadang-kadang, dia juga akan pergi ke kedai makan di pekan, untuk mencuci pinggan mangkuk.

Ajim selalu sahaja memarahinya kerana pergi bekerja secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya. Kata Ajim, dia masih lagi mampu menanggung makan minumnya. Tetapi disebabkan Aneesa mengatakan ingin menambah pendapatan, Ajim tidak dapat menghalang.

Sejak dari dulu, Aneesa sudah memasang angan-angan untuk menjadi seorang jurusolek. Tetapi dia berasa agak sukar, lebih-lebih lagi apabila tinggal di kampung.

Kadang-kadang dia berasa cemburu melihat teman-teman di kampung yang sudah behijrah ke Kuala Lumpur. Apakan daya, kehidupan dia dan abangnya, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Disebabkan itulah, Aneesa kerap membuat kerja sambilan. Dapat juga dia menyimpan wang jika dia ingin mengambil kursus di dalam bidang solekan suatu hari nanti.

Dari jauh, Aneesa sudah nampak kelibat Ajim di tengah sawah. Tubuhnya yang tegap sambil membongkok, sedang mencucuk anak padi ke dalam tanah yang berlumpur. Topi jerami yang sudah lusuh melindungi wajahnya dari terik matahari pagi.

Aneesa melambaikan tangannya. “Along! Mari makan dulu!”

Ajim mendongak, sambil mengelap peluh di dahi. “Lambatlah dik. Pukul berapalah adik bangun pagi tadi? Along dah lapar sangat ni,” balasnya sambil berjalan perlahan ke tebing sawah. Kaki yang berlumpur meninggalkan jejak.

Aneesa turun dari basikal. Sehelai kain dibentangkan di bawah pokok kelapa. Setelah itu, mangkuk tingkat yang dibawanya tadi, diletakkan di atas kain tersebut.

Ajim terus duduk di atas kain yang dibentang Aneesa tadi. Topi jerami dibuka.

“Mana ada lambat. Adik cepatkan?” kata Aneesa sambil tersenyum.

Ajim mencuci tangan dengan air botol mineral yang dibawa dari rumah. Mangkuk tingkat bertukar tangan.

Aroma nasi lemak terus sahaja masuk ke dalam rongga hidung Ajim. “Sedap bau nasi lemak ni. Sama macam arwah mak masak,” puji Ajim. Tak pernah lekang di mulutnya memuji masakan Aneesa. Adiknya itu memang pandai memasak.

Aneesa tersenyum. Dia suka melihat abangnya makan. Sebab itulah satu-satunya masa abangnya kelihatan nampak tenang.

“Mestilah. Adik belajar masak dari umur berapa lagi. Dari 10 tahun, kan?” Aneesa tersengih. Usai membaca doa, dia terus sahaja menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya.

“Adik bila nak sambung belajar? Tak bosan ke, nak jaga along aje? Pergilah merantau ke KL tu. Dulu adik cakap apa? Nak jadi seorang jurusolek, kan? Adik nak mekap muka artis, kan?” soal Ajim, sambil mulutnya mengunyah nasi.

Aneesa memandang Ajim, sambil mengukirkan senyuman tipis. “Memang impian adik nak jadi seorang jurusolek. Tapi tak apalah, kalau jaga along pun. Tunggulah sampai along kahwin. Barulah fikir pasal nak jadi jurusolek ni. Banyak benda nak kena buat. Nak ambil kursus solekan lagi.” Aneesa ada juga meninjau beberapa tempat di dalam Google, yang menyediakan kursus solekan. Cuma itulah, dia perlu mengumpul sedikit lagi wang. Kalau tidak, memang dia tidak dapat menggapai impiannya, kalau hanya sekadar bercakap sahaja.

“Kenapa adik nak kena tunggu along kahwin pulak? Adik ingat, ada orang nak dekat along ni? Tak ada siapa yang nak pandanglah.”

“Mesti ada punya. Takkanlah tak ada. Along tu ada rupa. Kacak, badan tegap. Confirm ramai perempuan terpikat. Cuma along tu sibuk dengan sawah aje.”

Ajim ketawa. Memang dia tiada masa untuk mencari pasangan.

“Er, along tak teringin ke, nak pindah ke KL? Cuba nasib dekat sana pulak? Tanah sawah ni kita jual ajelah. Kita berhijrahlah ke KL pulak.” Aneesa mula memberi cadangan.

Ajim berhenti makan, sambil meneguk air mineral. Dia memandang Aneesa. Bibir dilap, dengan menggunakan belakang tapak tangan. Ini bukan kali pertama Aneesa berkata begitu. Rasanya sudah kali yang ketiga.

“Ni aje yang ada dik. Along pun tak sanggup nak jual tanah sawah tu. Arwah ayah pun dah pesan, usahakan sampai akhir nafas along. Tak apalah, kalau adik nak cuba tinggal di KL, pergilah. Cuma along nak pesan, kena pandai jaga diri, bila dah dekat sana. Along pun ada juga simpanan sikit, kalau adik nak ambil kursus solekan, yang adik selalu cakap tu.” Ajim menyambung makannya.

Aneesa rasa bersalah. Mungkin dia tidak sedar dengan ketelanjuran kata-katanya. “Sorry along. Adik ni, memang tak fikir langsung perasaan along. Main cakap aje. Betullah apa yang arwah ayah cakap dulu. Usahakan sampai akhir nafas along. Adik duduk kampung ajelah kalau macam tu. Tak naklah tinggal along sorang-sorang dekat sini.”

Ajim tersenyum paksa. Dia faham apa yang diinginkan Aneesa. Dia juga tidak menghalang, jika Aneesa ingin pergi ke Kuala Lumpur untuk mengejar impiannya. Cuma mungkin adiknya belum jumpa lagi masa yang sesuai.

Kini mereka hanya makan dalam diam. Dan hanya kedengaran bunyi angin dan burung-burung kecil yang berkicau sahaja mengisi ruang.

Tiba-tiba sahaja, mata Aneesa menangkap satu susuk lelaki yang sedang menunggang motosikal saat ini. Siapa lagi kalau bukan Hud. Lelaki yang disukainya secara diam-diam. Tetapi apakan daya, Hud langsung tidak memandangnya. Dan dia sepertinya tidak wujud di hadapan lelaki itu, walaupun kadang-kadang mereka berdua ada juga terserempak antara satu sama lain.

“Adik ni kan, kalau tengok si Hud tu macam nak telan aje along tengok,” perli Ajim.

“Isy, along nampak ke?” Wajah Aneesa sudah merona merah. Cepat-cepat dia menoleh ke arah lain.

“Mestilah nampak. Adik tak payah tengok sangatlah dia tu. Dia takkan pandang kita ni. Kita ni bukannya orang senang, kalau nak dibandingkan dengan keluarga dia.”

“Tapi Mak Cik Hamidah baik dengan kita.”

“Itu mak dia. Bukan dia. Kalau Hud jumpa along kat tepi jalan pun, mana ada nak tegur. Senyum pun tak. Dan lagi satu, Hud pasti akan cari perempuan yang sekufu dengan dia.” Ajim mencuci tangan. Licin terus mangkuk tingkat yang berisi nasi lemak tadi dimakannya.

Aneesa tertunduk dengan kata-kata Ajim. Benar juga kata abangnya, tak mungkin Hud akan memandangnya. Dia sedar akan kekurangan dirinya.

Memang benar, mereka bukan dari golongan yang senang, jika hendak dibandingkan dengan keluarga Hud. Betullah kata abangnya. Pasti Hud akan mencari wanita yang sekufu dengannya. Dan lebih-lebih lagi jarak umur mereka adalah 4 tahun. Di mana Hud kini berusia 24 tahun. Dia pun tidak tahu, kenapa hatinya boleh terpaut kepada lelaki itu.

Sedang Aneesa mengemas mangkuk tingkatnya, tiba-tiba dia ternampak seakan seperti bayang yang sedang berdiri di dalam semak. Jaraknya lebih kurang dalam 200 meter. Bulu roma Aneesa sedikit meremang.

“Along, siapa eh dekat semak tu?” soalnya, sambil tangan menunjuk ke arah bayang tersebut.

Ajim terus memandang, ke arah tempat yang ditunjuk Aneesa tadi. Tetapi bayang tersebut hilang sekelip mata.

“Mana? Tak ada pun.”

“Ada tadi. Macam bayang, tengah pandang adik. Siapa pulak tu ya?”

“Siapa pulak yang nak pandang? Orang lalu kut tadi. Sudahlah, jangan fikir yang bukan-bukan,” kata Ajim.

Aneesa menelan liur, hatinya mula tidak tenteram. Dia tidak tahu, kenapa sejak akhir-akhir ini, dia merasakan seperti ada mata yang memerhatikannya dari jarak jauh.

Pada ketika ini, Naem sedang berlari ke arah motosikal yang diparkirnya di tepi jalan. Dia hampir ketahuan sahaja tadi. Nasib baiklah Aneesa tidak perasankannya.

“Kau ni kan, kalau dah suka pergilah luah dekat dia. Tak pun, kau masuk aje meminang dia. Senang.” Ali memberi cadangan. Kadang-kadang letih juga dia mengekori Naem, gara-gara mahu mengintai Aneesa.

“Aku inikan, memang nak luahkan perasaan aku pada dia. Tapi itulah, kerja pun tak ada. Melepak aje tak habis-habis. Kau ingat dia nak terima ke, kalau bakal suami dia ni tak kerja?”

“Alah, kerja nanti-nantilah cari. Yang penting cinta dulu.”

“Kalau cinta boleh bagi duit, aku on aje.”

“Selera tinggi juga kau inikan? Dahlah tak handsome. Duit pun tak ada.” Ali menampar bahu Naem.

Naem termenung seketika, sambil memandang wajah Ali. “Tapi aku nak dia.”

“Kalau kau nak dia, kau go ajelah. Pergi jumpa abang dia. Kau cakaplah, yang kau nakkan Aneesa tu. Nak masuk meminang.”

“Cakap senanglah. Masalahnya aku tak ada duit. Macam mana nak masuk meminang?”

“Habis tu, kau nak buat apa? Ha, pendam ajelah perasaan tu.”

Naem berfikir sejenak. “Aku rasakan, aku tahu nak buat apa.”

“Apa dia?”

Naem sudah tersenyum penuh makna. Dia tidak peduli kalau Aneesa akan membencinya. Dengan cara ini sahaja, dia dapat memiliki wanita itu. Tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak, hanya perlu mengupah Ali bagi mengharukan suasana, dan memanggil beberapa orang kampung, untuk membuatkan keadaan itu menjadi seperti situasi yang sebenar. Itu sahaja. Senang kerjanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience