BAB 3

Romance Series 54745

JAM digital di dinding studio menunjukkan pukul 7:45 PM. Paparan merah menyala. ON AIR 00:15:00. Mereka mula sibuk untuk siaran berita utama jam 8.

Di belakang kamera, floor manager, Farid, sedang menyusun cue card.

“Cue teleprompter standby...Kamera satu, lock shot wide...” Dia memberi arahan yang langsung dipatuhi orang bawahannya.

Di bilik berita, Ikmal berdiri dengan tangan bersilang di dada. Matanya tajam memerhati segela pergerakan.

“Lower third untuk segmen ekonomi dah locked?” tanyanya. Tidak memandang sesiapa, kerana dia yakin pertanyaannya didengar.

“Dah, boss...” jawab Afiq di konsol grafik, walaupun tangannya masih pantas menyusun visual.

Ikmal angguk sekali, berpuas hati dengan persediaan yang dibuat. Walaupun siaran berita ini dilakukan setiap hari, namun debarannya tetap sama. Bimbang ada yang terlepas pandang sehingga mencacatkan seluruh siaran dan menjatuhkan rating stesen mereka.

Kemudian dia keluar dan menuju ke studio. Luna yang sedang membuat semakan terakhir bersama pasangannya, Haidar didekati.

“Luna...” panggilnya.

Luna angkat muka. Nampak sedikit terkejut namun berusaha menutupinya dengan senyum profesional.

“Yes?”

“Parlimen mungkin pecah live feed dalam minit ketiga. Kalau berlaku, you improv. Jangan tunggu cue.”

“Okey.” Luna mengangguk. Bukan masalah baginya kerana kerana dia sudah biasa dengan situasi luar jangka seperti itu. Pengalaman hampir lima tahun di kerusi penyampai utama membuatkannya cukup cekap menyesuaikan diri dengan apa jua perubahan di saat akhir.

Ikmal angguk sekali lalu kembali ke bilik kawalan. Dia tidak perlu meragui Luna. Bekas isterinya itu sudah membuktikannya berkali-kali.

“Parlimen pecah live feed?” Haidar bertanya, separuh berbisik.

Luna mengangguk kecil. “Mungkin. Kalau jadi, I ambil alih. You sambung lepas itu ikut rundown asal.”

“Alright.”

“Mic check, standby,” suara floor manager memecah udara.

Luna dan Haidar melangkah ke meja anchor. Mengambil tempat lalu membetulkan kedudukan mikrofon masing-masing.

“Semua posisi standby. Cue audio dalam dua minit.” Suara Farid kedengaran tegas di corong interkom.

Di ruang kawalan, Afiq menekan butang terakhir pada konsol grafik, memastikan lower third, intro bumper, dan semua elemen visual telah bersedia. Di sebelahnya, Marissa, pengarah siaran malam itu, meneliti monitor satu per satu bersama Ikmal.

“Camera check. Fokus pada Luna dulu. Haidar second shot.”

“Countdown rolling dalam sepuluh...” ujar penerbit.

Semua berada di posisi masing-masing dan bersedia. Luna menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Sempat berbalas senyum dengan Haidar, meredakan debaran yang sering muncul setiap kali sebelum bersiaran.

“...Lima, empat, tiga, dua...”

Lampu ON AIR menyala.

Visual intro berita utama bersama muzik latar yang sudah sinonim dengan siaran berita jam 8 bergema di seluruh negara. Kamera perlahan-lahan menyorot wajah tenang Luna.

“Selamat malam. Ini berita utama lapan malam.”

Dan pada minit ketiga, seperti dijangka, lampu merah LIVE FEED dari Parlimen mula berkelip. Talian siaran pecah.

Luna tidak menunggu.

“Dan kini, kita terus ke perkembangan terkini di Parlimen...” Luna menyambung lancar. Tanpa cue, tanpa skrip.

Di belakang kamera, Ikmal tegak memerhati dengan tangan berlipat ke dada. Di sebalik perasaan tidak sukanya kepada Luna yang pernah bergelar isteri, dia tetap mengagumi Luna sebagai orang bawahannya.

Lampu ON AIR padam. Muzik penutup berita masih bergema perlahan di latar sebelum akhirnya mati bersama fade out visual terakhir.

“Clear,” ujar floor manager.

Luna dan Haidar menanggalkan mikrofon. Haidar bersandar ke kerusinya, melepaskan keluhan lega.

“Nice save,” katanya sambil tersenyum kecil.

Luna ikut tersenyum , sudah terlalu biasa dengan pujian yang datang selepas situasi seperti itu.

Di bilik kawalan, Marissa bersandar ke kerusinya dan menoleh ke arah Ikmal. “Smooth. Luna memang on point.”

Ikmal hanya mengangguk, tidak menunjukkan sebarang reaksi berlebihan. “Macam biasa,” jawabnya ringkas.

Dia kemudian bangun, meninggalkan bilik kawalan dan berjalan menuju ke studio. Laluan sepanjang koridor itu sunyi, hanya bunyi derapan kasutnya yang bergema perlahan. Beberapa kru berselisih, masing-masing memberi anggukan hormat.

Sampai di depan pintu studio, dia bertembung dengan Ardan yang juga mahu masuk. Berkerut dahinya memandang lelaki itu.

“Kau buat apa kat sini?” tanyanya.

“Ucap tahniah kat Luna.”

“Tak habis lagi ke kau punya tahniah? Dah seharian tadi celebrate kan?” ketus Ikmal.

“Ni tahniah untuk live feed tadi.”

“Sejak bila CEO ambik tahu tentang benda remeh macam ni? Kau banyak lagi kerja lain nak buat kan?”

“Benda remeh kau kata? Siaran berita ni ditonton oleh lebih tiga juta rakyat Malaysia tau. Kalau Luna tak improv tadi, stesen kita akan hilang kredibiliti di depan 1/11 rakyat Malaysia tau. So...aku nak ucap tahniah pada Luna because she did a very good job.”

“This is not her first time. Sebelum ni kenapa kau tak pernah datang ucap tahniah?”

“Sebelum ni dia isteri orang. Jadi, aku jaga batas aku. Sekarang dia dah single, so...why not?” balas Ardan dengan senyumnya yang nampak benar-benar nampak menjengkelkan di mata Ikmal.

“Memang dia dah single, tapi dia masih dalam iddah.”

“So? Kau takde niat nak rujuk dia kan?”

“Takde!”

“Dah tu?”

Ikmal berdecit. Malas lagi melayan Ardan yang dirasakan sengaja mahu membuat dia naik darah. Dia pulas tombol pintu lalu melangkah masuk. Ardan menyusul di belakang. Santai melangkah dengan kedua-dua tangan di dalam saku seluar.

“Luna,” panggil Ardan.

Luna yang masih duduk di kerusinya, segera menoleh.

“Encik Ardan.”

“Good job,” ujar Ardan.

“Congrats,” kata Ikmal pula. Hampir serentak dengan Ardan. Seperti berlumba untuk bercakap.

Luna tersenyum kekok. Dua lelaki itu dipandang silih berganti. “Thanks.”

“You free malam ni?” tanya Ardan, membuat Ikmal memandangnya dengan wajah berkerut geram. Bibir diketap, menahan mulutnya daripada memaki.

“Free. Tapi saya ingat nak balik tidur je.”

Ardan mengangguk-angguk. “Okay. Have a good sleep. Jangan fikirkan bekas suami you yang tak guna tu. Life must go on.”

Luna kemam bibir, menahan ketawa. Mata sempat mengerling Ikmal yang nampak menahan geram.

“Insya-Allah,” ujarnya.

“Okey, I mintak diri dulu. Nak temankan Ikmal. Dia jiwa kacau sikit hari ni. Tak tahu kenapa.”

“Oh...” Luna mengangguk-angguk. “...mungkin jauh dari hidayah Tuhan agaknya.”

“Agaknyalah.”

Ikmal di tepi, ketap bibir sambil mata dipicingkan. Menjadi-jadi dua orang itu mengutuknya depan-depan. Langsung tak berlapik. Macam lupa yang dia masih berada di sini. Geram saja mahu dihempuk kepala Ardan ke dinding. Namun demi menjaga harga dirinya yang selalu dipandang tinggi oleh orang-orang bawahannya kerana kewibawaannya, dia tahan diri. Tak apa. Ada ubi ada batas. Ada hari dia balas.

PINTU kaca kafe ditolak perlahan. Bunyi loceng halus menyambut Ikmal dan Ardan yang baru melangkah masuk.

Mereka memilih meja di sudut yang agak tersorok.

Ikmal duduk dahulu, melempar kunci kereta di atas meja. Ardan pula mengambil tempat bertentangan.

"Nak minum apa?" tanya Ardan sambil mengimbas kod QR untuk membuat pesanan.

"Espresso."

"Aih..tak takut tak boleh tidur ke? Dahlah teman tidur dah takde."

Ikmal berdecit. "Minum kopi ke, tak minum kopi ke, kalau nak tidur, tidur jugak. Tak ada kaitan dengan teman tidur pun."

"Manalah tahu. Malam pertama tanpa teman tidur kut teringat-ingat."

"Takde maknanya..."

Ardan tertawa perlahan. Telefon diletak ke tepi selepas selesai membuat pesanan.

"Kau menyesal?" tanyanya sambil memandang wajah keruh Ikmal.

Tawa Ikmal meletus sinis. "Menyesal kenapa?"

"Ceraikan Luna."

"Kenapa nak menyesal? Tu pilihan aku."

"Baguslah."

Ikmal menyandarkan tubuhnya ke kerusi dengan tangan berlipat ke dada. Ardan dipandang dengan tatapan yang sengaja dipicingkan.

"Kau suka Luna kan?"

"Sejak bila kau perasan?" Bukannya menjawab, Ardan sebaliknya bertanya semula.

"Hei, Ardan!" Ikmal menegakkan tubuhnya. Buntang matanya memandang Ardan yang sedang mentertawakannya. Mungkin seronok membuatnya naik darah.

"Yang kau tu dari tadi syak aku suka Luna kenapa?"

Ikmal mahu menjawab, namun pelayan yang datang membawa kopi pesanan mereka membuat dia terbantut. Setelah pelayan itu berlalu, barulah dia bersuara.

"It's obvious. Dulu kau tak peduli pun dengan dia. Tapi hari ni siap buat party untuk dia yang baru lepas kena cerai...Lepas tu malam ni tiba-tiba congrats dia kat studio. Jadi salah ke kalau aku syak yang kau memang suka Luna dan sekarang kau cuba ambik kesempatan?"

"Kau macam mana?" Lagi-lagi Ardan menjawab dengan pertanyaan.

"Aku?"

"Ya. Kau suka Luna? Dua tahun kau kahwin dengan dia, takkan tak ada langsung perasaan suka?"

"Takde!" Yakin Ikmal berkata, seolah-olah cuba meyakinkan dirinya sendiri.

"Hmmm..." Ardan mengangguk-angguk. Kopi yang masih mengepulkan asap halus disesap sedikit, sebelum meletakkan kembali cawannya ke piring.

"How do you even sleep with your wife when you don’t even love or like her?"

Nyaris tersembur kopi baru dihirup Ikmal dengan kata-kata Ardan.

"Hei!" Wajah Ikmal berkerut marah. Jelas dia tidak suka dengan pertanyaan yang bersifat provokasi itu.

"You're out of line," sambungnya dengan nada ketus.

"I'm sorry. I'm just curious."

Ikmal diam. Tidak berniat untuk melanjutkan percakapan tentang itu.

"Guna tempoh iddah ni baik-baik. If there’s even the tiniest part of you that still feels something for her, go make things right."

"Ceraikan dia ialah jalan terbaik. Sebab dari awal, perkahwinan tu bukan atas kehendak aku. So...everything's in the right place now."

Ardan mengangguk-angguk walaupun jauh di sudut hati, dia tidak bersetuju. Namun kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan memandangkan mood Ikmal tidak begitu baik, dia diamkan saja.

"Bila nak kahwin dengan Helena?"

Ikmal terdiam. Dia dan Helena pernah merancang, namun perancangan itu hanya sebatas impian tentang majlis idaman. Pakaian, hantaran, konsep, pereka. Namun tidak pernah merancang bila hubungan mereka akan dihalalkan.

"Tengoklah. Kena cari tarikh sesuai," jawabnya.

"Aku boleh jadi best man kau untuk kali kedua." Ardan berseloroh.

"Aku dah nak masuk dua kali, kau sekali pun belum."

"Aku tunggu lepas kau selamat kali kedua."

Ikmal tertawa. Namun tawa itu tidak sempat bertahan lama.

Getaran halus dari telefonnya di atas meja sedikit mengganggu. Nama Helena berkelip pada skrin. Ikmal segera menjawab panggilan itu.

"Helo..."

"Sayang...you pergi mana? Dah sejam I tunggu. Kata nak dinner sama-sama." Tidak menjawab sapaannya, Helena terus merengek di hujung sana.

"Allah!" Ikmal tepuk dahi. Dia benar-benar terlupa janjinya dengan Helena.

Tingkahnya itu membuat Ardan memandangnya dengan wajah berkerut. Hairan.

"I lupalah. I dengan Ardan sekarang. Tengah hari esok kita lunch sama-sama, okey?" Suara Ikmal lembut memujuk, berharap Helena akan melunak.

Namun, hanya dengusan kasar kedengaran sebelum talian diputuskan.

Ikmal mencampak perlahan telefonnya ke atas meja. Tidak berniat untuk menelefon semula atau memujuk. Malam ini dia tidak ada mood mahu melayan karenah sesiapa. Dia hanya mahu bertenang menikmati malam pertama kebebasannya.

"Kenapa?" tanya Ardan. Sempat menjeling skrin telefon Ikmal tadi, dia tahu Helena yang menelefon.

"Aku lupa malam ni aku janji nak dinner dengan Helena."

Tawa Ardan meletus perlahan. "Tiba-tiba aku rasa macam aku lebih penting dari Helena."

"You're my first love," balas Ikmal.

"Memang biasa lelaki tak guna macam kau abaikan isteri atau girlfriend demi first love."

"Shut up!"

Share this novel

arizah hashim
2025-10-15 02:42:30 

kita tenguk berapa lama Ikmal blh bertahan. memang patut pun kena kutuk kaw2 dgn Ardan. Padan muka. tqsm Calyta. Kali ni tema novelnya latar kerjaya wartawan penyiaran pulak. sebelum ni latar kerjaya peguam.

Jamaliah Khalid
2025-10-14 23:16:10 

Tq Calyta ...update chapter❤️❤️❤️❤️❤️


NovelPlus Premium

The best ads free experience