Di atas meja dapur, terdapat pelbagai jenis lauk pauk yang tersedia. Kari ayam, sayur kangkung belacan, ikan talapia sambal balado. Namun terlalu banyak jika hanya untuk seorang nenek. Seolah-olah sudah menunggu kedatangan mereka.
“Makcik Jamilah mana nek?” tanya Rayyan.
“Pergi beli barang dapur dengan baja bunga. Baja nenek dah habis,” jawab nenek itu.
Rayyan hanya mengangguk, kemudian duduk di kerusi.
“Kamu tak bagitau yang kamu bawa kawan. Nenek tak letak pinggan lebih,” Nenek itu berjalan ke arah kabinet dapur, membongkok sedikit untuk mengambil pinggan tambahan untuk Amiza.
Pinggan diletak di kabinet dapur bahagian bawah, agak sukar untuk nenek menunduk. Melihat nenek itu sedikit bersusah payah, Amiza dengan pantas berjalan ke arah nenek untuk membantu.
“Erm… nenek, biar saya ambilkan ya.” kata Amiza yang kemudian dengan cepat menunduk, membuka kabinet dan mengambil pinggan lebih dan meletakkanya ke meja. Dia juga mengambil gelas tambahan untukknya.
Rayyan di meja makan hanya tersenyum sinis melihat keadaan itu.
Setelah duduk di meja makan, Amiza dengan sendiri mengambilkan nasi, meletakkan di pinggan setiap orang, menuang air, dan menyendok lauk untuk nenek itu. Dia buat semuanya dengan tengan dan cekap.
“Terima kasih. Siapa nama ya?” kata nenek itu sambil mengambil pinggan dengan lauk yang dihulurkan Amiza.
“Amiza nek,” jawab Amiza dengan sopan.
Nenek tersenyum lembut, “Amiza… sedap nama tu. Nama nenek, Sari.”
Amiza hanya mengangguk tersenyum.
Mereka bertiga makan dalam diam. Rayyan fokus melahap makanannya tanpa sepatah kata. Nenek Sari menikmati hidangan dengan tenang, sesekali melirik ke arah Amiza dengan pandangan lembut.
Amiza pula? Kekok. Tapi dia terus makan, cuba menyesuaikan diri dengan situasi tak dijangka ini.
“Jadi, ini ke bakal isteri kamu, Ray?”
UHUK! UHUK!
Amiza tersedak, terbatuk kuat sehingga tersembur keluar nasi dari mulut dan hidungnya. Terkejut dengan soalan Nenek Sari.
‘A-apaaa?!’ Otaknya cuba mencerna perkataan yang baru keluar dari mulut nenek itu.
UHUK! UHUK!
Sambil terbatuk, dia mencapai gelasnya untuk minum, Nenek Sari membantunya menuang air kerana satu tangannya digunakan untuk menutup mulut dan hidungnya, menahan daripada batuk mengejut itu.
Amiza meneguk air dengan gelojoh, cuba menghapuskan sisa nasi yang tersangkut di tekaknya. Tapi sebelum dia sempat bernafas lega—
“Ya, nek.”
Tiba-tiba Rayyan menjawab soalan Nenek Sari.
UHUK! UHUK! UHUK!
Lagi sekali! Kali ini bukan sekadar nasi—air yang baru diteguknya turut tersembur ke meja!
Nenek Sari mengerut dahi. “Kamu okay ke, Amiza? Pedas sangat ke lauk ni?”
“Uhuk, uhuk! Tak… uhuk… Tak nek…” Amiza terhuyung-hayang menarik nafas, cuba mengumpul semula maruahnya yang berselerak di atas meja.
Rayyan hanya bersandar, tersenyum kecil. Dan kemudian… ketawa. Ketawa rendah tapi cukup untuk membuatkan Amiza rasa mahu menyumbat sambal balado ke mukanya.
Selesai makan, mereka kembali ke dalam kereta. Rayyan menyalakan enjin dan memandu keluar dari perkarangan rumah neneknya.
Beberapa minit berlalu dalam keheningan sebelum Amiza akhirnya membuka mulut.
“Encik Rayyan. Apa tadi tu? Apa yang—”
“Ray.”
Amiza mengepal tangan. ‘Dia ni!’
Sabar, Amiza. Sabar. Tapi sampai tahap mana? Dengan perangai lelaki ni, siapa je yang boleh tahan?
“Ray! Ray! Ray! Haaa, puas hati?!” Amiza meluahkan geramnya.
Rayyan hanya tersenyum sinis, seolah-olah menikmati kemarahan kecilnya.
Amiza menarik nafas dalam-dalam, menahan diri daripada menyumpah seranah lelaki ini secara terbuka.
“Ray,” katanya dengan lebih terkawal. “Boleh tak jelaskan apa yang awak buat tadi? Awak ajak saya makan dengan nenek awak, lepas tu awak cakap saya… bakal i-isteri awak?”
Rayyan hanya menjongket kening. “Bukan tadi awak yang cakap kita dah tunang?”
Amiza hampir mencampak beg tangannya ke muka lelaki itu.
“Saya tak pernah cakap kita dah tunang pun! Itu Kesha! Dia yang cakap!”
Rayyan mengangkat bahu dengan wajah selamba. “Tapi awak tak cakap tak pun, kan?”
Amiza terdiam.
Betul. Kenapa dia tak cakap tak? Kenapa dia biarkan sahaja? Kenapa dia… macam secara automatik setuju dengan semua benda yang lelaki ni buat sejak tadi?
‘Tapi ini bukan salah aku! Dia yang salah! Dia yang… yang ada aura aneh yang buat orang ikut cakap dia tanpa bantahan! Ya, ini bukan salah aku!’
“Awak jangan nak salahkan saya pula!” Amiza menuding jari. “Masa Kesha cakap awak tunang saya, kenapa awak tak betulkan? Kenapa awak berlakon jadi… t-tunang saya juga?”
Rayyan tersenyum lagi. Senyuman yang buat darah Amiza mendidih.
“Entah.”
Amiza terkedu.
‘Entah?! ENTAH JE?!’
Dia menghela nafas panjang. Dia sudah bertahan hidup dengan Rosa selama lima tahun, gadis yang kerjanya hanya mencemuh dan menyindirnya setiap hari. Tetapi dengan lelaki ini, belum sampai setengah hari pun, dia sudah rasa ingin membaling kasut keluar tingkap.
Dia menyandarkan badan pada kerusi dengan mendengus perlahan. “Apa-apa pun, terima kasih sebab ‘selamatkan’ saya dari ‘kawan-kawan’ saya tadi. Awak boleh turunkan saya kat sini. Saya boleh naik Grab balik rumah.”
Rayyan menekan brek di lampu merah, kemudian menoleh sedikit ke arahnya. “Tapi, tak adil la macam tu, Miza.”
‘Dia panggil aku Miza?!’
‘Oh. Tapi… tadi dia pun suruh aku panggil dia Ray, kan? Jadi… okay la kot?’
“Apa yang tak adilnya?” soal Amiza dengan kening berkerut.
“Saya dah ‘selamatkan’ awak.” Rayyan mengangkat bahu santai. “Sekarang giliran awak pula untuk selamatkan saya.”
Amiza mengetap bibir. ‘Lelaki ni… boleh tak cakap terus ke?! Kenapa mesti ada teka-teki?!’
Dia menghela nafas berat. “Selamatkan awak macam mana?”
Rayyan berpaling, melemparkan senyum sinis yang sudah semakin menyakitkan jiwa Amiza.
“Jadi isteri saya.”
“…Ha… HA… HAH?!!”
Share this novel