MCJKKS BAB 1: JIRAN BARU

Romance Series 2756

LANGIT petang itu berwarna jingga lembut, menandakan hari yang hampir melabuhkan tirainya. Riz Adrian memandu perlahan memasuki kawasan kejiranan baharu yang sunyi dan jauh dari hiruk-pikuk kota. Rumah-rumah di kawasan itu tersusun rapi, dihiasi taman kecil yang berwarna -warni di halaman. Namun, bagi Riz, semua itu hanya hiasan semata-mata. Keputusan berpindah ini hanyalah cubaan untuk melarikan diri dari kekosongan hidupnya—yang penuh dengan angka dan mesyuarat.

“Tenang, tapi membosankan,” gumamnya sambil melihat ke luar tingkap kereta.

Kereta mewahnya berhenti di hadapan sebuah rumah dua tingkat dengan reka bentuk minimalis. Riz memandang rumah itu sekilas sebelum menarik nafas panjang. Dia tahu, langkah ini mungkin tidak mengubah banyak perkara dalam hidupnya, tapi dia tetap mencuba.

“Baiklah, mari kita mulakan hidup baru,” katanya perlahan sambil keluar dari kereta.

Namun, sebelum sempat dia mengatur langkah ke pintu rumah, matanya tertancap pada satu pemandangan yang tidak dijangka. Seorang gadis sedang berdiri di halaman rumah sebelah. Dia mengenakan apron penuh corak bunga-bunga, rambutnya disanggul rapi, dan tangannya sibuk menyiram pokok-pokok bunga yang menghiasi halaman kecilnya.

Riz memandang gadis itu dengan wajah kosong. Bukannya dia ingin memerhati, tetapi dia tidak boleh menahan diri daripada tertarik dengan caranya bekerja—tenang dan bersemangat. Seekor kucing berbulu putih lebat duduk di tepi gadis itu, seolah-olah menjadi pengawal setia.

Tiba-tiba, gadis itu berpaling dan menyedari Riz sedang memerhatikannya. Dia tersenyum dan melambai mesra. Riz terpaku, tidak tahu bagaimana untuk membalas. Dia bukan jenis yang mesra dengan orang asing.

“Selamat datang ke kejiranan ini!” Gadis itu menjerit kecil, cukup kuat untuk Riz dengar.

Riz hanya mengangguk kaku, lalu melangkah masuk ke rumahnya tanpa sepatah kata.

Di dalam rumah, Riz memandang sekeliling. Ruang tamu itu sunyi dan berbau segar, baru sahaja dibersihkan oleh syarikat pembersihan sebelum dia tiba. Segalanya kelihatan teratur—dinding putih bersih, perabot minimalis, dan tingkap besar yang menghadap halaman belakang.

Namun, perasaannya tidak seiring dengan keindahan itu. Dia merasa janggal, seolah-olah ini bukan rumahnya.

“Ini adalah langkah pertama,” katanya perlahan, cuba menyakinkan dirinya.

Tetapi sebelum dia sempat menikmati ketenangan itu, satu bunyi aneh menarik perhatiannya. Riz berpaling ke arah dapur dan mendapati tingkap kecil di sana terbuka sedikit. Ketika dia menghampiri, dia tergamam.

Seekor kucing berbulu putih—kucing yang sama dari halaman sebelah—sedang berdiri di atas meja dapurnya. Kucing itu memandang Riz dengan mata bulatnya sebelum melompat ke arah rak, menjatuhkan sekotak biskut mahal ke lantai.


“What, damn it?!” Riz menjerit, panik. Dia melangkah ke belakang, mengelak dari terkena kucing itu.

Kucing itu melompat turun, menghampiri Riz dengan langkah penuh keyakinan. Riz, yang alah kepada haiwan berbulu, mula merasa hidungnya gatal. Dia cuba menghalau kucing itu dengan tangan, tetapi kucing itu hanya memandangnya dengan pandangan tidak bersalah.


“Keluar dari sini!” Riz mengarah, suaranya keras.

Kucing itu tidak berganjak. Sebaliknya, ia duduk di hadapan Riz, menjilat kakinya dengan tenang.

Sebelum Riz sempat berbuat apa-apa, pintu depan rumahnya diketuk. Dia mengeluh panjang sebelum menuju ke pintu, berharap ia bukan lagi masalah baru.

Saat dia membuka pintu, gadis dari rumah sebelah sedang berdiri di situ, senyumannya lebar.

“Maaf, saya nak ambil Snowball,” katanya sambil memandang ke arah kucing yang kini duduk di tengah ruang tamu Riz.

Riz memandang gadis itu dengan wajah tidak percaya.


“Snowball?”

Gadis itu mengangguk.

“Kucing saya. Dia memang suka menjelajah. Maaf, ya.”

Riz mendengus.

“Jelajah? Ini rumah aku. Dia patut tahu batas.”

Gadis itu tertawa kecil.

“Kucing tak ada konsep batas, encik. Tapi saya janji, saya akan pastikan Snowball tak buat lagi.”

Riz memandang gadis itu dengan pandangan sinis.

“Pastikan kucing kau tu tak pernah masuk ke sini lagi.”

Gadis itu tersenyum manis, seperti tidak terkesan dengan kemarahan Riz.

“Baik, jiran baru. Saya Inka Christie, kalau awak nak buat aduan. Selamat berkenalan!”

Riz hanya berdiri kaku, memerhatikan Inka membawa Snowball keluar dari rumahnya.

“Ini permulaan yang buruk,” Riz menggumam sambil menggosok hidungnya yang sudah mula gatal.

Di kejiranan baru ini, dia tahu hidupnya tidak akan sesunyi yang dia harapkan.

***

Sebelum Riz Adrian memutuskan untuk berpindah ke kejiranan itu, kehidupan sepenuhnya berputar di sekitar kerja. Sebagai CEO sebuah syarikat teknologi terkemuka, Ravex Innovations, Riz dikenali sebagai seorang yang dingin, tidak bertolak ansur, dan sedikit kasar. Di pejabatnya di Menara Ravex, setiap orang—daripada pengurus kanan hingga ke penyambut tetamu—takut dengan kehadirannya.

“Cik Julia, saya minta laporan kewangan ini semalam. Kenapa masih ada kesalahan pada angka?” suaranya bergema di ruang bilik mesyuarat.

Cik Julia, ketua kewangan syarikat itu, menunduk dengan muka pucat.

“Maaf, Encik Riz. Saya akan betulkan segera.”

Riz memandangnya dengan pandangan tajam.

“Segera itu bermaksud sebelum jam makan tengah hari. Jangan beri alasan. Faham Cik Julia?” Riz Andrian memandang sinis.

Dia bangun dari kerusi dan melangkah keluar dari bilik mesyuarat tanpa menunggu respons. Riz terkenal kerana ketegasannya dan langsung tidak memberikan peluang kedua kepada pekerjanya. Dalam fikirannya, kerja adalah keutamaan, dan kesilapan kecil boleh membawa akibat besar.

Namun, di sebalik sifat dingin dan kasarnya, Riz adalah seorang yang sangat komited terhadap syarikat. Di bawah kepimpinannya, Ravex Innovations berkembang pesat menjadi salah satu syarikat teknologi paling berjaya di negara ini. Dia memastikan setiap projek berjalan lancar, setiap produk berkualiti tinggi, dan setiap keputusan membawa keuntungan.

Tetapi, kehidupan peribadinya tidak sehebat itu. Riz hampir tidak mempunyai masa untuk bersosial, apatah lagi menjalin hubungan. Wanita-wanita yang pernah cuba mendekatinya biasanya menyerah kalah selepas beberapa kali pertemuan. Bagaimana tidak? Riz adalah lelaki yang terlalu serius, kurang romantik, dan lebih banyak bercakap tentang kerja berbanding hal peribadi.

Ibu Riz, Datin Sri Ruhil Amani, sering mengingatkannya tentang pentingnya berkahwin. Tetapi Riz selalu mengelak.

“Mummy, Riz ada banyak kerja. Perkahwinan akan mengganggu fokus Riz,” itulah alasan tetapnya setiap kali topik itu dibangkitkan.

“Fokus apa? Umur Riz tu dah nak masuk 30! Kalau kamu tunggu lagi, Mummy takut kamu jadi bujang terlajak,” balas Datin Sri Ruhil, tidak pernah mengalah.

Namun, semua tekanan itu tidak memberi kesan kepada Riz. Dia tetap dengan pendiriannya—kerja adalah segalanya.

Hari itu, sebelum Riz memutuskan untuk meninggalkan syarikat buat sementara waktu dan berpindah ke rumah barunya, dia memanggil semua pengurus kanan ke pejabatnya.

“Mulai minggu depan, saya akan bekerja dari rumah,” Riz memaklumkan dengan nada tegas.

Semua yang hadir saling berpandangan, terkejut dengan keputusannya.

“Tapi, Encik Riz, kita masih ada mesyuarat dengan pelabur besar bulan depan,” kata Encik Hazwan, ketua pembangunan perniagaan.

“Saya tahu. Saya akan pastikan semua berjalan lancar dari jauh. Kalau ada apa-apa masalah, selesaikan dengan satu panggilan telefon,” balas Riz.

Dia tidak memberikan peluang untuk bantahan. Sebagai CEO, keputusannya adalah muktamad.

Di dalam hati, Riz tahu dia memerlukan ruang untuk bernafas. Walaupun dia mencintai pekerjaannya, tekanan yang tidak pernah reda membuatkan dia mula merasa jemu. Pindah ke kejiranan baru adalah eksperimen—satu percubaan untuk mencari ketenangan yang dia tidak pernah rasa selama ini.

Namun, dia tidak tahu bahawa kejiranan itu bakal menjadi lebih kacau daripada bilik mesyuaratnya.

***

Ketika dia menutup pintu rumahnya malam itu, selepas kejadian dengan kucing dan jiran sebelah yang ceria, Riz duduk di sofa ruang tamu sambil mengurut pelipisnya.

“Hidup tenang?” Dia mendengus kecil. “Mimpi apa aku semalam sampai fikir ini idea yang baik?”

Tetapi, jauh di sudut hatinya, Riz tahu bahawa kejiranan ini mungkin membawa sesuatu yang berbeza dalam hidupnya—sesuatu yang dia tidak pernah tahu dia perlukannya.

Riz Adrian memandang siling bilik tidur yang gelap, cuba melelapkan mata. Tetapi, otaknya enggan berkerjasama. Setiap kali dia cuba mengosongkan fikiran, bayangan gadis ceria bernama Inka Christie itu muncul, seperti menari-nari di hadapannya. Senyuman manisnya, cara dia berbicara dengan nada bersahaja, dan pandangan mata bersinar itu menghiasi setiap sudut fikirannya.

Dia memejamkan mata rapat-rapat, cuba menghalau jauh bayangan itu.

“Dia cuma jiran,” Riz menggumam perlahan, cuba memujuk dirinya.

Namun, semakin dia cuba melupakan, semakin jelas bayangan itu. Wajah Inka yang tersenyum, dengan apron bunga-bunga dan kucing putih setia di sebelahnya, bermain-main di ruang fikirannya. Bibir Riz tanpa sedar melukis senyuman kecil.

“Kenapa aku senyum? Ini gila,” dia berbisik kepada dirinya sendiri sambil menggeleng.

Tapi debaran kecil yang aneh di dadanya tidak dapat dia nafikan. Dia sendiri bingung. Dia, Riz Adrian—seorang lelaki yang dingin, keras, dan terkenal tidak berperasaan—tiba-tiba merasa jantungnya berdegup laju hanya kerana seorang gadis yang dia baru sahaja kenal.

“Dia tak istimewa,” Riz berkata lagi, kali ini dengan nada lebih tegas.

Tetapi ingatannya berkhianat. Dia terbayang saat Inka berdiri di hadapan pintunya, senyumnya lebar seperti tidak ada apa yang boleh menggoyahkan keyakinannya. Kata-katanya yang bersahaja dan nada cerianya membuat Riz teringat pada sesuatu yang telah lama hilang dalam hidupnya—kehangatan.

“Jangan jadi bodoh, Riz,” dia berkata sambil mengalih tubuh ke sisi.

Namun, perasaan itu tidak berganjak. Sebaliknya, ia semakin kuat, seolah-olah memaksa Riz mengakui bahawa kehadiran Inka telah mencetuskan sesuatu yang tidak pernah dia rasai sebelum ini.

“Apa sebenarnya yang aku rasa ni?” Riz bertanya kepada dirinya sendiri.

Dia cuba menepis perasaan itu, cuba mengalih perhatian dengan memikirkan kerja-kerja yang harus diselesaikan esok. Tetapi usahanya sia-sia. Bayangan Inka kembali menyerbu, dan kali ini, dia tidak melawan.

Riz akhirnya mengeluh perlahan, membenarkan dirinya tenggelam dalam perasaan itu sejenak. Hatinya terasa aneh—seakan ringan, tapi penuh debaran.

“Dia cuma jiran,” Riz mengulangi lagi, seperti cuba meyakinkan dirinya.

Namun, bibirnya tanpa sedar kembali melukis senyuman kecil. Dia tahu, tidak kira berapa banyak alasan yang dia beri, gadis itu telah meninggalkan kesan yang sukar untuk diabaikan.

Malam itu, Riz Adrian akhirnya terlelap, tetapi wajah ceria Inka Christie terus menemani mimpinya.

***

Fajar baru menyingsing. Cahaya keemasan perlahan-lahan menembus langsir tipis ruang tamu rumah Riz Adrian. Usai menunaikan solat Subuh, Riz berjalan ke dapur dengan langkah bertenaga, masih segar selepas membersihkan diri. Baju Melayu merah yang membaluti tubuh kekar dan rambutnya disikat rapi menambahkan lagi aura ‘lelaki maskulin’.

Dia membuka kabinet, mengambil mug kegemarannya, lalu mula membancuh kopi. Bunyi air mendidih dari cerek elektrik mengisi kesunyian pagi. Semuanya terasa damai—sehingga dia berpaling ke meja makan.

Riz terkaku.

Di atas meja makan, seekor kucing berbulu putih yang sangat dikenalinya sedang duduk santai, menjilat bulunya dengan penuh khusyuk. Snowball.


“Kau lagi?!” Riz menjerit kecil, mengejutkan Snowball.

Kucing itu berhenti menjilat bulunya dan memandang Riz dengan pandangan selamba. Ia seolah-olah berkata, ‘Ya, aku lagi. Ada masalah?’

“Macam mana kau boleh masuk?!” Riz bertanya, walaupun dia tahu kucing itu tak akan menjawab.

Snowball memiringkan kepala sedikit, lalu melompat ke arah sinki. Dalam proses itu, ia menjatuhkan sebuah balang gula yang terletak di hujung meja. Balang itu pecah dengan bunyi kuat, gula bertaburan ke lantai.

Riz menjerit kecil sambil melompat ke belakang, takut gula itu akan menarik perhatian semut.

“Kau ni tak faham konsep privasi ke?!” Riz bersuara geram, cuba menangkap Snowball. Tetapi kucing itu lebih lincah. Ia melompat ke atas peti sejuk, kemudian menjeling Riz dari atas, seperti sedang mentertawakan usahanya.

Riz memandang kekacauan di dapur dengan muka tidak percaya. Ini baru pagi, dan dia sudah rasa seperti sedang berperang.

“Kau memang dihantar untuk menghancurkan hidup aku, kan?” Riz menggumam sambil mengutip serpihan kaca di lantai.

Ketika dia sedang sibuk membersihkan gula yang bertaburan, Snowball melompat turun ke meja semula dan mendekati mug kopi Riz. Dengan lidahnya yang kecil, Snowball menjilat sedikit kopi itu sebelum merenung Riz dengan ekspresi yang jelas tidak puas hati.

“Oh, kau tak suka kopi aku?!” Riz bersuara, setengah ketawa, setengah geram.

Snowball menjilat mulutnya sekali, kemudian melompat turun dari meja dan berjalan keluar melalui tingkap kecil di dapur yang Riz lupa untuk tutup malam tadi. Ia meninggalkan Riz dengan dapur yang berantakan dan mug kopi yang kini sudah tercemar.

Riz berdiri di situ, memandang tingkap terbuka dengan wajah bingung.

“Kucing ni memang ada agenda. Aku yakin 'monster berbulu' ni memang sengaja dihantar perempuan tu untuk buat hidup aku sengsara,” dia bercakap sendirian sambil mengelap dahinya yang berpeluh.

Namun, tanpa sedar, bibir Riz melukis senyuman kecil. Kekacauan pagi itu, walaupun menjengkelkan, adalah sesuatu yang luar biasa—sesuatu yang belum pernah dia alami sebelum ini.


“Pagi-pagi lagi, aku dah kalah,” dia menggumam sambil menyedut nafas panjang.

Ketika dia melangkah keluar dari dapur, satu suara kecil di kepalanya bergurau, ‘Mungkin kucing tu cuma nak ajar kau untuk lebih santai.’ Tapi Riz Adrian, seorang CEO yang serius, belum bersedia untuk menerima pelajaran hidup daripada seekor kucing.

Alhamdulillah...new novel daripada author. Karya ke-9..diharap diterima baik..kisah santai penuh elemen jenaka..Happy reading gaisss..mcm biasa jgn lupa follow and comment..novel ni UC ya, 4 bab terawal boleh dibca dgn percuma dan selebihnya menggunakan n-coin utk mengunlock..sudi² lah ya..syg semua..:) :) :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience