Bab 5

Detective Completed 54058

SEJAK dari tadi, Dara tidak berani angkat muka. Semua angkara Haris. Haris yang muncul mengejut menyebabkan dia jatuh terduduk. Sakit yang dia rasa tidak dihiraukan. Rasa sakit di hatinya lebih teruk.

Dara menjeling ke depan. Sudah sepuluh minit Haris duduk di hadapan dia. Haris juga ringan tulang membantu dia mengasingkan surat mengikut fail supplier. Dara tidak meminta pertolongan Haris. Lelaki itu yang menawar diri untuk membantu.

Amy dan Suraya, Dara tidak tahu ke mana mereka pergi bersama Atiya setelah selesai perbincangan. Sempat juga Atiya titipkan pesan supaya tunggu mereka di sini. Bersama Haris. Mujur pintu bilik di biar terbuka. Cctv yang terpasang juga meyakinkan Dara, bahawasanya dia bakal selamat.

Biarpun Haris itu bisu, dia tetap juga lelaki. Tetap juga memiliki nafsu. Itu yang membuatkan Dara mengambil langkah berjaga-jaga. Setiap minit dia mengerling pada lelaki itu. Setiap minit itu juga suasana sepi. Tiada perbualan tercipta di antara mereka.

Dara menjeling jam di sudut kanan komputer. Jam sudah menunjukkan angka 1.15. Patutlah perut dia dari tadi bukan main bernyanyi lagu disco. Waktu makan tengahari sudah tiba.

Dara mengetuk perlahan meja depan. Dia ingin menarik perhatian Haris. Dua kali ketuk saja, sepasang mata hitam lelaki itu terhala padanya.

Sebaik mata mereka bersabung, lima jari kanan Dara bercantum lalu di sua ke mulut.

"Tak pergi makan?" Ini saja Dara mampu lakukan. Dia tidak pandai mengguna bahasa isyarat. Tinggi harapan dia Haris tidak mengalami masalah pendengaran.

Haris melihat jam G-Shock yang melilit pergelangan. Itu tandanya lelaki itu dengar pertanyaan Dara. Baru saja Dara ingin menarik nafas lega setelah mesejnya berjaya di hantar, kini dia diserang tanda tanya sejurus telapak tangan lelaki itu dihulurkan kepadanya.

Berkerut dahi Dara. Haris mahu apa?

Ketika itu, Haris menolak ke tepi semua kerja-kerjanya yang hampir siap. Terima kasih atas bantuan Haris. Kerjanya yang bertimbun tadi nampak susut juga.

"Awak nak ini?"

Dara tunduk ke bawah meja lalu mengeluarkan bekal pemberian emak pagi tadi. Mungkin Haris senasib dengannya. Perlu berjimat cermat demi mengukuhkan kewangan dalam sebulan dua ini. Apa lagi Haris itu kerjanya pemandu. Berapa sangatlah gaji Haris.

Haris pandang bekal dan wajah Dara silih ganti. Tidak pula dia menyambut huluran Dara.

"Makanlah..." Entah kenapa, Dara merasakan dia sedang dipertontonkan riak serba salah lelaki ini. Niat dia ikhlas untuk berkongsi dengan Haris.

Setelah lama berdiam diri, Haris menggeleng kepala.

"Tak nak?" Tanya Dara ingin kepastian. Tidak percaya Haris menolak. Nanti Haris mahu makan apa?

Gelengan kedua Haris menyusul. Dara tidak jadi untuk makan, bekalnya disimpan semula. Terpaksalah dia padamkan niat untuk makan. Segan pula makan di depan Haris sedangkan lelaki itu terpaksa berlapar.

Dara menggarit kening bila Haris masih menghulurkan telapak tangannya. Malah dia goyangkan berkali-kali.

Apa yang dimahukan Haris sebenarnya? Seminit berfikir, Dara tunduk semula. Dia mengambil dompet miliknya.

"Saya ni bukanlah banyak duit. Makan pun bawa bekal. Kalau awak nak makan, ini saja saya mampu bagi." Dara menghulurkan sekeping not sepuluh ringgit.

Kebetulan Dara membawa dua puluh ringgit. Cukuplah sepuluh ringgit untuk bekalan dia hari ini dan sepuluh ringgit lagi buat Haris. Awal-awal lagi minyak kereta dia sudah di isi penuh untuk kegunaan seminggu.

Sekali lagi Haris menolak pemberian Dara. Lelaki itu semakin rakus menggeleng kepala. Sorotan redup Haris bertukar tajam. Marah mungkin kerana Dara tidak faham permintaan dia.

Dara berputus asa. Dia berharap ada keajaiban berlaku agar Haris boleh bercakap supaya dia lebih faham kemahuan lelaki ini. Sungguh! Dara tidak pandai membaca isi hati orang.

"Ermmm...Ermmm..." Itu saja bunyi yang mampu dihasilkan Haris. Telapak tangan dia masih saja di hulur pada Dara.

Pening kepala Dara dibuatnya. Kesudahannya, Dara menghulurkan kertas dan pen. Jangan cakap Haris tidak tahu menulis. Memang mereputlah Dara semata-mata ingin memahami apa yang diingini Haris.

Sedang Dara menunggu Haris, tumpuan dia teralih bila mendengar ketukan dari belakang. Lantas dia menoleh. Muncul seorang lelaki tinggi lampai, berwajah sawo matang, senyuman lelaki itu menambahkan lagi pesona yang berjaya membuatkan Dara terkesima.

"Hai!" Tangan kanan diangkat menyapa Dara.

Haris yang tunduk sedang menulis sesuatu, mengangkat muka. Sorotan dia berubah sepenuhnya. Kertas yang ditulis tadi direnyuk-renyuk lalu di simpan ke poket seluarnya.

Dara serba salah mahu membalas. Dia kembali memandang Haris. Mungkin lelaki ini datang untuk bertemu dengan Haris. Siapa tahu.

Jantung Dara terasa berhenti berdetak saat bersabung mata dengan Haris. Hilang semua kelembutan lelaki itu. Haris kembali menjadi dirinya saat kali pertama Dara bertemu dengannya. Itu yang membuatkan Dara terasa payah untuk menelan liur. Lama mereka bertatapan sehingga ekor mata dia menangkap bayang hitam yang sudah berada di sisinya.

"You pekerja baru sini?" tegur lelaki itu.

Dara melarikan pandangan. Serta merta dia bangkit. Terasa kerdil bila berdiri di sebelah lelaki tinggi lampai ini.

"Ya..." Hanya sepatah mampu dia luah.

"I tegur you tadi."

"Maaf, saya masih baru. Tak kenal sesiapa." Jawab Dara basa-basi. Memang dia tak berniat nak balas sapaannya.

Entah apa merasuk, sampaikan Dara beranikan untuk menoleh. Dara terkesima buat kali ke duanya. Lelaki ini memang ada pesona pada senyumannya. Dara hampir hanyut dalam pesona lelaki ini.

"Tak keluar lunch? Kalau belum, jom. Saya belanja."

Belum pun sempat Dara menjawab, ada yang berdehem kuat. Menarik perhatian Dara dan lelaki yang baru muncul. Siapa lagi kalau bukan Haris. Baru Dara sedar. Hanya dia bunga di antara mereka bertiga. Ini tidak manis! Dan juga tidak sihat.

"Terima kasih. Saya dah makan tadi." Bohong Dara.

Mengangguk lelaki tadi. Ketika itulah telefon bimbit lelaki itu berbunyi.

"Hai, Su...I ada dekat office you...Tapi you tak ada."

Barulah Dara tahu tujuan lelaki ini ke sini. Dia mencari Suraya rupanya. Dada dia yang terasa sempit sebentar tadi, baru ada ruang sebaik udara sudah memasuki rongga hidung. Barulah dia mampu bernafas dengan betul sebaik lelaki itu menapak ke pintu.

Belum sempat Dara merasa lega, suara lelaki itu memaksa dia menoleh semula.

"By the way! Nama saya Emir."

Dara menyambut perkenalan lelaki bernama Emir dengan senyuman tipis. Dia tidak berniat untuk memperkenalkan dirinya. Melihat Emir saja sudah berjaya memporak-perandakan jiwa perempuannya. Apa lagi berbual santai dengannya. Itu lebih bahaya.

"Maybe next time kita boleh lunch sama-sama."

Terlalu tinggi harapan Emir untuk makan bersama. Maaf! Dara tidak makan dengan lelaki sembarangan.

"Nama awak?"

"Dara."

Dara baru saja membelot. Baru tadi dia pasang niat untuk tidak memperkenalkan diri. Sebaliknya, dia dengan senang hati memberitahu namanya biarpun nama pendek. Lebih parah, Dara membalas senyuman lelaki itu.

"Jangan lupa janji kita!"

Sempat lagi Emir bersuara, kemudian dia kembali berbual dengan Suraya di corong telefon sebelum lelaki itu menghilangkan diri.

Barulah Dara bebas dari rasa gemuruh. Rasa terkejut Dara berganda-ganda ketika dia baru saja berpusing, ingin mengambil telefon sebelum ke ruangan solat untuk menunaikan solat zuhur. Haris yang memberi Dara kejutan dengan menepuk meja kuat, sebelum lelaki itu angkat punggung dan menonong keluar.

Apa kena dengan Haris? Dara tertanya- tanya sendiri. Sesaat kemudian, dia melopong. Bukan ke tadi dia meminta Haris untuk menulis apa pemintaan lelaki itu? Tetapi tumpuan Dara diculik oleh Emir sehingga terlupa apa permintaan Haris sebentar tadi.

Dara gigit bibir. Dia diserang serba salah.

Entah kali ke berapa Dara merenung ke depan. Haris tidak lagi muncul. Tiada tanda-tanda lelaki itu akan muncul kembali. Panjang keluhan Dara. Dia bukan sengaja mengabaikan Haris. Tapi, kalau difikir-fikirkan semula, kenapa dia perlu jaga hati Haris? Haris bukan sesiapa pun.

"Dara tak nak balik ke?"

Terpinga-pinga Dara bila Amy menegur. Dalam dia sibuk memikirkan Haris, dia lupa masa sedang berlalu. Sepatutnya waktu bekerja dia sehingga 5.00 petang. Tapi sekarang sudah pukul 5.30. Dan baru Dara sedar, tinggal dia dan Amy sahaja. Leher dipanjangkan ke meja Suraya. Beg wanita itu pun sudah tiada. Itu tandanya Suraya juga telah pulang.

"Balik naik apa? Nak tumpang Amy?" Pelawa Amy yang sedang mengemas mejanya.

"Terima kasih. Dara drive sendiri." Dara juga mengemas. Dia mencapai tas tangannya lalu bangkit menyaingi langkah Amy.

Setibanya di ruangan parkir, mereka berpisah kerana kereta Dara terletak di sebelah kiri, manakala Amy pula di kanan. Sempat mereka berbalas lambaian sebelum satu pemandangan membuatkan langkah deras Dara bertukar perlahan.

Tidak jauh dari sini, dia melihat Suraya berjalan seiring dengan Emir. Baru tadi Dara memuji Emir itu lelaki budiman. Lelaki yang menepati citarasanya. Lelaki yang berjaya membuka hatinya semula.

Kemesraan mereka berdua, membuatkan Dara nekad untuk hapuskan apa pun rasa yang baru bercambah. Dia tidak mahu terlibat lagi dengan apa pun yang melibatkan perasaan. Emir itu milik Suraya. Itu yang Dara tanam dalam jiwa dia. Jadi, Emir not available!

Baru tangan Dara menyentuh pemegang pintu, ada seseorang yang muncul disisinya. Tak jadi Dara ingin masuk ke dalam perut kereta. Mata dia jatuh pada tapak tangan yang dua kali besar dari tangannya. Cepat juga dia angkat muka. Dia kenal pemilik jam tangan yang melilit pergelangan tangan besar tersebut.

"Haris?"

Tanpa sedar, Dara mengukir senyuman. Dia senang lelaki itu muncul semula. Lebih menyenangkan hatinya, Haris turut membalas senyuman dia. Itu petanda, lelaki ini tidak terasa hati dengannya.

"Ermmm..." Haris hulurkan tangan kanan lagi. Matanya jatuh pada tangan Dara.

"Ni?" Dara nampak apa yang di pandang Haris. Kunci kereta miliknya diangkat tinggi.

Terangguk-angguk kepala Haris.

Dara menepuk dahi. Dari tengahari tadi, ini ke yang dimahukan oleh Haris?

"Benda ini ke yang awak nak sangat tadi?" Tanya Dara ingin kepastian.

Haris angguk kepala sekali.

Semakin teruk Dara diserang rasa serba salah gara-gara kurang memahami mesej yang disampaikan. Pasti Haris terpaksa mengikat perut hingga ke petang. Besar kemungkinan Haris ingin meminjam keretanya untuk ke kedai makan.

"Saya bawa awak makan, nak?" Dara ingin menebus kesalahannya setelah puas membuat andaian.

Tetapi, lain pula jadinya bila Haris merampas kunci di tangan, lalu dia meloloskan diri ke dalam kereta. Semuanya berlaku dengan pantas. Tahu-tahu saja, Haris menurunkan separuh cermin kereta. Jari telunjuk di hala ke arah Dara, kemudian ke kerusi bahagian penumpang.

Dara baru teringat, macam mana dia ingin belanja Haris makan kalau dalam beg dia hanya ada dua puluh ringgit? Tak perlu makan di hotel, cukup Haris mengajak dia ke KFC sekali pun, duit dia hanya cukup-cukup untuk makanan lelaki itu saja.

Bunyi hon kereta menghentikan pengiraan Dara. Nak tak nak, dia masuk juga ke perut dalam kereta. Sempat dia berdoa semoga dia dapat menunaikan hasrat untuk belanja Haris makan. Biarpun dia terpaksa mengikat perut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience