BERITA mengenai penangkapan Ikmal oleh pihak polis telah sampai ke pengetahuan Amira. Gadis itu terkejut apabila mengetahui bekas pengurusnya itu adalah orang yang bertanggung jawab dalam kejadian langgar lari. Dia tahu selama ini Ikmal tidak suka kepada Rizal malah telah mencuba untuk mencabul kehormatannya, namun dia tidak menyangka lelaki itu sanggup bertindak terlalu jauh sehingga melibatkan nyawa.
Melalui maklumat orang ramai yang berada ditempat kejadian, polis akhirnya berjaya mengesan Ikmal sebagai pelaku kepada kejadian langgar lari dan polis turut berjaya mengesan kedudukan lelaki tersebut berdasarkan nombor perdaftaran keretanya. Setelah mengetahui mengenai kejahatan Ikmal yang cuba membunuh Rizal, Amira turut menuju ke balai polis untuk membuat laporan ke atas lelaki tersebut di atas tuduhan melakukan gangguan seksual yang pernah berlaku sebelum ini. Setidaknya lelaki itu akan berhadapan dengan pelbagai kes tuduhan jenayah yang berbeza.
Awalnya, Amira berpendapat untuk mengabaikan kes gangguan seksual ke atasnya setelah dia berhenti kerja. Namun setelah mengetahui Ikmal masih ingin cuba membunuhnya dan Rizal, Amira tidak ingin terus berdiam diri. Dia ingin lelaki jahat itu merasakan balasan di atas perbuatan terkutuknya sendiri.
Amira kini menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes ke atas Ikmal. Namun hal yang terus menekan perasaannya adalah keadaan Rizal yang sudah kehilangan ingatan. Amira bingung. Dia serba salah untuk meneruskan hubungannya dengan Rizal, sebagaimana yang pernah mereka janjikan sebelum kemalangan berlaku. Bukanlah dia ingin mengabaikan Rizal, tetapi dia kurang senang jika melanjutkan hubungan mereka tanpa kesedaran lelaki tersebut. Amira berpendapat, jika dia ingin meneruskan perkahwinannya dengan Rizal, itu sama sahaja seperti dia memaksa lelaki itu. Sedangkan Rizal kini sudah kehilangan memori ingatannya. Bahkan lelaki itu tidak tahu mengenai dirinya sendiri dan asal usulnya. Amira juga buntu untuk menghubungi keluarga Rizal memandangkan dia tiada sebarang informasi mengenai latar belakang lelaki tersebut. Malah Rizal juga sudah tidak memiliki telefon untuk Amira mendapatkan sebarang maklumat atau seseorang untuk dihubungi melalui alat telekomunikasi tersebut.
Amira sedikit muram tatkala menatap Rizal yang masih terbaring di atas katil di wad hospital. Sudah beberapa hari Rizal menerima rawatan di hospital, namun keadaannya masih tidak berubah melainkan kecederaan fizikal yang dia alami, semakin pulih. Cuma kaki kanannya sahaja yang masih berbalut simen kerana patah setelah dilanggar dengan keras.
Rizal yang sedang terlantar termenung sambil meneliti kad pengenalan dirinya. Amira pula berdiam diri melihat perilaku lelaki tersebut. Sebentar tadi, dia menyerahkan kad pengenalan milik Rizal kepada lelaki tersebut agar lelaki itu meyakini mengenai identiti sebenarnya. Amira juga berharap Rizal akan kembali mendapat ingatannya setelah lelaki itu mengenali dirinya sendiri. Namun pengharapan Amira tetap hampa. Rizal langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.
"Saya Hasrizal.. awak Amira.. betul ke awak tunang saya?" Rizal bertanya dengan tenang. Sebelum ini, Amira sudah memberi penjelasan mengenai hubungan mereka. Namun Rizal yang langsung tidak mempunyai memori masih merasa ragu untuk meyakini.
"Ya.. kita dah bertunang.. awak dah janji nak kahwin dengan saya.. Ini, cincin pertunangan kita.. awak yang beri kat saya.." Amira mempamerkan cincin emas pada jari manisnya kepada Rizal sebagai bukti untuk meyakinkan lelaki itu.
"Macam mana dengan keluarga saya? kat mana mereka?" Rizal masih ingin tahu mengenai latar belakangnya.
"Saya tak tahu.. awak tak pernah bercerita pasal keluarga awak selama ni.. awak cuma cakap, awak dari KL.. keluarga awak tinggal kat sana.. awak datang berhijrah ke sini sebab nak cari kerja. Tapi saya dan awak.. kita dah berhenti kerja sama-sama minggu lepas.. saya pun tak tahu macam mana nak hubungi keluarga awak sekarang, nak bagitahu keadaan awak.. sebab saya langsung tak tahu.. dah la awak pun takde telefon.. kalau ada telefon, boleh jugak saya cari contact keluarga awak dalam telefon awak tu.." Amira tenang memberi penjelasan. Rizal hanya diam mendengar kata-kata gadis yang mengaku sebagai tunangannya itu.
"Ah, baru saya terfikir.. kan ada alamat kat IC awak ni.." Amira segera mengambil kad pengenalan milik Rizal dari tangan lelaki tersebut.
"Hmm.. alamat kat KL.. mesti keluarga awak tinggal kat sini.. baiklah, nanti saya akan cuba cari keluarga awak kat KL sana.." Amira mula mendapat jalan untuk menghubungi keluarga Rizal. Alamat yang tertera pada kad pengenalan diri lelaki itu adalah satu-satunya harapan Amira untuk menghubungi keluarga lelaki tersebut.
"Petang ni awak dah boleh discharge dari hospital.. tapi takkan la awak nak tinggal sorang-sorang kat rumah awak tu.. buat masa sekarang, awak tinggal je kat rumah saya dulu.. Ada Anas dan ibu saya yang boleh tolong jagakan awak. Nanti saya akan pergi KL untuk cari keluarga awak.. Awak duduk je kat rumah saya.. kaki awak pun patah, susah nak bergerak.. biar saya sorang je pergi KL nanti.." Amira memberi saran.
"Tapi.. awak kata, awak tak kenal keluarga saya.. menyusahkan awak je kalau kena pergi sorang-sorang.." ujar Rizal.
"Hmm.. Jangan la cakap menyusahkan.. saya tak rasa susah pun.. lagipun kita kan dah bertunang.. tak lama lagi kita akan kahwin.. buat masa sekarang, dah jadi tanggung jawab saya untuk bantu awak.. keluarga awak pun, nanti akan jadi keluarga saya jugak.." Amira mengukir senyum. Dia nekad akan berusaha untuk mencari dan menyatukan semula keluarga Rizal. Gadis itu sangat berharap agar pertemuan Rizal dan keluarganya nanti mampu memulihkan semula ingatan lelaki tersebut.
Akhirnya Rizal dikeluarkan dari wad hospital dan harus dijaga oleh Amira sekeluarga. Gadis itu telah membawa Rizal pulang ke rumahnya bagi memudahkan rawatan dan urusan seharian lelaki yang menjadi tunangannya itu. Setidaknya, di rumahnya masih ada Anas, adik lelakinya yang akan bantu menguruskan Rizal. Amira sebagai bukan mahram kepada lelaki itu pasti akan kesulitan untuk menguruskan Rizal sendirian. Keberadaan Anas, mungkin mampu menutup angin fitnah daripada tersebar setelah Amira membawa pulang Rizal ke rumahnya. Walaupun agak kekok, namun Amira sendiri sudah tiada pilihan. Dia tidak tegar untuk membiarkan Rizal yang sakit terlantar itu hidup sendirian, malah keadaan yang berlaku sekarang boleh dikatakan sudah memasuki tahap darurat.
Amira kemudian membawa diri menuju ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Gadis itu terpaksa berjuang sendirian mencari ahli keluarga Rizal demi memaklumkan keadaan lelaki itu kepada keluarganya. Satu-satunya sandaran yang dimiliki oleh Amira untuk mencari keluarga Rizal hanyalah sekeping kertas yang merupakan salinan kad pengenalan milik lelaki itu. Dia harus menuju ke alamat yang tertera.
Tiba di stesen bas, Amira mula mendapatkan kereta melalui perkhidmatan e-hailing menggunakan aplikasi untuk menghantarnya ke alamat rumah Rizal. Walaupun perjalanannya sedikit memakan masa, namun Amira tetap bertahan. Dia tidak peduli berhabisan wang ringgit dan segala kudratnya asalkan Rizal dapat menemui kembali keluarganya. Bagi Amira, menyampaikan khabar mengenai Rizal kepada keluarga lelaki itu adalah keutamaannya.
Setelah memasuki kawasan perumahan yang terdiri daripada susunan banglo mewah, Amira mulai ragu. Fikirnya, tidak mungkin Rizal dan keluarganya tinggal di kawasan tersebut. Sepengetahuannya, Rizal itu berasal dari keluarga yang miskin. Bahkan lelaki itu sendiri terpaksa bekerja sebagai seorang pekerja kebersihan untuk membantu menyara keluarganya sebelum ini. Kawasan perumahan tersebut pula hanya terdiri daripada banglo yang besar dan mewah. Namun disitulah alamat yang tertera pada kad pengenalan Rizal. Amira semakin bingung.
Tidak lama kemudian, kereta yang membawanya ke sana berhenti. Setelah membayar sejumlah wang, Amira turun dari kereta dan matanya mula melilau ke sekeliling arah. Dia masih kebingungan untuk mencari alamat rumah Rizal. Di sana, tiada satu pun rumah kecil dan sederhana. Setelah mundar mandir seketika, Amira akhirnya menemui sebuah banglo mewah yang mempunyai alamat sama pada kad pengenalan Rizal. Berkali-kali Amira menyemak salinan kad pengenalan Rizal pada tangannya untuk memastikan jika dirinya tidak tersalah alamat.
"Sah! Dah betul ini alamatnya.. tapi mustahil la Rizal tinggal kat rumah besar ni.." Amira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Ah, mungkin keluarga dia jadi orang gaji kat rumah orang kaya kot.. Rizal pun membesar kat rumah orang kaya dengan keluarga dia.. jadi dia guna la alamat rumah orang kaya kat IC dia." Amira mula mendapat jawapan yang logik pada pemikirannya.
Setelah meninjau dari jauh, Amira berjalan semakin menghampiri banglo tersebut. Gadis itu terpaksa memberanikan diri memasuki pekarangan rumah agam tersebut untuk menemui pemiliknya. Pintu rumah tertutup rapat dan suasana terlihat sunyi, namun terdapat dua buah kereta yang sedang parkir di hadapan rumah. Beberapa kali Amira memberikan salam namun tiada bersahut. Gadis itu kemudian menyedari, terdapat satu butang loceng pada dinding rumah. Loceng itu segera ditekan.
Tidak lama kemudian, seorang wanita yang separuh usia membuka pintu dari dalam. Wanita itu menjengah keluar dan melihat Amira berdiri diluar sambil tersenyum.
"Ya, Cik nak cari siapa?" tanya wanita tersebut.
"Maaf mengganggu.. saya sedang cari rumah kawan saya.. alamat rumah dia, tunjuk kat rumah ni.. Puan kenal ke dengan Rizal? Hasrizal.." Amira langsung bertanya. Dia yakin pencariannya tidak salah. Pemilik rumah tersebut pasti mengenali Rizal.
"Rizal? eh, tak kenal pulak saya.." jawab wanita di rumah tersebut. Amira terkejut.
"Ah, mungkin dia anak orang gaji kat rumah ni.." Amira cuba memberi penjelasan. Dia yakin Rizal pasti anak orang gaji di rumah tersebut.
"Eh, orang gaji kat rumah ni hanya bibik dari Indon.. Suhana.. dia mana kahwin lagi.. muda lagi.. takkan la dah ada anak.." Balas wanita di rumah.
"Tapi.. alamat dia memang tulis kat sini.." Amira menunjukkan lembaran kertas yang merupakan salinan kad pengenalan Rizal kepada wanita tersebut.
"Ya.. alamat ni, memang alamat rumah ni.. tapi saya tak kenal dia.. dia tak tinggal kat sini.." Ujar wanita yang terlihat sebagai pemilik rumah berkenaan. Amira tersentak. Dia semakin bingung. Padahal jelas alamat pada kad pengenalan Rizal menunjukkan rumah tersebut. Latar belakang Rizal kini menjadi semakin misteri buat Amira.
"Bik..Bibik... mari sini jap!" Wanita pemilik rumah melaung. Seketika kemudian, seorang perempuan muda berjalan terkocoh-kocoh mendatangi wanita tersebut.
"Iya bu.." Sahut perempuan yang bertugas sebagai pembantu rumah itu.
"Kau kenal lelaki nama Hasrizal?"
"Tidak bu.." Perempuan muda itu menggeleng. Wanita pemilik rumah melihat kembali ke arah Amira sambil mengangkat kedua belah keningnya.
"Tapi..." Amira yang kebingungan masih menunjukkan salinan kad pengenalan Rizal.
"Saya pun tak tahu dan tak kenal lelaki nama Hasrizal ni.. saya pun tak tahu kenapa alamat kat IC dia tu menggunakan alamat rumah saya." Wanita itu berkeras dengan jawapannya. Amira pula terbungkam sambil menjatuhkan pandangan wajahnya ke lantai. Wanita itu benar-benar buntu.
"Emm.. atau mungkin dia menetap kat rumah ni sebelum saya kot.. Sebab saya beli rumah ni sepuluh tahun lepas.. owner asal dah jual rumah ni dan pindah ke tempat lain." Wanita itu cuba menduga. Hanya itu sahaja alasan logik yang terfikir pada mindanya. Sebelum ini, dia tahu, pemilik asal rumah tersebut telah tinggal lama di rumah berkenaan dan setelah berpindah, mereka menjualkan rumah tersebut.
"Ah, boleh saya tahu siapa pemilik rumah ni dulu? ke mana mereka dah pindah?" Amira cuba menanam harapan.
"Itu saya tak tahu la.. saya beli rumah ni pun melalui ejen.. rasanya pemilik rumah ni dulu orang ternama jugak.. tapi saya lupa dah siapa.." Jawapan daripada pemilik rumah ini membuatkan Amira kembali kecewa.
Mahu atau tidak, Amira terpaksa meminta diri. Gadis itu benar-benar bingung dan buntu. Satu-satunya harapan untuk mencari tahu keberadaan keluarga Rizal juga telah musnah. Mungkin benar kata pemilik rumah itu. Rizal dan keluarganya mungkin sudah berpindah ke rumah baru majikan mereka. Begitulah fikir Amira. Setelah berusaha mencari tahu, Amira tetap gagal. Gadis itu terpaksa memutuskan untuk kembali ke rumahnya dan menjaga Rizal yang sedang sakit. Dia sudah tidak tahu bagaimana untuk mencari maklumat mengenai keluarga lelaki tersebut.
Di terminal bas, Amira baru selesai membeli tiket untuk kembali ke rumah. Gadis itu dengan penuh kehampaan, mengatur langkah kakinya dengan lemah. Dia melihat kertas salinan kad pengenalan Rizal dan terus berfikir mengenai lelaki tersebut. Amira kemudian melepaskan keluhan berat, seraya melipat kertas ditangannya itu.
Tiba-tiba muncul seorang gadis yang membimbit beg pakaian dan berjalan terburu-buru. Tanpa sengaja, gadis itu terlanggar Amira. Amira hampir rebah namun sempat menstabilkan dirinya agar terus berdiri. Namun kertas di tangannya terlepas dan jatuh ke lantai.
"Maaf.. saya terburu-buru.. saya tak perasan awak tadi.. maafkan saya.." Gadis itu meminta maaf kepada Amira. Kertas yang berlipat dan jatuh tadi dikutip gadis tersebut dan diberikan kembali kepada Amira.
"Takpe.. saya takde apa-apa." Amira mengambil kembali salinan kad pengenalan Rizal yang berlipat itu dari tangan gadis tersebut. Mereka kemudian kembali meneruskan arah langkah masing-masing. Gadis yang terburu-buru itu mengeluarkan telefon bimbitnya dan segera membuat panggilan.
"Papa.. Ira dah sampai kat stesen bas.. Pakcik Razak dah datang tak nak jemput Ira? Shahira berbicara kepada Tan Sri Hanafi.
Share this novel
Alahai, Amira jumpa adik Riz rupanya...Ira pulak x bca alamat tu, klu x dh selesai dh..
Amira bertembung ngan adk rizal ke tu