Bab 4

Romance Series 12632

DI MEJA kaunter penyambut tetamu yang sunyi itu, Damia sedang termenung sambil mengetuk-ngetuk perlahan pen yang dipegangnya ke permukaan meja, terlalu khusyuk melayan fikiran sehinggakan dia tidak sedar ada seseorang sedang berdiri di depan dan sedang memerhatinya.

"Ehem!"

Damia tersentak seraya mengangkat wajah memandang ke depan. "Hm, awak. Ada apa awak ke sini? Ada apa-apa lagi yang awak nak minta tolong ke?" soalnya dengan lagak acuh tak acuh.

Sejujurnya, dalam beberapa hari ini, hatinya sakit setiap kali dia melihat seraut wajah dingin dan serius di depannya itu. Sedikit sebanyak, dia menyalahkan lelaki itu atas apa yang menimpa ibunya. Kalau bukan kerana peristiwa dia dihantar pulang pada malam itu, tidaklah dia bertekak dengan ibunya dan tidaklah ibunya mendapat serangan jantung.

"Awak okey tak ni? Dari tadi saya berdiri kat sini pun awak tak perasan," balas Nazril tanpa menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya tadi.

"Saya okey. Hm, ada apa awak datang sini? Tak kerja ke? Saya dengar-dengar, akan ada rombakan dan pembuangan pekerja nanti. Kalau awak tak nak termasuk dalam list tu, awak kena kerja betul-betul, bukan curi tulang." Nada suara Damia kedengaran seperti memerli.

"Saya tak curi tulang pun," balas Nazril sambil mengerling jam di pergelangan tangannya. "Masa kerja saya start 10 minit dari sekarang. Kebetulan saya tengok awak termenung tadi, jadi saya singgahlah sekejap. Hmm, macam mana dah keadaan mommy awak?"

"Masih macam tu lagi," jawab Damia sambil menumpukan perhatiannya pada skrin komputer dengan lagak seperti tidak berminat hendak berbual dengan lelaki itu.

Buat seketika, Nazril merenung wanita berwajah tenang, tetapi jelas menunjukkan ketidakselesaan itu. Bukannya dia tidak tahu wanita itu cuma berpura-pura sibuk. Buktinya, skrin komputer yang menjadi tumpuan wanita itu pada ketika ini sedang memaparkan gambar penghias desktop sahaja dan bukannya mana-mana fail kerja.

"Hm, boleh saya tanya sesuatu?"

Laju bola mata Damia melirik tajam lelaki itu. "Tanya jelah."

"Dah lama ke awak tinggal berdua dengan mak awak? Jauh dari bandar dan takda jiran pula tu."

"Sorry, awak... saya takkan share hal peribadi saya dengan orang yang saya baru kenal," kata Damia dengan nada tegas.

"Tak kenal?" gumam Nazril dengan suara yang sangat perlahan sambil tersenyum sinis.

"Apa awak cakap tadi?"

"Takda... saya tak cakap apa-apapun. Hmm, saya pergi masuk kerja dulu," dalih Nazril sambil meletakkan beg kertas yang dipegangnya sejak tadi ke atas meja. "Ni untuk awak." Tanpa berkata apa-apa lagi, dia terus beredar dari situ.

Berkerut-kerut dahi Damia memandang beg kertas di atas meja dan lelaki yang kian menjauh itu bersilih ganti dan setelah lelaki itu menghilang di sebalik dinding, dia terus mencapai beg kertas itu dan melihat isinya.

"Macam mana dia tahu aku suka makan ni?" Dua bekas segi empat lut sinar berisi lemon cheesecake dan apple crumble itu dipandang dengan perasaan hairan.

"Damia."

Cepat-cepat Damia memasukkan bekas yang dipegangnya itu ke dalam beg kertas, lalu diletakkan di bawah meja selepas dia terdengar suara garau yang cukup dikenali memanggil namanya. Lantas, dia berdiri dan melemparkan senyuman kepada lelaki itu.

"Selamat petang, Encik Azhan."

"Selamat petang," balas Encik Azhan sambil memandang kerusi kosong di sebelah Damia. "Alin belum masuk lagi ke?"

"Sekejap lagi dia datang. Dia syif malam, kami berganti je. Encik ada hal nak jumpa dia ke? Saya boleh je call dia suruh datang cepat sikit."

"Eh! takpa, takpa. Saya cuma nak bagitahu yang malam ni Tuan CEO kita buat acara makan malam untuk staf."

"Tuan CEO nak datang malam ni ke?" soal Damia dengan riak muka yang kelihatan sedikit terkejut.

"Tak, dia cuma bagitahu saya yang dia nak belanja semua pegawai dan staf makan malam buffet set kat restoran hotel ni. Mana yang sedang bekerja tu, take away ajelah."

"Hmm, saya tak pasti kalau saya dapat da..."

"Awak wajib datang, Damia. Tuan CEO pesan kat saya untuk pastikan yang awak mesti datang. Sekejap pun takpa... yang penting awak mesti datang," pintas Encik Azhan dengan suara tegas.

"Bukannya Tuan CEO tahu saya datang ke tak pun, lagipun... dia sendiri tak datang juga, kan?"

Laju Encik Azhan mendekatkan sedikit kedudukan wajah mereka selepas dia memastikan tiada orang lain di situ selain mereka berdua. "Sebenarnya... Tuan CEO sentiasa memerhati kita semua. Dia pantau melalui CCTV."

Spontan Damia melirik ke arah kamera litar tertutup yang berada di atas mereka sambil mengemam bibir. Alamak! Jadi, selama ni Tuan CEO tu sentiasa memerhati ke?

"Ingat tau, Damia. Awak kena datang malam ni," pesan Encik Azhan sebelum dia mengorak langkah meninggalkan kaunter penyambut tetamu itu.

- - - -

DERETAN meja panjang di restoran hotel itu tersusun dengan pelbagai jenis makanan mewah. Suasana di dalam ruangan mewah yang luas dan elegan itu agak riuh dengan suara pekerja-pekerja hotel itu sendiri dan juga suara pelanggan-pelanggan yang menginap di hotel itu.

Namun, keriuhan dan kemeriahan itu sedikit pun tidak menarik minat Damia untuk bergaul dengan yang lain selepas Alin kembali ke bahagian tempatnya bertugas setelah dia selesai membungkuskan makanannya. Damia memilih untuk menyendiri di satu sudut sambil menikmati segelas jus oren. Dalam fikirannya pada ketika ini, dia hanya mahu cepat pulang dan berehat dengan tenang.

"Damia, kenapa kau tak makan?" soal Melina yang tiba-tiba muncul sambil memandang gelas Damia yang berada di atas meja.

"Saya tak lapar," jawab Damia ringkas.

"Dah Tuan CEO belanja makan mewah macam ni, rugilah kau tak makan. CEO sebelum ni tak pernah belanja pekerja macam ni tau. Kau makanlah... sikit pun takpa. Aku tahu kau risau pasal mak kau, tapi kau kena makan untuk refill tenaga," balas Melina seraya duduk di sebelah Damia. Nada suaranya kedengaran tenang dan prihatin, namun itu membuatkan Damia berasa hairan.

"Tapi, saya..."

"Kalau kau tak nak makan yang berat-berat, makanlah yang ringan-ringan. Banyak menu diet kat situ. Ada salad sayur dan salah buah-buahan kat situ. Pergilah ambil sikit. Sambil makan, boleh kita bersembang sekejap. Ada hal yang aku nak cakap kat kau ni," pintas Melina dengan nada lembut, tetapi kedengaran mendesak.

Damia melepaskan keluhan. Sejujurnya, dia berasa rimas dengan paksaan wanita bermekap tebal itu, tetapi oleh kerana dia malas terus didesak, terpaksa juga dia akur.

"Hmm, okeylah, saya pergi ambil salad buah sekejap," ujar Damia seraya berdiri dan terus menuju ke meja makanan.

Melina memerhati Damia berlalu pergi sambil tersenyum licik, lalu dia memanfaatkan masa tersebut untuk mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya dan memasukkannya ke dalam gelas minuman berisi jus oren di atas meja di depannya.

Selang beberapa minit kemudian, Damia kembali ke mejanya tadi membawa pinggan kaca berisi salad buah. "Hal apa yang Cik Melina nak cakap kat saya tu?" soal Damia sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya berdepan dengan wanita yang dia rasakan bersikap sedikit pelik pada malam ini.

"Aku sebenarnya nak ucap tahniah kat kau. Yalah, walaupun kau masih baru, tapi prestasi kerja kau bagus. Macam tulah yang kita nak. Cheers!" ujar Melina sambil mengangkat gelasnya di depan Damia.

Faham akan maksud tindakan wanita itu, Damia turut mengangkat gelasnya, lalu dua biji gelas kaca berisi jus itu saling berlaga buat sesaat.

"Cheers!"

Melina memerhati Damia meneguk minumannya sambil menahan senyum. Lantas, dia pun membuka topik tentang berita-berita viral terkini sekadar untuk mengambil masa.

Tidak lama selepas itu, Damia tiba-tiba mencengkam kepalanya yang mulai berpinar. Dia cuba berdiri, tetapi dia terduduk semula kerana kakinya terasa seperti tidak mampu menampung berat badannya. Dia berasa seperti berada di awang-awangan.

“Eh! kau okey tak ni?” soal Melina dengan nada cemas yang dibuat-buat, pura-pura prihatin.

"Saya... tiba-tiba rasa pening," jawab Damia dengan suara perlahan yang hampir tidak kedengaran.

"Tunggu sekejap, aku pergi panggil bantuan." Melina segera berjalan pergi dari situ dan kembali selepas seminit bersama dengan seseorang.

“Apa dah jadi ni? Damia, awak kenapa?” soal Nazril dengan sedikit kerutan di dahinya.

“Dia tiba-tiba pening. Aku rasa dia perlukan rehat. Kebetulan aku dah sediakan bilik hotel untuk staf yang tak larat nak balik malam ni. Kau tolong hantar dia ke bilik, boleh?” pinta Melina sambil menyerahkan kunci bilik kepada Nazril, namun nada suaranya lebih kepada arahan.

"Okey!" Nazril mengambil kad kunci di tangan Melina dan lantas membawa Damia pergi tanpa sebarang bantahan kerana berasa risau melihat keadaan wanita itu.

- - - -

BUNYI ketukan pintu tanpa henti membuatkan Nazril terjaga. Sempat lagi dia melihat di sekelilingnya sebelum dia bangkit dari sofa panjang di ruangan itu menuju ke pintu.

"Assalamualaikum, kami dari Jabatan Pencegahan Maksi..." Kata-kata lelaki berkopiah itu langsung terhenti selepas dia melihat wajah lelaki yang sedang berdiri di depannya itu. "Eh, tuan rupanya!"

"Ada apa ya?" soal Nazril dengan muka yang kelihatan sedikit sembab baru bangun itu.

"Ermm, macam ni... kami dapat laporan yang bilik ni ada pasangan yang..."

"Masuklah," pintas Nazril dengan lagak tenang, lalu dia membuka pintu seluas-luasnya untuk memberikan laluan kepada tiga orang lelaki berkopiah yang datang bersama dengan seorang anggota polis itu untuk menjalankan prosedur kerja.

Dua minit kemudian, empat orang lelaki itu kembali semula ke pintu di mana Nazril sedang berdiri.

"Saya minta maaf, tuan. Mungkin orang yang buat aduan tu salah faham. Kami pergi dulu, ya?"

Nazril hanya membalas dengan anggukan kecil dengan muka serius, lalu dia terus menutup pintu setelah semua lelaki tadi keluar. Sempat lagi dia mengerling jam di dinding yang menunjukkan pukul 1.20 pagi sebelum dia mengatur langkah menuju ke katil.

Agak lama dia merenung seraut wajah yang sedang tertidur pulas itu sebelum dia melabuhkan punggungnya di samping sekujur tubuh langsing itu. Berkerut-kerut dahinya memikirkan tentang kejadian pada malam ini.

Ya, dia ingat. Semalam sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik itu, ada bau aroma yang membuatkan dia berasa sangat mengantuk. Disebabkan itulah dia mengambil keputusan untuk tidur di atas sofa di dalam bilik hotel sederhana besar itu.

"Mia..." tuturnya dengan suara berbisik sambil mengelus wajah wanita yang sedang lena itu dengan tatapan penuh makna tersirat yang hanya dia sahaja yang tahu maksudnya. "Empat tahun, Mia... empat tahun," gumamnya sambil mengetap gigi. Kedengaran seperti ada kekesalan dan kemarahan dalam nada suaranya. Tiba-tiba, wajah Melina menjelma di fikirannya. "Bagus! kau dah permudah urusan aku!"

- - - -

PAGI itu, Damia terjaga daripada tidur dengan kepala yang rasa berdenyut. Perlahan-lahan dia bangkit daripada perbaringannya dengan muka bingung melihat dia berada di satu ruangan yang agak asing baginya itu.

"Aku kat mana? Ni bukan bilik aku ni," desisnya, lalu dia menoleh ke kanan. "Astaghfirullah al-azim!" Matanya langsung membulat selepas dia melihat sekujur tubuh kekar tidak berbaju yang sedang tidur di sampingnya.

Spontan dia menyentuh dan memandang tubuhnya. Pakaian yang dipakainya semalam masih lengkap bersarung di tubuhnya, namun melihat lelaki tidak berbaju di sebelahnya yang berselimut separuh badan itu membuatkan dia diserang dengan perasaan yang bercampur baur. Panik, takut dan marah. Cepat-cepat dia turun dari katil.

Imaginasi perlakuan jijik mulai memenuhi ruang fikirannya. "Apa dah jadi semalam? Tak... tak... perkara tu tak berlaku!" Bibirnya dikemam sambil menutup matanya buat beberapa saat cuba memujuk dirinya untuk menafikan, namun penafiannya tewas dengan bayangan imaginasi aksi jijik yang terus-menerus menyesak dalam fikirannya.

"Nazril, bangun! Apa kau buat kat aku semalam, hah! Bangun, Nazril!" jerit Damia sekuat hati sambil memukul-mukul tubuh lelaki itu menggunakan bantal.

Nazril yang terjaga dalam keadaan terkejut dan bingung itu kembali beriak tenang selepas beberapa saat. Lantas, dia berdiri dan berdepan dengan wanita yang sedang menayang muka bengis itu sambil membutangkan seluar jeansnya yang sedikit terlondeh.

Melihat lelaki itu membutangkan butang seluar jeansnya membuatkan Damia semakin gusar dan bertambah yakin memikirkan kebarangkalian apa yang bermain dalam fikirannya pada ketika ini adalah 99.9 peratus nyata dan telah berlaku.

"Kenapa awak marah-marah ni?" soal Nazril dengan lagak tenang dan bersahaja.

"Kau boleh lagi tanya kenapa aku marah? Apa kau dah buat kat aku semalam, hah! Cakap, Nazril, cakap!" bentak Damia dengan muka menyinga.

Dengan muka tidak bersalah, Nazril melangkah selangkah merapati wanita yang sedang mengamuk itu. "Don't worry, I will take responsibility."

Bukan main luas lagi mata Damia terbeliak selepas dia mendengar kata-kata yang sepertinya mengesahkan apa yang sedang difikirkannya. Seluruh tubuhnya mulai menggigil disebabkan rasa kesal dan marah yang menguasai diri.

"Jadi, maknanya... betullah semalam kau..." Giginya diketap kuat sebelum dia melepaskan satu tumbukan pada wajah lelaki itu. "Kau memang bangsat, Nazril!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience