PUKUL enam tiga puluh pagi.
Cahaya mentari mula merangkak masuk melalui celah tirai, membelah kedinginan kamar yang masih sarat dengan sisa dingin penghawa dingin.
Yasmeen sudah sibuk sejak tadi. Tangannya lincah mengemas pakaian yang tidak seberapa, dimasukkan ke dalam beg kecil yang terdampar di hujung meja. Sesekali dia berhenti, menghela nafas, seperti cuba menenangkan hatinya sendiri sebelum kembali menyambung kerja.
“Kau nak pergi mana?”
Suara bariton itu kedengaran berat, serak dengan sisa tidur, tapi tetap tajam menikam. Yasmeen menoleh sekilas. Tengku Rayyan berdiri di hujung katil, baru bangun, rambutnya kusut tapi wajahnya masih membawa bayangan lelaki yang sukar ditafsirkan.
“Kerja.” Jawapan Yasmeen ringkas, dingin. Matanya kembali jatuh pada beg.
Dahi Rayyan berkerut. “Aku tak izinkan kau kerja. Jangan melawan.”
Tangan Yasmeen terhenti di atas zip beg. Dia berpaling sekali lagi, kali ini dengan wajah penuh tanda tanya dan protes yang jelas.
“Kenapa?”
Rayyan mendecih, sinis. Dia bangkit, melangkah mendekat dengan tubuh tegapnya, sehingga bayangannya jatuh mengelilingi Yasmeen yang berdiri di situ. Tingginya menekan, pandangannya menghukum. Dia tundukkan sedikit wajahnya, jarak mereka kini terlalu dekat.
“Kau bukan janda lagi. Kau dah jadi isteri aku. Submit, as a wife should.”
“Submit???” Yasmeen terkebil. Kata-kata itu bergaung dalam telinganya, antara perintah dan penghinaan. Bibirnya terangkat sedikit, sinis tapi terkawal.
“Itu sebab kau nak kurung aku dalam bilik ni?” suaranya rendah, namun tegas. “Aku tetap kena kerja, Tengku Rayyan. Mr. Tony dah minta aku masuk macam biasa.”
Dia tidak tunduk. Tidak goyah. Dan di situ, buat sejenak, Tengku Rayyan sendiri terasa dadanya sesak bukan kerana marah, tapi kerana perempuan itu terlalu berani untuk seorang yang kononnya sekadar pengganti.
“I’m a wife, not a dog. Kau boleh bagi arahan macam tu je dan berharap aku patuh.”
Mendengar itu, rahang Tengku Rayyan mengatup kuat.
Tanpa menjawab sepatah pun, Tengku Rayyan melangkah pantas ke arah meja sisi, mencapai telefon bimbitnya. Jemarinya menekan nama pada skrin dengan wajah yang kaku, dingin, tanpa riak.
Yasmeen hanya mampu memerhati, matanya tajam, penuh waspada. Namun dalam sekelip mata, nafasnya terhenti. Bibirnya terbuka sedikit, tidak percaya dengan apa yang baru keluar dari mulut lelaki itu.
“Jangan benarkan Yasmeen kerja lagi. Mulai hari ini, dia isteri aku.”
Nada suaranya begitu tegas, keras, seakan tidak memberi ruang walau sehelai pun untuk bantahan.
Yasmeen kaku. Matanya membesar, tangannya mengepal tanpa sedar. Dia tahu betul siapa yang sedang berada di hujung talian. Mr. Tony. Atasannya sendiri.
Dan sebelum sempat dia mengatur nafas, kata-kata dingin lain menyusul, menikam lebih dalam.
“Sampai bila-bila pun, aku takkan terima seseorang yang pernah tinggalkan aku.”
Klik. Panggilan terputus. Sesederhana itu.
Yasmeen menatap lelaki di hadapannya dengan pandangan terkejut, hampir tidak percaya. Tanpa ragu, tanpa rasa bersalah, dia telah mencampuri hidupnya, seolah-olah dia berhak menentukan segalanya.
Dengan gerakan santai, Tengku Rayyan meletakkan kembali telefon ke atas meja sisi. “Dah aku cakap,” ucapnya perlahan, tanpa sekalipun menoleh ke arah Yasmeen.
“Tapi—” Yasmeen cuba bersuara. Ada protes, ada bimbang, tapi tertahan di kerongkongnya. Dia tahu, keluarga Rachel yang menaungi tempat dia bekerja punya kuasa besar. Menolak mereka bukan sesuatu yang boleh dilakukan sesuka hati.
Rayyan menoleh akhirnya, matanya masih setajam bilah. “Kenapa?”
Yasmeen terdiam. Lidahnya kelu, fikirannya kosong. Dia hanya mampu menggeleng perlahan.
“Nanti ikut aku balik apartmen,” arah Rayyan, nadanya penuh perintah, tanpa sebarang penjelasan lanjut. Kemudian dia berpaling, melangkah masuk ke kamar mandi, seolah-olah perbualan mereka sudah tamat.
“Nooo!!! Rayyan!”
YASMEEN tergamam, mulutnya sedikit terbuka. Dia tidak sangka betapa sepihaknya Tengku Rayyan membuat keputusan, seolah-olah dirinya langsung tidak punya suara. Sebelum sempat dia memberi balasan, lelaki itu sudah menghilang ke kamar mandi, meninggalkan Yasmeen terpaku dengan kepala sarat tanda tanya.
Beberapa minit kemudian, pintu kamar mandi terbuka. Tengku Rayyan keluar dengan pakaian lebih rapi, rambutnya masih sedikit basah. Pandangannya terus jatuh pada Yasmeen yang masih berdiri di tempat yang sama sejak tadi. Riak kesal terlukis jelas di wajahnya.
“Aku tak nak ikut kau balik apartmen,” Yasmeen bersuara cepat, mendahului sebelum lelaki itu sempat berkata apa-apa.
Kening Rayyan berkerut. Bibirnya terangkat sinis. “Masih seronok jadi pembantu di rumah tu?” soalnya, nadanya penuh ejek.
Yasmeen memandangnya dengan wajah bingung. “Apa maksud kau?”
Rayyan menarik nafas panjang, kemudian menikamnya dengan renungan tajam. “Aku dah tahu semuanya. Dari dia.”
Yasmeen mengecilkan matanya, nada suaranya merendah tapi penuh racun. “Dia? Maksud kau… Rachel?”
Lelaki itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia sibuk mengenakan jam tangannya, membiarkan ketegangan antara mereka menggantung lebih lama, seolah menikmati peritnya sunyi itu.
“Cepat. Kita kena pergi ke apartmen,” perintahnya akhirnya, dingin, tanpa mahu menjawab pertanyaan Yasmeen.
Wanita itu mendengus, geram. “Kau tak jawab soalan aku.”
Rayyan berpaling semula, matanya hitam, tajam. “Kau ikut arahan aku. Itu kewajipan seorang isteri.”
Yasmeen ketawa kecil, hambar. Bibirnya mengucapkan kata yang cukup menikam. “You disgust me, Rayyan.”
Sinis, lelaki itu mendekat, wajahnya hampir bersentuhan dengan wajah Yasmeen. “Disgust?” suaranya rendah, berbahaya. “Bagus. Sebab kalau lepas ni kau masih berdegil… aku akan cium kau sampai kau tak boleh bersuara lagi.”
…
“Oh, Rayyan. You wouldn’t dare…”
Yasmeen masih mencabar, suaranya rendah tapi cukup tajam untuk mencucuk ego lelaki itu. Senyum nipis terbentuk di bibirnya, senyum yang lebih kepada provokasi daripada kelembutan.
Langkah Tengku Rayyan terhenti seketika, namun hanya untuk beberapa saat. Nafasnya bergetar, matanya berkilat dengan sesuatu yang lebih berbahaya daripada marah. Tanpa kata, dia mara semula, tubuhnya mendesak hingga Yasmeen terundur ke dinding.
Tangan Tengku Rayyan terangkat, menahan kedua sisi wajah Yasmeen, memerangkapnya di antara dinding dan tubuhnya. Hangat nafasnya membakar, terlalu dekat, membuat ruang bernafas Yasmeen mengecil dengan setiap inci jarak yang dipadamkan.
“Kau fikir aku tak berani?” suaranya rendah, bariton itu menggema di telinga Yasmeen seperti amaran maut. “Jangan cabar aku, Yasmeen. Aku lelaki yang tak pernah kalah.”
Yasmeen menelan liur, namun matanya tetap berani menikam balik. “Kalau betul kau lelaki, kau takkan perlu buktikan dengan cara ni…”
Tengku Rayyan mendekat, bibirnya hampir menyentuh bibirnya, hanya sejengkal. Tangannya mengepal di dinding, menahan diri dari meraih lebih jauh. Tubuhnya tegang, matanya terikat pada wajah Yasmeen yang tidak goyah.
Dan di saat ruang itu menjadi terlalu panas, Yasmeen berbisik, cukup untuk menggoncang pertahanannya.
“Prove it, then…”
Share this novel