Bab 1

Mature Content Series 6285

Matahari petang kian condong ke barat, menyalut desa kecil itu dengan cahaya keemasan. Burung-burung mula terbang pulang ke sarang, dan angin sepoi-sepoi bahasa membelai wajah Ariana Sofea yang sedang duduk di tangga kayu rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya.

Rambutnya yang panjang ditiup angin, sesekali menutupi wajah mudanya. Matanya kosong, merenung jauh ke sawah yang terbentang.

Dia baru berusia sembilan belas tahun. Hidupnya selama ini sederhana, penuh gelak ketawa dengan kawan-kawan sebaya, penuh kenakalan yang kadang-kadang membuat ibunya pening kepala.

Namun hari ini, ketawa itu mati.

Hatinya resah, jiwanya memberontak.

“Ana…” suara lembut Puan Salmah, ibunya, memecah lamunan.

Wanita yang berumur hampir lima puluh tahun itu duduk di sisi Ariana, membawa secawan teh panas.

“Jangan termenung macam tu. Ibu tahu, berat hati kamu menerima keputusan ni. Tapi percayalah, semuanya untuk kebaikan kamu.”

Ariana berpaling, memandang wajah ibunya dengan mata yang berkaca.

“Ibu… Ana baru sembilan belas tahun. Ana tak pernah pun terfikir nak kahwin sekarang. Ana nak belajar lagi, nak kerja, nak capai cita-cita. Tapi kenapa ibu sanggup jodohkan Ana dengan lelaki tu?”

Puan Salmah menarik nafas panjang.

“Ana… bukan ibu yang tentukan. Datuk Razak yang mahu. Dia sahabat baik tok ayah kamu. Permintaannya berat untuk ibu tolak. Lagi pula, lelaki itu… dia bukan calang-calang orang. Rafael Adrian itu seorang yang berjaya, punya nama besar dalam dunia perniagaan. Ibu percaya dia boleh jaga kamu.”

“Jaga?” Ariana ketawa hambar.

“Macam mana dia nak jaga Ana, ibu? Dia pun lumpuh, kan? Ana dengar dia cuma duduk atas kerusi roda. Ana… Ana tak sanggup.” Suaranya bergetar, hampir pecah oleh tangisan.

Puan Salmah terdiam. Hatinya turut luluh, tapi dia juga terikat janji.

“Ana… ibu tahu kamu masih muda. Tapi jangan pandang rendah pada ketentuan Allah. Kadang-kadang, apa yang kita rasa beban, itulah sebenarnya rahmat yang tersembunyi.”

Ariana menggigit bibir.

Air matanya jatuh juga akhirnya.

Dia tidak pernah membayangkan dirinya akan dipaksa ke dalam perkahwinan dengan seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Apatah lagi lelaki itu sudah berusia tiga puluh tahun, jauh beza dengannya.

---

Di sebalik rumah agam mewah di tengah bandar pula, Rafael Adrian sedang duduk di ruang pejabatnya.

Kerusi roda yang menjadi teman setianya tidak pernah jauh.

Tangan sasa yang pernah memegang stereng kereta kini hanya sibuk menandatangani dokumen.

Wajah tampannya tetap memukau, tetapi mata itu redup, menyimpan luka yang dalam.

“Rafael…” suara garau Tan Sri Arman, Papanya, bergema.

Lelaki separuh abad itu masuk bersama seorang wanita anggun yang berwajah manis tetapi bermata tajam.

Rafael tidak perlu menoleh lama untuk tahu siapa wanita itu. Puan Helena.

Ibu tirinya.

Wanita yang paling dia benci....

Dia menegakkan tubuhnya, menahan gelombang emosi yang tiba-tiba menyerang.

"Papa nak apa kali ini?” suara Rafael datar, dingin.

Tan Sri Arman menarik kerusi lalu duduk.

“Rafael, Papa ada perkara penting. Papa nak kamu terima perkahwinan yang diatur datuk kamu. Gadis kampung… Ariana Sofea. Dia baik, polos, dan Papa percaya dia mampu ubah kamu.”

Rafael ketawa sinis.

“Ubah aku? Papa fikir dengan perkahwinan ni aku akan lupa semua luka aku? Lupa pengkhianatan yang pernah aku tanggung? Papa silap.”

Puan Helena menyampuk, suaranya lembut tapi berbisa.

“Rafael… jangan keras kepala. Kalau bukan kerana Papa kamu, siapa lagi yang nak tanggung kamu sekarang? Kamu patut bersyukur masih ada orang sudi pada kamu. Seorang gadis kampung pulak tu.”

Mata Rafael menyala marah.

“Diam, Helena. Jangan fikir aku tak tahu niat kau kahwin dengan ayah. Kau nak harta, kuasa. Tapi jangan berani masuk campur dalam hidup aku.”

Puan Helena tersenyum nipis, tidak tersinggung malah semakin puas kerana berjaya menyakitkan hati Rafael.

“Kamu boleh marah sesuka hati. Tapi percayalah, tanpa sokongan Papa kamu, kamu takkan mampu berdiri walaupun dengan kerusi roda itu.”

Rafael menggenggam pen di tangannya hingga hampir patah. Dia menahan amarah yang membara.

Bukan sekali dua dia bertengkar dengan wanita itu.

Namun kali ini, ayahnya sendiri bersungguh-sungguh mahu dia menerima perkahwinan dengan seorang gadis muda yang langsung tidak dikenali.

---

Malam itu, Ariana tidak dapat tidur.

Dia termenung di bilik, merenung siling kayu.

... Hatinya kacau....

Dia tahu, esok Datuk Razak akan datang membawa rombongan merisik. Dan selepas itu, hidupnya tidak lagi sama.

“Ibu… Ana takut,” bisiknya perlahan sambil menekup wajah dengan bantal.

Di suatu tempat lain, Rafael juga tidak lena.

Dia menatap gambar lama di atas meja – gambar dirinya bersama seorang wanita cantik yang pernah dia cintai.

Wanita itu juga yang meninggalkan luka parah di hatinya.

Wanita itu jugalah punca kemalangannya.

“Cinta? Aku tak perlukan lagi semua tu…” gumamnya perlahan, sambil menolak bingkai gambar itu jatuh ke lantai.

...Kaca pecah berderai...

---

“Ana…” suara Puan Salmah kembali lembut, memujuk.

“Ibu tahu, kamu rasa hidup ni macam tidak adil. Baru saja nak belajar mengenal dunia, sudah dipaksa jadi isteri orang. Tapi Ana, percaya cakap ibu… kadang-kadang, pintu bahagia itu datang dalam bentuk yang kita tak suka pada awalnya. Cuma, hati kita belum nampak.”

Ariana mengesat air mata kasar-kasar.

“Bahagia? Ibu yakin ke lelaki tu akan bahagiakan Ana? Dia… dia lumpuh, ibu. Ana dengar dari orang kampung, kaki dia tak boleh jalan. Dia takkan mampu buat Ana ketawa, takkan mampu bawa Ana jalan-jalan macam orang lain.”

Puan Salmah menghela nafas panjang, matanya sayu.

“Ana… seorang lelaki bukan diukur pada kakinya, tapi pada hatinya. Rafael itu, dia anak orang berada, orangnya pandai. Kalau dia mahu, dia boleh pilih sesiapa. Tapi dia terima pernikahan ni kerana menjaga hati sahabat baik Atuk kamu. Itu pun sudah cukup menunjukkan dia ada budi.”

Ariana mengetap bibir.

Dia masih tidak puas hati.

Dalam kepalanya, perkahwinan hanya wujud dalam drama atau novel, indah, romantis, penuh bunga-bunga cinta.

Tapi realiti yang menantinya hanyalah beban.

---

Keesokan harinya, rumah kayu sederhana itu didatangi rombongan kecil.

Kereta mewah berhenti di halaman, memeranjatkan jiran tetangga yang mula berbisik-bisik.

Ariana mengintai dari celah tingkap.

Jantungnya berdegup kencang.

“Itu… itu keluarga dia ke, bu?” Ariana bertanya cemas.

Puan Salmah hanya mengangguk.

“Ya, Ana. Itu Tan Sri Arman sendiri. Dan itu… Datuk Razak.”

Melihat kelibat lelaki tua yang berjubah kemas, Ariana menghela nafas berat.

Datuk Razak – sahabat datuknya. Lelaki itu sering datang sewaktu kecilnya, membawakan hadiah dan buah tangan.

Tapi siapa sangka, kini dia datang membawa rombongan meminang.

“Assalamualaikum,” suara lantang Datuk Razak menyambut.

“Salmah… Ana, ada di mana? Boleh atuk masuk?”

Puan Salmah tersenyum kelat.

“Waalaikumussalam, masuklah Datuk. Silakan.”

Ariana menundukkan wajah, bersembunyi di bilik.

Dia enggan keluar.

Hatinya memberontak.

Tapi suara ibunya dari luar memanggil.

“Ana, mari sini. Jangan biar tetamu tunggu.”

Dengan langkah berat, Ariana keluar.

Baju kurung ungu lembut membaluti tubuhnya, rambutnya disanggul ringkas dan segera dia menutupi kepalanya dengan selendang.

Wajahnya muram, tapi matanya tetap cantik memancar.

Semua mata tertumpu padanya.

“Ha, inilah budaknya.” Datuk Razak tersenyum lebar.

“Anak arwah Hakim. Cantik macam ayahnya dulu.”

Ariana hanya tunduk.

Dia terasa seperti barang pameran.

Di sisi Datuk Razak, Tan Sri Arman tersenyum, cuba meraih mesra.

“Ariana… Pakcik Papanya Rafael. Anak pakcik tak dapat ikut hari ni. Dia sibuk dengan kerja. Tapi… dia titip salam.”

Ariana mendongak sedikit, menahan perasaan.

“Kenapa dia tak datang sendiri? Kalau betul dia nak kahwin, kenapa tak datang jumpa Ana?”

Suasana jadi sepi seketika.

Semua mata memandang.

Puan Salmah terkejut dengan keberanian anaknya yang bersuara begitu di depan tetamu.

“Ariana Sofea…” suara ibunya menegur perlahan.
Bila nama penuhnya diucapkan bermakna ibunya sedang menahan kecewa dengan sikapnya itu.

Tapi Datuk Razak hanya ketawa kecil.

“Tak apa, Salmah. Biarlah dia jujur. Ana, Rafael itu… dia lelaki yang banyak terluka. Bukan dia tak mahu, cuma dia masih mencari kekuatan. Ana… atuk percaya, hanya kamu yang boleh ubah hidup dia.”

Ariana menggenggam hujung kainnya.

Kata-kata itu seperti beban besar diletakkan di bahunya.

Di bandar, Rafael duduk di balkoni, memandang jauh ke langit biru.

Angin mengibaskan helaian rambut hitamnya. Dia tahu, rombongan meminang sudah sampai di rumah gadis itu.

... Tapi hatinya kosong...

“Encik Rafael…” suara pembantunya, Daniel, lembut.

“Tuan Tan Sri pesan, jangan lupa persiapan majlis nanti.”

Rafael berpaling, wajahnya dingin.

“Aku tak peduli majlis. Aku tak peduli perempuan tu. Aku hanya buat kerana Papa dan Datuk aku mendesak. Jangan pernah fikir aku akan jatuh cinta lagi.”

Daniel menunduk, tidak berani membalas.

Dia tahu luka tuannya terlalu dalam.

Tetapi jauh di sudut hati, dia percaya satu hari nanti, akan ada seseorang yang mampu memecahkan dinding beku itu.

---

“Ibu! Ana tak nak kahwin dengan dia. Ana tak sanggup!” Ariana meraung kecil, suaranya bergetar menahan tangis.

Puan Salmah duduk di sisi anaknya, tangan tua itu mengusap lembut bahu Ariana.

“Ana… dengarlah ibu. Kita bukan orang berada. Kita bukan ada siapa-siapa lagi selain kita dan keluarga Datuk Razak. Kalau ibu mampu jaga kamu sampai bila-bila, ibu sanggup. Tapi ibu tak kuat, Ana. Satu hari nanti ibu pergi, siapa nak jaga kamu?”

Ariana menggoncang kepala, rambutnya yang terurai menutupi wajah.

“Ana boleh jaga diri sendiri, bu. Ana bukan budak kecil lagi!”

“Jaga diri?” Suara ibunya sedikit meninggi.

“Ana fikir hidup ni mudah? Kamu sangka dengan keras kepala kamu tu, kamu boleh hidup sendirian? Dunia ni kejam, Ana. Ibu cuma nak pastikan kamu tak disakiti bila ibu tiada.”

Kata-kata itu menikam dada Ariana.

Dia diam seketika, lalu menutup muka dengan tapak tangan.

Hatinya masih memberontak, tapi dia tidak sanggup melawan titisan air mata di wajah ibunya.

Puan Salmah menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri.

“Ana… Rafael itu mungkin tak sempurna pada mata kamu. Tapi siapa tahu, dia yang akan jadi pelindung kamu. Jangan hukum dia sebelum kamu kenal dia.”

Ariana hanya membisu.

Dadanya masih sarat dengan penolakan, namun jauh di sudut hati, timbul secalit rasa bersalah kerana terlalu meninggikan suara pada ibunya.

Malam itu, Ariana tidak lena tidur.

Lampu biliknya dibiarkan terpasang, bantalnya basah dengan tangisan.

Setiap kali dia pejam mata, nama lelaki asing itu muncul dalam bayangannya. Lelaki bernama Rafael Adrian—yang bakal menjadi suaminya. Lelaki yang hanya dia dengar khabarnya dari mulut orang, tidak pernah sekali pun dia jumpa wajahnya.

“Kenapa mesti aku?” bisiknya dalam gelap.

---

Di banglo mewah milik keluarga Arman, Rafael masih duduk sendirian di ruang kerja.

Cawan kopi di tangannya sudah dingin, namun matanya tetap terpaku pada fail-fail perniagaan di atas meja.

Daniel mengetuk perlahan pintu.

“Tuan, sudah lewat malam. Elok kalau berehat.”

“Aku tak perlukan rehat,” balas Rafael dingin, tanpa menoleh.

Daniel mendekat, meletakkan dokumen tambahan di sisi meja.

“Saya tahu tuan masih berat hati tentang pernikahan ini. Tapi… mungkin inilah yang terbaik. Tan Sri mahu tuan ada seseorang yang boleh menemani hidup tuan. Luka lama tu…”

“Cukup, Daniel.” Rafael memotong, suaranya tegas.

Matanya merenung tajam ke arah pembantunya itu. “Aku tak perlukan teman. Luka aku takkan sembuh hanya kerana seorang gadis kampung. Aku hanya lakukan ini untuk datuk. Itu sahaja.”

Daniel tunduk hormat, tidak berani membantah.

Namun dalam hati, dia tahu kata-kata tuannya hanyalah topeng. Luka yang pernah menghancurkan Rafael dulu masih mengikat lelaki itu dalam dunia gelapnya sendiri.

---

Beberapa hari kemudian, Ariana duduk termenung di tangga rumah kayu usang itu.

Sehelai kain batik menutupi tubuhnya, rambutnya disisir sederhana. Matanya memandang kosong ke arah jalan tanah merah yang lengang.

“Ana…” suara Tok Ayahnya, Tuan Haji Razman, memecah kesunyian. Lelaki tua itu melangkah perlahan, tongkat kayu di tangan menjadi peneman setia.

Ariana segera berdiri, cuba mengawal rasa.

“Tok Ayah…”

Tuan Haji Razman tersenyum hambar.

“Ana marah dengan Tok Ayah?”

Ariana menunduk, bibirnya bergetar.

“Ana tak marah, Tok. Cuma… Ana takut. Ana tak kenal dia. Ana dengar macam-macam pasal dia. Ana rasa macam hidup Ana bukan milik Ana lagi.”

Tok Ayah meletakkan tangan tuanya di bahu Ariana.

“Ana… Tok takkan pernah campakkan kamu ke tangan orang yang salah. Rafael itu… dia lelaki yang pernah Tok kenal sejak kecil. Walau pun dia banyak kekurangan sekarang, dia tetap punya hati yang baik. Tok percaya, dia boleh jadi suami yang baik untuk kamu.”

Air mata Ariana bergenang lagi.

“Tapi Tok… macam mana kalau dia tak pernah cintakan Ana?”

Tok Ayah menarik nafas panjang, matanya berkaca.

“Cinta itu boleh tumbuh, Ana. Percayalah, kadang-kadang ia datang bila kita paling tidak sangka. Tok hanya mahu tengok kamu selamat sebelum Tok menutup mata.”

Kata-kata itu membuat dada Ariana makin sebak. Dia tidak mampu lagi membantah, tidak sanggup melukakan hati datuknya yang sudah tua.

Namun, di sudut hatinya… dia tahu, jalan di hadapan tidak akan mudah.

---

Selamat bertemu kembali dalam karya terbaru Senorita TATKALA CINTA MULA BERLABUH, setelah sekian lama menyepi.. Semoga semua peminat yang setia menanti terubat rindu mereka

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience