Bab 2 - Urgent

Romance Series 29011

“RANNIE! Tolong aku, Rannieeee!” jerit Diane sambil menggenggam erat tangan sahabatnya seolah-olah nyawanya sendiri bergantung pada genggaman itu.

Kini mereka berdua berada di apartmen Rannie, tempat perlindungan sementaranya selepas tragedi paling memalukan dalam sejarah hidup Diane. Nafasnya masih belum stabil, jantungnya berdetak seperti drum perang. Dan di fikirannya…

Smirk itu.

Senyuman separuh yang menyimpan seribu makna.

Syed Arrasy.

Mr. Boss!

Hell. Wajah lelaki itu masih berlegar-legar dalam kepalanya, seperti filem yang tidak mahu berhenti dimainkan. Dan setiap kali imej itu muncul, Diane hanya mampu menutup muka dengan bantal dan menjerit perlahan, menyesali segala keputusan hidupnya sejak jam lima petang tadi.

Rannie yang duduk di sebelah hanya mampu menggeleng perlahan. “Diane, kau tak faham. Aku pun dalam bahaya sekarang. Gara-gara kau tersalah lelaki, aku tak boleh tolak dia lagi! Sekarang lelaki tu makin yakin nak kahwin dengan aku. Katanya aku ni... cute!”

Rannie mengembungkan pipinya, dramatik seperti biasa. “Aku ni panik, bukan comel! Ah, Diane, aku takutlah kalau betul-betul kena kahwin. Aku tak sedia jadi isteri! Aku nak lari je rasanya!” Dia menjerit sampai bantal di tangan hampir terbang.

Diane menatapnya tanpa ekspresi selama beberapa saat sebelum menarik nafas panjang. “Aku tahuuu… Tapi aku pun dalam bahaya, Rannie. Aku tadi yang hampir kena serangan jantung depan CEO sendiri?”

“Ha?” Rannie berkerut. “CEO?”

“Ya. CEO.” Diane menutup muka dengan kedua tangan. “Yang aku tengking tadi, yang aku simbah jus oren, yang aku kata mengandungkan anak dia tu… rupa-rupanya Mr. Boss! CEO syarikat tempat aku kerja! Ya Tuhan, Rannie, aku dah tak ada masa depan. Esok aku masuk pejabat, confirm kena terminate atau disumbat dalam bilik HR!”

Rannie menjerit kecil sambil memegang kepala. “Apa?! CEO tempat kau kerja?! Diane! Kau gila ke?!”

“Kalau aku waras, aku takkan setuju rancangan kau, Rannie!” balas Diane sambil melempar bantal ke muka sahabatnya itu.

Rannie menepis bantal itu, kemudian berfikir sejenak. “Tapi kan… kau cuma staf biasa, kan? Ada ramai pekerja kat tempat kau. Mungkin dia tak kenal kau pun. Haa… jadi maksudnya kau masih ada harapan untuk hidup esok,” katanya sambil menepuk-nepuk lembut bahu Diane, cuba memujuk.

ITULAH harapan terakhir Diane, andai Syed Arrasy tidak mengenalinya. Andai malam tadi hanyalah malapetaka kecil yang boleh dilupakan.

Tapi hakikatnya… mustahil.

Diane memang hanya staf biasa di syarikat besar itu, namun bukanlah staf yang tidak menonjol. Dia rajin, tangkas, dan sering dipilih untuk menghadiri mesyuarat penting antara jabatan. Malah, beberapa kali dia pernah berada dalam bilik yang sama dengan lelaki itu, Mr. Boss, duduk beberapa kerusi darinya, menunduk mencatat nota sambil berpura-pura tidak perasan renungan yang selalu jatuh tepat ke arahnya.

Namun ada sesuatu yang Diane tak pernah beritahu sesiapa. Sesuatu yang diam-diam menghantuinya hampir dua tahun.

Sejak dia mula bekerja di situ, dia kerap merasa diperhatikan. Seolah-olah ada sepasang mata yang tak pernah berhenti mengekori setiap langkahnya, di koridor, di ruang pantri, di bilik mesyuarat, malah di tempat parkir yang sunyi selepas waktu kerja.

Dan Diane tahu siapa pemilik mata itu.

Syed Arrasy Irfan.

Lelaki yang terkenal dengan kehebatan bisnesnya, dan dengan aura yang terlalu kuat untuk disangkal. Dingin, berdisiplin, misteri dan dalam diam, mengawasi.

Dia tak pernah berbicara dengan Diane di luar urusan kerja. Tidak pernah menyapa, tidak pernah tersenyum. Namun pandangan itu, my God… Pandangan itu seperti cengkaman yang menembusi kulit dan menyelinap terus ke dalam tulang. Tajam. Meneliti. Mengintai setiap gerak halusnya. Dan apabila Diane menyedari dirinya sedang diperhatikan, pandangan itu tidak beralih.

Ia tetap di situ.

Seolah-olah sengaja mahu menunjukkan kuasanya.

Beberapa kali, ketika Diane perlu bekerja hingga lewat malam, dia mendapati sesuatu yang lebih menakutkan. Sewaktu dia berjalan pulang ke rumah sewa, ada kereta hitam berhenti tidak jauh di belakang, tak pernah membunyikan hon, tak pernah menegur, hanya mengikut.

Dan setiap kali dia berpaling… hanya satu model kereta yang sepadan dengan bayang itu.
Kereta milik Syed Arrasy.

Dia tak mahu menuduh. Dia tak mahu percaya. Tapi setiap kali enjin kereta itu menyala semula hanya selepas dia selamat masuk ke dalam pagar rumahnya, hatinya tahu, itu bukan kebetulan.

I am nobody, bisik Diane dalam hati, mengulangnya berkali-kali.

I am nobody, I am nothing, he shouldn’t even remember me.

Namun selepas apa yang berlaku di restoran tadi, selepas smirk itu, selepas mata lelaki itu memandangnya seperti memegang rahsia dunia, semua rasa tenang yang cuba dia yakini, hancur berkeping.

Diane menelan air liur. Dada terasa sesak.

Rannie kerisauan. “…Diane?”

Diane menoleh perlahan, suaranya keluar serak. “Lagipun, meja kerja aku… betul-betul depan bilik CEO.”

Rannie ternganga. “Oh no…”

Dan dalam detik itu, kedua-duanya tahu, tak ada kata-kata yang cukup kuat untuk menyelamatkan Diane daripada hari esok.

“Aah, sudahlah,” desisnya lalu akhirnya, bangun dari sofa dan mencapai beg tangannya. “Aku nak balik je. Aku dah tak boleh fikir.”

Dia melangkah keluar dari apartmen Rannie dengan langkah tergesa.

ESOK paginya.

Di ruang kerja yang dingin, berwarna putih kelabu, hanya bunyi papan kekunci dan deruman pendingin hawa yang mengisi udara. Diane sedang cuba menenangkan diri, pura-pura sibuk di depan komputer walaupun tangannya sebenarnya menggigil seperti daun dihembus angin.

Dia cuba bernafas perlahan. Cuba meyakinkan diri , mungkin Mr. Boss tak perasan semalam... mungkin dia dah lupa... mungkin aku selamat...

Namun ketenangan itu cuma bertahan tiga saat.

Kreak…

Pintu terbuka perlahan, diiringi suara kasut kulit yang menapak kemas di lantai marmar.

Seorang lelaki tinggi berkaca mata muncul di ambang pintu, tampan, rapi, dan berwajah tenang seperti biasa.

Brian. Orang kanan Mr. Boss.

“Selamat pagi, Miss Diane.” Suaranya berat, beralun dengan nada formal. “Mr. Boss nak jumpa. Urgent.”

Dunia Diane berhenti berputar.

Mata bundarnya membesar, wajahnya serta-merta pucat. “Tak nak!” bisiknya panik, menggeleng laju. “Saya nak resign. Sekarang juga!”

Brian terdiam seketika, jelas terkejut dengan reaksi itu. Keningnya berkerut. “Kenapa, Miss? Miss ada buat salah ke?”

“Masalah besar,” jawab Diane tanpa berfikir panjang. Nafasnya pendek, suara bergetar. “Tuan Brian, tolonglah. Cakap dekat dia saya demam… tak boleh bangun. Atau! Atau cakap nenek saya nak kahwin. Ya! Cakap saya kena jadi pengapit! Tolonglah, apa-apa pun boleh, asal saya tak kena jumpa dia!”

Dia menekan dahi, matanya hampir berair. Tubuhnya separuh goyah kerana terlalu cemas.

Brian menghela nafas panjang, cuba menahan senyum yang hampir pecah. “Tak boleh, Miss. Kalau saya bagi alasan macam tu, bukan Miss saja, saya pun kena sekali. Dan kalau kena dengan Mr. Boss…” Dia menggeleng kecil, “...saya pun tak berani bayangkan.”

Diane menelan liur. “Maksudnya?”

“Maksudnya,” ujar Brian, suaranya tenang tapi serius, “lebih baik Miss ikut saya sebelum Miss betul-betul dalam masalah besar.”

Diane terdiam. Senyap.

Dalam kepalanya hanya bergema satu ayat, jumpa Mr. Boss. Itu bukan sekadar jemputan. Itu pun dah rasa macam hukuman.

Akhirnya dia mengangguk perlahan, separuh hidup, separuh pasrah. “Baiklah… kalau ini takdir saya.”

Beberapa minit kemudian, pintu pejabat utama terbuka.

“Tuan, saya dah bawa Miss Diane.” Brian bersuara sopan, menunduk hormat.

Syed Arrasy Irfan duduk di balik meja besar berpermukaan kaca, jasnya hitam pekat, tali leher terikat sempurna. Pandangannya naik perlahan, menembus, lalu berhenti pada wajah Diane.

Dia berdehem kecil. “Hm.”

Tatapan dinginnya tak beralih. “Kau boleh pergi, Brian.”

“Baik, Tuan.”

Brian tunduk sekali lagi, kemudian melangkah keluar, menutup pintu di belakangnya.

Kini ruang itu sunyi.

Hanya tinggal dua orang di situ, Syed Arrasy dan Diane.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience