Selepas hampir 30 minit perjalanan yang sunyi, akhirnya teksi yang dinaiki Medina Atalia mula membelok ke jalan utama yang menuju ke hotel tempat dia menginap.
Langit mula gelap, dan suasana bandar mula disinari lampu neon. Medina yang duduk diam di kerusi belakang, sesekali menjeling skrin telefon bimbitnya yang masih menayangkan deretan panggilan tidak dijawab daripada Mikael Lutfi.
“Medina Atalia, kau cari penyakit namanya. Dahlah keluar tanpa izin, tak angkat telefon pulak tu…” bisiknya perlahan sambil menggigit hujung kukunya.
Degup jantungnya semakin laju, menandakan keresahan yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.
Teksi itu akhirnya berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk hotel. Medina segera membayar tambang kepada Mike James, dan sempat mengucapkan terima kasih dalam Bahasa Inggeris dengan senyuman yang dipaksa-paksa.
"Goodbye Miss Medina, take care!" ujar Mike sebelum beredar.
“Thank you, Mr. Mike,” jawabnya sepintas lalu sebelum dia cepat-cepat melangkah masuk ke lobi.
Namun langkahnya terhenti apabila melihat kelibat lelaki tinggi lampai yang sedang duduk di sofa lobi sambil memeluk tubuh dan merenung telefon bimbitnya dengan wajah serius.
Mikael Lutfi.
Medina menarik nafas panjang.
"Alamak... dia dah tunggu aku kat sini ke?" bisik hatinya.
Dia cuba untuk menyelinap ke arah lif tanpa disedari, namun baru saja dia melangkah dua tapak.
"Medina Atalia!" Suara garau yang sangat dikenalinya bergema di segenap ruang lobi hotel itu.
Suara itu tidak marah, tapi cukup tegas untuk membuatkan Medina terhenti serta-merta dan menoleh perlahan.
Mikael bangun dari tempat duduknya dan melangkah ke arahnya dengan tenang, namun renungannya menikam seolah-olah sedang menahan marah yang membara.
"Ke mana kau pergi tanpa beritahu aku? Aku telefon berpuluh kali, kenapa tak jawab?" soalnya, nada suaranya terkawal tetapi jelas menunjukkan kekecewaan.
Medina tunduk.
“Saya… saya keluar sekejap jumpa kawan. Tak sangka pula Tuan cari saya…”
“Tak sangka?” Mikael mengangkat kening.
“Kau keluar dari hotel tanpa izin, tanpa pengawasan, di negara asing. Kau fikir itu benda kecil, Medina?”
“Saya bukannya budak kecil, Tuan. Saya tahu jaga diri,” balas Medina perlahan, tetapi cukup untuk didengari Mikael.
“Bukan soal budak atau dewasa. Ini soal tanggungjawab dan keselamatan. Aku yang bertanggungjawab atas kau selagi awak bersama aku di sini.”
Medina Atalia mengangkat wajah.
“Saya cuma pergi sekejap. Tak niat pun nak buat Tuan risau…”
Mikael Lutfi memejam mata seketika, cuba menenangkan hatinya. Dia tidak mahu marah di khalayak ramai, apatah lagi melihat Medina Atalia yang sudah mula menundukkan kepala.
"Jom, naik atas. Kita bincang di bilik," ujarnya pendek sambil melangkah ke arah lif. Medina Atalia menurut dalam diam, langkahnya perlahan.
Di dalam bilik hotel...
Mikael membiarkan pintu tertutup sendiri dan berdiri di hadapan Medina. Suasana dalam bilik itu hening. Hanya bunyi penghawa dingin yang kedengaran.
Medina duduk perlahan di sofa, tidak tahu hendak berkata apa. Mikael masih berdiri memandangnya.
“Kau tahu aku risau sangat tadi. Aku tak tahu kau ke mana, dengan siapa, buat apa. Benda macam ni tak boleh berulang lagi, Medina.”
“Saya minta maaf, Tuan…” suara Medina serak, menahan rasa bersalah.
“Saya cuma... saya rasa terkurung. Sejak kita sampai sini, saya banyak bersendirian. Saya cuma nak jumpa kawan sekejap...”
Mikael menarik nafas panjang. Dia duduk di hadapan Medina, memandang wajah gadis itu.
"Aku faham kau rasa sunyi. Tapi kau kena faham juga situasi aku. Aku tengah dalam urusan penting kau pun tahu aku tengah uruskan rundingan besar. Tapi aku tetap fikir tentang kau. Sebab tu aku hantar makanan tadi."
Medina Atalia menggigit bibirnya, tidak berani membalas. Dia mula terasa sebak apabila menyedari dirinya telah menyusahkan lelaki itu.
“Saya betul-betul minta maaf, Tuan…”
Mikael melihat wajah itu lama. Wajah yang sudah lama mencuri pandangannya, mencuri fikirannya. Dia ingin marah, tapi dia juga tahu rasa marah itu lahir kerana dia peduli.
Dia bangun dan mencapai botol air mineral di atas meja, lalu menghulurkannya kepada Medina.
"Minum dulu, kau nampak letih sangat," katanya, nada lebih lembut kali ini.
Medina menyambut dan meneguk perlahan. Dia memberanikan diri untuk berkata,
“Terima kasih... sebab sudi hantar makanan tadi. Saya hargai sangat. Saya tahu Tuan sibuk.”
“Kau suka steak tu?” Mikael senyum nipis.
Medina angguk dengan senyuman kecil.
“Sedap. Lain dari yang lain.”
“Hm, aku tahu selera kau agak unik...” ujar Mikael bersahaja.
Senyap.
Hanya pandangan mata yang berbicara. Dan dari riak wajah Mikael Lutfi, jelas ada sesuatu yang ingin dia katakan, tetapi dia masih menyimpan dalam hati.
Akhirnya dia bersuara.
“Medina… saya tak tahu sampai bila awak akan bekerja dengan saya. Tapi selama awak masih di sini, saya tak nak awak rasa sendirian.“
“Kalau rasa bosan atau sunyi, awak boleh cakap dengan saya. Jangan buat keputusan sendiri macam tadi..”
Kata-kata itu membuatkan hati Medina tersentuh. Jarang dia dengar suara Mikael seikhlas itu. Jarang sekali lelaki itu kadang-kadang bertukar tutur bahasa aku di tukar kepada saya.
Itu membuatkan hatinya terharu.
“Saya… saya cuma tak biasa ada orang risaukan saya.”
Mikael tergamam.
“Kenapa cakap macam tu?”
“Sebab sebelum ni, tak ada siapa pun kisah...”
Mikael tunduk, hatinya ditikam rasa simpati. Dia bangun, melangkah perlahan dan duduk di sisi Medina.
“Tapi saya kisah, Medina.”
Medina menoleh padanya, mata mereka bertemu. Dan untuk pertama kalinya, mereka tidak perlu berkata apa-apa. Mata mereka sudah berbicara.
Sementara itu, di bilik sebelah...
Adam berlegar-legar di dalam biliknya sambil menggenggam telefon.
“Kenapa aku rasa tak sedap hati? Apa yang Mikael tengok dalam Medina tu? Maid biasa je pun. Tapi... lain macam dia layan perempuan tu sekarang. Boleh pulak bagi steak rare dari Jerman? Hah, kalau Maria tahu ni...”
Adam merancang sesuatu.
Dia sudah terlalu lama setia dengan Mikael. Tapi jika kehadiran Medina mengubah kedudukan dirinya dalam syarikat atau hubungan dengan Mikael, dia tak akan berdiam diri.
Share this novel