"Puan, anak jangan pakaikan barang kemas ke taska ye."
Ketika Khaleeda menyambut anak kecil berumur tiga tahun yang sedang tidur dari dukungan ibunya dia mengingatkan.
"Aduh! saya lupalah nak tanggalkan."
Jawab si ibu sambil menghulurkan pula sebuah beg galas selepas si anak sudah berpindah tangan.
"Boleh puan tanggalkan dan simpan?".
Khaleeda sehabis lembut meminta si ibu berkerjasama dengan peraturan taska.
Penjaga yang ini agak keras dan kasar sikapnya. Mudah juga mengadu yang tidak puas di hati terus kepada majikan.
"Saya dah lambat ni, ada meeting dekat Cheras. Nanti jammed teruk. Balik nantilah!".
Si ibu sudah merengus tidak puas hati. Sambil menjawab sudah berjalan laju meninggalkan Khaleeda di hadapan pintu pagar yang mendukung si anak dan beg di tangan.
Istighfar sahaja yang mampu Khaleeda buat. Bercakap lebih bimbang dia juga yang kena semula.
Sepanjang lima tahun ini dia sudah menerima beberapa aduan terus kepada majikan oleh penjaga.
Aduan paling teruk dia pernah terima, ada ibu anak jagaan yang sudah tidak mahu menghantar anak kerana Khaleeda cuba menggoda suaminya. Astaghfirullah! beristighfar panjang Khaleeda.
Teruk dia dimarah majikan hingga mengeluarkan kata-kata yang menghiris hati, tapi apakan daya dia belum mampu untuk ke mana-mana ketika itu, sekarang juga sama masalahnya.
Sehari berlalu dengan penuh kesibukan. Tapi sempat juga dia perasan si comel Khalisya tetap dengan sikap semalam. Hilang ceria seperti selalu.
@@@@@@@
"Semalam Ibu bagi teka teki Sya tak jawab lagi."
Sambil menyusur jalan berpegangan tangan Khaleeda memancing kata.
"Sebab Ibu dah tua ke Sya tak nak layan game dengan Ibu?".
Cuba berlawak cara mereka seperti selalu, malangnya Khalisya kekal diam. Hanya mengeratkan genggaman tangannya ke jari Khaleeda sehingga sampai ke bilik sewa mereka di sebuah flat di tingkat empat.
"Sya mari makan."
Selepas mandi dan solat Isyak Khaleeda hidang nasi goreng yang dibeli dalam perjalanan pulang dari taska.
Anak manis itu menurut sahaja. Masih berwajah tidak ceria dan monyok sedih.
Menyuap makanan juga diam sahaja tidak mahu bercerita itu ini kisah di tadika atau kisah bersama kawan-kawan seperti selalu.
Sesudah anak itu makan barulah Khaleeda mengajak si anak ke dalam sesi meluah perasaan.
"Sya sayang, Ibu ada buat salah ke dengan Sya. Kalau Ibu ada buat salah Ibu sorry ye."
Khalisya yang sedang duduk di atas ribanya sambil membaca sebuah buku bergambar menutup buku.
Khalisya berpaling dan memeluk erat tubuh Khaleeda.
"Cuba Sya cerita kat Ibu, kenapa anak Ibu yang paling comel dalam dunia ni monyok aje?"
"Sya tak suka mama Siti tu. Sya tak suka semua orang."
Aduhai anak yang cerdik. Apa jugalah mereka cakap pada awak sayang.
"Kenapa?".
"Dia orang cakap-cakap tak best belakang Ibu."
"... Jomlah Ibu kita pergi dari sini."
"Sya dengar dia orang cakap apa sayang?".
"Cakaplah... yang Ibu suka pakcik yang selalu hantar tong gas dengan hantar lauk dekat taska tu."
"Sya tak suka!".
"Lepas tu cakap kita miskin pakai baju orang bagi."
"Ibu dengan Sya suka curi makan! Sya tak suka dia orang."
Allah anak... kasihannya kamu sayang. Berdarah hati Khaleeda mendengarnya.
Khalisya sudah bergenang air mata ketika bercerita. Mungkin sudah lama sangat memendam di dalam hati.
"Okay, macam ni... Nanti Ibu cari kerja dekat tempat lain dulu. Dah dapat, baru Ibu boleh berhenti kerja taska. Kalau Ibu berhenti sekarang macam mana nak ada duit? Betul tak sayang?. Tahun depan Sya dah nak naik darjah satu."
Air mata yang menitis jatuh di pipi si anak Khaleeda dedat dengan tapak tangan. Kasihannya awak sayang.
"Ibu promise ye?".
"InsyaAllah Ibu cuba."
Khaleeda kaitkan jari kelingkingnya dengan jari kelingking si anak yang sudah tercokeng menanti.
Ibu cuba. Ibu pun dah lelah di situ. Khaleeda tahan air mata jangan jatuh. Ini bukan pertama kali dia di kutuk orang di depan anaknya. Sudah kerap kali.
Dia sendiri sudah tidak sanggup!
InsyaAllah dia akan cuba!.
@@@@@@@
Hujung minggu, awal pagi Khaleeda dan Khalisya ke taman riadah berdekatan rumah.
Hanya aktiviti sebegini dia mampu untuk mendapat sedikit hiburan di hati dan merehatkan minda buat dirinya dan anak.
Jika tidak ke taman mereka akan ke perpustakaan awam terdekat. Kadang-kadang menghabiskan masa sehari suntuk di situ. Tidak perlu berhabis duit dan persekitaran juga selamat.
(Ini berjimat cara saya bila arwah suami meninggal. Anak pandai berenang pun sebab kolam percuma di Tasik Merdeka. Lepas tu ke library bandar atau library Larkin baca koleksi novel di situ. Anak selamat, aktiviti sihat, duit pun jimat. Sorry iklan kenangan)
Mereka mulakan dengan berjalan di sekeliling taman permainan yang besar itu beberapa pusingan sehingga tidak larat lagi untuk melangkah.
Kemudian barulah mereka memilih kawasan yang redup dan duduk di atas rumput untuk bersarapan pagi. Hanya bersarapan telur rebus, roti bakar dan koko panas yang mereka bawa dari bilik sewa.
Selepas memastikan si anak kenyang barulah Khaleeda lepaskan Khalisya untuk bermain di kawasan permainan kanak-kanak.
Suka sungguh anak itu dapat memanjat kemudian turun pula menggunakan gelongsor. Khaleeda hanya duduk memantau dari bangku batu berdekatan.
"Di?".
Dengar namanya dilaung seseorang. Siapa?.
Dia kekal berwajah statik. Malas mahu beramah mesra dengan orang secara berlebihan. Tapi siapa yang memanggil? Dia tidak nampak wajah-wajah yang dia biasa kenal berdekatan bangku batu yang dia duduk.
"Di, Khaleeda kan."
Seorang wanita memakai legging hitam ketat dan t-shirt merah, berdiri di hadapannya menyapa dia.
"Hey, sombongnya. Di! tak ingat I ke!?".
Perempuan itu terus mengambil tempat duduk di sebelahnya di bangku batu.
Khaleeda tersenyum serba-salah. Siapa orang ini?. Puas dia mengamati untuk mengecam perempuan cantik berambut perang dan berkulit cerah itu.
Ya Allah!!!
"Ya Allah! Maaf... Di tak perasan sebab lain. Cantik sangat."
Perempuan itu tersenyum suka hati dipuji begitu. Terus menggenggam tangan Khaleeda dan memeluknya.
"Di apa khabar?".
"Alhamdulillah, sihat. Lamanya tak jumpa Lucy. Makin cantik."
"Ye ke cantik? Tak ah biasa aje ni. Nak jogging kan."
"Cantik. Betul cantik."
Khaleeda bersungguh-sungguh memuji. Gembira dia dapat bertemu orang yang pernah menolong menyelamatkan dia dan Khalisya.
"Lucy duduk area sini ke sekarang?".
Agak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur. Mungkin Lucy sudah bertukar kerja. Enam tahun satu tempoh yang panjang.
Hanya dia masih bertatih seperti dulu. Orang lain tidak mustahil sudah memecut laju memajukan diri.
"Ya Di. I dah beli rumah dekat area balai polis sana."
Jari Lucy menunjuk ke satu arah. Khaleeda tahu kawasan yang dimaksudkan Lucy. Kawasan perumahan dua tingkat berharga lebih enam ratus ribu ke atas.
"O ye? Alhamdulillah. Tahniah Lucy."
"Thanks Di. Eh, you sorang ke?".
Cara bercakap juga sudah berlainan. Dahulu tidak pernah pula Lucy ber'I you' dengan dia. Bagus untuk Lucy.
"Tak. Di dengan anak... yang Lucy tolong selamatkan tu."
"No lah. I just helped send you to the hospital."
"Eh, mana anaknya? Mesti dah besar kan."
"Tu... yang pakai baju pink, rambut tocang dua. Yang tengah bergayut kat palang besi tu."
Lurus jari Khaleeda menunjuk kepada Lucy ke suatu arah di kawasan kanak-kanak bermain.
"Waaa... cutenya Di. Sebijik muka you kan."
Khaleeda tersenyum. Ya, Khalisya memang menyalin seratus peratus paras wajahnya
"Di dah kahwin lain ke?".
Masih tersenyum dan menggeleng.
"Lucy dah kahwin ke?".
Giliran dia pula menyoal. Lucy seorang janda tanpa anak.
"Tak hinginlah!"
Amboi! hilang slang omputeh Lucy. Marah sungguh bunyinya.
"Buat apa? Lebih baik single. Cari duit banyak-banyak pergi berjalan ke mana nak. Lelaki ni menyakitkan hati je!".
Tudia! keluar Lucy enam tahun lalu. Geram sangat ni rasanya. Khaleeda terkebil-kebil biji mata melihat Lucy yang kegeraman. Bila Lucy memandang wajahnya mereka sama-sama ketawa. Okay faham...
"Di, kerja apa sekarang?."
"Kerja taska aje Lucy. Senang sebab dapat tengok anak sekali. Tapi kalau Sya naik darjah satu tahun depan Di ingat nak tukar kerjalah. Saja nak beralih angin. Lucy ada kerja bagus tak boleh recommend untuk Di?".
"Lucy kerja apa sekarang?".
Bercahaya wajah Lucy apabila Khaleeda bertanya seperti itu. Bagai dia sudah bertanya sesuatu yang mengembirakan yang boleh bawa untung jutaan ringgit.
Lalu Lucy pun bercerita bidang pekerjaannya. Terkebil-kebil Khaleeda cuba menghadam cerita Lucy.
Akhirnya Lucy menamatkan cerita ketika Khalisya yang sudah kepenatan bermain datang kepadanya dan mengajak pulang.
Sebelum berpisah mereka bertukar nombor telefon. Lucy juga mengajak Khaleeda untuk turut serta bekerja dengannya.
Khaleeda sekadar mengangguk dan tersenyum. Tidak mungkin dia mampu bekerja seperti Lucy. Masa kerja dan cara kerja sangat tidak sesuai untuk dia dan Khalisya.
sape ada mslh mcm sy, bla period asik emosi asik ingat yg sedih2. lg la klw ada mslh dtg tbe2 mcm kete buat hal. double sedihnya huhu. Bab bonus utk kesygn sume. wpn tk brpe best sb tk de mood blh la ye. tqvm sume
Share this novel