“APA?! Nak aturkan perkahwinan Zara?! Tak nak! Tak nak!!!”
Pagi itu, macam biasalah mereka sekeluarga bersarapan. Idris, si ayah dah siap untuk ke tempat kerja dan Izara juga sudah bersiap sedia untuk bekerja di syarikat lain dengan ayahnya. Dalam mereka sedang menikmati sarapan pada pagi itu, Araya, menjatuhkan bom yang mengejutkan Izara sehingga sudunya terjatuh dari tangan.
Katanya, Izara akan dikahwinkan dengan lelaki pilihan arwah datuknya.
“Itu amanah dan permintaan terakhir arwah atuk kamu, Zara. Dah tertulis pun dalam wasiat dia,” ujar Araya dengan lembut tapi jelas dengan ketegasannya.
“Tapi, mama...! Sekarang ni dah zaman moden. Ini bukannya zaman Tok Kaduk lagi. Zara tak nak! Periodt!” Izara membangkang dengan menekankan sebutan huruf T di hujung perkataan ‘period’ yang disebutnya.
Izara kekal dengan pendiriannya. Susun atur perkahwinan ini pada dia, langsung tak masuk akal.
“Betul ke kamu tak nak? Kamu kena ingat, Zara... Arwah atuk kamu selalu buat dan bagi yang terbaik untuk kamu. Wasiat dia ni bukan main-main. Papa yakin, dia buat macam ni sebab dia sayangkan kamu sangat. Tak mungkinlah dia carikan lelaki yang tak guna untuk kamu,” ujar Idris, nadanya sedikit keras tapi penuh bermakna.
Izara tahu… Dia sendiri tahu yang arwah datuknya sayangkan dia lebih daripada sesiapa. Semasa hidup, arwah selalu dahulukan kebahagiaan Izara. Dan walaupun dah meninggal dunia, banyak aset dan saham syarikat arwah datuknya diserahkan ke atas nama Izara, bukan Idris yang merupakan anak kandungnya arwah.
Tapi... untuk berkahwin dengan lelaki entah tak tahu siapa, yang mungkin Izara sendiri tak pernah jumpa... Masuk akal ke?
Walaupun begitu, kata-kata Idris tadi, tentang kasih sayang dan kepercayaan arwah, membuatkan jiwa dan pegangan Izara goyah seketika.
“Macam mana, Zara? Ini permintaan terakhir arwah atuk kamu,” pujuk Araya sambil merenung wajah anak gadisnya yang jelas sedang berbelah bahagi, memikirkan apa keputusan yang perlu dia lakukan atas permintaan besar ini.
Izara menarik nafas panjang.
“Yelah, Zara setuju...”
Senyuman lebar terus terukir pada wajah ibu dan bapanya yang dari tadi menunggu jawapan daripadanya.
Selepas membuat keputusan itu, setiap butir nasi dari nasi lemak yang dimakannya terasa sukar untuk dikunyah, ibaratnya dia sedang makan pasir sungai.
‘Harapnya aku tak salah buat keputusanlah…’ bisik hati Izara.
DALAM perjalanan ke pejabat…
Fikiran Izara ibarat bebola benang yang terus bergumpal dan berselirat yang disimpul mati. Dia terlalu hanyut dalam fikirannya sehinggakan dia tak sedar yang kereta-kereta di belakangnya dah berkali-kali menekan hon. Lampu isyarat dah lama bertukar hijau, tapi dia masih termenung.
Sebaik sahaja dia masuk ke tempat letak kereta bawah tanah syarikat, dia dapat mesej dari Maya, kawan sepejabat dengannya.
Maya: “Hoi, cepatlah masuk! Boss dah sampai!”
Mata Izara terbeliak.
‘Ya Allah! Hari ni... Hari ni hari Rabu! Aku lupa yang hari ni ada meeting untuk laporang minggu lepas! Habislah aku, habislah aku!’ Izara cepat-cepat mencari tempat letak kereta.
Izara cukup tak suka dengan bosnya. Tapi walaupun dia tak suka dengan lelaki itu, dia tak dapat nak nafikan yang lelaki itu cukup menawan dari pelbagai factor kecuali personalitinya. Tapi dari segi lain? Sudahlah masih muda, kacak, pandai pula tu. Kalau tutup mata untuk bahagian personaliti lelaki itu, bosnya cukup sempurna, idaman para wanita!
Dia pun antara wanita yang suka dengan Leo dahulu, sampailah dia dapat tahu yang lelaki tu suka halau pekerja yang lambat masuk mesyuarat. Suka malukan depan semua orang. Tak bagi muka langsung. Itulah orang kata, hati kering.
Izara tak sanggup. Cukuplah dia pernah kena jeling sahaja dengan lelaki itu sebelum ni.
Jantungnya berdegup kencang. Sebaik sahaja dia buka pintu ke bilik mesyuarat, satu hentakan kuat mengejutkan seluruh tubuhnya.
Tuan Muda Leo, yang sedang berdiri di bahagian depan bilik mesyuarat, menoleh perlahan sambil membetulkan cermin mata yang terletak pada batang hidungnya. Cermin mata itu, Izara yakin yang lelaki itu guna hanya sebagai perhiasan untuk membuatkan lelaki itu nampak bijak sahaja.
Izara buat tak tahu dengan semua mata yang memandang. Dia terus meluru ke bahagian depan bilik mesyuarat.
“Selamat pagi, Tuan. Maaf saya lambat masuk, tadi ada accident tengah jalan-”
“Keluar.”
“E... eh?”
Leo berpaling memandangnya. Hari ini lelaki itu memakai blazer formal, tapi dalamnya cuma kemeja hijau muda. Nampak biasa, tapi bila dipakai oleh lelaki itu, tetap nampak eksklusif.
Dia melangkah menghampiri Izara, matanya tajam seolah hendak merobek kejadian wanita itu. Izara cepat-cepat mengambil selangkah ke belakang.
“Siapa yang izinkan awak masuk meeting ni? Keluar sekarang.”
“Tapi Tuan...”
“Tak ada tapi-tapi. Saya paling tak suka dengan orang yang tak reti nak hargai masa. Keluar atau saya lucutkan awak dari jawatan ni.”
Ancaman itu cukup untuk membuatkan Izara terus berlari keluar dari bilik mesyuarat macam tak cukup tanah dengan muka tebal dan hati yang dah retak seribu.
Ini bukan kali pertama dia dikenakan oleh Leo. Ada sekali dia pernah ditangkap terlama sedikit di dalam tandas atas sebab membersihkan lampin wanitanya dan lelaki itu menghukumnya untuk membersihkan tandas wanita tingkat itu. Kata lelaki itu, sebab dia suka duduk lama-lama sangat dekat dalam tandas wanita.
“Garang nak mampus. Tak ada hati perut. Sumpah malang siapa yang jadi bini dia nanti,” bebel Izara perlahan.
WAKTU makan tengah hari, di kafe…
“Zara, sumpah weh, muka kau tadi pucat gila!” Maya tergelak besar.
Izara menikam tauhu begedilnya dengan geram. Aura pembunuhnya meluap-luap dengan hanya membayangkan wajah lelaki itu sahaja. “Ish! Menyampah betul aku dengan big boss wannabe tu.”
“Kau pun masalah. Dah tahu dia tu macam singa kebulur, datang lambat dah kenapa? Memang kena ah.”
“Aku risau je kalau dia betul-betul turunkan jawatan aku jadi lagi rendah. Nanti kena macam si Fuad tu, tiap minggu kena report apa kerja dia untuk dapatkan balik jawatan lama dia. Sampai sekarang pun masih dekat logistik.”
Maya ketawa. “Eh, kalau aku, aku okay je. At least dapatlah bercakap dengan dia one on one setiap minggu. Hensem woo.”
“Hensem kepala otak kau. Dengar nama dia pun makin meluat walaupun nama dia bukan dia je yang pakai!”
Maya menyedut teh hijau Jepunnya. Maya cukup suka minuman yang tawar dan pahit. Katanya, hidup ni dah terlalu pahit untuk dia, jadi buat apa bermanis-manisan lagi. Lain pula dengan Izara yang minumannya seolah menunjukkan yang dia ada cita-cita untuk dipotong kaki pada kemudian hari.
“Jangan benci-benci sangat, Ara... Nanti, jadi jodoh kau, menangis tak berlagu kau dibuatnya.”
“Amboi, mulut! Masin!” Izara terus menghalau bayangan itu keluar dari kepalanya.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Di skrin, tertera ‘Mamaku Sayang’.
“Hello, mama. Kenapa mama call?”
“Zara, hari ni Zara balik pukul berapa?”
“Macam biasalah, mama, pukul enam. Kenapa mama tanya?”
“Okay, cun. Malam ni kita pergi jumpa dengan bakal suami kamu.”
Hampir tersembur matcha latte yang dia sedut.
“Hah?! Cepatnya?!” tanpa sedar, dia menjerit. Seluruh kafeteria memandangnya kehairanan, membuatkan dia akhirnya tertunduk malu.
“Yelah. Lagi cepat lagi bagus. Ha, mama nak cakap tu je. Kerja elok-elok.”
Petang itu, Izara rasa macam nak pengsan.
“Apesal Zara?” soal Maya.
“Tak… takde apa...”
Takkanlah dia nak cerita yang dia akan berkahwin. Malunya, ya Allah. Hidupnya dah macam drama bersiri.
MALAM itu...
Izara mengenakan gaun labuh berwarna biru pastel dengan kasut tumit yang dipilih oleh Araya. Wajahnya disolek cantik.
Di dalam kereta, jantungnya dah berdentum macam dihentak dengan panahan petir lagi dan lagi. Sampai saja di sebuah restoran mewah, Izara boleh rasa yang makan malam ini sebenarnya bukan sekadar perjumpaan untuk berkenal-kenalan tapi untuk dia dan siapa sahaja lelaki itu untuk terus bertunang di situ juga.
Mereka dibawa ke tingkat dua restoran itu. Izara berjalan sambil memeluk beg tangannya dengan ketat. Matanya tertancap ke sebuah sosok lelaki dari jauh dan dari bentuk badan lelaki itu sahaja dia dah rasa tak sedap hati.
‘No… There’s no way itu dia…’ rayu lemah hati Izara.
Masalahnya sekarang, dekat ruangan itu, dah tak ada orang lain lagi. Jantung Izara meloncat-loncat dan meronta panik. ‘Ya Allah, cobaan… cobaan… Ergh, matilah aku.’ bisiknya dalam hati.
Dan bila dia berdiri di depan meja itu, dia cuba yakinkan dirinya yang nyawanya mungkin dah dicabut pada ketika itu.
Leo.
Leo berdiri, manis sahaja tersenyum menyambut Idris dan Araya dengan memberi salam.
“Assalamualaikum, uncle, aunty.”
“Waalaikumsalam, Leo. Maaflah buat kamu tunggu lama.” Ujar Idris sambil bersalaman dengan Leo.
“Takpe, uncle. Saya pun baru sampai.”
Izara terkebil. Idris sekali lagi bersuara.
“Zara, inilah lelaki yang arwah atuk kamu pilih untuk dijadikan suami kamu nanti. Nama dia Leo.”
Izara hanya mampu kaku berdiri ibarat ukiran patung Yunani, dengan satu fikiran:
‘Lawak apa ni? Boleh ke aku bangun dari mimpi ngeri ni kalau aku terjun dari tingkat dua?’
Share this novel