Bab 33

Romance Series 59840

USAI solat maghrib, Tan Sri Hanafi sekeluarga berkumpul lagi di meja makan untuk makan malam bersama-sama. Pelbagai lauk pauk yang disediakan oleh tukang masak keluarga tersebut terhidang di atas meja dan terlihat sangat menyelerakan. Seorang pembantu rumah yang bertugas, membantu menghidangkan menu makanan terakhir di atas meja.

"Silakan makan, Tan Sri, Puan Sri.." ujar pembantu rumah tersebut setelah meletakkan pinggan yang berisi ikan siakap yang dimasak tiga rasa. Pembantu rumah wanita itu segera berundur dan kemudiannya berpaling punggung sebelum berjalan meninggalkan meja makan.

Amira terbuntang matanya melihat pelbagai jenis lauk pauk yang terhidang di atas meja. Semuanya terlihat lazat dan membuka selera.

'banyak betul lauk.. habis ke nak makan semua ni?' terdetik pertanyaan di hati Amira.

"Emm.. banyak betul masakan.. siapa nak makan semua ni? Membazir je.." Rizal bersuara. Jelas lelaki itu mempunyai pendapat yang sama dengan isterinya. Mendengar pertanyaan Rizal itu, Tan Sri Hanafi tersenyum.

"Riz betul-betul dah tak ingat apa-apa.. setiap hari pun keluarga kita memang makan macam ni.. tukang masak akan masak lima, enam jenis lauk dan memang akan dimasak lebih.. bukan kita je yang nak makan.. pembantu rumah nanti akan makan jugak.. diorang yang akan habiskan lauk pauk tu semua kalau kita tak habiskan.." Tan Sri Hanafi memberi penjelasan.

"Ramai ke pembantu rumah ni?" soal Rizal lagi.

"Hmm.. pembantu rumah ada lapan orang.. tak termasuk driver, tukang kebun dan guard.. guard memang kita akan pakai dua orang setiap shift.. jadi semuanya dalam dua belas orang.. " Ulas Tan Sri Hanafi.

"Ramai betul.." balas Rizal dengan terkejut.

"Itu je cara Papa nak tolong orang.. diorang perlukan kerja.. Selagi Papa mampu gajikan mereka, Papa akan tolong berikan mereka pekerjaan.. Papa fikir, mungkin itulah sebabnya Allah berikan Papa harta yang lebih dari orang lain.. Papa nak tolong orang, bantu seramai mungkin untuk keluar dari kesusahan.. Rezeki yang Allah beri, kita pakat kongsi.. Papa tak nak masyarakat kita menjadi orang yang suka meminta-minta tanpa berusaha.. sebab tu, dari papa berikan duit, baik papa berikan mereka kerja.." Tan Sri Hanafi memberi ulasan.

Amira yang mendengar kata-kata bapa mentuanya itu terdetik rasa kagum di dalam hati. Jutawan itu mempekerjakan ramai orang bukanlah untuk menunjukkan kekayaan yang dimilikinya, namun untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan pendapatan. Lelaki jutawan itu kemudian melanjutkan lagi ucapannya.

"Tengok la kat luar sana, berapa ramai orang yang menganggur.. kebanyakan mereka sebenarnya bukan malas, taknak bekerja.. tapi sebab tiada peluang pekerjaan.. Jadi, sebab Papa ada kemampuan, Papa cuba cipta peluang pekerjaan untuk mereka.. Papa bina syarikat.. sebab nak buka peluang pekerjaan kat orang ramai.. kadang, ada yang kata, kenapa orang miskin tu tak berniaga je.. masalahnya, bukan semua orang mampu berniaga.. nak menjual, memang la sesiapa pun boleh.. tapi nak merancang, mengurus, mengawal perniagaan, bukan semua orang mampu.. bahkan ada yang baru berniaga dua, tiga bulan dah lingkup, tak balik modal.."

Sambil mendengar bicara Tan Sri Hanafi, mereka yang berada di meja makan mulai menjamah makanan mereka. Sedang makan, Tan Sri Hanafi sempat lagi membuka mulutnya.

"Ah, Papa lupa nak bagitau.. yang tadi tu.. Itu Mak Mah.. dia bukan macam pembantu rumah yang lain.. dia dah macam ahli keluarga kita sendiri.. dia dah bersama keluarga kita lebih dua puluh tahun.. Masa tu Riz pun tak lahir lagi.. dia la yang jaga Riz dan Ira masa korang kecik-kecik dulu.. Jadi, tolong hormatkan dia macam mama Riz sendiri.."

Rizal dan Amira terangguk kecil. Shahira pula mengulum senyum. Pada Shahira, tidak salah kata-kata bapanya itu. Mak Mah memang sudah dianggap bagaikan ibunya sendiri oleh gadis tersebut. Semenjak kecil, ayah dan ibunya sentiasa sibuk dan jarang berada di rumah. Maka Mak Mah menjadi tempat untuk Shahira bermain dan bermanja. Dari usia kecil, dia sudah memahami kesibukan ibu dan bapanya. Disebabkan itu, gadis itu tumbuh dengan pemikiran yang matang dan mampu berdikari.

Berbeza pula dengan Rizal. Abangnya itu banyak menghabiskan masa dan membesar dengan ibu mereka. Kemana sahaja ibunya pergi, Rizal pasti akan dibawa bersama. Segala kemahuan Rizal pasti akan dipenuhi dan ditunaikan oleh ibunya. Itu membuatkan Rizal menjadi anak manja ibunya dan terikut-ikut sikap boros dan bermewahan ibunya.

"Hmm.. sempena kepulangan Riz, Papa ingat nak buat majlis kesyukuran.. esok Papa akan bagitau kat P.A Papa.. biar dia arrange semuanya.. cuma Ira tolong Papa.. maklumkan pasal ni kat saudara mara dan kawan-kawan terdekat keluarga kita.. Papa nak buat majlis ni secepat mungkin.. kalau boleh dua, tiga hari lagi.." Tan Sri Hanafi menyuarakan hasratnya.

"Baiklah Papa.. Papa nak buat majlis ni kat mana?" tanya Shahira dengan patuh.

"Buat kat rumah kita ni je.. majlis biasa-biasa je.." Ujar Tan Sri Hanafi lagi. Semua yang berada di sana mengangguk sebagai tanda persetujuan. Sedetik kemudian, Tan Sri Hanafi memandang ke arah Amira yang sedang duduk di sebelah Rizal.

"Emmm.. untuk majlis sambut menantu, nanti Papa akan pilih tarikh lain.. tarikh yang lebih sesuai.. Papa nak adakan majlis perkahwinan yang besar-besaran untuk Riz dan Amira. Majlis paling grand.. dan Papa akan jemput semua wartawan, menteri, VVIP untuk datang.. biar majlis perkahwinan Riz dan Amira jadi wedding of the year nanti.. Masuk TV dan jadi muka depan majalah.." Senyuman lebar terukir pada wajah Tan Sri Hanafi.

"Papa.. tak payah la.." Amira tiba-tiba terkejut dan menjadi serba salah. Dia benar-benar tidak menginginkan wajahnya menjadi sorotan pihak media dan menjadi buah mulut orang ramai. Dia hanya perempuan biasa. Wanita kampung yang tidak mempunyai apa-apa. Dia tidak layak untuk mendapat kemahsyuran sebegitu.

"Mira jangan risau.. Papa nak semua orang kenal menantu Papa.. biar Papa bangga, Papa ada menantu paling cantik." Puji Tan Sri Hanafi yang tidak lekang dengan senyumannya. Wajahnya terlihat ceria dan sangat bahagia.

Amira tertunduk malu. Dia mula terasa segan setelah dipuji oleh mentuanya yang terlihat sangat baik hati. Di dalam hatinya, Amira bersyukur kerana diberikan bapa mentua sebaik Tan Sri Hanafi. Padahal lelaki itu sangat tinggi kedudukannya dalam masyarakat bahkan sangat disegani sebagai tokoh korporat yang berjaya. Namun keperibadian lelaki itu sangat menyenangkan bagi Amira. Kesenjangan darjat antara mereka terasa semakin sirna perlahan-lahan.

"Abang.." Puan Sri Rohayu mula bersuara. Namun wanita itu kembali menutup mulut dan membatalkan hasratnya untuk berbicara apabila melihat Tan Sri Hanafi mengangkat tangan dan menunjukkan telapak tangan ke arahnya. Suaminya itu seakan mengerti apa yang ingin diutarakan oleh Puan Sri Rohayu dan segera menghentikan ucapan isterinya itu. Wanita itu terpaksa mendiamkan diri. Namun jelas terlihat riak tidak senang pada wajahnya.

"Dah, cepat habiskan makan.." Tan Sri Hanafi memberikan arahan. Suasana tiba-tiba menjadi hening. Masing-masing mula menyuap makanan ke mulut mereka. Mulut masing-masing sibuk mengunyah makanan di dalam mulut. Hanya jelingan mata sahaja yang berlaku dan silih berganti sesama mereka di meja makan.

Selesai makan, mereka sekeluarga beralih pula berkumpul di ruang tamu. Amira dan Rizal banyak bercerita mengenai kehidupan mereka selama dua tahun kebelakangan setelah ditanya oleh keluarga lelaki tersebut. Shahira, Tan Sri Hanafi dan Puan Sri Rohayu pula banyak bercerita mengenai kisah silam Rizal dan bagaimana kelakuan lelaki itu sewaktu kanak-kanak dan remaja. Mereka banyak bercerita dengan harapan agar Rizal mendapat kembali ingatannya setelah mengetahui perjalanan kisah silamnya. Namun usaha mereka itu masih tidak membuahkan hasil. Rizal cuba mengingati masa lalunya tetapi tetap gagal.

"Ira nak naik ke bilik dulu.. nak tidur, rehat awal.. esok nak kena pergi office pulak.." Shahira berdiri dari sofa dan meminta diri untuk kembali ke bilik tidurnya.

"Kita pun, jom la masuk bilik.. sayang pun dah tak larat ni.. mengantuk dah.." Amira berbisik kepada Rizal.

"Baiklah.." Rizal mengangguk, mengerti kehendak isterinya yang berada disamping.

"Mama, Papa.. kami pun nak masuk bilik dulu.. Mira pun dah mengantuk.. Riz pun dah letih ni.." Rizal meminta diri kepada ibubapanya.

"Ya lah.. pergilah rehat, tidur.. dah jalan jauh hari ni, mesti penat.." balas Tan Sri Hanafi.

Rizal dan Amira kemudian beriringan berjalan menuju ke arah tangga, ingin kembali ke kamar mereka di tingkat atas rumah tersebut. Melihat pasangan suami isteri yang sudah menjauh itu, Puan Sri Rohayu berkalih pandang ke arah suaminya. Kini hanya tinggal mereka berdua di ruang tamu tersebut.

"Bang.. apa maksud abang, nak buat majlis perkahwinan untuk diorang?" Puan Sri Rohayu mula meluahkan ketidak puasan hatinya yang terbuku sejak tadi.

"Maksud apa pulak? Dah Riz dengan Amira tu dah kahwin.. perempuan tu dah jadi menantu kita.. dah la dulu diorang kahwin, tak buat apa-apa majlis.. sekarang dia dah kembali ke rumah kita.. kita kena la raikan.. saya tak nak perkahwinan anak lelaki saya, takde orang tahu.. Kita kena sambut menantu kita. Buat majlis sambut menantu besar-besaran.. ada persandingan.. saya nak Amira tu bahagia menjadi menantu keluarga kita.." Ujar Tan Sri Hanafi.

"Ish, tak payah la bang.." Puan Sri Rohayu cuba memprotes.

"Tak payah apanya?.. orang ramai kenal saya.. anak saya pulak dua orang je.. Riz tu satu-satunya anak lelaki saya.. malu la saya kalau anak saya kahwin tapi takde majlis perkahwinan, tak jemput orang ramai.. saya dah lama berangan, perkahwinan anak-anak saya, akan buat majlis perkahwinan paling gemilang dalam sejarah negara ni.."

"Tapi... malu la kat orang.." Puan Sri Rohayu mengerutkan dahi serta mencebikkan bibirnya.

"Eh, apa nak malu pulak? Majlis kahwin Riz, saya akan habiskan 100juta.. kalau tak cukup, saya akan tambah lagi.. 500juta pun saya sanggup habiskan.. apa yang nak malu?" luah Tan Sri Hanafi. Dia benar-benar serius. Bagi lelaki itu, perkahwinan Rizal adalah keutamaannya dan dia sanggup menghabiskan segala harta kekayaannya demi kebahagiaan anak lelakinya itu. Padanya, perkahwinan Rizal harus diwar-warkan agar orang lain tahu dan kenal, anak lelakinya itulah yang akan menggantikannya dan mengambil alih empayar konglomerat miliknya suatu hari nanti.

"Bukan soal bajet majlis yang saya kisahkan.."

"Habis tu?"

"Awak tak malu ke nak bagitau orang, menantu awak tu perempuan kampung? tak layak la dia dengan Riz.. keluarga dia pun orang kampung biasa-biasa je.. tak setaraf dengan kita.." Ucap Puan Sri Rohayu. Mata Tan Sri Hanafi langsung terbeliak. Dia terperanjat dengan ucapan isterinya itu.

"Astagfirullah alazim.. setan apa yang duk bisik kat telinga awak tu? Mengucap Rohayu.. awak ni tak habis-habis dengan harta, nak bandingkan darjat, taraf awak tu.." Luah Tan Sri Hanafi dengan penuh kecewa. Dia benar-benar kesal dengan isterinya itu. Wajah lelaki itu juga sudah mula bertukar menjadi merah padma, cuba mengawal emosi yang sedang membelenggu diri.

"Tapi saya cakap benda betul bang.. awak fikir la sendiri, apa kata orang nanti.. Orang mesti bercakap kat belakang kita.. duk cari menantu orang kampung.. kolot.. awak tengok la Mira tu.. pakaian pun selekeh.. awak tak malu ke?" Puan Sri Rohayu terus meluahkan pendapatnya. Tidak habis disitu, dia melanjutkan lagi kata-katanya.

"Saya tak nak la budak kampung macam tu jadi menantu saya.. kalau boleh, saya nak dia bercerai dengan Riz.. tak pun, kalau diorang tak nak bercerai, biar je Riz kahwin lain.. cari calon isteri yang setaraf dengan keluarga kita.. kemudian baru kita buat majlis kahwin.. dengan Mira tu tak payah la buat majlis.. lagipun diorang pun dah lama kahwin.. takkan baru nak buat majlis.. nanti apa pulak kata orang.. saya malu bang.. mana nak letak muka saya ni nanti.. apa saya nak jawab kalau kawan-kawan saya tanya nanti.. menantu saya tu dari mana? keluarga dia buat apa?"

"Jadi awak pentingkan kebahagian kawan-kawan awak dari kebahagiaan anak awak sendiri? Saya tak kisah kalau Riz nak kahwin berapa orang pun.. tapi Amira tu tetap akan jadi menantu saya.. full stop! Apa pun yang terjadi, Amira tetap menantu pilihan saya.. Saya dah terhutang budi kat dia sebab dah jagakan Riz selama ni.. Kalau bukan kerana dia, kita dah kehilangan Riz.. Awak nak kata dia miskin, takde harta? Baiklah.. nanti saya beri kat dia.. bukan setakat juta.. satu billion, dua billion saya boleh bagi kat menantu saya.. 10 billion pun saya boleh bagi.. sekelip mata dia boleh jadi kaya.. not millionaire, but billionaire.."

"Bang, awak dah gila ke?" Puan Sri Rohayu terkejut.

"Saya tak gila.. tapi awak tu yang gila., gila harta! gila pangkat! gila darjat!.. nanti awak betulkan balik otak awak tu.. kadang-kadang saya rasa, baik awak je yang hilang ingatan, bukan Riz.. baru awak tak fikir pasal harta tu semua." Tempelak Tan Sri Hanafi. Dia benar-benar sudah hilang kesabaran dalam melayan karenah isterinya itu.

Share this novel

Esung Tungau
2025-02-12 23:25:05 

amboi ps...jgn syok sgt dgn duniawi tu...sekelip mata blh d ambil balik...syukur lh ts tu bkn mcm fkiran ko...huhu..brtabahlh Mira ada mntua bgtu...Dan aknn muncullh c Joana mgaku kekasih hati yg trpaling setia d Dunia...pdhallll....huhu

Mythic 20 Ronaldojr7
2025-02-12 19:15:00 

tq update padan muka puan Sri kena marah Tan Sri hahaha...,


NovelPlus Premium

The best ads free experience