Bab 16

Romance Series 11562

PELANGGAN datang berpusu-pusu ke gerai burger Rizal. Lelaki yang berniaga sendirian itu sedikit kalut dan tergopoh-gapah dalam menyiapkan pesanan yang diterima daripada pelanggan. Walaupun letih, namun Rizal tetap bersyukur. Kini menjual burger di gerai kecil itu menjadi satu-satunya punca pendapatan buat dirinya. Sebelum mendapatkan kerja di siang hari, dia akan fokus terhadap perniagaannya itu.

Hampir jam dua belas malam, stok bekalan burgernya pun habis terjual. Rizal malah terpaksa menolak beberapa lagi pesanan daripada pelanggannya kerana sudah kehabisan bahan jualan. Selesai berniaga, lelaki itu dengan lekas mengemas gerai. Tanpa membuang masa, dia langsung pulang ke rumahnya yang hanya beberapa langkah jaraknya dari gerai.

Masuk ke dalam rumah, Rizal merebahkan tubuhnya ke lantai. Rumah kecil yang menjadi kediamannya itu tidak mempunyai sofa mahupun peralatan perabot yang lengkap. Yang tersedia hanyalah peralatan penting di bahagian dapur seperti periuk belanga dan peti sejuk. Malah di dalam bilik tidur pula hanya terdapat sebuah almari dan sebuah katil. Semua peralatan tersebut sudah disiap sediakan oleh bapanya sejak awal.

Setelah berbaring sejenak, Rizal kembali bangkit mengangkat tubuhnya. Punggungnya pula masih menempel di lantai dengan kakinya yang berlunjur ke depan. Dia kemudian mendapatkan beg sandang yang masih tersangkut dibahu. Beg tersebut dibuka lalu Rizal mengeluarkan sejumlah wang dari begnya itu. Kesemua wang itu adalah hasil penjualan burgernya pada hari tersebut.

Jari-jemari Rizal dengan pantas mengira jumlah wang yang diperolehinya. Selesai mengira wang, lelaki itu mengeluarkan pula satu buku kecil dan sebatang pen dari beg sandangnya. Dia mula menulis sesuatu pada buku kecil tersebut sambil membuat kira-kira.

"Hmm, tolak modal esok, duit lebih ni kalau campur dengan duit yang aku dah kumpul.. ada la dalam 800 ringgit.." Bicara Rizal sendirian.

Nilai itu sangat bermakna buat Rizal. Mungkin suatu ketika dulu, jumlah tersebut sangat kecil bahkan tidak mencukupi untuk dirinya berhibur bagi satu hari. Namun kini, wang sebegitu sudah dirasakan memadai dan cukup berharga. Rizal sendiri tidak tahu, apakah perasaan yang dia rasakan sekarang adalah kerana dia sudah mula menghargai nilai wang  dan mula bersyukur atau pun kerana dia berpuas hati kerana jumlah wang yang dia miliki sekarang adalah hasil titik peluhnya sendiri.

Selama ini, walaupun dia hidup dalam limpahan wang emas, namun itu semua dia dapatkan daripada pemberian bapanya. Rizal sebelum ini tidak pernah merasai betapa sukarnya mencari wang sendiri. Mengerahkan kudrat dan menitiskan peluh bagi mendapatkan wang kini menjadi satu pelajaran buat lelaki tersebut dan membuka mata fikirannya tentang erti berusaha.

Dalam fikirannya, dia mula mengira-ngira untuk menggunakan wang yang dikumpulnya itu. Nanti dia perlu membeli sebuah telefon untuk memudahkan perhubungannya dengan orang lain. Malah dia sendiri masih belum menghubungi keluarganya sejak tiga minggu yang lalu. Namun yang paling penting, esoknya dia perlu mencari hadiah buat Amira sempena ulang tahun kelahiran gadis tersebut. Rizal tidak mengerti. Dia benar-benar ingin melihat gadis itu tersenyum dan bahagia di depannya. Jika diikutkan hati, Rizal tidak mahu berjauhan dengan gadis tersebut.

Setelah menyimpan kembali wang dan buku kecilnya ke dalam beg, Rizal kembali terbaring di lantai. Dia sangat kepenatan setelah berjualan. Kini fikirannya hanya terbayangkan wajah Amira. Detik-detik mereka bersama mula muncul diingatan. Sepanjang perkenalan mereka, Amira terasa sangat menyenangkan bagi Rizal. Tanpa disedari, Rizal akhirnya terlelap bersama kenangannya. Dia terus tertidur di lantai yang hanya beralaskan tikar getah.

TENGAH HARI keesokannya, Rizal menuju ke pekan untuk mendapatkan bekalan barangan jualannya. Selain itu, dia juga ingin mencari sebuah hadiah untuk diberikan kepada Amira nanti. 

Satu jam berlegar-legar di kawasan pekan, Rizal masih tidak tahu hadiah apa yang harus dia belikan untuk Amira. Setelah memarkirkan motosikalnya, lelaki itu berjalan kaki dan melihat ke arah barisan lot kedai satu persatu. Lelaki itu masih kebingungan.

"Nak bagi apa la kat Amira nanti.. Teddy bear? dia bukan budak-budak.. Baju? Macam tak sesuai je.. Perfume? rasanya Amira pun tak pernah pakai perfume.. Coklat? tak sesuai untuk hadiah hari jadi.. Telefon? Aku sendiri pun takde telefon sekarang ni.. Aduh, pening betul.." Ujar Rizal sendirian sambil langkah kakinya terus berjalan.

Beberapa ketika kemudian, mata Rizal terpandang ke arah sebuah kedai emas. Langkah kakinya terhenti. Setelah termenung seketika, lelaki itu mula berjalan menuju ke arah kedai emas tersebut.

Masuk ke dalam kedai emas, matanya mula melihat-lihat pelbagai perhiasan yang berkilauan kekuningan itu.

"Encik nak cari apa? Cincin?" Tegur pekerja perempuan di kedai emas.

"Emm.. saya nak tengok-tengok dulu.." ujar Rizal.

"Encik nak beli untuk siapa? Mana tahu saya boleh tolong bagi cadangan.. Encik nak cari belikan utntuk siapa? isteri? ke cincin kahwin?" Pekerja itu ramah meladeni dengan berbekalkan senyuman.

"Saya nak bagi hadiah untuk kawan je.."

"Eh, nak beli emas untuk kawan? kawan perempuan?" Tanya pekerja itu lagi.

"Ya, kawan perempuan.."

"Emm.. kawan ke girlfriend? Bertuah betul kawan encik, dapat kawan bagi hadiah emas." Pekerja tersebut mengusik sambil tersenyum menampakkan giginya. Rizal turut mengulum senyum.

"Kalau untuk bagi hadiah kat kawan ke, girlfriend ke, saya cadangkan encik pilih je cincin kat sini." Pekerja tersebut menunjukkan barisan cincin emas yang terletak di dalam almari kaca.

Rizal melihat seketika pada arah yang ditunjukkan oleh pekerja kedai itu kepadanya. Lelaki itu kemudian berkalih pandang pula ke arah barisan rantai emas.

'Hmm, cantik jugak rantai ni.. tapi harga paling murah pun 10K.. yang murah lagi, kecik sangat.. aduhh.. kalau la kad kredit aku masih ada.. Papa, tolong la bagi balik kad kredit aku.' getus hati Rizal. Dia tertarik kepada rantai emas yang terdapat disitu. Namun harga barangan tersebut memang tidak terjangkau olehnya buat masa sekarang.

Lelaki itu kemudian beralih pandang semula ke arah barisan cincin. Lama matanya meneliti setiap cincin satu persatu.

'Yang batu delima merah tu pun lawa.. tapi harga 800.. cukup-cukup je duit aku.. kalau beli, nanti tak makan nasi la aku.. dah la nanti nak kena belanja Amira makan steak lagi.'

'Ah, yang tu cantik.. harga 535 ringgit.. boleh la.. bagi je yang tu kat Amira.. yang murah dari tu, nampak biasa sangat..' Rizal terus berbisik di dalam hatinya.

"Emm, boleh bagi saya tengok cincin tu." Rizal langsung menunjukkan ke arah cincin yang dimaksudkannya.

"Yang ini?" Pekerja wanita itu memasukkan tangannya ke dalam almari kaca.

"Yang sebelah dia.."

Pekerja wanita itu segera mendapatkan cincin yang dimaksudkan oleh Rizal. Cincin itu dikeluarkan dan ditunjuk kepada Rizal agar lelaki itu berpuas hati membuat penilaian sebelum membelinya.

'535.. ada lagi balance duit aku.. boleh la buat belanja makan steak nanti.' Rizal masih membuat kira-kira. Setelah meyakini pilihannya, Rizal membuat keputusan.

"Baiklah.. saya ambil yang ni.." Rizal tersenyum setelah membuat keputusan.

Pekerja wanita itu segera memasukkan cincin pilihan Rizal ke dalam bekas. Senyuman puas terlihat pada wajahnya. Gembira kerana berjaya mendapatkan pelanggan. Setelah transaksi dilakukan dan cincin mula bertukar tangan, Rizal melangkah keluar dari kedai emas tersebut. Lelaki itu penuh gembira. Di fikirannya, terbayang wajah Amira yang gembira apabila menerima hadiah daripadanya.

Rizal kemudian terpandang pula ke arah kedai yang menjual telefon dan alat komunikasi di sebelah kedai emas tersebut. Lelaki itu beralih pula menuju ke arah kedai telefon tersebut. Di dalam almari kaca, tersusun pelbagai jenis model telefon pintar. Rizal melihat satu persatu.

"Telefon paling murah, yang paling bodoh pun, harga 499 ringgit.. Emm.. rugi pulak aku belikan cincin emas ni tadi.. baik aku beli telefon untuk diri aku sendiri je sepatutnya.. mudah sikit aku nak berhubung.." Rizal berbicara sendirian sambil matanya melihat-lihat harga setiap model telefon yang dipaparkan.

"Ish, sudahlah.. benda dah beli.. setidaknya, pasti Amira suka dengan cincin ni." Rizal tidak ingin terus berfikir dan menyesali tindakannya. Lelaki itu lantas berpaling punggung dan segera meninggalkan kedai telefon tersebut.

Baru berjalan beberapa langkah, Rizal termenung lagi.

"Takpe ke kalau aku bagi cincin ni kat Amira? Emm.. nampak macam aku nak melamar dia pulak. Tapi apa salah kalau aku melamar dia, jadi girlfriend aku?.. Tapi kalau dia tolak, malu la aku nanti.. Ahhh.. malas aku nak fikir.. biar je la kita kekal berkawan. Cincin sebagai tanda kita berkawan je.. yang penting kita bahagia." Rizal terus berbicara sendiri dan tertawa berseorangan.

Langkah kakinya langsung menghala ke arah tempat motosikalnya diparkir. Agak jauh beberapa puluh meter. Namun lelaki itu melangkah riang. Hatinya senang walaupun kehidupannya kini dalam kedaifan. Kini Rizal semakin mengerti, bahagia itu bukanlah datangnya daripada kekayaan dan wang yang melimpah ruah. Walaupun kehidupannya agak susah sekarang, namun hatinya merasa lapang dan senang. Dia bahagia setiap kali bersama Amira. Dia senang hati setiap kali melihat gadis itu tersenyum kepadanya.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-01-30 07:49:13 

untungnya Amira dpt cincin emas hadiah birthday..dh suka tu ckap jelah Riz..


NovelPlus Premium

The best ads free experience