Bab 44

Romance Series 59840

AMIRA telah pun dipindahkan ke wad kelas pertama. Di sana, keadaan lebih selesa dan kehadiran Rizal sekeluarga juga tidak lagi bakal mengganggu pesakit lain. Setelah lebih dua jam berada di sana, Amira masih tidak sedarkan diri. Shahira pula meminta Tan Sri Hanafi dan Puan Sri Rohayu untuk kembali ke rumah mereka terlebih dahulu. Dia tidak ingin kedua orang tuanya tinggal lebih lama ditempat yang kurang selesa sebegitu. Kini hanya tinggal Shahira dan Rizal sahaja yang menunggu di wad. Kedua-duanya masih resah menunggu Amira untuk sedar kembali walaupun mengetahui keadaan wanita itu yang tidak terancam kesihatannya.

Rizal yang keletihan terduduk di bangku dan masih menunggu dengan sabar. Namun lelaki itu sering tersengguk-sengguk akibat menahan mengantuk. Melihatkan keadaan abangnya itu, Shahira menggelengkan kepala, seraya melepaskan satu keluhan kecil.

"Abang Riz.. abang balik la rumah dulu.. biar Ira je jaga Kak Mira kat sini.."

"Eh, takpe la.. abang okey je.." Rizal cuba menolak. Dia ingin terus menunggu isterinya di sana sehingga wanita itu sedarkan diri.

"Ish, abang ni.. Ira tengok abang pun dah rasa seksa tau.. dari tadi tersengguk kat situ.. okey apa benda macam tu.. pergi je la balik rumah dulu... mandi, tidur awal.. rehat cukup-cukup.. nanti pagi esok, abang datang balik ke sini, bawa sekali baju Kak Mira.. baju yang dia pakai tadi, abang bawa balik je.. dah kotor pun. Esok dia nak balik, takde baju pulak nak pakai.." Shahira tetap memujuk abangnya itu untuk kembali berehat di rumah.

"Tapi.."

"Tak payah nak tapi-tapi lagi.. biar Ira je yang jaga Kak Mira kat sini.. Kalau abang tak nak balik rumah pun, baik abang pergi kat hotel.. tidur je kat hotel.. tak jauh pun hotel dari hospital ni.. tapi esok abang tetap kena bawa pakaian untuk Kak Mira.. Kalau abang tak nak balik rumah, pergi je beli nanti.." Shahira memberikan saran. Dia juga risau jika abangnya itu memandu untuk pulang ke rumah memandangkan keadaan lelaki itu yang terlihat jelas keletihan dan mengantuk. Shahira tidak ingin berlaku kejadian lain pula berlaku ke atas abangnya itu.

"Hmm.. baiklah.. tapi kalau ada apa-apa, atau Kak Mira dah sedar, cepat call abang ye.." Rizal mulai setuju dengan saranan adiknya. Memikirkan Amira yang memerlukan pakaian baru untuk di pakai keesokan harinya sekiranya dibenarkan pulang, Rizal terpaksa akur dengan pendapat Shahira.

"Ye la.. kalau ada apa-apa, Ira akan call abang dulu.. Ira janji.." Shahira mengangkat tangannya separas bahu sebagai tanda mengangkat sumpah. Rizal tersenyum melihat gelagat adik perempuannya itu. Lelaki itu kemudian bangkit berdiri dari kerusi dan segera melangkah keluar dari bilik wad tersebut. Kepalanya digerakkan ke kiri dan kanan beberapa kali sebagai satu renggangan untuk menghilangkan rasa mengantuk yang masih bersarang.

Malam itu berlalu dengan tenang. Shahira tetap setia menunggu kakak iparnya di ruang wad tersebut. Dia yang menahan rasa mengantuk terkadang terlelap seketika. Dengan posisinya yang duduk di kerusi, agak sukar untuk gadis itu terlena dengan sempurna. Dia cuma memejamkan matanya untuk tidur ayam dan sering kali tersedar dan memantau keadaan kakak iparnya yang masih tergeletak di atas katil. Amira masih tetap diam dan tidak sedarkan diri.

SETELAH mentari pagi memunculkan diri dengan memancarkan sinarnya, keadaan Amira masih tiada perubahan. Dia masih tidak sedarkan diri. Shahira yang masih menahan rasa mengantuk dan keletihan mendapatkan telefon pintarnya dan mula membuat panggilan melalui peralatan telekomunikasi tersebut.

"Abang Riz bila nak datang hospital? Ira nak balik tidur pulak ni.. tak larat dah nak berjaga."

"Abang nak pergi dah ni.. tengah cari baju untuk Kak Mira jap.. Kak Mira macam mana? dia dah sedar ke?" suara Rizal menjawab disebalik panggilan.

"Okey.. cepat sikit tau.. Kak Mira tak sedar lagi.." Shahira yang menahan mengantuk bersuara dengan lemah.

"Ya.. abang nak pergi dah ni.. Ira balik je la dulu.. nanti jap lagi abang sampai la kat sana.." Rizal menyuruh adiknya itu untuk segera pulang terlebih dahulu.

"Ahh.." kedengaran suara Shahira yang lemah.

"Malam tadi kata kuat sangat nak berjaga..hahaha.. Dah, Ira balik je dulu.. tak payah tunggi abang Riz sampai.. abang Riz pun dah nak pergi ni.." Kedengaran suara Rizal tertawa, menyindir adik perempuannya.

"Ye la.. Ira balik dulu la kalau macam tu.. abang jangan lama-lama pulak.. kang Kak Mira sedar, takde orang pulak kat sebelah yang duk jaga dia." Shahira sempat memberikan pesanan.

Panggilan telefon segera di matikan. Shahira kemudian melihat ke arah Amira yang sedang terbaring di katil. Terasa kasihan mengenangkan nasib kakak iparnya itu. Shahira sendiri tidak menduga jika ibunya yang dia kenal selama ini sanggup bertindak kejam dan memukul perempuan sebaik kakak iparnya itu. Dia tahu ibunya itu bersikap sombong dengan harta kekayaan keluarga mereka, namun dia sama sekali tidak menyangka ibunya akan tergamak untuk memukul dan menghina orang lain lebih-lebih lagi isteri kepada abangnya sendiri. Shahira kemudian berkalih pandang ke arah pintu wad dan mula melangkah keluar, meninggalkan Amira yang masih tidak sedarkan diri.

Baru beberapa minit Shahira meninggalkan ruang wad tersebut, Amira mula mencelikkan mata. Wanita itu kebingungan. Dia tidak tahu di mana dirinya sedang berada. Seluruh ruangan terlihat asing. Ketika dia ingin bangkit dari pembaringan, Amira mula merasakan kesakitan pada tubuh dan wajahnya. Bibirnya terasa pedih dan sedikit bengkak. Wanita itu terus kebingungan. Otaknya diperas untuk mengingati kejadian yang berlaku sebelum ini. Setelah beberapa ketika, barulah Amira mengingati kembali. Dia mula teringat kejadian kepalanya ditunjal oleh ibu mentuanya sehingga dia jatuh dari tangga dan dia tanpa sengaja telah tertarik ibu mentuanya itu jatuh bersamanya dari tangga.

Amira memejamkan mata apabila teringat saat dirinya dipukul dan ditampar berkali-kali. Dia ketakutan. Amira yakin, itulah kali terakhir dia mendapatkan kesedaran. Setelah dipukul bertalu-talu, dia sudah tidak mengingati apa-apa. Kini dia tiba-tiba tersedar dan berada di tempat yang cukup asing bagi dirinya. Amira mula gementaran. Ketakutan terhadap ibu mentuanya itu kembali menerjah mindanya. Dia malah bertambah risau kerana tidak tahu di mana dirinya berada. Wanita itu turut merasa aneh setelah melihat pakaian yang di kenakan pada tubuhnya.

"Ini... aku kat hospital?" Amira tertanya-tanya sendirian. Dia mula menyedari pakaian, katil dan peralatan perubatan yang berada di sekelilingnya. Namun yang mula difikirkan wanita itu, bagaimana dia boleh berada di sana. Sesaat kemudian, baru dia terfikir, mungkin suaminya yang sudah membawanya ke sana. Namun tetap menjadi persoalan, di mana suaminya berada sekarang. Kenapa dia hanya sendirian berada di sana. Semakin banyak persoalan mula bermain di fikiran Amira.

'Pasti Riz pun lebih memilih untuk bersama ibu dan keluarga dia berbanding aku.. apa pun, hubungan keluarga tak kan pernah putus..' getus hati Amira. Wanita itu terus berfikir pelbagai andaian menurut logik akalnya.

"Kalau kami tetap bersama, dia pasti akan bawa aku balik ke rumah tu lagi.. Tidak! Aku takkan kembali ke sana lagi..!" Amira menggelengkan kepala.

Tiba-tiba seorang jururawat masuk ke dalam ruang wad. Melihat kedatangan petugas kesihatan tersebut, Amira menguatkan dirinya untuk bangkit dan turun dari katil.

"Eh, cik nak kemana? Jangan laju sangat bergerak.." Jururawat itu bersuara, menegur Amira yang berdiri dengan kelam kabut.

"Tolong.. tolong saya.." Amira segera mendapatkan jururawat tersebut sambil memegang kedua belah lengan petugas wanita itu.

"Ya, saya datang ni sebab nak tolong cik la.. nak rawat dan pantau keadaan cik.."

"Tak.. tolong.. keluarkan saya dari sini.." Amira merayu.

"Eh, kenapa tak tunggu keluarga cik datang dulu?"

"Tak boleh.. awak mesti kena tolong saya.. saya tak nak diorang datang, bawa saya balik ke rumah tu.. rumah tu macam neraka bagi saya.. kalau saya balik lagi, mesti saya akan kena pukul lagi lepas ni.. tolong..selamatkan saya.. saya mesti keluar dari sini sebelum mereka datang." Amira terus merayu dengan bersungguh-sungguh sehingga menggoncangkan lengan jururawat yang dipegangnya itu. Air mata turut meleleh keluar dan membasahi pipinya. Dalam mindanya, dia benar-benar takut untuk berhadapan dengan Puan Sri Rohayu. Amira tidak ingin dirinya akan terus dipukul lagi selepas ini oleh ibu mentuanya itu.

"Tapi.. saya pun tak boleh buat apa cik.. saya nak tolong macam mana?" Jururawat itu kebingungan dengan permintaan Amira.

"Awak mesti tolong saya.. jangan biarkan saya kembali ke rumah tu.. saya tak nak kena pukul lagi.. saya kena jaga keselamatan anak dalam kandungan saya.." Amira terus merayu. Dia kemudian segera mengingatkan sesuatu.

"Anak.. ya, anak saya.. macam mana dengan keadaan anak dalam kandungan saya?" Amira baru teringat mengenai perutnya yang sakit setelah ditekan oleh lutut ibu mentuanya sebelum ini. Dia sangat risau jika anak dalam kandungannya terjejas dengan kejadian tersebut. Sejak dari sedar tadi, dia bahkan hanya memikirkan keadaan dirinya sendiri dan kini baru teringat akan janin di dalam perutnya. Mendengar pertanyaan Amira, jururawat yang berada di depannya itu kemudian membuka fail yang berada di tangannya. Matanya ligat membaca butiran yang tertulis di dalam fail tersebut.

"Emm.. kalau tengok kat laporan perubatan ni, anak awak takde apa-apa.. awak cuma mengalami tekanan dan kecederaan luar je.." Ujar jururawat tersebut. Mendengar pemberitahuan tersebut, Amira segera menaik nafas lega. Jururawat itu mula merasa kasihan setelah melihat keadaan Amira. Namun dia juga tidak mempunyai keupayaan untuk membantu wanita malang tersebut. Berdasarkan ucapan Amira dan laporan pemeriksaan ke atasnya, Jururawat tersebut yakin Amira telah didera dan dipukul oleh ahli keluarganya.

Melihatkan jururawat tersebut ragu-ragu untuk membantunya, Amira mula memikirkan cara untuk mendorong jururawat itu untuk agar sudi menolongnya. Dia kemudian melihat ke arah cincin dan gelang emas yang dipakainya. Fikirnya, mujur sahaja perhiasan tersebut tidak dilepaskan dari tangannya setelah dia dimasukkan ke dalam hospital. Sebelum ini, Rizal dan Shahira juga tidak tefikirkan untuk melepaskan perhiasan emas tersebut memandangkan mereka terlalu cemas memikirkan keadaan Amira. Malahan, Amira sendiri juga sudah ditempatkan di wad kelas pertama dan tidak berkongsi bilik dengan pesakit lain. Jadi mereka tidak memperhitungkan jika perhiasan emas itu akan hilang atau dicuri oleh orang.

Tanpa berfikir panjang, Amira melepaskan gelang emas yang dipakainya. Itu adalah gelang emas yang pernah dibelikan oleh Rizal kepadanya sebelum mereka bertemu dengan Shahira suatu ketika dahulu. Dia ingin menggunakan gelang tersebut sebagai balasan dan dorongan kepada jururawat untuk membantunya keluar dari wad tersebut. Pada masa yang sama, fikir Amira, dia sama sekali tidak akan membuang cincin emas yang tersemat dijarinya. Itu adalah cincin pertama yang diberikan oleh Rizal kepadanya. Cincin itu jugalah yang menjadi mahar kepada pernikahannya. Manakala gelang tangan itu pula, walaupun harganya lebih mahal, namun itu hanyalah sekadar hadiah biasa daripada suaminya. Nilainya tidaklah lebih baik berbanding cincin perkahwinannya yang jauh lebih penting dan bermakna.

"Awak ambil gelang emas ni.. mulai sekarang, gelang ni jadi milik awak.. tapi awak kena tolong saya.. selesaikan urusan untuk saya keluar dari wad ni dan tolong dapatkan pakaian untuk saya salin.. tolong.. awak kena cepat.. tolong saya, sebelum ahli keluarga saya datang ke sini.." Amira menyerahkan gelang emasnya ke tangan jururawat dan meminta tolong daripada petugas kesihatan tersebut.

Melihat gelang emas yang berada ditangannya, mata jururawat itu terbuntang luas. Dia segera menelan liur. Menurutnya, harga gelang tersebut sudah pasti mencecah harga ribuan ringgit. Tanpa berfikir panjang, jururawat wanita itu segera bersetuju untuk membantu Amira.

"Baiklah.. tunggu saya ambilkan pakaian.. rasanya baju saya padan kot dengan awak.." ucap jururawat tersebut. Amira segera mengangguk dan melebarkan senyuman.

Tidak lama kemudian, Rizal tiba di wad. Namun lelaki itu mulai cemas dan hilang akal apabila mendapati Amira sudah tiada di sana.

Setelah mengetahui isterinya sudah keluar dari wad, Rizal segera berkejaran ke sana sini. Lelaki itu sudah seperti orang gila. Dia langsung tidak menghiraukan sesiapa dan keadaan disekelilingnya. Matanya hanya fokus mencari kelibat Amira. Namun usahanya sia-sia dan langsung tidak membuahkan hasil.

Rizal bingung. Dia tidak tahu, harus kemana lagi dia mencari isterinya itu. Walaupun kelelahan dan tiada arah tuju, namun kaki Rizal tetap melangkah. Dia memaksa juga dirinya agar terus kuat untuk mencari Amira. Setelah beberapa jam berjalan dan berlarian, Rizal akhirnya rebah di tepi jalan. Dia sudah kehilangan upaya. Kakinya sudah tidak mampu untuk terus melangkah.

"Amira.. tolong.. kemana sayang pergi?.. tolong, jangan tinggalkan abang.." Rizal akhirnya menangis sambil terduduk di tepi jalan. Kenderaan yang sibuk lalu lalang di sana langsung tidak dihiraukannya. Hatinya pedih, sedih dan kecewa. Dia mengerti jika Amira tidak ingin bertemu dengan ibunya lagi. Namun Rizal tidak dapat memahami, entah kenapa Amira juga harus meninggalkan dirinya. Itu bagaikan satu hukuman tanpa kesalahan yang harus ditanggung olehnya. Malah satu hukuman yang sangat berat, terlalu menyeksa jiwa dan raganya.

Share this novel

Afiqafiya936
2025-03-03 10:43:42 

Aduhai...kenapa sedih sgt ni author..kesiannya Rizal dgn Amira...

Violet Cinta
2025-02-26 20:23:10 

bab kali ni..sedih sgt..wei..apa ni..berhabuk mata aku baca bab ni..apa2pun.thanks

khaez
2025-02-26 19:16:56 

tak sabar nak tunggu next chapter^•^


NovelPlus Premium

The best ads free experience