Sebaik sedar, Sofya terus ambil apa miliknya. Terutamanya kad pengenalannya.
Kad kahwin ditatap seketika. Bila namanya terpampang, terus matanya mencari nama si lelaki.
Hamdan Rauf.
Chauffer kepada Tuan Muda Sanwar.
Berdenyut kepala Sofya. Namanya didaftarkan berkahwin dengan Hamdan.
Terkejut dan buntu Sofya merenung, Dia cuma nakkan sesuatu yang one-time saja. Tapi dia tak dapat nak menyalahkan Hamdan. Cara dia sendiri yang menghampiri Hamdan mungkin membuatkan Hamdan salah faham dan terus daftarkan perkahwinan mereka.
Aku nak sekali je, bukan sepanjang hayat, fikir Sofya, panik.
Rambutnya dipintal. Hendak sahaja dia menampar diri sendiri.
“Hamdan ni gila ke?” Sofya termenung memandang kad kahwin itu lama. “Ini bukan salah dia…” ujarnya sendiri. “Aku…tak yakin nak teruskan hubungan lama macam ni.” Tambahnya lagi. Kad kahwin masih dalam tangannya. “Aku tak rasa sesiapa boleh percayakan aku,”
“Maaf, Hamdan,” kad kahwin diletakkan. Dia cuma mengambil kad pengenalannya sahaja. Dua kad itu dibiar tidak disentuh lagi.
Bila dia tersedar keberadaan dia di dalam bilik itu, dia berpaling keluar. Matahari hendak terbenam tak lama lagi. Suara Hamdan yang sedang bercakap di luar pintu kedengaran. Untuk seketika, dia menghayati suara Hamdan yang membuatkan dia terasa...tenang. Tak lama kemudian, suara Hamdan menjauh dan hilang.
Tanpa berfikir panjang, Sofya perlahan menguak pintu dan menyelinap keluar tanpa lupakan bagasinya yang terletak rapi di tepi kabinet baju milik Hamdan.
Sebaik sahaja dia berjaya melarikan diri, Sofya terus menghala ke lapangan kapal terbang. Tiket satu hala ke Amerika Syarikat dibeli.
Benda pertama yang dibuat Sofya adalah mengfailkan penceraian terhadap Hamdan. Segala dokumen diatur dan dihantar kepada sahabatnya di Malaysia untuk disampaikan kepada Hamdan, si pemandu Tuan Muda Sanwar.
Dia masih muda dan tak bersedia untuk menjadi isteri lagi-lagi dengan Hamdan yang baru berapa kali dia terserempak. Dalam hatinya, dia lebih kesiankan Hamdan dan tak mahu lelaki itu terikat dengannya melalui perkahwinan. Andainya Hamdan setuju untuk tandatangan perjanjian cerai itu, semuanya akan selesai.
Kahwin dua tiga jam macam tu tak ada impak apa-apa pun untuk orang macam Hamdan.
Oh, Sofya, andainya kau tahu yang seminggu sudah berlalu...
Empat bulan kemudian…
Disebabkan sibuk nak larikan diri ke negara orang, Sofya lupa ambil pil selepas bersama dengan Hamdan. Awalnya dia tak terfikir langsung yang dia akan mengandung.
Disebabkan Sofya mempunyai masalah kitaran haid tak teratur dan masalah gastrik yang teruk, dia langsung tak hiraukan simptom yang dialami. Sofya cuma sangkakan yang perutnya tak sedap disebabkan masalah gastriknya.
Sampai satu masa, perutnya rasa terlalu tak selesa, Sofya memutuskan untuk pergi ke hospital. Baru masa itulah dia dapat tahu yang dia sebenarnya sudah pun mengandung dalam beberapa bulan.
Sebaik Sahaja laporan yang menyatakan dia mengandung itu keluar, air mukanya berubah. Fikiran dan perasaanya bercampur baur. Wajah Hamdan terus terpampang dalam fikiran.
Matanya dikalihkan semula memandang keputusan di tangan. Betullah yang dia mengandung. Macam manalah perempuan yang tak reti nak jaga hubungan dengan pasangan macam dia boleh nak jaga budak? Lagi-lagi anak sendiri.
Perlahan Sofya berkedip sambil merenung apa langkah yang perlu diambilnya lepas ni? Jari digenggam resah memikirkan tindakannya selepas ini – gugurkan kandungan.
“Baby dah berapa bulan dah, puan. Kita tak boleh nak teruskan.”
“Puan tak boleh gugurkan kandungan dekat sini. Maaf, Puan,”
“Lagipun Puan mengandung ni kembar. Puan yakin ke nak gugurkan?”
Kembar. Bukan satu nyawa, tapi dua. Dua. Seriuslah dia nak gugurkan kandungan?
Matanya dipejam, tersorok matanya yang berwarna coklat terang bak madu. Hancur perasaannya mendengar respon yang menghalangnya dari gugurkan bayi yang dikandung.
Hinggalah beberapa bulan kemudian, Sofya dimasukkan ke dalam bilik bersalin.
Bila matanya terbuka sahaja, wajah doctor yang menyambut kelahiran anaknya seperti menyandang berita yang kurang baik. “Puan Sofya, salah seorang daripada anak puan tak berapa sihat. Kami dah cuba yang terbaik, tapi…”
Gembira? Sedih…? Sofya tak pasti apa perasaannya sekarang. Tapi, apa yang pasti, hatinya luluh. Lebih luluh daripada hari dimana bapanya sendiri buang dia dari keluarganya.
Lima tahun kemudian…
Rambutnya menyentuh bahu. Dia mengenakan kot paras peha, kasut tumit. Matanya memandang langit sambil menarik bagasi.
Usianya hanya lapan belas tahun ketika dia lari meninggalkan tanah air. Kini dia sudah mencecah umur dua puluh tiga tahun. Wajahnya yang seakan kanak-kanak kini sudah berubah. Dengan usianya sekarang, dia lebih kelihatan dewasa dan semakin cantik.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berjalan di sebelah, menemani wanita itu. Muka kanak-kanak lelaki itu serius. Dapat dibayangkan dalam dua puluh tahun akan datang, dia akan bertukar menjadi seorang lelaki yang kacak dan menarik perhatian ramai. Bibirnya diketap sambil melangkah mengikut Sofya.
“Fiya! Haytham!” seorang wanita meluru ke arah mereka dan terus memeluk Sofya seeratnya.
Bila Sofya sedar yang dia sedang dipeluk rakan karibnya, Mawar, terus Sofya membalas pelukan kawannya itu.
Mawar cepat-cepat melepaskan pelukan untuk lihat sendiri anak Sofya. “Ya Allah, tomeinya…! Handsome la tengok dia depan-depan!”
“Of course. Tengoklah anak siapa,” ujar Sofya tersenyum.
“Mama Mawar?” soal Haytham kepada Sofya. Sofya mengangguk. Haytham mengambil tangan Mawar untuk disalam. Bibirnya lembut mengucup belakang tangan Mawar. Senyuman kecilnya hilang sebelum wajahnya kembali serius.
Mawar mengusap kepala Haytham lembut. “Fuh, macam big boss! Hebat!”
Sekali lagi Haytham tersenyum kecil sebelum kembali serius.
Terhibur hati Mawar melihat gelagat anak buahnya. Namun perasaan itu berganti simpati bila memandang wajah sahabatnya. Sepatutnya Sofya kembali dengan pasangan kembar. Malangnya satu lagi anaknya meninggal kerana terlalu lemah dan agak sakit ketika dilahirkan. Andainya itu tak terjadi…
Sambil tersenyum, Sofya teringatkan Hamdan bila memandang anak lelakinya. Kecil-kecil lagi sifat keperibadiannya sudah hampir sama dengan bapanya.
Tapi apa boleh buat? Bapa Haytham cuma seorang pemandu, buka CEO macam yang dikatakan Mawar.
Mawar tahu sahabatnya lapar, jadi dia bawa ibu dan anak berdua itu ke sebuah restoran bufet.
Alang-alang Haytham dah pandai ambil makanan sendiri, Sofya tidak bangun menemani anaknya.
Sebaik sahaja Mawar melabuhkan punggung ke kerusinya, dia terus berbisik perlahan dengan Sofya. “Kau biar betul nak bagi dia dekat ayah dia?”
“Mm… Aku takde pilihan lain,” ujar Sofya. “Dia ayah kandung Haytham. Aku rasa dialah yang sesuai untuk jaga anak aku sampai besar,”
Mawar termenung berfikir seketika. “Penyakit kau ni memang tak boleh nak rawat ke?” risau suara Mawar berbisik.
“Kanser gastrik aku dah teruk sangat. Tinggal setahun je lagi aku ni. Daripada aku bazirkan duit buat rawatan sana sini yang belum tentu jadi ke tak, baik aku cari duit untuk Haytham guna dengan Hamdan. Kurangnya ringan la hati aku nanti…” lemah Sofya tersenyum mengimbau penyakit yang menyerang tubuh.
Walaupun dia kelihatan tenang, Tuhan sahaja yang tahu apa yang dia simpan dalam hati.
Untuk seketika, Mawar cuma mendiamkan diri. Dia meletakkan semangkuk bubur di hadapan Sofya sebelum berkata-kata semula. “Aku dah hantar dah dokumen penceraian tu dekat dia dulu macam kau suruh. Tapi tulah…” Mawar mengeluh perlahan. “Aku tak taulah kalau dia kahwin baru ke apa ke…”
“Sebab tu aku nak mintak tolong kau tengokkan Haytham untuk aku dalam beberapa hari ni. Aku nak korek pasal Hamdan ni lagi. Kalau dia dah kahwin ke, ada anak ke, aku memang takkan kacau dia dah. Tapi kalau dia masih single and sanggup nak jaga Haytham, aku still kena pastikan yang dia lelaki yang baik. Haytham kena tinggal dengan dia bertahun lagi,” semua ini sudah difikirka oleh Sofya sebelum dia kembali ke Malaysia.
“Hmm… Betullah tu.” balas Mawar perlahan. “Takpe, aku boleh jaga Haytham untuk kau. Aku pun bukannya ada kerja sekarang, so no problem ah,” Mawar mengusap lembut tangan Sofya untuk melegakan keresahan yang dialami sahabatnya. “Oh, ni,”
Sofya memandang Mawar menarik keluar segugus kunci dari dalam beg tangannya.
“Kunci rumah yang kau mintak aku belikan tu.”
Share this novel