Bab 3

Romance Series 1791

FARRAH berdiri kaku di balik pintu yang tertutup perlahan.

Bunyi derapan kasut Hareez sudah semakin jauh, tenggelam bersama bunyi lif yang berdenting sunyi. Lelaki itu sudah pergi ke kuliah, dengan beg kulit dan wajah tenangnya yang seperti biasa.

Dan Farrah, untuk pertama kali, tinggal sendirian di ruang peribadi milik lelaki itu.

Dia menahan nafas, mendengar bunyi-bunyi kecil. Tidak ada apa-apa. Tiada televisyen, tiada bunyi muzik perlahan, tiada juga detik jam dinding. Rumah ini terlalu besar dan terlalu sunyi.

Namun entah kenapa, Farrah rasa nyaman. Dia menghembus nafas, sedikit lega.

Perlahan-lahan, dia melangkah ke ruang tamu. Cahaya pagi yang samar menembusi langsir putih nipis yang separa lut sinar. Udara sejuk menyentuh kulitnya.

“Bestnya rumah doktor… Nyaman, tenang…”

Farrah melabuhkan tubuh kecilnya di atas sofa kelabu yang luas. Sofa itu terasa empuk, dingin menyapa kulitnya. Matanya memerhati ruang itu. Bantal kecil yang sedikit kemek di sebelahnya, cawan kaca kosong di atas meja kopi, coaster kayu yang masih berbekas, dan fail kulit coklat tua yang separuh terbuka.

Dia menyandar kepala ke belakang, memandang siling tinggi tanpa hiasan. Berada di sini buat dia rasa terlindung, dilindungi.

"Kalau aku tinggal sini, mungkin aku boleh tidur lena setiap malam," bisik hatinya perlahan.

Dia menarik nafas panjang, lalu menghembus perlahan. Matanya tiba-tiba tertancap semula pada fail yang terbuka di atas meja. Jelas tertera namanya di situ.

Farrah Adeline binti Ammar, 22 tahun.

Tangannya menggigil sedikit. Ada dorongan kuat untuk membuka fail itu, mengetahui apa sebenarnya yang Hareez fikir tentang dirinya. Perasaan ingin tahu yang selama ini tidak pernah sebesar ini, muncul mendadak.

"Ini tentang aku jugakan? Jadi kalau aku baca pun, tak salahkan?”

Tangannya dah menggapai. “Aku cuma nak tahu, apa yang dia fikir tentang aku..."

Farrah akhirnya mengalah. Dia mencapai fail itu dengan hati-hati, menyelak helaian demi helaian. Tercatat sesi terapi mereka. Tarikh-tarikh penting, simptom yang dicatatkan, analisis umum.

Namun pada helaian seterusnya, tulisan Hareez berubah nada. Tulisan tangan yang sedikit bersepah. Macam ditulis santai.

[Pesakit kurang berkomunikasi secara lisan, tetapi sangat responsif terhadap nada suara lembut dan ruang yang tidak menghakimi. Cik Farrah lebih cenderung meluahkan emosinya melalui seni visual. Kebanyakan lukisannya menggambarkan objek tunggal seperti kerusi, pintu, ruang kosong.]

Farrah terpaku, dadanya berombak perlahan. Dia selak helaian lagi.

[Cik Farrah mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap suara dan kehadiran tertentu untuk merasa stabil. Saya perhatikan dia lebih tenang apabila saya diam di sisi, tanpa terlalu banyak bertanya. Ini bukan kaedah biasa dalam terapi trauma, tapi saya nampak kesan positifnya pada Cik Farrah.]

Farrah menutup mulutnya, mata terasa panas. Tulisan Hareez terlalu jujur, terlalu peribadi.

Dan di bawahnya, sesuatu yang lebih mengejutkan..

[Saya tak tahu kenapa aku tulis semua ini. Ia bukan sebahagian daripada laporan rasmi. Saya menulis ini bukan sebagai doktor, tapi jiwa yang nak memahami…]

"Ya Allah..." Farrah menutup fail dengan cepat. Jantungnya laju. Apa yang aku buat ni?

Dia rasa bersalah. Bersalah kerana membaca sesuatu yang tidak patut dia baca. Tetapi jauh di sudut hati, dia rasa dihargai. Didengari. Difahami.

"Dia faham aku," bisiknya sendiri, nafas sedikit gugup.

TOK! Tok! Tok!

Farrah terlonjak. Matanya segera beralih ke arah pintu utama. Ketukan pintu kedengaran lagi, kali ini lebih kuat.

"Hareez, Ameera ni. Buka pintu."

Suara seorang wanita kedengaran jelas dari luar. Garau, keras, dan sedikit bergetar.

Farrah berdiri tegak, tubuhnya mula menggigil. Siapa pula ni?

"Hareez, I tahu you dekat dalam. Jangan tipu. I dengar bunyi orang bergerak tadi. Bukalah pintu ni."

Farrah pejamkan mata. Nafasnya tertahan, dadanya sesak tiba-tiba.

"Kalau you sorok perempuan lain dalam rumah ni, I sumpah,"

Farrah kaku. Dia pandang sekeliling, mencari tempat untuk bersembunyi, tapi kakinya langsung tak mampu bergerak.

Ketukan pintu semakin kuat, semakin mendesak.

"Bukalah pintu ni sekarang, Hareez!"

Suara itu bergema dalam ruang yang luas dan sepi, menghentak jantung Farrah dengan rasa takut dan gelisah yang semakin mencengkam.

Farrah menggigit bibirnya kuat-kuat. Apa aku nak buat sekarang? Mana aku nak pergi?

Rumah yang tadi dirasakan selamat kini bertukar menjadi perangkap yang menghimpit dadanya. Jantungnya berdegup terlalu pantas, memekakkan telinga. Tangannya mencengkam tepi sofa, tubuhnya semakin menggeletar.

"Hareez!" Suara wanita itu meninggi lagi, penuh kemarahan dan sakit hati. "I dengar bunyi orang bergerak dekat dalam tu. Jangan buat I macam orang bodoh. Buka pintu ni!"

Farrah memejamkan mata sekali lagi, seluruh tubuhnya rasa lemah. Nafasnya semakin laju, hatinya menjerit meminta agar lelaki itu segera pulang.

"Doktor, cepatlah balik... Tolonglah..." bisiknya dengan suara yang hampir tidak kedengaran.

PADA masa yang sama.

Dr. Hareez baru selesai kuliah. Tangan masih menggenggam pen marker, buku catatan masih di atas meja. Suara pelajar mula surut dari bilik kuliah.

Dia menghembus nafas, akhirnya selesai.

Hareez tarik telefon dari dalam poket. Paparan menyala.

Tiga puluh dua mesej WhatsApp.
Enam panggilan tak dijawab.

[Ameera]
"You ingat I tak tahu? Buka pintu tu sekarang!"

"You ada sorok perempuan lain ke dalam rumah tu?! Sampai sanggup ignore I!"

"I swear to God, Hareez. Jangan cabar I."

Dahi Hareez berkerut. Wajahnya serta-merta pucat.

"Ya Tuhan..."

Tangannya segera menekan butang panggilan. Tapi tiada jawapan. Dia capai beg kulitnya. Langkahnya panjang, tergesa.

"Farrah...

...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience