Bab 36

Romance Series 59840

SENYUMAN terukir pada wajah Amira. Wanita itu gembira apabila melihat pantulan dirinya di dalam cermin. Gaun biru muda yang dikenakan terlihat sangat cantik dan sesuai dengan dirinya. Dia turut mengenakan tudung yang sedondon warnanya dengan gaun yang baru dibelinya semalam bersama Shahira. Seketika kemudian, Amira mendekatkan wajahnya pada cermin. Menilik penampilan dirinya. Solekan tipis yang dikenakan pada wajahnya menaikkan seri dan menyerlahkan lagi kecantikan wanita tersebut.

Hari itu, rumah Tan Sri Hanafi akan mengadakan majlis kesyukuran sempena kepulangan Rizal. Ramai sanak-saudara dan kenalan bapa mentuanya itu akan hadir ke sana. Jadi Amira selaku isteri Rizal juga harus berpenampilan menarik dan menjaga imej suami dan mentuanya. Sambil melihat dirinya di dalam cermin, Amira memegang dan menggosok perutnya dengan telapak tangan.

"Hmm, nasib baik baru dua bulan.. kalau dah jadi mak buyung, aku tak boleh nak pakai dah gaun macam ni.." Amira berceloteh sendiri sambil memerhatikan perutnya.

Mengenangkan anak di dalam kandungannya, Amira mula memikirkan hubungannya dengan Rizal. Dia meyakinkan dirinya, jika dia harus pertahankan hubungan mereka. Bukan kerana harta yang dimiliki oleh keluarga suaminya, tetapi demi cinta antara mereka berdua. Malah Amira sendiri senang hati dengan penerimaan Tan Sri Hanafi dan Shahira terhadapnya. Cuma kadang-kala, hati kecilnya sedikit terguris dengan layanan yang diterima daripada ibu mentuanya. Puan Sri Rohayu seakan tidak ingin menerima dirinya di dalam keluarga mereka. Walaupun ibu mentuanya itu tidak meluahkan penolakannya terhadap Amira secara langsung, namun wanita muda itu tetap dapat melihat tindak tanduk ibu mentuanya yang agak dingin dan jarang menegurnya.

"Sayang, mana baju abang?" Rizal tiba-tiba muncul dari bilik air dan bertanya kepada Amira. Lelaki itu baru selesai mandi dan ingin bersiap untuk majlis  yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Itu, sayang dah gosokkan.. tersangkut kat dinding tu.." Amira menunjukkan ke arah baju batik yang berwarna biru muda, sedang tergantung pada dinding. Baju kemeja batik itu terlihat sedondon warnanya dengan gaun yang dikenakan oleh Amira.

"Wow.. cantiknya sayang.." Rizal terpukau dan membeliakkan matanya di saat melihat Amira yang sudah lengkap berpakaian. Lelaki yang hanya mengenakan tuala pada pinggangnya itu mendekati Amira dan cuba memeluk isterinya.

"Ish, jangan la... sayang dah pakai cantik-cantik ni.. abang tu basah lagi.. lap la betul-betul bagi kering.." Amira cuba mengelak. Risau jika pakaiannya basah dan solekan nipis pada wajahnya terhapus gara-gara ulah suaminya.

"Ah, ye la.." Rizal lantas melucutkan tuala yang dipakainya dan kembali mengelap tubuh dan mengeringkan rambutnya.

"Ehhh.. abang ni. tak senonoh betul.. pakai la tuala lain buat lap.. duk telanjang kat sini.. kang ada orang lain masuk dalam bilik ni, baru tau.." Amira menepuk-nepuk lengan suaminya dengan geram. Lelaki itu benar-benar tidak tahu malu.

"Ah, siapa je yang nak masuk bilik kita.. mana ada orang lain dah kat sini.. sayang sorang je.." balas Rizal dengan selamba.

Tuk..tuk..tuk..

Tiba-tiba pintu bilik mereka diketuk dari luar oleh seseorang. Rizal kelam kabut melilitkan kembali tuala pada pinggangnya dan tergopoh-gapah berlari, cuba menyorok ke suatu sudut yang terlindung dari arah pintu biliknya. Melihatkan keadaan suaminya yang cemas itu, Amira mula ketawa terbahak-bahak.

"Haa..kan sayang dah cakap.. tau pun takut.. nasib baik orang ketuk dulu.. kalau tiba-tiba masuk, tak ke malu.." Amira meneruskan tawa sambil berjalan menuju ke arah pintu bilik. Daun pintu dibuka separuh dan Amira menjenguk untuk melihat gerangan yang mendatangi biliknya dan mengetuk pintu sebentar tadi.

"Kak Mira.. akak dah siap ke?" Shahira berdiri di depan pintu bilik.

"Ah, Ira.. dah.. akak dah siap.. tunggu abang Riz je.. dia baru siap mandi.." Jawab Amira.

"Wah, cantiknya akak.. mana Ira tengok.. cuba keluar.." Shahira meminta Amira keluar dari bilik untuk melihat penampilan kakak iparnya itu. Amira patuh. Dia segera melangkah keluar dan kembali menutup pintu bilik. Khawatir jika suaminya yang tidak berpakaian di dalam bilik, terlihat oleh Shahira.

"Wow.. you look gorgeous!" Puji Shahira setelah melihat Amira yang lengkap memakai gaun dan bersolek. Amira hanya tersenyum setelah menerima pujian daripada adik iparnya itu.

"Tapi.. macam ada something yang kurang.. hmm.." Shahira mengerutkan dahi dan memincingkan mata. Ibu jari dan telunjuk kanannya memegang dagu sambil memerhatikan Amira dari hujung kepala sehingga hujung kaki.

"Ada yang tak kena ke?" Amira sedikit ragu. Gaya tatapan Shahira kepadanya menunjukkan seolah ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

"Ah, okey.. akak ikut Ira jap.. jom.." Shahira menarik tangan Amira dan menuntun kakak iparnya itu untuk bergerak bersamanya.

"Kita nak pergi mana?" Amira terpinga-pinga namun tetap menurut langkah kaki adik iparnya itu.

"Bilik Ira.." Shahira menjawab singkat. Kakinya terus melangkah dan Amira pula terus membuntuti gadis tersebut.

Masuk ke bilik Shahira, Amira terlopong kagum. Matanya terpukau. Keluasan bilik tidur adik iparnya itu sama luasnya dengan bilik Rizal. Namun bilik gadis tersebut lebih rapi walaupun mempunyai susunan almari yang lebih banyak. Almari yang tinggi dan besar tersusun dengan teratur. Setiap almari mempunyai fungsi yang berbeza. Amira melihat barisan almari itu satu persatu. Adanya almari khusus untuk pakaian. Almari koleksi tudung pula pada tempat yang berbeza. Di sebelah pula terdapat almari koleksi kasut. Ada pula almari khusus untuk tas tangan. Di suatu sudut, kelihatan pula almari yang tertutup. Apabila pintu almari dibuka, terlihat susunan rak yang bertingkat. Mata Amira semakin luas terbeliak. Di dalam almari tersebut, terdapat pula koleksi jam tangan dan alat perhiasan seperti kalung leher, gelang dan cincin emas yang bertatahkan berlian dan pelbagai jenis batu permata.

"Wah.. semua ni koleksi Ira?" Amira kagum dan teruja.

"Yup.." Shahira menjawab ringkas. Tangannya kemudian mencapai satu kotak kaca yang di dalamnya terdapat satu kalung dengan loket berlian berwarna biru. Di sekeliling loket berlian itu, terhias pula dengan susunan batu nilam yang bersaiz kecil yang melingkari. Kalung tersebut dikeluarkan dari kotaknya dan dipertunjukkan kepada Amira.

"Heart of the ocean.. Ira rasa, rantai ni sesuai dengan akak.. sini, Ira tolong pakaikan.."

"Eh, taknak la akak.. mesti mahal rantai ni.. tak payah la Ira.." Amira cuba menolak walaupun dia sebentar tadi sudah terpukau dengan kecantikan kalung tersebut. Bagi Amira, dia tidak layak untuk mengenakan perhiasan seindah itu. Dia sangat yakin jika rantai leher tersebut sangat mahal harganya.

"Ala.. rantai ni bukan Ira pun yang beli.. Papa yang bagi kat Ira.. Ira pun tak pakai.. selama ni, baru sekali je Ira pakai.." Shahira memakaikan kalung tersebut ke leher Amira.

Amira kemudian melihat rantai leher yang tergantung pada lehernya itu melalui cermin kaca yang terdapat pada pintu almari.

"Wah, cantik betul.. rasanya akak tak layak la pakai rantai ni.." Amira masih kurang kepercayaan diri dan ragu-ragu untuk memakai perhiasan yang dikenakan oleh Shahira kepadanya itu.

"Apa pulak tak layak.. tu akak dah pakai.. kan sesuai je dengan akak.. kalau akak suka, akak ambil je.. Ira bagi kat akak.. lagipun rantai tu dari Papa.. Papa pun pun tak kisah kalau menantu dia yang pakai."

"Berapa harga rantai ni? mesti puluhan ribu.." Amira masih ingin tahu dan cuba berteka-teki.

"Hmm.. boleh tahan jugak la harga dia.. rantai tu Papa beli kat majlis lelong kat UK dulu.. kalau tak silap, rantai ni, Queen Elizebert pernah pakai.. harga yang Papa dapat untuk menang bid tu, kalau di convert ke ringgit, lebih kurang 200 juta something gitu la.." Shahira cuba menjawab pertanyaan kakak iparnya dengan jujur.

"200 juta?!  Ah, tolong bukak balik.. akak tak nak pakai.. please Ira.. tolong.. akak taknak.." Amira yang terperanjat menjadi cemas dengan serta-merta. Nilai rantai leher tersebut terlalu jauh dan mahal daripada andaiannya. Fikir Amira, bahkan jika dia mati hidup semula pun, dia takkan mampu untuk mengumpulkan wang sebanyak itu. Kini dia sangat risau jika kalung tersebut mengalami kerosakan atau hilang jika terus berada pada badannya. Amira sangat ketakutan sehingga gementaran dan hampir menangis.

"Kak.. ini pemberian Ira kat akak.. mulai sekarang, rantai ni jadi hak akak.. akak nak pakai ke, nak simpan ke, terserah kat akak.. kalau akak tak suka, akak buang je.. Ira dah taknak ambil balik rantai ni.." Shahira berkeras untuk Amira menerima pemberiannya. Kedua tangannya memegang kemas hujung lengan kakak iparnya itu.

"Tapi.. rantai ni terlalu mahal.. akak tak layak.. tolong Ira.. akak tak nak.." Amira hampir menumpahkan air mata. Dia benar-benar takut jika merosakkan atau kehilangan rantai tersebut.

"Kak.. Akak jangan duk fikir berlebihan.. Akak sekarang ni kakak ipar Ira.. isteri abang Riz.. menantu Papa, Tan Sri Hanafi.. Setakat rantai ni, apa la sangat.. akak kena tahu, you're more precious than this thing.. Akak jangan fikir pasal harta benda, pasal kekayaan, wang ringgit.. itu semua takde nilainya kak.. Diri akak sendiri yang lebih bernilai.. Tiada yang lebih bernilai daripada diri kita sendiri. Bagi kami, akak lebih penting dan lebih bernilai daripada harta dunia ni semua.. Ingat kak, harta dunia ni takkan kekal.. tapi kasih sayang itu kekal selamanya.. kita sebagai keluarga, nanti di akhirat, kita boleh tarik dan tinggal bersama orang yang kita sayang di dalam syurga.. Ira harap, kita sekeluarga nanti pun, akan tetap bersama di dalam syurga.." Shahira berceramah dalam memberi penerangan. Dia ingin Amira mengerti dan tidak membezakan diri antara mereka melalui harta.

Amira mengangguk kecil sambil menangis. Air matanya tumpah membasahi pipi setelah mendengar kata-kata Shahira. Ucapan adik iparnya itu membuatkan Amira terharu dan merasa disayangi serta disanjungi oleh keluarga suaminya. Wanita yang sudah luluh emosinya itu segera mendakap Shahira dan melepaskan tangisnya sepuas hati. Shahira pula tersenyum sambil membalas pelukan dan mengelus lembut belakang badan kakak iparnya.

"Ish, akak ni.. dah la.. jangan la menangis.. rosak make up tu nanti.. majlis dah nak start sekejap lagi.." pujuk Shahira sambil mengusik kakak iparnya.

"Ah, ambil jugak gelang tangan ni buat pakai.. memang nampak sepasang dengan rantai tu.. matching dengan pakaian akak hari ni.." Shahira menggunakan tangan kirinya untuk mencapai satu kotak kaca lain yang mengandungi rantai tangan yang turut bertatahkan berlian yang kebiruan.

"Ira.. dah la.. akak tak nak dah.." Amira mula melepaskan pelukannya terhadap Shahira. Mata wanita itu kemudian beralih ke arah rantai tangan yang dipegang pada tangan Shahira.

"Akak ni.. apa je yang baru Ira cakapkan? takkan dah lupa.. jangan menolak.. pakai je untuk hari ni.." Shahira memaksa kakak iparnya untuk menerima gelang pemberiannya. Shahira lalu memakaikan gelang tangan tersebut tangan kanan Amira.

"Ah, lagi satu.." Ucap Shahira.

"Apa lagi? dah la Ira.." Amira kembali rimas dengan pemberian Shahira.

"Ini last.. akak kena pakai.. jam tangan ni.." Shahira mengeluarkan pula sebuah jam tangan wanita berjenama cartier lalu di pakaikan pada tangan kiri kakak iparnya. Setelah selesai memakaikan perhiasan kepada Amira, Shahira kembali menilik penampilan wanita tersebut.

"Hmm.. ini baru betul.. perfect!" Luah Shahira sambil mengangkat ibu jari tangannya. Amira pula mencebik bibir. Terasa dirinya seolah dijadikan sebagai anak patung oleh adik iparnya itu. Namun Amira pasrah. Dia tahu Shahira hanya menginginkan dirinya tampil dengan penuh bergaya di hadapan para tetamu yang akan datang ke rumah mereka nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience