Bab 2

Romance Series 6616

Cahaya matahari petang menembusi di sebalik tubuhnya, mencipta bayangan panjang yang menambahkan lagi aura luar biasanya.

Melihat cucunya, wanita tua itu tampak puas hati. Dia berpaling ke arah Laila dan memberikan isyarat halus. Laila segera memahami arahan itu dan beredar dengan pantas.

Lelaki itu kemudian membongkok sedikit, menggenggam tangan neneknya dengan penuh hormat.

Melihat wajah tua itu yang berpura-pura marah dengan bibir dimuncungkan sedikit, dia tertawa kecil. Suaranya dalam dan serak, tetapi dipenuhi kelembutan.

“Siapa yang berani buat nenek marah ni? Biar saya ‘ajar’ dia cukup-cukup.”

Wanita tua itu menjuihkan bibirnya, matanya penuh sindiran.

“Siapa lagi kalau bukan kamu, cucu tak guna?! Nenek nak cicit!”

Lelaki itu, Eizman, menghela nafas perlahan. Ada kilatan pasrah di matanya.

“Nenek, Iz baru je balik dari luar negara. Mana nak cari perempuan untuk lahirkan cicit untuk nenek?”

Wanita tua itu mendengus kecil. “Cit, baru konon. Dah bertahun-tahun nenek minta, itu jelah asalan kau tiap kali nak mengelak!”

Wanita tua itu mengembungkan pipinya seperti seseorang yang sedang merajuk, tetapi matanya yang tajam mula melirik ke arah seseorang di kejauhan.

Laila baru sahaja tiba, berdiri di sisi Ayana, menunggu arahan selanjutnya. Wanita tua itu mengangkat tangannya dan melambai ke arah gadis itu.

Ayana sedikit ragu-ragu, namun akhirnya tetap mengikut langkah Laila.

Eizman berdiri tegak ketika melihat Laila membawa seorang gadis bertubuh langsing ke arah mereka.

Matanya meneliti gadis itu dengan penuh perhatian. Wajahnya pucat, tetapi kecantikannya tetap terserlah.

Pakaian hospital yang longgar berkibar ditiup angin, memperlihatkan betapa kurus tubuhnya yang tersembunyi di baliknya.

Eizman mengerutkan dahi sedikit, mengerdip beberapa kali sebelum akhirnya menyedari sesuatu.

Dia mengenali gadis ini.

Sebaik sahaja Ayana tiba di hadapan mereka, dia segera mengalihkan pandangan apabila menangkap kewaspadaan dan keraguan dalam mata gadis itu.

Terkejut.

Ini kali pertama seorang wanita memandangnya dengan begitu tenang.

Tatapan itu tidak lama bertumpu padanya. Ia hanya sekilas sebelum beralih ke arah neneknya.

Dingin. Tenang. Terkawal.

Pandangan itu, dipenuhi dengan kesejukan dan ketenangan, bukan sahaja mengejutkannya, malah menimbulkan sedikit rasa kekalahan dalam dirinya. Seakan-akan kehadirannya langsung tidak memberikan kesan kepada gadis itu.

Dia kehilangan kata-kata buat seketika. Bibir nipisnya melengkung sedikit dalam gerakan yang hampir tidak kelihatan.

“Erm… Apa khabar?”

Ayana sedikit membongkok ketika berbicara, suaranya lembut tetapi jelas mencerminkan keletihan akibat keadaannya yang masih belum pulih sepenuhnya.

Adegan itu mencipta riak halus dalam mata Eizman.

Dia perasan sesuatu.

Ketika bercakap dengan seseorang yang berkerusi roda, seseorang harus mengelakkan mereka daripada perlu mendongak terlalu lama kerana ia boleh menjejaskan tulang belakang.

Itulah perkara yang sentiasa diambil perhatian oleh Eizman. Dan kini, gadis ini…

Dia juga tahu tentang itu.

Wanita ini, bukan seperti kebanyakan orang lain.

Senyuman di mata wanita tua itu semakin mendalam. Dia menggenggam tangan Ayana, menatapnya lama sebelum mengangguk berkali-kali.

“Baik sangat baik! Kamu ni pun, nampak baik!”

Ayana tidak pasti apa yang sedang berlaku, namun dia hanya mampu mengekalkan senyuman sopan yang tidak terlalu canggung.

"Janganlah takut. Nenek bukan jahat. Nenek bosan je tadi, ternampak kamu, tu yang Nenek panggil kamu ke sini. Maaflah kalau Nenek dah ganggu kamu.”

Nada suara wanita tua itu mesra, seakan-akan ingin menenangkan sebarang kegusaran dalam diri Ayana. Ayana menggeleng perlahan, menerima keramahan itu tanpa rasa curiga.

“Tak apa Nek. Saya pun sorang-sorang je tadi.”

Ketika kata-kata itu terluah, sekelumit kepahitan melintas di mata jernih Ayana.

Wanita tua itu menyedarinya. Jemarinya yang berkerut perlahan-lahan menggenggam tangan Ayana, menepuknya lembut seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu yang tidak terucap.

Hatinya terasa pedih melihat gadis ini.

“Nama kamu siapa?”

“Ayana. Nama saya Ayana.”

Wanita tua itu tersenyum.

"Ayana. Lembut dan segar, umpama kelopak bunga di taman selepas kena hujan. Kan Iz kan?

Dia berpaling ke arah cucunya dengan pandangan penuh makna, dan jelas ada ancaman tersembunyi di dalamnya. Seakan-akan memberi amaran bahawa cucunya perlu bersetuju dengannya, atau bersedia menerima akibatnya.

Senyuman tak berdaya terbit di wajah Eizman, tetapi dia tetap mengangguk perlahan, berpura-pura setuju.

“Ya nek. Cantik nama tu.”

“Dan sangat serasi!”

Wanita tua itu mengangkat keningnya dengan sengaja sebelum berpaling kepada Ayana.

“Mari, Ayana. Biar nenek perkenalkan kamu dengan cucu nenek, Eizman.”

Ayana mengangkat kepalanya, mengalihkan pandangan kepada lelaki yang sejak tadi hanya berdiri di tepi, lebih banyak memerhati daripada bersuara.

Namun, dia tidak menjangka bahawa tatapannya akan bertembung terus dengan mata lelaki itu.

Pandangan itu gelap, dalam, tetapi tidak kosong.

Lelaki itu memiliki wajah yang tampan, serta aura elegan yang tidak dapat disangkal. Sekali pandang, sesiapa sahaja dapat meneka bahawa dia bukan orang biasa.

Ayana merasakan seolah-olah pernah melihatnya sebelum ini, tetapi dia tidak dapat mengingat dengan tepat di mana.

Mungkin ingatannya telah gagal. Lagipun, bagaimana mungkin seseorang boleh melupakan lelaki sebegini luar biasa?

Eizman akhirnya bersuara, memecahkan keheningan di antara mereka.

“Hai, saya Eizman.”

“Hai, saya Ayana.”

Ayana membalas sapaan itu dengan nada sopan, cuba untuk bangun. Namun, ketika cuba meluruskan badannya, pergerakannya tiba-tiba terhenti.

Mungkin kerana terlalu lama mencangkung, ditambah dengan kecederaan di pinggangnya, rasa kebas menjalar ke seluruh kakinya. Dalam sekelip mata, tubuhnya kehilangan keseimbangan dan terdorong ke belakang.

“Hati-hati.”

Matanya membulat dalam ketakutan, menyedari bahawa dia akan jatuh. Namun, sebelum tubuhnya benar-benar menyentuh tanah, suara dalam dan jernih kedengaran di atas kepalanya.

Sekelip mata kemudian, sepasang lengan yang kuat dan tegap melingkari pinggangnya, menyokong tubuhnya yang lemah dan membantunya berdiri semula.

Tetapi, tanpa dia sedari, pergerakan itu membuatkan dirinya jatuh lebih dalam ke dalam pelukan lelaki itu.

Eizman.

Haruman lembut dan maskulin yang menyenangkan menyusup ke hidungnya, menyelitkan perasaan janggal yang sukar diungkapkan.

Refleksnya pantas mendorongnya untuk menolak lelaki itu, tetapi kebas di kakinya mengkhianati dirinya sendiri. Tubuhnya kembali terhuyung-hayang, dan sekali lagi, dia jatuh tepat ke dalam dakapan Eizman.

Secara naluri, tangannya mencengkam bahu lelaki itu untuk menstabilkan diri.

Pada masa yang sama, lengan yang masih melingkari pinggangnya mengetat sedikit, seolah-olah melindungi tubuhnya yang rapuh. Dengan mudah, lelaki itu mengangkatnya semula.

Ayana menggigit bibirnya. Ini sudah kali kedua dia ‘terjatuh’ dalam pelukan lelaki itu. Perasaan bersalah dan janggal menyelubungi dirinya.

“Jangan bergerak dulu.”

Suara dalam dan tegas itu serta-merta membuatkan dia kaku, menghentikan niatnya untuk melarikan diri.

Kehangatan dari tapak tangan lelaki itu meresap menembusi pakaian hospitalnya yang nipis.

Tubuhnya melekap rapat pada dada bidang Eizman, wajahnya tersembam di situ, dan dalam keheningan yang aneh, dia dapat mendengar degupan jantung lelaki itu, kuat, mantap, dan memukau.

Jantungnya sendiri mula berdegup kencang. Wajahnya yang pucat perlahan-lahan diserikan dengan rona merah samar.

Ini kali pertama dia berada begitu dekat dengan seseorang.

Walaupun bertahun-tahun bersama Zaqwan, hubungan mereka hanya sekadar pelukan ringan yang hampir tidak memberikan sebarang kehangatan.

Meskipun hubungan itu tampak normal, itulah batas yang mampu diterimanya.

Namun, kali ini… segalanya terasa berbeza.

Eizman menikmati saat tubuh Ayana berada dalam pelukannya.

Pinggang gadis itu terasa begitu kecil, hampir separuh sahaja dapat dicengkam oleh lengannya yang tegap.

Keningnya sedikit berkerut.

Matanya jatuh pada tubuh wanita itu yang terlalu kurus dalam dakapannya, seolah-olah cuba memahami sesuatu yang tidak dapat dijelaskan.

Tanpa sedar, dalam keheningan itu, dagunya secara semula jadi berehat di atas kepala Ayana. Rambut gadis itu yang lembut menyapu dagunya perlahan, menimbulkan rasa geli yang halus.

Sekelip mata kemudian, pandangannya jatuh pada leher langsingnya.

Pakaian hospital yang longgar memberikan sedikit celahan kepada bentuk tubuhnya yang tersembunyi.

Mata Eizman sedikit menggelap.

Dan ketika wanita dalam pelukannya bergerak sedikit, bau haruman yang lembut dan menyegarkan menyelinap ke deria baunya.

Tanpa sedar, dia terhanyut seketika.

Pada saat itu, Ayana menggerakkan tubuhnya sekali lagi. Kebas di kakinya sudah beransur hilang, dan dengan suara perlahan, dia berkata,

“Terima kasih… Saya dah okay sekarang…”

Eizman merasakan sedikit debaran dalam hatinya, tetapi dia tetap melepaskannya dengan berhati-hati.

Dia memastikan tubuh Ayana benar-benar stabil sebelum menarik tangannya sepenuhnya.

“Betul awak okay?”

Wajah Ayana serta-merta berubah merah, tetapi dia tetap mengangguk.

“Ya, saya tak apa-apa. Maaf, tadi kaki saya tiba-tiba kebas.”

Eizman tersenyum kecil sebelum berkata,

“Tak apa, saya tahu.”

Wanita tua yang menyaksikan kejadian tadi, terkejut pada awalnya. Namun, setelah melihat interaksi mereka, matanya yang cerah bersinar dengan kegembiraan dan kepuasan.

Nampaknya, cucunya itu bukanlah sekeras batu seperti yang disangkanya.

Ayana masih berdiri di tempat asalnya, tetapi sebaik sahaja kata-kata Zaqwan melintas di fikirannya, dia berpaling kepada wanita tua itu.

“Nenek, saya minta diri dulu ya. Wad Nenek yang mana? Nanti saya datang lawat Nenek.”

Wanita tua itu tersenyum kecil sebelum menunjuk ke satu arah.

“Yang tu. Nampak piuntu hujung tu? Masuk je dalam tu kalau kamu datang.”

Dia berhenti seketika, dan seulas senyuman licik terbit di bibirnya. Matanya yang bijaksana bersinar dengan niat yang terselindung.

Wanita tua itu mula meraba-raba seluruh badannya. Matanya melilau mencari sesuatu.

“Alamak… Nenek ingat nak minta nombor telefon kamu nanti. Takut kamu tak jumpa bilik Nenek. Tapi telefon Nenek tertinggal pulak.”

Laila yang memahami situasi segera menyeluk poketnya untuk mengeluarkan telefon. Dia menghampiri wanita tua itu.

“Puan…”

Namun, sebelum dia sempat menghulurkannya, wanita tua itu hanya menjelingnya sekilas dengan pandangan memberi amaran.

Laila yang menangkap maksud tersirat itu segera melangkah ke belakang.

“Eizman, mana telefon kamu? Tolong simpankan nombor Ayana untuk Nenek.”

Eizman mengangkat kening sedikit. Dia sudah boleh mengagak niat sebenar neneknya, tetapi dia tidak berkata apa-apa.

Dengan tenang, dia mengeluarkan telefon hitam dari poketnya sebelum mengalihkan pandangan kepada Ayana.

“016-…”

Selepas memasukkan nombor telefon Ayana, dia menyimpan semula telefonnya.

Sekilas, matanya jatuh pada susuk tubuh Ayana yang langsing dan kelihatan sedikit menggigil.

Tanpa berkata apa-apa, dia menanggalkan blazernya lalu menyelimutkannya ke atas bahu gadis itu.

Haruman kehangatan segera menyelubungi Ayana.

Blazer itu masih membawa sisa hangat dari tubuh lelaki itu, membuatkan dia sedikit kaku.

“Pakai ni. Badan awak sejuk sangat tu,” kata Eizman dengan suara tenang.

Mata jernihnya memandang Ayana dengan tatapan yang sukar ditafsirkan.

Ayana tidak pasti mengapa hatinya tiba-tiba terasa lembut. Dan entah kenapa… ada rasa sebak yang mencucuk di matanya.

Ayana tidak pernah menyangka bahawa seorang asing akan memberikan kehangatan dan perhatian yang dia perlukan saat ini.

Namun, akhirnya dia tidak menerima kebaikan itu.

Dengan lembut, dia menghulurkan kembali blazer yang disarungkan ke bahunya.

“Tak apa. Lagipun saya nak masuk bilik sekejap lagi ni. Takut nanti susah untuk pulangkan kat awak.”

Kening Eizman berkerut sedikit.

“Susah?”

Dia memandang gadis itu dengan teliti sebelum bersuara lagi.

“Jadi… awak tak akan datang ke bilik Nenek nanti?”

Ayana tersentak kecil, terkejut dengan kata-kata itu sebelum segera menggeleng.

“Saya akan datang.”

Dia menolak blazer itu kembali ke tangan lelaki itu, mengangguk perlahan sebelum berpaling untuk pergi.

Eizman berdiri di situ, matanya mengikuti tubuh Ayana yang semakin menjauh.

Susuknya yang kurus tampak seolah-olah dibaluti dengan kesejukan yang degil.

Sesuatu melintas di fikiran Eizman.

‘Hmmm… Menarik.’

“Eizman.”

Suara wanita tua itu tiba-tiba bergema, memecah lamunannya.

Eizman menoleh dan melihat neneknya.

Wajah wanita itu dihiasi senyuman penuh makna.

“Ada apa, nenek?”

Tatapan wanita tua itu penuh harapan.

“Kau ni memang bebal! Hantarkan dia balik!”

Mata Eizman kembali tertumpu pada Ayana yang semakin menghilang. Namun, sebelum dia sempat bergerak—

Tap!

Wanita tua itu menepuk punggungnya dengan selamba. Tubuh tinggi itu langsung membeku. Ketenangan di matanya berombak, seakan-akan dilanda bencana.

Dia bukan seseorang yang biasa disentuh oleh orang lain. Dan kini, selepas 28 tahun, punggungnya dipukul dalam keadaan seperti ini?

Di belakangnya, Laila hampir tersedak menahan ketawa. Namun, usaha itu gagal. Ketawa rendahnya pecah tanpa kawalan.

“Cepatlah! Atau kau nak buat nenek mati sakit hati?”

Wanita tua itu jelas tidak peduli langsung dengan reaksi cucunya dan terus menggesa dengan penuh semangat.

Eizman mengangkat jarinya yang panjang ke dahinya yang mula terasa berdenyut. Dengan helaan nafas panjang, dia akhirnya mengalah.

“Yelah, nenek!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience