"Ayah, telefon ayah bunyi. Ayah nak jawab?".
Khalisya dari ruang tamu hadapan membawa telefon bimbit Yusoff ke ruang dapur. Bunyi bertanya itu manja sangat caranya. Yusoff tersenyum. Sayangnya anak seorang.
"Cuba Sya tengok nama apa?"
Yusoff menoleh sekilas tapi tetap meneruskan kerjanya menggoreng cucur bilis. Kata Yusoff hari ini hari dia meraikan keluarga tersayang dengan air tangannya.
"Paan Ayah."
"Allahuakbar, kejap-kejap, Sya letak atas meja. Ayah sudahkan kerja ni."
Khalisya letak telefon Yusoff di atas meja dan berlari ke ruang tamu hadapan banglow kembali. Telefon berhenti berbunyi.
Yusoff angkat cucur bilis yang sudah matang dan di masukkan ke dalam mangkuk kemudian di letak ke atas meja. Api dapur Yusoff matikan.
Yusoff capai telefon bimbitnya mendial kembali nombor Paan. Dua minggu ini dia sibuk dengan urusan keluarga tersayang sampai dia lupa janjinya untuk urusan Yunus. Bermakna sudah lebih sebulan kali terakhir dia bercakap dengan Paan.
"Assalamualaikum An, sorry la aku ada hal balik dari Kuching, sampai lupa nak call Yunus. Semua okay kan?".
Bersambung sahaja panggilan Yusoff bercakap senafas alasannya tidak menepati janji dengan Paan sebelum ke Kuching.
"Waalaikummussalam... tengah buat apa?."
"Tak ada apa. Hari ni hari free. Ada kat rumah ni."
"Cantik! Balik Parit kejap Yus."
Kenapa ya? Jarang sangat ni...
"Ada makan-makan ke? Kenduri siapa? Kenduri apa?".
"Tak adalah kenduri... Kau pun lama tak balik. Balik la."
"Okay, okay. Boleh... tak petang, tengah hari sikit aku sampai."
"Okay. Drive baik-baik Yus."
"InsyaAllah. Assalamualaikum."
"Waalaikummussalam."
Panggilan Yusoff tamatkan dengan menekan butang merah pada skrin telefon. Yusoff ketuk-ketuk perlahan telefon ke dagunya. Berfikir, bagus juga dia balik ke Parit sekarang.
Yusoff pandang jam di dinding, 7:47 pagi. Elok sangat ni.
Cuti sekolah, jadual kerjanya sedang tidak ketat, begitu juga dengan jadual kerja May Rose. Mereka juga sudah berjanji sebulan ini masa mereka mengeratkan hubungan keluarga yang tidak mereka sangka ini.
"Sya...!"
Yusoff buka kabinet dapur dan mengeluarkan mangkuk aiskrim terpakai. Yusoff siat dua tiga helai tisu dapur dan alas di dalam mangkuk. Cucur bilis di atas meja semuanya Yusoff masukkan ke dalam mangkuk aiskrim.
"Ya Ayah".
Si comel Sya berdiri di sebelahnya. Mendongak memandangnya yang tinggi lampai.
"Sya cakap dengan Ibu, Mommy and Nenek siap sekarang. Packing baju untuk tiga empat hari. Kita nak pergi holiday."
"Sya salin baju yang selesa ya."
Yusoff memberi arahan kepada Khalisya.
Khaleeda, May Rose dan Mommy sudah dia arah keluar dari dapur ketika dia menawarkan diri menyediakan sarapan pagi sebentar tadi. Rasanya semua mereka berada di halaman sedang berkebun.
"Wah! bestnya... Kita nak pergi mana Ayah?".
"Balik kampung Ayah... kat Parit."
"Parit?".
Dah agak dah...
Yusoff tersenyum.
"Nama tempat tu Parit. Parit tu kat negeri Perak."
"Sya pergi sekarang. Tak boleh lambat nanti panas."
"Okay Ayah."
Laju Khalisya berlari ke hadapan rumah mahu menyampaikan pesan. Yusoff ambil pula termos di dalam kabinet dan menuang teh o panas yang sudah siap di bancuh. Selepas itu menadah air putih. Siap semua Yusoff ambil bakul dan masukkan semuanya ke dalam bakul.
Mereka akan bersarapan di dalam kereta sahaja nanti. Dapat jimat masa.
@@@@@@@
Khaleeda, Khalisya, May Rose dan Mommy di rumah Paan. Yusoff tinggalkan di sana. Dia sekarang dalam perjalanan menuju ke bandar Ipoh berdua sahaja dengan Paan.
Tadi, sampai sahaja di kampung dia terus ke rumah Paan kerana Paan kata Uji sudah siap masak hidangan makan tengah hari. Sedap sungguh makan lauk kampung sebentar tadi.
Selesai Yusoff solat jamak, Paan sudah bersiap dan menunggunya untuk keluar. Kata Paan, temankan dia ke Ipoh. Pelik sungguh perangai Paan seperti tidak boleh bersabar.
Bukan jauh sangat bandar Ipoh dari Parit. Setengah jam dah sampai tapi cara Paan macam cacing kepanasan menunggu dia tu 'sesuatu' sangat.
Isteri-isteri, ibu mertua dan Khalisya, Paan tak bagi bawa. Minta tolong Yusoff beralasan dia dan Paan keluar mengeteh kerana lama tidak berjumpa.
Yusoff ikutkan sahaja walau hati sedikit ralat kerana sudah berjanji dengan Khalisya mereka pulang ke Parit untuk jalan-jalan sekeluarga.
Tapi tak mengapalah...
Petang ini sahaja. Esok dia akan bawa keluarganya berjalan-jalan sekeliling kampung kemudian sekeliling negeri Perak. Mungkin untuk beberapa hari. InsyaAllah.
@@@@@@@
"Nak ngeteh mana ni An?. Patut tadi ajak Ayun."
"Aku tak cakap dia balik ni."
"Kita nak pergi cari Ayun lah ni."
"Laa... tak cakap."
"Nak cakap, tapi takut dah tak ada orangnya. Informer aku bagitau lokasi sejam lepas."
Yusoff terdiam. Informer eh? Melampau sangat. Apa kes ni?.
Masa sampai tadi dia fikir ada Yunus di rumah Paan kerana dia nampak Burhan, anak saudaranya bermain dengan anak-anak Paan. Bila dia tanya, kata Burhan sudah sebulan ayahnya Yunus tinggalkan budak itu di rumah Paan.
"Apa cite An?".
"Aku pun tak tau abang kau tu. Aku tanya, bapak aku tanya... tak jawab. Tak ada apa kata dia."
"Dari yang aku telefon kau aritu tak nampak dia kat Parit."
"Kau rasa apa cite?".
"Nanti kau jumpa dia tanya sendiri eh."
Yusoff tak dapat mengalih pandangan dari Paan yang sedang memandu sambil bercerita perihal Yunus. Apa jugalah si Yunus ni?.
Tiba di bandar Ipoh, Paan berhenti di lampu trafik kerana lampu merah lalu membaca pesanan di telefon.
"Allah..."
"Kenapa?".
"Bapak aku cakap Epul tak boleh ambik Mak aku balik."
"Mak Ngah pergi mana?".
"Dialisis."
"Nak patah balik ke?".
"Tak, tak. Aku hantar kau dulu kat tempat tu."
"Ni masanya kalau ada rezeki nak jumpa Ayun dekat situ."
"Dah dekat pukul lima kan."
"Dekat mana?".
"Dah nak sampai ni."
Paan perlahankan kenderaan dan berhenti di bahu jalan. Berhadapan sebuah hotel.
"Rezeki kau... nampak tu kereta Ayun?".
Panjang leher Yusoff menoleh ke kawasan pakir bersebelahan hotel. Nampak kereta Ayun di situ tapi tuan punya badan tiada.
"Aku turunkan kau kat sini eh."
"Kau cuba cari dia kat lobi ke, dekat-dekat sini ke."
"Ada budak kampung cakap dua tiga kali petang nampak Ayun kat sini."
"Katanya Ayun kejar awek dia."
"Orang lain pun bercinta jugak. Tak ada macam Ayun ni. Sampai tinggal kerja."
"Cakap aku dengan bapak aku tak laku. Ce kau slow talk dengan dia. Tanya apa cite."
"Mana tau dengan kau dia nak cite."
"Agak-agak kau patut jotos sekali kau buatlah. Lain macam sangat Ayun sekarang."
Yusoff tidak menjawab apa-apa kerana terkedu dengan cerita Paan. Separah ini ke cerita Yunus?
Sebiji perangai Yunus ketika kemaruk dengan Wati satu masa dulu. Nasihat arwah mama langsung tidak mahu dengar.
Apa jugalah cerita kali ini? Suspen sangat cerita Paan dengan kelaku Yunus. Yusoff ikutkan juga cakap Paan lalu membuka pintu kereta mahu turun.
"Kalau dia tak nak balik. Kau call aku. Lepas aku ambik Mak aku, aku ambik kau."
Ketika Yusoff sudah turun dan berdiri di tepi kereta Paan berpesan dari cermin tingkap yang terbuka. Yusoff cuma mampu mengangguk sebelum Paan memandu pergi.
Tak mungkinlah sampai macam tu. Kalau Yunus tidak mahu menghantar dia balik, boleh sahaja dia naik teksi pulang ke rumah Paan di Parit.
Hyelah Yunus...
Kau dengan jatuh cinta ada badi rupanya. Buruk benar perangai bila jatuh cinta.
Alahai Sop!
Kau pun sama.
Dia tak sama eh! Khaleeda tu layak untuk dia kemaruk mengejar macam orang gila. Bukan kerana rupa paras sahaja tapi kerana sifat dan peribadi Khaleeda.
Khalisya kesayangannya dalam keadaan baik-baik sahaja kerana mempunyai ibu sehebat Khaleeda. Yusoff berhutang besar dengan Khaleeda kerana tanggungjawab yang tidak dia jalankan sebagai seorang bapa dan suami selama tujuh tahun ini.
Yusoff bersyukur sangat cerita cinta dia dan Khaleeda sudah berakhir segala yang keruh, dan sedang memulakan buku baru.
Bersyukur Allah beri dia peluang mengetahui cerita sebenarnya walau dia ralat kerana hampir satu tahun ini dia layan Khaleeda dengan buruk hanya kerana salah faham dan melayan kecewa.
Dia marahkan Yunus kerana dalam diam mengugut Khaleeda tujuh tahun lepas. Hingga Khaleeda takut untuk berterus-terang.
Tapi bila Khaleeda sendiri memaafkan Yunus dan berlapang dada menganggap perbuatan Yunus kerana kasih seorang abang kepada adik dia sedikit sejuk.
Khaleeda kata kalau dia ada menyimpan dendam maka tiadalah pahala untuk perjalanan getirnya sepanjang tujuh tahun. Kata Khaleeda lagi semuanya sudah berlalu dan tidak boleh diulang jika mahu dibetulkan atau diapakan sekalipun.
Melepaskan pergi cerita dahulu dan memaafkan semua orang adalah yang terbaik. Pengalaman hidup yang tiada jual beli kata Khaleeda. Yusoff malu besar dengan sikap Khaleeda itu. Jika dia ada sikap itu semua cerita setahun ini tidak terjadi.
Yusoff malu, semuanya salah dia kerana tidak lebih berusaha meyakinkan Khaleeda satu masa dahulu yang dia boleh memikul tanggungjawab sebagai suami.
Tapi jika dia berjumpa Yunus nanti mahu juga dia marahkan Yunus kerana berahsia dengan dia dan tidak amanah dengan pesannya tentang duit RM50K yang sepatutnya Yusoff serah pada Khaleeda sebagai duit nafkah.
Ya, nanti jumpa Yunus dia memang perlu bercakap tentang hal itu supaya Yunus tidak lagi berani mengugut Khaleeda atau memandai-mandai menyusun atau mengajar dia mengurus hal peribadinya.
Juga supaya Yunus ada rasa malu kerana rahsia tidak amanahnya sudah terbongkar.
Yusoff sudah berdiri di sebelah kereta Yunus yang terpakir di tepi bangunan hotel. Yusoff dekatkan muka ke cermin tingkap yang berwarna gelap.
Mengepung tangan di kiri kanan muka menghalang cahaya. Mahu melihat ke dalam kereta Yunus. Manalah tahu ada orangnya sedang tidur mungkin.
Tiada... kosong tiada orang.
Yusoff berpaling mahu terus menuju ke lobi hotel tapi terhenti seketika di tepi sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terpakir berselang tiga buah kereta dari kereta Yunus.
Yusoff segera berselindung di tepi badan kereta. Seorang perempuan berjalan laju. Lebih kepada berlari anak. Berlari anak kerana dikejar seseorang.
Seseorang itu Yunus.
Kerana itu Yusoff bersembunyi di situ. Dia mahu melihat drama Yunus yang sedang kemaruk bercinta seperti cerita Paan.
Amboi!
Perempuan pilihan Yunus sekarang amboinya sangat.
Perempuan yang sedang berlari anak itu sederhana tinggi. Berambut panjang yang diwarnakan perang. Dengan skirt ketat pendek separas lutut, berbaju blouse berlengan pendek dan berkasut tumit tinggi.
Tersangatlah daring penampilannya. Patutlah Yunus sampai tinggalkan kerja mengejar perempuan pilihannya.
Yunus, Yunus...
Bukan main kau ye.
Tak nak kalah!
Yusoff berundur ke belakang pacuan empat roda kerana Yunus sudah dapat menangkap lengan perempuan itu di hadapan kenderaan yang dia gunakan untuk berselindung.
"Lepaslah!".
Yunus tidak menjawab amarah perempuan yang dipegangnya. Sebaliknya Yunus sedaya upaya cuba menarik perempuan itu mungkin untuk menuju ke keretanya.
Bukanlah sesuatu yang mudah memegang orang yang sedang melawan dan meronta. Ada ketika hampir terlepas genggaman tangan Yunus.
"Lepaslah! Lepas!".
"Pulang balik duit aku baru aku lepaskan kau!. Penipu!".
Lah! Ni kes apa pula? Ingatkan kes kekasih merajuk nak minta dipujuk. Lain macam dah ni...
sowi kite tersilap hb. ingat appointment hsa Ari ni. dh le mse kite lari. nk nyambil tk sempat2. mgu ni abis. mgu dpn dh blh appointment senang ati. tqvm kwn2 msih tgu smpi titik tamat. syg uoll sgt2
Share this novel