Bab 1

Romance Series 2041

KAKINYA perlahan menuju ke nombor bilik yang dia terima di WhatsAppnya tadi. Entah siapa pengirimnya, namun hatinya sangat terusik untuk ketahui tentang berita yang disampaikan kepadanya ini. Dia telan liurnya beberapa kali entah kenapa dia takut dengan kebenaran yang akan tersingkap.

1236.

Nombor yang tertera pada skrin itu ditatap seketika sebelum dialihkan pada nombor pintu yang tertera pada plak pintu bilik hotel itu.

Butang loceng ditekan.

Langsung tiada sahutan atau bunyi daripada pergerakan dalam bilik. Dia jadi resah gelisah bila ada penginap hotel di situ berpapasan dengannya. Risau jika orang memandangnya sebagai perempuan yang sedang melayan lelaki kelas atasan.

Maaf. Dia punya kelas tersendiri. Dia seorang yang terpelajar dan berkerjaya.

Sekali lagi loceng ditekan, dan masih sama tiada sahutan dari dalam. Keluhan dilepaskan dan dia mengeluh kecil. Langkah terus dibawa ke lif yang disediakan, terus saja dia memadam mesej yang dikirimkan entah siapa-siapa.

Ting!

Pintu lif dibuka dan…

“KENAPA?”

Mikael berdesis dan terus mencapai lengan Ryana. “Kalau you tinggalkan I, I tak teragak-agak akan ceraikan dia. I korbankan perasaan I sebab you. I kahwin dengan dia sebab you yang nak selamatkan dia. Sikit pun I tak peduli dengan apa yang dia rasa. Sikit pun tak.”

Air mata Ryana mengalir laju. Dia mengangguk. Entah kenapa susah betul takdir hidupnya ini. Mencintai lelaki yang susah untuk dia miliki sepenuhnya. “Apa kita buat ni salah…”

Laju saja Mikael menggeleng. “Langsung tak.”

“I serba salah. Hari ni dia ada perlancaran yang ketiga untuk branch dia. Tapi you tak ada, mesti dia macam nak mati hari ni sebab you tak ada kat sisi dia, sayang.” Perlahan suaranya dilepaskan kerana tidak mahu terdengar nada sebaknya mencengkam.

“Kali ni biar I pulak yang bertegas. You kena ada kat semua tempat yang dia nak I ada. Selama ni I diam je you hilang bila kitorang ada dalam satu tempat yang sama. Kenapa tak boleh tengok kitorang bahagia ke?” tanya Mikael dengan kening yang terangkat.

Keluhan Ryana lepaskan. Suasana sunyi mula menyulam langit mereka yang selalu kelam ini. Kenapa, kenapa dia tiada pilihan yang lain? Kenapa dia harus jadi begini dan kenapa dia mencintai lelaki di hadapannya ini.

“Okey, apa saja untuk kebaikan semua,” ucap Ryana lemah.

Terus saja Mikael mencapai telefon pintarnya dan dimasukkan ke dalam poket. Lantas memeluk Ryana dengan erat seperti tidak mahu melepaskan kemudian ciuman dilabuhkan pada dahi Ryana dengan penuh rasa cinta.

Langkah Mikael terus dibawa ke pintu dan dia terus menutupnya. Terus saja Ryana terjelepok ke lantai bersama air mata yang langsung tidak bernilai pada mana-mana orang. Hidupnya kelam lebih kelam bila satu-satu yang dia ada menjadi satu-satunya pilihan orang lain.

“Sakitnya…”

PINTU hadapan ditutup dan wajah-wajah kesayangannya ada di situ sedang berehat sambil mengunyah makanan. Jelas ternyata semua wajah di situ penat dan puas dengan apa yang berlaku hari ini.

Qalisha tepuk tangan gembira apabila keempat-empat sahabatnya ada di situ. Dia jadi paling gembira dengan apa yang berlaku hari ini walaupun emosinya hampir terganggu namun kemunculan suaminya membuatkan semua gundahnya berlalu pergi.

“Thanks korang selalu jadi tulang belakang aku. Selalu sokong apa yang aku buat walaupun kadang-kadang idea aku mengarut. Tapi, tulah aku ajak kerja dengan aku semua orang tak nak. Tapi, tak apa yang penting kita selalu sama-sama.” Terharu Qalisha dengan persahabatan ini.

Sangat telus dan penuh dengan rasa sayang. Satu per satu wajah sahabatnya dipandang.

Zura seorang jururawat di hospital swasta sangat lembut orangnya sudah berkahwin dan duduk berjauhan dengan suaminya.

Elisa merupakan seorang founder pakaian wanita. Apa saja fesyen terkini pastinya dia yang akan berada di hadapan. Seorang yang sangat ceria dan susah melihat wajahnya bersedih dan sentiasa menjadi orang yang paling ke depan jika ada kawan-kawan mempunyai masalah. Sudah mempunyai tunang yang lebih muda daripadanya.

Dan, Aulia. Pendiam, bercakap hanya perlu. Dalam semua kawannya ini, Aulia sememangnya seorang yang suka buat hal sendiri namun dia sangat baik hati dan sering mengalah. Bagi Qalisha, Aulia antara teratas dalam hatinya.

“Kalau kau tak datang tadi, aku fikir nak putus kawan jugak. Rupanya buat surprise nak beli bunga,” kata Qalisha sambil mencampakkan kusyen kepada Aulia.

“Ala, kedai bunga tu boleh lupa pulak tempahan aku. Geramnya. So, semua apa cerita dah sebulan lebih tak jumpa. Any update?” tanya Aulia ceria sambil memandang ketiga-tiga sahabat baiknya itu.

Elisa tersenyum. “Aku akan bagi korang tengok dulu keluaran terbaharu aku. Sumpah korang akan suka dan macam biasa. Sila review product aku ya, bayarannya adalah kasih sayang aku kepada korang.”

“Ceh, cubalah jadi macam Qalisha. Terus setiap bulan dia bagi kita buat rawatan kat spa dia. Anyway, aku nak color mint green,” ucap Zura sambil kenyitkan matanya.

Riuh terus ruang tamu itu.

Kemudian terus senyap, bila semua mata memandang kepada Zura yang sedang ketawa. Terus saja Zura senyap.

“Kau okey tak?” tanya Elisa.

Qalisha dan Aulia turut mengangguk. Dia tahu sahabatnya ini sedang menghadapi krisis rumah tangga.

Zura tegakkan badannya. Ternyata sahabat-sahabatnya ini mampu membaca air wajahnya. Dia mengangguk sambil menahan sebak. “Kami dalam proses nak bercerai.”

“Apa?” Terus kecoh ruang tamu rumah Qalisha ketika itu.

“Dan… aku pregnant.” Zura menambah lagi.

“Nampaknya kaulah jadi janda dulu?” kata Qalisha tanpa serba salah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience