Cahaya pagi menyelinap masuk melalui bidai tingkap ruang makan penthouse, menerangi meja yang terhidang dengan pelbagai juadah sarapan. Haruman kopi yang baru dibancuh bercampur dengan bau roti bakar dan telur dadar, mewujudkan suasana pagi yang biasanya mesra dan ceria antara Zane dan Dihya.
Namun, pagi ini terasa sedikit berbeza. Walaupun mereka duduk berhadapan, menjamah sarapan bersama, keheningan yang janggal menyelubungi mereka.
Zane menyuap makanan ke mulutnya dengan gerakan seakan robot, fikirannya menerawang jauh. Dia memerhatikan Dihya di hadapannya, wanita yang dicintainya, namun bayangan kebenaran yang pahit terus menghantuinya. Dia tidak sanggup membayangkan bagaimana peritnya mendengar pengakuan itu dari bibir Dihya sendiri sekiranya dia bertanya nanti.
Jadi lebih baik dia menangguhkan niatnya itu, memberikan dirinya waktu untuk menerima kenyataan yang menyakitkan ini kemudiannya.
Dihya sesekali mencuri pandang ke arah Zane. Riak wajah suaminya tampak tegang, meskipun dia cuba menyembunyikannya di balik senyuman nipis sekali-sekala. Dia merindui renungan mata Zane yang penuh kasih, gurauan ringannya, dan sentuhan lembutnya.Sejak malam itu, semua itu terasa jauh dan asing.
Selesai bersarapan, Zane bangun dari kerusinya. Seperti kebiasaannya, dia menghampiri Dihya yang masih duduk di meja makan. Dia membongkok dan mencium dahi isterinya dengan lembut, satu rutin yang tidak pernah ditinggalkannya.
“Saya pergi kerja dulu,” ucap Zane mendatar, tanpa menatap mata Dihya terlalu lama.
Dihya mendongak, menatap wajah suaminya dengan mata yang penuh kerinduan. “Okay. Jumpa malam nanti,” jawabnya perlahan. Dia ingin mengatakan lebih banyak, ingin bertanya mengapa Zane bersikap dingin, namun kata-katanya tersekat di kerongkong. Dia takut akan jawapan yang mungkin merobek hatinya.
Zane mengusap lembut pipi Dihya sekilas, sentuhan yang terasa singkat dan tanpa kehangatan seperti lazimnya. Kemudian, tanpa berkata apa-apa lagi, dia melangkah menuju pintu keluar.
Dihya memerhatikan belakang tubuh suaminya sehingga menghilang di balik pintu, hatinya diliputi rasa sedih dan kebingungan.
Sepanjang hari itu, Dihya merasa kosong. Dia cuba menghubungi Zane beberapa kali, namun panggilannya tidak berjawab. Pesanan ringkas yang dihantarnya juga hanya dibalas dengan jawapan singkat dan acuh tak acuh. Kerinduan dan kecemasannya semakin memuncak. Ditambahkan lagi dengan keadaan badannya yang berat semacam dan kepalanya yang pening beberapa hari ni, Dihya semakin serabut.
Dia tidak mengerti apa yang telah berubah, dan ketidakpastian ini membuatnya merasa semakin jauh dari Zane.
Malam itu, ketika Zane pulang, Dihya menyambutnya di muka pintu dengan senyuman yang dipaksakan. Dia cuba bersikap ceria, berharap dapat mencairkan suasana dingin antara mereka. Dia memeluk lengan Zane mesra, menyandarkan kepalanya di bahu lelaki itu.
“Selamat pulang,” sapa Dihya lembut.
Zane membalas pelukan Dihya sekilas, namun tubuhnya terasa kaku. “Terima kasih,” jawabnya ringkas.
Mereka menjamu makan malam dalam keheningan yang menyesakkan. Dihya beberapa kali cuba memulakan perbualan, bertanya tentang hari kerja Zane, namun jawapan suaminya sentiasa singkat dan tidak bersemangat.
Setelah makan malam, Dihya mengajak Zane menonton movie bersama di ruang tamu, berharap kebersamaan itu dapat mengembalikan kehangatan antara mereka. Dia berbaring di sofa, menyandarkan kepalanya di dada Zane, membelai lembut jari jemari suaminya.
Zane membiarkan Dihya berbaring di dadanya sekali-sekala mengusap rambut isterinya dengan gerakan mekanikal. Namun, matanya tertumpu pada skrin televisyen, fikirannya tampak jauh dari situ.
Dihya dapat merasakan sikap dingin Zane, walaupun lelaki itu tetap memberikan sentuhan fizikal. Sentuhan itu terasa hambar, tanpa perasaan, tidak seperti sentuhan penuh kasih sayang yang biasa dia rasakan.
Walaupun layanan zahir Zane tidak berubah, Dihya merasakan ada jurang yang semakin melebar antara hati mereka. Sikap dingin dan kebisuan Zane membuatnya merasa terasing di rumahnya sendiri. Dia merindui keintiman dan kehangatan yang dulu mereka miliki, dan dia takut kebisuan ini akan terus berlanjut, meragut kebahagiaan yang baru sahaja mereka temukan.
Malam itu, Dihya tidak dapat melelapkan mata. Dia berbaring di sisi Zane yang sudah nyenyak tidur, namun fikirannya terus berkecamuk. Sikap dingin suaminya bagaikan duri yang mencucuk-cucuk hatinya. Dia merindui Zane yang dulu, lelaki yang selalu membanjirinya dengan kasih sayang dan perhatian. Lelaki yang membuatnya merasa dicintai dan dihargai.
Dengan hati-hati, Dihya bangun dari katil dan berjalan menuju balkoni. Udara malam yang dingin menyapa kulitnya, namun tidak mampu menyejukkan hatinya yang gundah. Dia memandang ke arah gemerlap lampu kota di bawah sana, namun keindahan itu tidak mampu menghiburkan perasaannya.
Dia tertanya-tanya, apa yang sebenarnya mengganggu Zane? Mengapa suaminya tiba-tiba berubah menjadi dingin dan pendiam? Adakah sesuatu yang berlaku di tempat kerja? Atau adakah sesuatu yang lain yang sedang disembunyikan darinya?
Tanpa sedar, air mata mula mengalir di pipi Dihya. Dia merasa begitu jauh dari Zane, meskipun mereka berada di bawah atap yang sama. Dia takut jarak ini akan semakin melebar, hingga akhirnya memisahkan mereka. Tak mungkin sejarah berulang lagi. Mula-mula Astrid.
Takkan la selepas ni gilirannya pula?
Pagi itu, Dihya memutuskan untuk cuba berbincang dengan Zane sekali lagi. Ketika mereka sedang menikmati sarapan dalam keheningan yang biasa, Dihya memberanikan diri untuk memecah kesunyian di antara mereka.
“Zane,” panggil Dihya lembut, suaranya sedikit bergetar.
Zane mendongak dari cawannya, menatap Dihya dengan ekspresi kosong. “Ya?”
Dihya menarik nafas dalam-dalam, mencuba untuk menggagah diri. “Saya rasa kita perlu berbincang.”
Zane terdiam sejenak, lalu mengangguk perlahan. “Ya, saya tahu.”
Jantung Dihya berdebar kencang. Dia menunggu Zane untuk memulakan perbualan, namun lelaki itu hanya menatapnya tanpa berkata apa-apa.
“Awak… awak nampak terganggu sejak beberapa hari ini,” kata Dihya akhirnya, tidak tahan dengan keheningan yang menyesakkan di antara mereka ini. "Saya buat salah ke? Atau ada sesuatu yang menganggu awak sampai awak macam ni?”
Zane menghela nafas panjang dan meletakkan cawannya di atas meja. Dia mengalihkan pandangannya ke arah jendela, seolah-olah mencari kata-kata yang tepat.
“Saya tak tahu nak mula dari mana kalau awak dah tanya macam tu Dihya,” ucap Zane perlahan, nada suaranya berat.
Dihya mengerutkan keningnya, merasa bingung. “Apa maksud awak?"
Zane menoleh kembali dan menatap mata Dihya dalam-dalam. Tatapannya kali ini tidak lagi dingin, namun ada kesedihan yang mendalam terpancar di sana. Tengah keningnya ikut berkerut.
“Saya dah tahu Dihya."
"Tahu apa?"
"Tentang hal yang sebenarnya,” kata Zane, setiap perkataannya terasa berat di lidahnya.
Kata-kata itu bagaikan petir yang menyambar di siang hari bagi Dihya. Debaran jantungnya semakin kencang, dan darahnya terasa membeku di dalam tubuhnya. Dia menatap Zane dengan mata terbelalak, tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.
Hal sebenar? Adakah yang dimaksudkan oleh Zane tu adalah rahsia yang selama ini dia simpan? Tapi siapa yang memberitahunya? Dan apa yang akan terjadi setelah ini? Ketakutan yang selama ini cuba ditepisnya kini menyeruak keluar, mencengkam hatinya dengan kuat.
“Apa… apa maksud awak?” tanya Dihya lagi dengan suara yang nyaris tidak terdengar.
Zane menghulurkan tangannya dan menggenggam tangan Dihya yang terasa dingin. Tatapannya lembut, namun ada kesakitan yang jelas terpancar di sana.
“Datuk Samsoong memberitahu saya semuanya,” ucap Zane perlahan. “Tentang bagaimana kamu diupah… untuk menjadi pendamping saya.”
Air mata Dihya akhirnya tumpah membasahi pipinya. Rasa malu, bersalah, dan takut bercampur aduk di dalam hatinya. Dia tidak sanggup menatap mata Zane, lelaki yang telah dicintainya dengan tulus, namun telah dibohonginya sejak awal pertemuan mereka.
Keheningan kembali menyelimuti mereka, kali ini dipenuhi dengan air mata Dihya dan tatapan terluka Zane. Kebenaran yang selama ini tersembunyi akhirnya terungkap, dan kini mereka berdua harus menghadapi kenyataan yang pahit ini. Masa depan hubungan mereka terasa begitu kabur dan tidak pasti.
.
Share this novel