HARI kedua Dara mengalami kejutan budaya. Semalam, Suraya memberi dia layanan sedingin ais. Sekarang, Amy yang disebut-sebut Atiya memberi Dara layanan sangat kontra dengan Suraya bersama tenaga yang luar biasa.
"Inilah Dara yang diheboh-hebohkan Cik Atiya tu?"
Bukan main ceria suara Amy menyapa pagi ini. Habis atas bawah dia menilik Dara.
"Cantik!"
Dara tidak memerlukan pujian. Dia hanya perlukan mewarisi selok-belok syarikat supaya tenaga dan idea dia dapat disalurkan setimpal dengan bayaran bulanan yang dia bakal terima kelak.
"Patutlah Cik Atiya bersungguh-sungguh yakinkan Tuan Habib untuk ambil Dara bekerja."
Sampai begitu sekali Atiya mahukan Dara? Tidak tahu reaksi apa patut dia beri. Apa yang dia tahu, dia sangat-sangat terharu!
Dara panjangkan leher. Ruangan pejabat yang mampu menempatkan empat orang tampak lengang. Yang ada, hanya Dara dan Amy. Ke mana perginya Suraya?
"Tak payah cari Su. Waktu macam ni dia akan pergi sarapan."
"Oh!" Hanya itu yang terluah dari mulut Dara. Amy tahu apa yang sedang dikesan Dara.
"Tapi hati-hati!"
Jari Dara yang baru menyentuh papan kekunci, terhenti. Dia menoleh bila Amy mendekatkan jarak mereka yang sepatutnya semeter.
"Hati-hati dengan Su."
Berkerut seribu dahi Dara. Kemudian dia ketawa halus.
"Saya okay, walaupun Su kurang suka dengan kehadiran saya." Dara bersuara. Dia cuba berfikiran positif.
"Cik Atiya ada cerita apa-apa?"
Laju gelengan Dara menjawab soalan Amy.
"Dara merupakan orang yang ke sepuluh diambil bekerja dalam masa dua bulan. Tak hairanlah unit lain dengar ada pekerja baru di bahagian kewangan. Mereka hanya sibuk menghitung hari berapa lama Dara akan bertahan di sini." Riuh Amy bercerita.
Semakin teruk kerutan Dara. Tiba-tiba dia diserang rasa gementar. Risau dia juga bakal mengalami nasib yang sama seperti mereka semua.
"Sebab tu Amy cakap hati-hati." Amy terus-terusan menasihati.
Peluh renik mula tumbuh di dahi. Dara mula menimang-nimang sama ada mengambil serius atau abaikan saja nasihat keterlaluan Amy. Dara masih baru. Masih belum tahu dengan siapa harus dipercayai. Semuanya sangat asing bagi Dara.
Dara kembali menatap komputer miliknya. Begitu juga Amy. Telahan Dara, cerita Amy tamat di sini saja. Tetapi suara Amy memecah kecanggungan mereka.
"Dara jangan risau. Kami ada. Cuma, Dara jangan pendamkan kalau ada yang salah. Cerita pada kami."
Hambar senyuman Dara. Pada pandangan dia, Amy seperti sudah tahu selok belok dan faham ragam di dalam syarikat. Timbul soalan yang ingin diajukan kepadanya sejak sari tadi.
"Amy dah lama kerja sini?"
Ketawa Amy terlebih dahulu menyambut soalan Dara.
"Amy sepupu dengan Cik Atiya. Tapi baru dua tahun kerja di sini. Tu pun, Cik Atiya yang sibuk nak Amy kerja sini."
Mengangguk perlahan Dara. Padanlah Atiya cakap Amy antara yang pekerja terbaik di sini. Rupanya, dua orang pekerja di sini merupakan kaum kerabat mereka juga. Hanya Suraya yang tiada pertalian darah.
"Cuma..."
Amy itu tersangat ramah orangnya. Ada saja cerita yang dia ingin kongsikan.
"Si Haris tu!"
Haris? Dara cuba mengingat nama itu. Oh, ya!
Haris!
Pemandu Atiya yang bisu. Yang suka pandang orang tajam-tajam. Yang membunuh Dara melalui renungan yang paling melemaskan.
"Sejak akhir-akhir ni, dia selalu datang sini. Selalunya tak macam tu." Kata Amy sarat dengan rasa curiga.
Salah pemikiran Amy. Sudah namanya pak supir, ke mana saja Atiya ada, di situ juga ada Haris.
"Dia tu mana pernah bersuara. Nak tunggu dia cakap, tak tahu lah bila. Tapi pelik tengok dia keluar masuk pejabat. Terutama di bahagian kewangan. Ni mesti ada yang tak kena." Omel Amy lagi.
Memanglah! Si Haris kan bisu. Memanglah tak kena bila bercakap dengan orang yang tidak tahu bahasa isyarat. Itu pun, untung kalau Haris boleh dengar.
"Bukan main lagi ye mengata..."
Dara pandang belakang sekilas. Terkejut mendengar suara lain mencelah. Siapa lagi kalau bukan Suraya yang baru muncul. Mata dia turun pada sudut kanan komputernya. Rasanya, sudah lebih setengah jam Suraya menghilangkan diri.
"Kenapa? Kau terasa ke?"
Tumpuan Dara dicuri oleh Amy yang bersuara dari sebelah. Timbul rasa tidak sedap hati dalam diri dia bila dapat menghidu perang dingin yang akan tercetus antara mereka berdua.
"Itu yang selalu kau buat kan? Nanti mula lah semua pekerja lari dengar cerita kau tu. Tak fasal-fasal, aku pula yang salah sebabkan semua pekerja angkat kaki." Balas Suraya tak nak kalah.
Dara pekakkan telinga biarpun mustahil. Ruangan ini tiada penghalang yang memisahkan mereka melainkan bilik Atiya yang berada di penjuru selaku ketua unit kewangan.
"Nasib baik Cik Atiya tak masuk lagi, kalau tak. Aku cadangkan potong gaji kau bulan ni. Masa yang dihadkan untuk sarapan tiga puluh minit. Tapi, mungkin jam kau rosak kut." Sindir Amy dengan senyuman sinis.
Terkejut Dara mendengar meja ditepuk kuat. Sikit lagi jantung dia gugur. Tetapi, Amy hanya tenang. Tidak terkesan langsung dengan kemarahan Suraya. Seolah-olah sudah terbiasa.
Ketika itu juga suara lain menyertai kumpulan kecil mereka.
"Wah, full house hari ni."
Muncul Atiya yang menghangatkan keadaan yang sedia hangat.
"Mestilah Cik Atiya. Dah bertambah ahli lagi seorang."
Ekor mata Dara memandang sekilas Suraya yang duduk bertentang dengan Amy yang sudah berubah watak sepenuhnya. Tadi bukan garang dia berdepan dengan Amy. Daripada singa, Suraya berubah jadi kucing parsi miang!
"Dah kenal-kenal dengan Amy dan Su kan? Kalau rasa ada tak faham, boleh jumpa saya terus. Saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan Dara." Kepala Atiya jatuh pada Dara yang dari tadi menunduk.
Mata mereka bersabung untuk seketika. Mahu saja Dara katakan, dia ingin meletakkan jawatan sekarang juga! Dia tiada biasa dengan suasana yang boleh mencetuskan perang. Dapat Dara rasakan akan ada malapetaka besar bakal melanda kelak.
"Cik Atiya jangan risau, saya boleh tanya Amy atau Su." Lain pula yang meluncur di bibir Dara.
Bahu Dara ditepuk perlahan sebelum Atiya menghilangkan diri ke dalam biliknya.
"Hai, Haris!" Sapa Amy ceria.
Dara panggung kepala. Baru sedar kemunculan Haris. Jejaka bisu yang mengambil tempat berhadapan dengan dia. Seperti selalu, dia menjadi mangsa renungan Haris sehingga tidak senang duduk dibuatnya. Dalam hati berharap ada kerja yang perlu dilakukan supaya dapat melarikan diri dari pandangan Haris.
"Dara tak ada kerja kan?"
Terkelip-kelip Dara menerima soalan Suraya. Bila masa Suraya muncul di sisi pun Dara tak tahu. Tahu-tahu saja dia mampu menarik nafas lega dapat melarikan diri daripada lelaki di hadapannya. Dia hampir mati akibat kelemasan.
"Ya." Dara pun tak tahu. Sejak dia bertemu Haris, mulut dia juga jadi berat untuk bersuara. Hanya sepatah-sepatah dia bercakap.
"Nah! Tolong photostat document ni. Dan tolong asingkan document ikut nama supplier."
Sekarang, Dara tidak mampu berkedip. Bukan sikit yang nak difotokopi. Adalah setebal tiga inci. Nak di asingkan pula tu. Boleh rabun teruk Dara nanti.
"Pastikan siap hari ni, ya." Suraya memberi arahan lagi dengan suara sengaja dilunakkan.
"Kau saja nak ragging dia ke?" Amy bersuara. Dara masih baru, takkan Suraya dah serahkan begitu banyak tugas.
"Dara tak kisah kan?" Raih Suraya. Sengaja dia pekakkan telinga mendengar lentingan Amy.
"Tak pun...Saya akan siapkan hari ni."
"See...Lagipun, banyak lagi masa. Betul tak Dara?"
Senyuman tipis mengeyakan demi mengelak mereka bertegang urat lagi. Tanpa berlengah, Dara bangkit. Dia semakin rimas. Dan dia tahu, setiap gerak geri dia masih menjadi perhatian Haris.
"Kalau tak sempat siap, esok boleh sambung." Amy bersuara. Dia tak nak Dara terlalu memaksa diri.
Suraya duduk semula di tempatnya. Sempat dia melemparkan jelingan buat Amy.
Bagi Dara, dia tidak mahu terlibat dengan pertelingkahan mereka berdua. Yang penting dia perlu siapkan kerjanya secepat yang mungkin. Tanpa berlengah langkah diatur ke arah mesin photostat tidak jauh dari sini. Ini saja cara untuk mengelakkan diri.
Sesampai saja, Dara sudah tercengang. Dia memanglah lulusan diploma, tapi dia juga perlukan sedikit penerangan tentang penggunaan mesin ini. Lebih teruk, dia tiada pengalaman bekerja di pejabat.
Belum sempat Dara berpusing mencari kelibat Suraya, ada bayang hitam tinggi muncul di sisi. Haris yang datang kepadanya. Tapi bukan Haris yang ingin di carinya.
Dara panjangkan leher ingin meminta bantuan Suraya, tetapi Suraya tiada di tempatnya. Pandangan Dara beralih di meja Amy. Kosong. Pilihan terakhir, Dara beralih pada bilik lutsinar Atiya. Kelibat dua orang yang dicari sedang duduk bertentang dengan Atiya. Masing-masing sibuk menulis sesuatu. Ditambah pula muka serius Atiya. Pasti ada hal penting yang dibincangkan mereka.
Terbit keluhan Dara. Dia pun tidak tahu berapa lama perbincangan mereka bakal berakhir. Dan dia pun takut kerja dia tidak mampu disiapkan sesuai dengan kehendak Suraya.
"Eh!" Terkejut Dara bila Haris tiba-tiba merampas kertas di tangannya. Haris itu hanya pemandu. Mana mungkin dia tahu menggunakan mesin ini.
Hampir jatuh biji mata Dara bila Haris dengan selamba memasukkan kertas diruangan ADF. Tak sampai seminit mesin tersebut menjalankan kerja.
Dara dihambat serba salah. Dia salah menilai Haris. Lelaki ini lebih arif berbanding dia. Tengoklah. Dalam sepuluh minit, hampir suku kertas tiga inci tersebut menyusut.
"Terima kasih." Tutur Dara.
Haris ingin menyiapkan semuanya. Namun cepat Dara menegah.
"Tak perlu! Saya boleh buat sendiri." Sepantas kilat Dara merampas kertas-kertas tersebut.
Haris memandang dia. Tiada renungan menikam seperti selalu. Pandangan lelaki itu cukup redup. Sebelum kelemasan lagi, Dara terlebih dahulu melarikan sepasang matanya.
Seminit berlalu, bayang Haris hilang. Barulah Dara mampu menarik nafas lega. Namun, kelegaan Dara hanya sementara. Haris muncul sekali lagi secara tiba-tiba.
Kali ini, kejutan Dara diiringi sekali dengan jeritan kecil dia. Kertas-kertas di tangan juga sudah terbang entah mana-mana. Apa yang Dara tahu, Haris duduk bertinggung di hadapannya. Belakang Haris muncul pula tiga figura lain.
Dara tidak tahu apa warna wajahnya ketika ini. Apa yang Dara tahu, Haris menyebabkan dia terkena serangan jantung!
Share this novel