HUJAN renyai menemani Alisa dalam bas ekspres yang membawanya pulang ke kampung halamannya, Perak. Dia merenung jauh ke luar tingkap bas, wajah sugul mencerminkan segala yang berkecamuk di fikirannya. Segala kemewahan hidup sebagai eksekutif pemasaran di Kuala Lumpur hilang sekelip mata akibat skandal pejabat yang memaksanya menjadi kambing hitam. Dibuang kerja tanpa amaran. Bukan saja setakat memalukan tapi menyakitkan hatinya kerana dikhianati rakan sekerja sendiri.
Alisa cuba cari kerja baru kerana dia memang tidak mahu pulang ke kampung tapi dia cuma boleh bertahan selama enam bulan saja. Dengan ramai pesaing di zaman sekarang, susah untuk Alisa dapat kerja baru dan segala duit simpanan dia habis digunakan untuk bertahan duduk di Kuala Lumpur.
Paling teruk kereta kesayangannya juga terpaksa dijual kerana tidak mampu bayar.
“Huh! Tak sangka aku balik sini jugak,” keluh Alisa perlahan.
Kalau boleh Alisa tak nak tinggal di kampung sebab dia lebih suka duduk di Kuala Lumpur. Alisa hanya balik kampung untuk jenguk ibunya tak pun waktu raya saja. Boleh dikatakan Alisa ini ibarat seorang yang lupa daratan juga.
“Padan muka kau, Lisa. Siapa suruh kau tak ukur baju kat badan sendiri.” Sudah berapa kali Alisa marahi diri sendiri yang bersifat boros selama ini.
Alisa banyak habiskan duit gajinya dengan membeli barangan berjenama sampai duit simpanan pun tak cukup nak menampung hidupnya sebagai penganggur di Kuala Lumpur. Dengan muka malu, terpaksa Alisa pulang sebelum Mak Yam, ibunya yang heret dia pulang ke kampung.
Sebaik bas berhenti mendadak, Alisa hampir melayang ke hadapan.
"Dah sampai Batu Kurau! Semua penumpang turun sekarang!" jerit konduktor bas garang.
Alisa menarik nafas dalam sambil mengheret beg beroda yang berjenama miliknya ke pintu bas. Namun belum pun sempat dia melangkah, tumit kasut tingginya patah dan terbenam di tanah berlumpur.
“KRAKK!”
“Aduh! Apa malang nasib aku hari ni!” rungut Alisa kuat dan cuba mencabut kasut mahal yang kini tersadai di lumpur kampung.
"Need help?" suara lelaki yang kedengaran sinis menegurnya.
Alisa berpaling tajam dan kini berhadapan dengan seorang lelaki tinggi lampai, berwajah tampan namun menjengkelkan dengan senyuman sinis yang terlukis di bibir.
“Oh… tak apa, I can handle it!” Alisa membalas sambil berdiri kekok dengan kasut sebelah kaki.
“Cik bandar pakai kasut designer mahal pun still terbenam dalam lumpur kampung, eh?”
Alisa mencebik geram. “Excuse me, kasut I ni bukan untuk redah lumpur paya bakau!”
Lelaki itu tersengih lucu, “Welcome home, cik drama!”
Alisa masih mencebik geram tapi dia hairan dengan tingkah lelaki itu seperti mengenalinya. Kenapa seakan memerli kepulangannya?
Namun Alisa malas nak pedulikan siapa entah gerangan lelaki asing itu. Dia terus mengheret begnya untuk pergi dari situ.
Lelaki itu tidak berganjak dari tempatnya kemudian melaungkan sesuatu pada Alisa dari belakang, “Nak tumpang payung tak? Nanti lencun baju mahal tu pulak?”
“Tak payah!” jawab Alisa keras, meninggalkan lelaki itu sambil menahan marah bercampur malu.
Tapi lelaki itu masih tak berhenti dari menyakiti hati Alisa.
“Okey, jangan cakap lelaki kat kampung ni yang tak gentleman tapi perempuan yang baru balik kampung ni yang sombong dan berlagak,” laung lelaki itu.
“Lelaki gila!”
Kenal pun tidak tiba-tiba cari pasal. Memang tak gentleman langsung!
Tapi betul ke Alisa tak kenal? Entah-entah sekampung? Oh, tidak! Kalau sekampung pun, biarlah rumah mereka berjauhan. Tak sanggup nak hadap jiran yang menyebalkan macam lelaki itu.
Alisa tak kuasa nak bertikam lidah dengan lelaki itu dan terus menonong masuk ke dalam perhentian bas untuk berteduh sementara sambil buat pesanan Grab.
Jangan cakap kampung ini masih tak maju lagi sampai tiada seorang pun buat Grab? Sudahlah tak nampak bayang sebijik teksi pun!
SETIBA Alisa di rumah peninggalan arwah ayahnya, dia disambut dengan wajah Mak Yam yang kelihatan pucat terbaring di sofa ruang tamu.
Ini salah satu sebab Alisa terpaksa pulang ke kampung juga kerana ibunya, Mak Yam tiba-tiba tidak sihat.
“Lisa dah balik? Alhamdulillah, mak tunggu dari tadi…” ujar Mak Yam dengan suara lemah.
“Mak still tak sihat lagi ke?” Alisa yang risau terus segera duduk di sebelah ibunya. “Ni dah pergi klinik ke belum?” soal Alisa.
“Demam sikit je. Mak dah makan ubat pun. Kamu tak payah risau. Mak cuma letih sangat jaga warung sorang-sorang.”
Alisa menggigit bibir, “Ni mesti tak sihat pun tetap dok buka warung tu lagi, kan? Makan ubat sampai overdose pun tetap tak baik kalau badan tu tak cukup rehat.” Alisa mula bebel kerana geram dengan Mak Yam yang terlalu sayang dengan warung mi kari dia. Sedangkan bukan tak cukup duit pencen arwah ayahnya untuk tanggung hidup Mak Yam seorang.
“Mak tutup jelah warung tu sementara waktu. Bukan ada siapa nak marah pun. Tak pun tutup je terus.”
Mak Yam mengeluh panjang, “Warung mi kari kita tu famous satu kampung tau. Bukan sorang dua pelanggan tetap yang mak ada. Ramai tau! Lagi-lagi ada sorang tu. Mahunya dia cari sampai kat rumah kalau sehari tak dapat makan mi kari mak.”
“Mak… pelanggan mak tu mafia kampung ke sampai nak kena ikut arahan dia?” seloroh Alisa separuh bergurau.
“Dia bukan mafia, tapi jurutera. Entah macam mana boleh balik duduk kampung. Mi kari mak tu sajalah dia suka, walaupun asyik tahu komplen je.” Mak Yam ketawa perlahan.
“Pelik betul, suka tapi kuat complaint. Ni memang perangai kampung sejati!” Alisa mengomel lucu sambil melipat tangan.
Mak Yam mula tersenyum ada makna. “Tak pun, apa kata Lisa tolong mak?”
Alisa angkat kening. “Tolong? Nak suruh Lisa tolong apa?” tanya Alisa dengan hairan.
“Lisa tolong la ambil alih warung tu sekejap. Mak dah siapkan semua stok bahan dalam peti ais. Tunggu nak masak je.” Wajah Mak Yam mula berseri-seri bila nyatakan keinginannya.
“Mak, Lisa ni masuk dapur pun jarang, apatah lagi nak masak mi kari mak tu. Nak makan maggi pun Lisa makan yang cup punya sebab malas punya pasal. Kalau mak nak rasa warung mak tu bakal tutup seumur hidup, biarlah Lisa yang handle.”
“Kamu tak payah nak bagitahu kamu punya malas tu. Mak dah masak sangat dengan perangai malas kamu tu,” ujar Mak Yam yang mula geram.
“Dah tahu anak mak ni jenis rajin makan je, buat apa bagi idea tak masuk akal tu,” rungut Alisa.
“Habis tu? Kamu balik, nak buat apa? Nak ternak lemak je, tahu?” Perli Mak Yam.
Alisa buat muka. “Mak yang suruh Lisa balik.” Tiba-tiba Alisa mula terfikir. “Oh, mak tipu Lisa eh? Mak sengaja suruh Lisa balik semata-mata nak suruh Lisa take over warung mak tu.” Alisa mula dapat agak rancangan Mak Yam.
“Mak yang menipu atau kamu tu yang menipu mak? Sanggup tipu sedangkan dan berbulan menganggur kat KL tu sebab tak nak balik sini sangat.”
Alisa terdiam. Memang dia rahsiakan berbulan-bulan pada Mak Yam yang dia sudah diberhentikan kerja sebelum ini sebab dia memang tak nak kena paksa balik kampung. Alisa masih tak putus asa untuk mulakan kerjaya baru di Kuala Lumpur tapi bila Mak Yam dapat tahu memang hari-hari asyik telefon Alisa suruh pulang dari membazir duit hidup sebagai penganggur di sana.
“Kamu jangan nak macam-macam Lisa. Mak tahu kamu tu pemalas tapi bukan kamu tak pandai belajar. Setakat belajar buat mi kari ikut resipi mak tu lagi kacang dari kamu berlajar bertahun-tahun habiskan degree dulu.” Mak Yam sudah bulat suara. Mungkin dia memang mahu mengajar Alisa dengan cara macam ini.
“Mak ni memang tak nak kalah, kan? Okeylah, tapi kalau periuk pecah ke, dapur terbakar ke, jangan salahkan Lisa tau!” Alisa akhirnya mengalah sambil mengeluh berat.
Mak Yam sudah tersenyum kemenangan. Dia bukan apa, dia mahu anaknya berusaha di kampung sendiri dari buang masa di perantauan. Warung Mi Kari Terangkat miliiknya mampu dijadikan sumber pendapatan yang banyak jadi buat apa Alisa mensia-siakan peluang?
Alisa tersandar pada sofa sambil memejam mata. Baru beberapa jam di kampung, hidupnya sudah diaturkan tanpa kerelaan hatinya. Namun jauh di sudut hatinya, Alisa tahu yang dia tidak boleh memilih lagi jadi lebih baik dia menurut kata Mak Yam.
"Selamat datang ke drama hidup aku yang sebenar.” Alisa membisik sinis kepada dirinya sendiri, bersedia menghadapi hari-hari seterusnya selama berada di kampung sendiri.
Share this novel
Ni ada coin jugak ke?