Bab 1

Romance Series 18558

“AKU nak cancel majlis kita! Aku tak ingin nak nikah dengan perempuan jijik macam kau, Ayla!” teriak Fahmi dengan lantang hingga buat Ayla rasa sangat terkejut. Fahmi sudah tidak lagi membahasakan dirinya dengan panggilan mesra.

“Abang! Please…jangan…” Ayla cuba merayu sampai sanggup melutut di kaki Fahmi. “Majlis kita tinggal lagi seminggu je. Please jangan buat keputusan macam ni.” Air mata mengalir deras di kedua pipi Ayla. Saat ini dia sangat ketakutan.

“Kau ingat aku sanggup nak nikah dengan bekas orang lain? Kau tu dah jadi sisa orang!” Fahmi pandang jijik pada Ayla yang masih melutut di kakinya. Tak sudi dia mahu Ayla menyentuhnya lalu Fahmi menolak gadis itu.

Ayla menangis. Dia tetap melutut semula di kaki Fahmi. “Abang. Ayla boleh explain semuanya. Ayla…”

“Aku tak nak dengar kau punya alasan. Bagi aku, kau tetap dah jadi perempuan kotor!”

Anum yang sedang membancuh teh di dapur sangat terkejut mendengar suara Fahmi yang
begitu lantang.

Beberapa orang jiran yang datang ke rumahnya untuk membantu masak kerana malam ini akan adakan kenduri kesyukuran sempena Ayla bakal menikah hujung minggu ini mula berbisik-bisik antara satu sama lain.

“Patutnya Fahmi mana boleh datang ke sini lagi bila majlis nak dekat. Budak zaman sekarang tak macam kita dulu,” ujar salah seorang antara mereka dengan sinis sambil sibuk membungkus makanan untuk di bawa ke masjid nanti.

“Tadi aku sempat pasang telinga, dengar si Fahmi tu nak batalkan majlis dorang…”

“Hah? Serius Kak Su?” Semua orang sibuk bergosip di dapur.

Anum yang mendengar hal itu terus berlari ke ruang tamu dengan wajah yang masam. “Kenapa ni Fahmi? Mak cik dengar kamu nak batalkan majlis kamu dengan Ayla?” Mana mungkin Anum tak terkejut mendengarnya.

Ayla memegang lengan Anum. “Mak, masuk bilik dulu, ya…”

“Asal kau nak suruh mak kau masuk ke bilik?” Tajam mata Fahmi memandang Ayla. “Kau takut?”

Peluh membasahi dahi Ayla yang begitu ketakutan. Sungguh Ayla tidak bersedia jika perkara ini terjadi. Fahmi datang ke rumahnya untuk membatalkan majlis pernikahan yang bakal dilaksanakan seminggu lagi.

“Ay…Ayla boleh explain.” Air mata Ayla terus mengalir. “Ayla tak tahu macam mana Ayla boleh ada kat sana,” ujar Ayla sambil menunduk ketakutan. Dia begitu takut kehilangan Fahmi.

“Alasan!” Fahmi terus melemparkan sekeping gambar ke atas meja ruang tamu.

Anum yang melihatnya segera mahu ambil. Terbeliak matanya dengan tangan menggigil bila lihat gambar tersebut. Anum terus jatuh terduduk lemah di lantai.

“Apa semua ni Ayla?” Tajam mata Anum melihat gambar anak perempuan bongsunya sedang tidur bersama lelaki yang tidak dikenali di sebuah bilik. Wajah lelaki tersebut tidak jelas kelihatan seperti wajah Ayla yang begitu jelas Anum lihat di dalam gambar itu.

Pang!

Ayla jatuh ke lantai saat Anum menamparnya dengan begitu kuat. “Dasar anak tak tahu malu! Berani kamu conteng arang kat muka mak dengan abah? Kamu memang nak buat kita sekeluarga malu ke ha?”

“Ayla minta maaf, mak!” Ayla menangis sambil memeluk kaki Anum. “Ayla tak tahu macam mana Ayla boleh ada kat situ, mak…”

Jeritan Anum begitu kuat menyebabkan jiran-jiran di dapur serta di luar berasa semakin hairan melihat Anum dan Ayla yang sudah menangis teresak-esak.

Borhan yang sedang duduk di luar rumah masuk ke dalam hampiri isterinya. “Asal ni Anum? Kenapa awak menangis ni?” Borhan panik melihat Anum tak berhenti menangis sambil terus menggelengkan kepalanya.

Borhan memandang pula Fahmi yang berdiri di tengah rumah dengan wajah marah sedangkan Ayla terduduk di lantai dengan ketakutan. Anaknya itu terus berusaha mendekati Anum tapi berkali-kali ditepis oleh Anum dengan kasar. Makin pelik Borhan melihatnya.

Tadi Borhan sudah hairan dengan kedatangan Fahmi secara tiba-tiba. Dia fikir Fahmi mahu berjumpa Ayla untuk bercakap tentang majlis pernikahan mereka tapi tak sangka kedatangan Fahmi menimbulkan masalah yang Borhan sendiri tidak tahu apa penyebabnya!

“Fahmi cuba cakap dengan pak cik. Apa yang dah berlaku? Kenapa kamu marah-marah ni sampai anak bini pak cik nangis?” Borhan menuntut penjelasan daripada Fahmi. Dia sudah malu bila jiran-jirannya menyibuk melihat apa yang sedang berlaku dan mula bergosip.

“Pak cik patutnya tanya anak pak cik tu yang masih berlagak suci!” Fahmi tunding jari ke arah Ayla yang masih menangis sambil terus pegang pipinya yang terasa sakit. “Anak pak cik dah jadi perempuan murahan sebab dia dah tidur dengan jantan lain!”

Ayla makin ketakutan saat Borhan memandang dirinya dengan wajah bengis. Takut-takut Ayla mahu membalas pandangan ayahnya.

“Ayla minta maaf, abah…” Ayla menangis tersedu-sedu.

Sebelum Ayla meneruskan katanya, Borhan terlebih dulu melihat sekeping gambar yang sudah berada di atas lantai. Wajah Borhan makin marah bila melihat gambar Ayla tidur dengan lelaki lain.

“Ayla!” Tengking Borhan lalu menampar anaknya itu dengan kuat.

Borhan tidak sangka anak bongsunya yang selalu buat dia rasa bangga kini menconteng arang ke mukanya.

“Kamu memang dah melampau! Kamu dah malukan abah dengan mak!”

Ayla menggelengkan kepalanya yang sudah tidak berdaya. Jika waktu itu dia tidak menemani Balqis pergi ke majlis hari jadi kawan kakaknya itu, pasti perkara ini tidak akan terjadi padanya.

Seminggu yang lalu, Balqis kakak kandungnya mengajak Ayla teman pergi ke majlis hari jadi kawannya yang diadakan di hotel.

Ayla yang memang selalu ikut Balqis ke mana-mana hanya menemani kakaknya seperti biasa sampailah dia tiba-tiba rasa kepalanya pening ketika di majlis tersebut.

“Akak, Ayla nak balik la. Kepala Ayla sakit. Jom balik kak,” ajak Ayla pada Balqis ketika itu.

“Ayla kenapa ni?” Wajah Balqis begitu risau melihat keadaan Ayla lalu dia minta pertolongan salah seorang kawannya membantu dia bawa Ayla yang mula rasa tidak kena dengan tubuhnya.

Ayla mula meracau dengan tidak jelas. Yang Ayla ingat kawan Balqis membawanya ke sebuah bilik sebelum meninggalkan dia di situ. Dengan samar-samar Ayla melihat seorang lelaki masuk ke dalam bilik tersebut dan hal yang tidak diingini telah berlaku pada malam itu.

“Ayla! Kamu memang anak tak guna!”

Pang!

Tamparan Borhan kali kedua itu menghentikan semua lamunan Ayla tentang kejadian malam yang kelam itu.

“Abah, Ayla tak tahu apa-apa bah. Ayla tak tahu macam mana benda tu boleh jadi.” Ayla menyentuh bibirnya yang terasa basah kerana darah mula mengalir.

“Cukup Ayla! Kamu jangan nak berpura-pura lagi. Apa yang kamu nak ha? Kamu dah dapat lelaki sebaik Fahmi pun kamu sanggup tidur dengan jantan lain.”

Semua orang sudah tahu apa yang terjadi dan mula mengejek dan memandang hina kepada Ayla.

“Balik! Pergi balik semua orang!” teriak Anum yang seperti kena rasuk menghalau semua jiran pulang kerana berasa sangat malu.

Mereka sekeluarga bakal dihina dan diejek sampai Anum tidak tahu mana nak sorok mukanya lagi.

Sebelum ini Anum sangat berbangga diri kerana anaknya bakal berkahwin dengan Fahmi yang merupakan seorang pengurus besar di sebuah syarikat ternama di pekan Setiawan. Tambah pula Fahmi merupakan anak ketua kampung yang semua orang mahu inginkan berbesan dengan ketua kampung iaitu antara orang kaya dalam kampung mereka.

Bila semua orang tahu yang Ayla berlaku curang dengan Fahmi sebelum seminggu majlis pernikahannya, siapa yang tidak malu?

Anum memegang dadanya yang terasa begitu sesak sebelum jatuh pengsan.

“Mak!” Ayla berlari hampiri Anum tapi Borhan segera menarik lengan Ayla dan menyeret anaknya itu ke bilik.

“Dasar anak tak guna! Lebih baik abah kurung kau dalam bilik ni dari terus buat malukan keluarga!”

Borhan terus menutup pintu dengan kasar dan membiarkan Ayla terus menangis tanpa henti dalam bilik.

Sungguh Ayla tak mahu perkara ini terjadi kerana dia sangat mencintai Fahmi tapi kenapa nasibnya berubah jadi malang?

“Abah…mak… Maafkan Ayla…” Tangisan pilu Ayla begitu menyayatkan hati tapi tiada siapa mahu mendengarinya.

Ayla berusaha mengingatkan siapa lelaki yang telah mengambil kesempatan terhadap dirinya tapi wajah lelaki itu terlalu kabur dalam ingatannya. Yang Ayla ingat, dia terkejut dengan apa yang berlaku pada dirinya setelah Ayla terbangun keesokannya paginya.

Ayla tahu lelaki itu sudah mengambil kesucian dirinya akibat pengaruh ubat dan buatkan Ayla begitu rasa jijik dengan tubuhnya.

Nota yang ditinggalkan lelaki itu sebagai buktinya selain keadaan Ayla yang memalukan pagi itu.

‘I’m sorry, ini di luar kawalan I…’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience