Bab 4

Romance Series 7000

"Cik Aleena, sarapan dah sampai."

Suara lembut di luar bilik disertai tiga ketukan berturut-turut memecah keheningan pagi. Aleena mengeliat perlahan, matanya masih berat dengan sisa kantuk. "Dah pagi? Rasa macam baru je aku makan malam tadi," gumamnya sambil meregangkan tubuh.

Matanya menatap siling kosong. Hari ini mungkin akan mengubah hidupnya.

"Cik Aleena?"

Aleena menghela nafas perlahan. "Mesti Khayla ada kat luar," dia sedar serta-merta.

Biasanya, orang yang menghantar makanannya hanya akan mengetuk pintu dan segera beredar kerana takut. Tapi kali ini, suara itu kedengaran ragu, seolah-olah ada seseorang yang tidak sabar menunggu di luar.

Khayla pasti tidak tidur lena semalam, gelisah ingin tahu tentang perbualannya dengan Tengku Eidlan.

Aleena terfikir untuk membiarkan mereka menunggu lebih lama sebelum mengambil sarapannya. Tetapi hari ini bukan hari untuk membuatkan Khayla marah. Dia perlu berlakon dengan baik jika mahu keluar dari rumah ini.

"Aku datang," sahutnya akhirnya.

Sebaik sahaja dia duduk, Aleena mengangkat anak kucing yang masih lena di sebelah bantalnya dan membawanya ke almari. Dia membuka pintu almari dengan perlahan dan meletakkan si kecil itu di dalam sebelum menutupnya semula.

Kemudian, dia menuju ke meja solek dan mengambil topeng yang dipakainya malam tadi.

"C-Cik Aleena?"

Aleena tersenyum sinis di sebalik topengnya. ‘Cuba jangan tunjuk sangat yang kau kena paksa,’ bisiknya dalam hati apabila mendengar suara pembantu rumah yang jelas ketakutan.

Selesai mengikat tali topengnya, Aleena melangkah ke pintu dan membuka kunci.

"S-Sarapan cik," ujar pembantu rumah itu dengan kepala tertunduk, tangannya kosong.

Aleena melirik ke bawah dan melihat dulang sarapannya diletakkan di atas lantai, bukan diserahkan kepadanya seperti biasa.

"Terima kasih," katanya perlahan sebelum menunduk untuk mengambil dulang tersebut.

Namun, sebelum tangannya sempat menyentuh dulang itu, sepasang kasut muncul dari sisi kiri, menekan tangannya ke lantai dengan kuat.

Aleena mengetap bibir, menahan kesakitan yang mencucuk hingga ke pergelangan tangannya.

"Selamat pagi, adik," suara Khayla bergema, muncul dari sisi seperti yang telah dijangkakan Aleena.

Aleena menahan nafas, mengawal ekspresinya. "Selamat pagi, kakak."

"Pergi," arah Khayla kepada pembantu rumah itu tanpa menoleh, suaranya dipenuhi rasa tidak puas hati.

Pembantu rumah itu segera menghilang, meninggalkan Aleena yang masih terduduk di lantai dengan tangan yang masih tersepit di bawah kasut Khayla.

Jika sahaja Khayla masih mempunyai kunci pendua yang telah diambil oleh ayah mereka, pasti dia tidak perlu menunggu begini lama untuk masuk ke bilik Aleena. Namun, kini, dia hanya mampu melepaskan geramnya dengan cara lain.

"Seronok malam tadi, Aleena?" Khayla bertanya, nada suaranya tajam dan penuh sindiran.

"Ya."

Mata Khayla membulat, tidak menyangka jawapan Aleena yang begitu berani. "Ya?" Dia mengulang dengan nada marah. "Kau fikir kau boleh berseronok sebab kau terserempak dengan Tengku Eidlan?"

"B-Bukan sebab tu," Aleena tergagap sedikit, cuba mengawal nada suaranya. "Aku berseronok dalam bilik malam tadi. Muzik dari dewan dengar sampai dalam bilik."

"Oh, macam tu ya?" Khayla mendekat, matanya menyelidik wajah Aleena yang separuh tersembunyi di sebalik topeng. "Jadi, apa kau cakap denga Tengku Eidlan malam tadi?"

Dia mahu mendengar sendiri bahawa tiada apa-apa yang serius berlaku antara mereka. Akan menjadi suatu penghinaan jika lelaki yang diidamkannya lebih berminat dengan gadis yang selama ini dianggapnya tidak berguna.

"Aku tak perasan dia ada kat situ masa aku nak ambil makan malam. Dia panggil nama aku sebab aku lupa bagi penghormatan dekat seseorang sepenting Tengku Eidlan. Dia tegur aku, lepas tu, kau datang, tu je."

Khayla menekan kasutnya lebih kuat pada tangan Aleena, matanya tajam penuh curiga. "Apa lagi?"

"Dia cuma cakap pasal kahwin dan sebut nama kau sebagai salah seorang calon. Itu je, tak ada apa-apa lagi. Sumpah." Aleena merintih, cuba menahan kesakitan yang semakin mencengkam jarinya.

"Hmm."

Khayla akhirnya mengangkat kakinya, tetapi fikirannya masih dipenuhi dengan persoalan. Masuk akal jika Tengku Eidlan bercakap tentang dirinya, tentu saja lelaki itu akan tertarik kepadanya. Namun, mengapa sikapnya seakan-akan bermain tarik tali semalam ketika mereka kembali ke dalam majlis?

"Mestilah dia cakap pasal aku. Takkanlah dia nak berbual dengan makhluk pelik macam kau ni.”

Aleena menundukkan kepalanya, menggigit bibir menahan rasa geram. ‘Tapi Tengku tetap bercakap dengan aku…’

"Tapi aku tetap marah sebab kau berani tunjuk muka jijik kau tu depan Tengku Eidlan. Kau tak fikir ke kalau dia betul-betul percaya sumpahan tu, lepas tu marah dan salahkan kita? Kau nak buat apa kalau benda tu jadi, ha?"

Nada suara Khayla semakin tajam, kebenciannya jelas terpancar dalam setiap perkataan yang diucapkannya.

"Kau ingat kau akan selamat? Kau fikir ayah akan backup kau?"

Sekali lagi, kasutnya menekan lebih kuat ke atas tangan Aleena, kali ini dengan lebih kejam.

"T-Tak," Aleena mengerang perlahan, cuba menahan air mata yang hampir jatuh.

"Kalau macam tu, baik kau duduk terperap dalam bilik kau sepanjang—"

"Khayla!"

Suara lantang Dato’ Danial Ghaffar memecahkan ketegangan di udara.

Dia berdiri di ambang pintu, wajahnya merah menahan marah apabila melihat anak bongsunya menyakiti Aleena.

"Tapi ayah, dia—"

"That’s enough!"

Khayla terdiam, menyedari tiada guna cuba berdalih. Dia menggigit bibir, masih tidak puas hati, tetapi ayahnya sudah melihat semuanya. "Dia berbual dengan Tengku Eidlan malam tadi!"

Mata Dato' Danial segera beralih kepada Aleena, jelas terkejut. Dia tidak menyangka anak sulungnya itu berjaya menarik perhatian Tengku Eidlan, walaupun hanya untuk seketika. Apa yang mereka bincangkan? Mengapa Tengku Eidlan tidak menyebut apa-apa kepadanya?

"Biar ayah uruskan, pergi dari sini."

Khayla menghentak kakinya ke lantai, seperti kanak-kanak yang tidak dapat apa yang diinginkan. Jika sahaja pembantu rumah itu lebih cekap dan Aleena membuka pintu lebih awal, dia pasti sudah beredar sebelum ayahnya muncul.

"Menyakitkan hati," gumamnya sebelum beredar dari depan pintu bilik Aleena dengan wajah masam.

Suasana sunyi seketika setelah Khayla pergi. Aleena menarik nafas lega, walaupun tangannya masih menggigil akibat kesakitan. Namun, tanpa membuang masa, dia mengambil dulang makanan di lantai dan membawanya masuk ke dalam bilik.

"Aleena, sayang," suara Dato' Danial kembali memecah keheningan. Dia melangkah mendekati anak perempuannya yang selalu diam, nada suaranya lebih lembut berbanding tadi. "Kenapa kau keluar dari bilik? Kau tahu ada majlis, kan?"

Aleena menundukkan pandangannya, jari-jarinya menggenggam dulang makanan erat. "Makanan tak sampai malam tadi, saya lapar. Taman pun tak boleh masuk, ingatkan boleh keluar kejap ambil makanan. Tu je."

Dato' Danial menghela nafas. Alasan itu masuk akal, tetapi tetap tidak menghilangkan rasa curiganya. Ini bukan sekadar soal Aleena keluar dari bilik, ini melibatkan Tengku Eidlan. Orang ramai sudah cukup percaya dengan khabar angin tentang Aleena yang membawa sumpahan. Jika Tengku Eidlan juga termakan dengan cerita itu dan merasa tersinggung, ia boleh mengundang masalah.

"Kau bual apa dengan Tengku Eidlan?"

Aleena terus menundukkan kepala, suaranya hampir berbisik. "Tak ada apa-apa. Dia cuma tanya kalau boleh merokok kat luar rumah. Lepas tu dia cakap pasal Khayla jadi calon isteri dia."

Mata Dato' Danial sedikit bersinar, tanda kelegaan. Jadi, ‘Tengku Eidlan benar-benar mempertimbangkan Khayla? Ini perkembangan yang baik.’

Senyuman kecil terukir di bibirnya. Harapannya semakin tinggi, jika Khayla berjaya menawan hati Tengku Eidlan, masa depan mereka akan lebih terjamin.

Tengku Eidlan adalah satu-satunya harapan Dato' Danial untuk keluar dari belenggu hutang yang semakin menjeratnya. Hidup mewah yang pernah dinikmatinya kini semakin sukar apabila kewangannya merosot dengan begitu drastik. Satu-satunya jalan keluar adalah memastikan Khayla mengahwini seseorang yang kaya, dan tiada calon yang lebih sesuai selain Tengku Eidlan.

Namun, sebelum semua itu menjadi kenyataan, ada satu masalah lain yang perlu diselesaikan.

"Tapi kau tetap tak patut keluar, Aleena." Nada suaranya lebih tegas kali ini. "Macam mana kalau ayah tiba-tiba keluar rumah bawa tetamu?"

Aleena menggigit bibir, menahan diri daripada memberi jawapan yang akan mengundang lebih banyak masalah. Jadi aku patut biarkan diri aku kelaparan? Namun, kata-kata itu hanya terngiang dalam kepalanya.

"M-Maaf, ayah," balasnya perlahan.

Dato' Danial menghela nafas panjang. "Baiklah, tak guna nak marah pun sekarang. Nanti ayah marah pembantu rumah sebab tak hantar makanan semalam."

Dia memandang Aleena seketika sebelum menyambung, "Jangan marah Khayla tau. Dia cuma nak jaga kepentingan kita. Tengku Eidlan bukan orang yang kita boleh cari pasal."

Meskipun ada sedikit kebimbangan dalam dirinya, hakikat bahawa Tengku Eidlan tidak menyebut apa-apa tentang pertemuannya dengan Aleena semalam membuatkan Dato' Danial sedikit lega. Jika lelaki itu tidak berkata apa-apa, ini bermakna Aleena tidaklah penting baginya, itu sudah cukup meyakinkan.

"Mesti kau bosan asyik terperap dalam bilik je." Nada suaranya lebih santai. "Kau nak buat apa untuk hilangkan bosan? Cakap je, ayah boleh tolong."

Aleena mengangkat kepalanya sedikit. Peluang ini jarang berlaku.

"Sebenarnya, saya dah tak ada idea nak melukis." Dia diam sejenak sebelum menyambung, "Saya nak lukis pemandangan bandar. Boleh tak saya keluar naik kereta, tengok tempat menarik untuk dilukis? S-saya janji, takkan keluar kereta pun."

Dato' Danial meletakkan tangan di pinggangnya, berfikir sejenak.

Ini pasti sesuatu yang tidak akan dipersetujui oleh Katrina. Namun, jika mereka terus mengurung Aleena, dia mungkin akan lebih kerap cuba keluar dari bilik. Lebih baik memberi sedikit kebebasan kepadanya, lebih-lebih lagi selepas apa yang Khayla lakukan tadi, dia perlu menebusnya dengan sesuatu.

"Janji dengan ayah yang kau takkan keluar dari kereta?"

Aleena menundukkan kepalanya sedikit, tetapi bibirnya mengukir senyuman di sebalik topeng. "Saya janji."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience