'ALLAHU kuatkan jiwa ana...' bisiknya perlahan, nyaring hanya pada telinga sendiri.
Dia kemudian membuka tapak tangan, memandang jemarinya yang seakan turut bergetar.
“Kalau dosa tu boleh dilihat pada kulit, entah apa rupa ana sekarang, ya Rabb…” ujarnya lagi, nadanya separuh tertawa, separuh merintih.
Izza bangkit perlahan, menahan lutut yang terasa sedikit kebas. Dia melangkah ke jendela, menolak daun tingkap kayu yang sedia terbuka. Angin mula membawa aroma tanah yang lembap, tanda hujan mungkin sudah hampir.
Matanya memandang ke jauh, menembusi celah-celah pohon durian tua di belakang madrasah. Bayangan masa lalu kembali mengetuk jendela minda tapi kali ini, Izza hanya pejamkan mata dan membiarkan angin membelai wajahnya yang terbungkus niqab.
“Kalau Engkau mahu ajar ana tentang sabar, ya Allah… ajarlah dengan cara yang ana mampu tanggung,” tutur Izza seperti berdialog langsung dengan langit yang masih kelabu.
Dia genggam tasbih di tangan kanan,menekannya pada dada.
'Sebab ana dah tak tahu, berapa lama lagi hati ni boleh bertahan dalam gelap…' batinnya lagi.
Lalu setitis air mata jatuh juga namun Izza biarkan saja. Dibiar ia mengalir kerana mungkin itulah cara Tuhan mahu membasuh, sisa-sisa luka yang masih bersarang.
Dan dalam diam, Izza mengulang lagi bisikan hatinya yang sama bagai zikir yang tak pernah selesai.
'Tuhan… satu hari nanti, jemputlah mentari tu masuk ke hati ana. Ana betul-betul rindu nak rasa cerah…'
Suara kanak-kanak di luar madrasah makin sayup, ditelan jarak. Hanya tinggal bunyi angin yang malas menolak dedaunan durian tua.
Izza masih berdiri di sisi jendela, memerhati dunia luar dengan mata yang makin sembap. Dia menarik nafas panjang, menahan gelodak yang datang entah dari mana.
Dalam hening begitu, bibirnya tergerak perlahan.
“Kuatkan hati ana ya Allah… biar langkah ni jangan longgar lagi.”
Nafas Izza terhambus perlahan seperti keluhan. Dadanya yang mula berombak dipujuknya dengan genggaman tasbih. Sehelai dua daun durian tua gugur jatuh, mengapung malas di udara sebelum rebah di tanah.
Seketika, Izza mengandaikan bahawa hatinya pun tak ubah seperti daun-daun itu. Usang, reput hanya menunggu masa gugur ke lantai bumi.
Dia berpaling semula ke dalam kelas.Tapak kakinya yang beralas stoking putih meniti lantai papan yang sedikit berkerekot. Suara hatinya masih berbicara, meskipun hanya Izza dan Tuhannya saja yang mengerti.
'Kalau suatu hari nanti, luka ni jadi parah sangat sampai ana tak mampu senyum lagi…
ampunkan ana ya Allah. Ana dah cuba sebaik mungkin untuk sembuh.'
Tok! Tok! Tok!
Lamunan Izzatul Janna atau Izza terbejat pabila terdengar ketukan perlahan pada daun pintu madrasah.
Kecil saja bunyinya tapi cukup membuatkan degup jantungnya, hilang rentak.
Tangannya menggenggam tepi jubah. Dia menoleh lantas memandang pintu yang sedikit renggang. Angin yang mencelah menolak daun pintu itu terbuka lebih luas, memperlihatkan seraut wajah kecil Maryam, muridnya yang tadi membaca Quran.
“Ustazah… ana lupa nak ambil mushaf ana," ujar suara kecil tapi pintar itu dengan wajah serba-salah dek kekhilafannya itu.
Izza tarik nafas lega cuba mempamer senyumannya itu, di balik niqab.
“Masuklah, Maryam. Cepat ambil. Hari dah nak hujan.”
Gadis kecil itu menunduk, melangkah hati-hati ke tempat dia duduk tadi. Sempat Maryam memandang wajah ustazahnya lama-lama, seakan mahu berkata sesuatu tapi bibirnya sekadar bergerak perlahan.
“Ustazah… Allah sayang ustazah, tau," ujarnya spontan. Ustazah muda itu, terdiam. Matanya tiba-tiba panas semula. Dia hanya mampu mengusap kepala bertudung Maryam, menekap niqabnya pada ubun-ubun anak kecil itu.
“Barakallahu fik, sayang… Allah pun sayang ente," ujar Izza setelah itu dia membiarkan gadis kecil itu, pergi meninggalkan dia.
Pintu ditutup semula. Kelas kembali sunyi. Izza hanya ditemani bau kitab dan kayu tua.
Izza menghenyak duduk di tikar mengajar, meletakkan tasbih di ribanya. Pandangannya kosong, meniti pada papan hitam yang masih tercatat beberapa ayat tajwid.
Ada sesuatu yang mengetuk pintu jiwanya saat itu.Entah doa anak kecil tadi yang buat dia rasa lebih luluh atau sebenarnya firasatnya sendiri, tentang masa depan yang entah apa akan menunggu di luar sana.
Dan sekali lagi, dalam sendu hati yang belum selesai, Izza hanya mampu mengulang zikir paling sunyi.
“Astaghfirullah… astaghfirullah… ya Allah, jagalah hati ana.
Kerana hanya itu saja yang ana tinggal.” Pohon Izza dengan sesungguh hati.
Kalam suci terus dibuka.
Surah An-Nisa dalam tatapan mata. Bibir nipis di sebalik hijab muka itu terus membaca...
“…Bismillahirrahmanirrahim…”. Suara Izza terbit halus di balik niqab.
Tangannya perlahan-lahan menelusuri mushaf yang terbuka pada permulaan Surah An-Nisa’. Barisan ayat-ayat suci itu bagai jalinan benang halus yang menambat jiwanya daripada terus berkecai.
“Ya ayyuhan-nasu ittaqu rabbakum…” Bacaan Izza sengaja diperlahankan.
Tartilnya dijaga.
Sesekali, nafasnya terhenti bukan kerana penat tetapi menahan air mata yang menolak keras dari belakang kelopak mata.
“…alladzi khalaqakum min nafsiw wahidah…”
Dadanya berombak perlahan. Setiap huruf keluar seperti dicungkil dari rongga yang luka.
Dia berhenti sebentar, menarik nafas panjang. Tapak tangan menekup dada, seolah mahu memegang jantungnya yang semakin liar berdetak.
“Wa khalaqa minha zawjaha…” Suara Izza tergetar.
Ayat tentang pasangan itu menikam tepat ke dasar hatinya.
Betapa indah aturan Allah tentang lelaki dan wanita, sedang dia…
Dia yang masa lalunya sekelam langit senja, merasakan tidak layak pada cinta yang suci.
“…wa bas-sa minhuma rijalan katsiran wanisa’a…”
Airmata, akhirnya luruh lagi membasahi hujung niqab namun Izza tidak berhenti. Dia terus membaca, meniti ayat demi ayat hingga separuh surah.
Di luar, hujan belum mahu reda. Air menitis dari bumbung madrasah lalu jatuh menampar tanah dengan bunyi lembut yang pilu.
"Sadaqallahulaazim..." Izza tutup mushaf perlahan lantas mengucupnya dan menekap pada dada.
“Ya Allah… jangan biar ana hanyut dalam gelap ni terlalu lama.” Suara itu hanya cukup untuk telinga sendiri namun dalam sunyi, ia bergema menampar ke seluruh rongga dada membuat Izza kian menunduk, seolah mahu menyembunyikan seluruh resahnya dari dunia.
Hujan sudah dari tadi membasuh bumi. Airnya mengalir menuruni lereng dusun durian, mengisi parit-parit kecil yang seolah menadah rahmat langit.
Di halaman madrasah, titisan hujan menimpa atap zink, memukul irama syahdu yang berulang-ulang membangkitkan rasa yang entah apa, di hati Izza.
Dia masih duduk bersimpuh di tikar mengajar, mushaf dalam genggaman menanti kelas dewasa yang akan dimulakan sebentar lagi.
Kelas hari ini istimewa. Tenaga pengajar diminta membantu beberapa pelajar dewasa baru yang mahu mendalami tajwid dan tafsir asas, termasuk kalangan bekas penagih yang baru pulang daripada pusat pemulihan.
Tak! Tap! Tak!
Dari luar, terdengar bunyi langkah berat menaiki tangga papan.
Serentak itu, degup jantung Izza seakan terhenti seketika. Dia pandang ke pintu kelas, menunggu bayang siapa yang bakal muncul.
Daun pintu kayu yang sedia terkuak ditolak perlahan. Masuk seorang lelaki tinggi, tegap walau sedikit kurus jubahnya basah dipukul hujan. Pada dahinya masih jelas parut panjang yang menetak kulit.
Lelaki itu menunduk sedikit. Tangan memegang hujung tasbih hitam yang terlilit di pergelangan. Nafasnya kelihatan kasar, seolah baru menahan gugup yang dalam.
“Assalamualaikum…”
Suara garau tapi tidak terlalu kuat, bergetar menahan canggung.
Izza terdiam.
Mata di sebalik niqab membesar sedikit, memerhati wajah lelaki itu.
'Mata itu...' desis Izzatul Janna kian gugup. Dia di antara rasa mahu percaya, menolak sebarang kemungkinan dan husnozhon.
jmput bca, islamic romance drama
Share this novel