Bab 62

Romance Series 266345

Umi membuka pintu bilik Hanif.Lama dia berdiri di muka pintu.Rasa rindu terhadap anak sulungnya menusuk dalam dada namun sakit hati masih menebal.Rindunya hilang dalam kekecewaan yang sangat mendalam.Entah di mana kesilapannya mendidik menyebabkan Hanif penilaian dan pilihan hidup.

Perlahan-lahan umi menapak ke dalam bilik lalu duduk di atas katil Hanif.Dia menyapu lembut cadar yang sudah lama tidak berusik.Kemudian,air matanya menitis menuruni pipi tanpa sedar.Hatinya menyesal kerana terlalu mengikut kata Hanif sehingga menzalimi Hana.

Ketika umi sayu di atas katil Hanif,Hana yang hendak ke dapur melintas.Dia terlihat pintu bilik terbuka lalu menjenguk.Dia terpandang umi yang cepat-cepat mengelap air mata.

Hana melangkah masuk lalu duduk di sebelah umi.Umi senyum untuk menyembunyikan kesayuan namun senyuman itu tidak dapat menipu Hana.Hana membalas senyuman lalu menggenggam tangan tua uminya.
“Kalau umi rindu pada Abang Anep,pergilah melawat dia,"ucap Hana.

Mata umi merah dan kembali berair Dia menoleh pada Hana.“Hana tak marah?”

Hana menggeleng perlahan.“Tak,umi. Hana faham umi rindu akan Abang Hanif.Hana tahu umi sayang anak-anak umi sama rata dan tidak berbelah bagi.Tidak pernah sekali Hana hendak menghalang umi mahupun babah pergi berjumpa Abang Hanif.Cuma..Hana sendiri yang masih tak boleh pandang muka dia buat masa sekarang,"ujar Hana dengan jujur.Dengan ikhlas dia sudah memaafkan Hanif tetapi dia tidak mampu untuk bertentang mata dengan Hanif kerana amarah masih tersisa dalam hatinya.

Umi diam.Air matanya gugur lagi.Umi tahu kata-kata Hana itu benar.Dia sendiri pun masih belum kuat untuk berhadapan dengan Hanif.Perbuatan menggila Hanif pada malam itu masih terbayang-bayang di mata.

“Walau apa pun yang berlaku,Abang Anep tetap darah daging kita.Kita tak boleh buang dia.Hana faham umi pun perlukan masa untuk ubati luka umi dan reda dengan apa yang terjadi,"sambung Hana perlahan memujuk hati umi.Umi masih dalam proses penyembuhan perasaan kerana dia tahu hati umi sangat terguris.Hana percaya satu hari nanti,umi akan reda apabila rindu itu mula terbit kembali.

Umi menggenggam tangan Hana erat."Umi perlukan kekuatan untuk hadapi ujian yang menimpa keluarga kita.Umi juga sama dengan Hana,masih tak mampu menatap mata Anep."

Hana senyum nipis.Dia menarik tangannya perlahan."InsyaAllah,kita boleh kuat.Hana akan selalu sokong umi.Kita sama-sama doakan Abang Anep.Hana yakin Abang Anep juga merindui dan mengharapkan kehadiran kita."Hana mendakap umi.

Babah turut hadir di dalam bilik apabila dua beranak itu saling berpelukan.Dia menghela nafas.Masing-masing menyimpan rasa rindu dan bersalah dalam sanubari.

"Jangan sedih,Yati.Abang akan bawa Yati jumpa Anep apabila Yati sudah bersedia untuk menemuinya.Yati pulihkan dulu semangat dan jiwa Yati,"ujar babah.

Hana mengangguk.Dia meleraikan pelukan."Umi,Hana balik rumah sebelah ya hari ini,"pinta Hana.Dia teringat permintaan Airil menyuruhnya pulang ke rumah.
****
Airil berjaya juga memujuk Hana pulang ke rumah mereka.Malam itu,dia menanti isterinya keluar dari bilik air dengan hati berdebar-debar.Walaupun perbincangan dengan Cikgu Liana petang tadi tidak memberi sebarang kata putus tetapi diam-diam hatinya ada sedikit rasa bahagia dengan khabar itu.Sekurang-kurangnya dia tahu punca Hana selalu beremosi dan sensitif.

Usai mandi,Hana muncul dengan baju T-shirt putih longgar dan seluar tidur belang hitam putih.Ringkas.Di mata Airil,isterinya itu tampak begitu berseri. Ada aura keibuan yang jelas terpancar pada wajahnya membuatkan dada Airil dihimpit rasa sebak.

Hana sedar dirinya diperhatikan.Dia berpura-pura tidak nampak.Dia duduk di hujung katil mengeringkan rambut dengan tuala.Airil yang sejak tadi berperang dengan perasaan perlahan-lahan mengesot menghampiri lalu duduk di belakang isterinya.

“Sayang cantik sangat malam ni," pujinya dengan suara yang serak menahan rindu.

Hana diam.Tidak sepatah pun dibalas. Tuala ditarik kasar,digosok ke rambutnya.Tidak tercair hatinya dengan pujian tulus Airil.

Airil menelan liur. Dia tahu Hana masih marahkan dirinya.Hatinya terlalu ingin meraih kembali senyuman itu."Sayang,marah abang lagi ke? Abang minta maaf ya.”Airil mengalah.

Hana berpaling merenung tajam.
“Abang nak apa lagi ni? Tak reti nak tidur ke?”suaranya tinggi dan tajam menikam.

Airil menghela nafas berat.Isterinya kini persis singa garang.Walau hati meronta ingin memeluk,tangannya tidak berani dihulurkan menyentuh kulit Hana.Silap sedikit,mungkin penampar Jepun singgah di pipinya.

“Sayang…” Airil cuba lagi.Suaranya selembut mungkin."Abang rindukan Hana yang dulu.Hana tak rindu ke nak manja dengan abang?”

Hana menjeling.“Abang jangan cuba-cuba nak lembutkan hati Hana sekarang.”

Airil menahan rasa.Dia tahu perubahan emosi Hana bukan sekadar marah biasa.Kemarahan Hana tidak mencarikkan hati Airil malahan terus berusaha memenangi hati beku sang isteri.

“Sayang…” Airil menggigit bibir sebelum bertanya perlahan."Ada benda penting Hana sorok daripada abang,kan?”

Hana berpaling mendadak.Matanya mencerlung tajam.“Abang nak cakap apa sebenarnya?Straight to the point jelah."

Airil senyum.“Sayang jangan garang sangat boleh tak?Abang takutlah Hana jeling abang macam singa nak terkam mangsa.Cuba tarik nafas,sabar sikit. Hana bengis macam ni,nanti dapat baby suka menangis.Bertenang,barulah baby dalam perut itu ikut tenang."

Langkah Hana terhenti.Nafasnya seakan tersekat.Mata bundar itu menatap Airil lama sebelum dia bersuara hampir berbisik tetapi penuh kejutan.“Jadi,abang dah tahulah ya?”

Airil mengangguk.Pandangannya sarat dengan harapan agar Hana lembut hati.
“Hana pregnant kan?Kenapa Hana tak beritahu abang hal sepenting ini?”Lembut tutur Airil menyoal.

Hana ketawa sinis.“Penting ke bagi abang?”

Airil terdiam.Dia tidak menyangka Hana boleh bertanya begitu.
“Pentinglah,sayang.Itu kan anak abang.Maafkan abang sebab abang tak sangka secepat ini kita dapat baby.Tak sempat kita pergi jumpa doktor ikut planning kita.Dah rezeki kita,terima sajalah.”

Mata Hana berkaca.“Maksunya,abang tak ikhlaslah terima anak ni?”

Airil panik.Hana salah faham lagi.Matilah jika salah jawab.Adushhh..Dia segera menggeleng.“Sayang,jangan salah sangka.Abang tak bermaksud begitu."Airil cuak Hana akan naik angin lagi.

“Sudahlah!”suara Hana memotong, keras.Air matanya menitis tanpa dapat ditahan.“Hana malas bincang apa-apa dengan abang.”

Tuala di tangan dicampak ke katil.Rentak langkahnya laju menghentak keluar dari bilik.Tinggallah Airil duduk terkial-kial memandangnya.

Airil mati kutu dibuatnya.Hendak dipujuk takut semakin membara marah Hana.Untuk kali pertama,berita kehadiran zuriat yang sepatutnya jadi berita gembira bertukar jadi jurang yang makin melebar antara mereka.

****
Sebungkus nasi lemak licin disapu Hana tanpa banyak bicara.Shanaya yang duduk di hadapan hanya memerhati.Sesekali mengerutkan dahi. Belum sempat habis meneguk air,Hana menyambar bekas plastik kecil berisi apam puteri ayu yang baru dibeli di kantin.

Satu ketul.Dua ketul.Tiga ketul.Sampai lima ketul,habis semuanya masuk ke perut Hana.

Shanaya berhenti mengunyah. Mulutnya masih penuh dengan keropok lekor sementara matanya tepat merenung Hana."Kau ni,sedap sangat ke kuih apam ni?Berselera betul aku tengok kau makan.Macam bela saka je.”

Hana selamba meneguk air mineral lalu menjawab.“Perut aku lapar.”

Jawapan ringkas itu buat Shanaya mengangkat kening.Selalunya Hana hanya makan seketul dua kuih saja jika sudah menjamah nasi.Hari ini lain benar.Selera macam orang berpantang lapar tujuh hari.

Hana tahu pandangan pelik sahabatnya.Dalam hatinya,dia ketawa kecil.Bukan saka tetapi ada satu nyawa lain di dalam tubuhnya yang turut meminta haknya untuk makan.Nyawa itu semakin hari semakin membesar di dalam rahimnya.

Shanaya pula sudah menukar topik kerana tidak mahu memanjangkan soal makanan."Oh ya,semalam Cikgu Liana cari aku!Tanya pasal kau.”

Hana mengangkat wajah."Tanya pasal apa?”

“Boyfriend serta hubungan kau dan Arshad," jawab Shanaya selamba.“Aku cakap je kau tak ada boyfriend.Dah lama kan kau putus dengan Acad?”

Hana terdiam.Tangannya menggenggam bekas kuih kosong itu. Nafasnya turun naik perlahan namun dalam hati bergolak.Dia tahu cikgu Liana akan menyiasat dan mencari siapa bapa sebenar anak yang dikandungnya.Mujur Shanaya tidak tahu.Kalau tidak,sudah kecoh satu sekolah dengan mulut celuparnya itu.

Airil juga tahu daripada mulut cikgu Liana.Cuma Hana tidak tahu apa yang telah dibisikkan kepada Airil.Apa pun, dia malas ambil pusing.Biarlah.Lambat- laun pecah juga tembelang yang disorok.Buat masa sekarang, makanan lebih penting.

Sedang dia mahu menyandar,tiba-tiba sebayang tubuh berdiri di sisi meja mereka.Bau minyak wangi lelaki yang cukup dikenalinya singgah ke hidung.

Airil.

Hana menoleh perlahan.Lelaki itu tersenyum menghulurkan plastik putih yang di dalamnya terisi sekotak susu Dutch Lady dan sebungkus roti coklat.

“Makan ni kalau rasa tak cukup kenyang,”ucap Airil lembut.Dari tadi dia nampak Hana berselera makan,jadi dia belikan makanan tambahan untuk Hana dan bayinya.

Hana kaku.Shanaya pula sudah mencebik kecil."Hana seorang saja ke dapat,cikgu?"

"Awak nak juga?Nah,ambil duit ni!Awak pergilah beli."Airil memberi wang kertas berwarna hijau kepada Shanaya.

Tanpa sepatah kata,Hana mencapai plastik itu lalu meletakkannya di atas meja.Dia tidak berani membalas pandangan Airil.

Airil hanya menghela nafas halus sebelum melangkah pergi.

Hana tidak menoleh.Hatinya berat manakala fikirannya kusut.Namun jauh di dasar jiwa,dia terasa bersalah memarahi Airil tetapi emosinya mendahului kewarasannya.Adakalanya,ianya berlaku spontan.Kasihan Airil.

****
Petang itu, padang sekolah riuh rendah dengan sorakan pelajar yang menyokong rumah sukan masing-masing.Sorak mereka memecah langit menambah bahang cuaca panas yang semakin membakar kulit.Suara pelajar melaungkan nama rumah sukan,bunyi siulan dan tepukan bergaung silih berganti memeriahkan suasana.

Hana yang berada di sisi padang turut sama menyorak.Wajahnya ceria seolah-olah tiada masalah yang membebani fikirannya.Nun di seberang sana,pandangan Airil tidak pernah lepas daripada memerhatikannya.Dari kejauhan,lelaki itu memberi isyarat agar Hana keluar daripada kerumunan pelajar lain.

Mendapat isyarat itu,Hana mengatur langkahnya perlahan menghampiri Airil yang menunggu tidak jauh dari situ.Agak jauh daripada kumpulan yang bersorak riang.

“Hana masuk acara larian 100 meter?" soal Airil mendatar.Senarai nama peserta pada tangannya dipegang."Hana tarik diri.Jangan lari.Badan Hana tak sihat."

Hana menegakkan tubuh.Wajahnya penuh rasa ingin melawan.“Kenapa? Hana sihat je ni.Tak ada apa-apa pun. Biarlah,Hana nak lari juga.”

Airil menghela nafas kasar menahan sabar.Saat-saat genting begitu,Hana tetap berdegil hendak menyertai acara larian.Matanya menikam wajah Hana. “Jangan degil,Hana.Awak tu mengandung.Badan Hana bukan sihat sangat kebelakangan ni.Tak kasihan ke pada baby kat dalam tu?"Airil separuh berbisik sambil mengetap rahang.Dia risaukan kesihatan Hana dan bayi yang dikandung.

Hana hanya menjeling kecil malas hendak melayan.Dia berpusing dan melangkah semula ke arah pelajar-pelajar lain yang sedang bersorak riang.Airil mengancing gigi.Kedegilan Hana sukar dibendung.Matanya tetap memaku ke arah Hana yang semakin menjauh.Kepala batu.

Shanaya segera mendekati Hana dan berbisik di telinganya,“Kenapa cikgu Airil panggil kau tadi?”

“Dia suruh aku ambil buku sebelum kelas esok pagi,”bohong Hana sambil mengekalkan senyum nipis.

Tidak lama kemudian, suara pegawai bertugas bergema melalui pembesar suara memanggil semua peserta larian 100 meter kategori pelajar prauniversiti bersiap di lorong larian.Hana bergegas masuk ke garisan.

Sebaik sahaja kakinya memijak lorong larian,rasa pening yang sedari tadi cuba ditepis kembali menyerang hebat.Kepala terasa berpusing semula.Daratan padang seperti bergoyang-goyang di hadapan mata.Dia menggenggam lutut,cuba menstabilkan diri.Nafasnya menjadi berat.

“Peserta,bersedia!” suara pegawai memberi arahan tetapi kata-kata itu bagaikan tenggelam dalam gegaran di telinga Hana.

Mata Hana berkelip beberapa kali namun pandangannya semakin kabur.Rasa panas membakar kulit kepalanya.Peluh merembes membasahi dahi.

Langkah kakinya goyah.Tubuhnya tidak lagi mampu menampung beban sendiri.

Dan akhirnya...

“Allah, Hana!”tempik Cikgu Liana dari jauh.

Tubuh Hana rebah ke tanah padang yang panas membahang.Sorakan pelajar yang tadinya bergema bertukar menjadi jeritan panik.Suasana bertukar kecoh.Pelajar-pelajar berlari menghampiri Hana.Suara-suara cemas bersahutan.

Airil yang sejak tadi tidak lepas memerhati turut terperanjat.Wajahnya pucat.Tanpa berfikir panjang dia berlari deras meredah kerumunan para pelajar. Guru-guru lain turut bergegas namun Airil terlebih dahulu sampai lalu berlutut di sisi Hana.

“Hana!”Dia menepuk perlahan pipi isterinya yang sudah tidak sedarkan diri."Bangun."

Peluh dingin mula membasahi tengkuk Airil walaupun panas terik masih menyengat padang.

Di saat itu,hanya ada Hana di matanya. Degupan jantungnya kacau seperti sebahagian nyawanya sedang direntap.

Hana masih degil.Masing ada beberapa episod lagi nak tamat kisah Hana dan Airil.Selamat berhibur you alls..

Share this novel

Seri
2025-08-26 07:58:31 

Habislh hana lepas ni … hadap rajuk airil pula

Anita Azmi
2025-08-25 23:37:47 

mood ibu swing.. Hana jgn degil


NovelPlus Premium

The best ads free experience