AYA keluar daripada perut kereta. Punat alarm ditekan sebelum beredar meninggalkan kawasan parking. Cermin mata hitam yang terletak di atas kepala ditarik ke bawah. Dengan penuh gaya, Aya berjalan menuju ke fakulti.
“Aya!” Auni terus mendapatkan kawan baiknya itu sebaik terlihat kelibat Aya memasuki fakulti.
“Hei! Faris mana?” soalnya. Mereka sudah biasa bertiga. Bila salah seorang tiada, rasa pelik.
“Faris pergi library sekejap. Dia cakap nak pulangkan buku,” jelas Auni.
Aya mengangguk faham. Cermin mata yang tersangkut pada batang hidung ditarik lalu disimpan ke dalam tas tangannya. Rasa pelik pula kalau pakai cermin mata hitam dalam fakulti ni.
“Eh, semalam kau pergi mana ha? Faris cakap kau ada hal. Bukan ke kau dekat rumah jer ke semalam?” soal Auni.
“Memanglah aku dekat rumah. Aku tak cakap pun aku pergi mana-mana. Aku cuma cakap yang aku ada hal jer,” balas Aya selamba.
“Hal apa?”
“Abang Riel datang rumah aku!” beritahu Aya teruja.
“Sebab tu jer kau cancel plan dengan Faris? Huh!” Auni menggeleng perlahan. Dia tahu tentang Azriel. Aya selalu ceritakan padanya tentang lelaki itu. Tapi tak sangka pula Aya sanggup batalkan rancangannya untuk keluar bersama dengan Faris hanya kerana Azriel datang ke rumahnya.
“Of course lah! Ingat senang ke nak jumpa mamat beku tu?”
Auni mencebik. Susah kalau orang dah angau ni. “Kalau Faris tahu, mahu dia merajuk dengan kau Aya.”
“Alah nanti pandailah aku pujuk dia.”
“So, dia buat apa jer datang rumah kau semalam?” soal Auni.
Aya menghela nafas berat. Tak ada apa yang menarik pun sebenarnya. Tapi dapat tengok Azriel depan mata pun dah cukup buatnya. Pagi ini dia cuba menghubungi Azriel sekali lagi tetapi tidak berjaya kerana lelaki itu sudah menyekat nombor telefonnya. Baru sekali dia mengusik lelaki itu terus kena block. Hampeh! Tak dapatlah nak dengar suara Azriel lagi. Nak kena beli sim kad baru pula lepas ni.
Dahi Aya berkerut apabila dadanya tiba-tiba diserang rasa sakit. Sejak dua tiga minggu ini, dadanya kerap merasa sakit. Aya anggap ini perkara biasa saja. Tetapi sekarang makin kerap pula rasa sakit itu datang.
“Kenapa ni Aya?” soal Auni risau.
Aya sekadar menggeleng perlahan. Dia tidak mahu Auni risau. Pada umi dan abinya juga tidak diceritakan. Bimbang mereka risau. Nak pergi hospital? Jangan haraplah. Aya paling benci tempat itu. Jadi sudahnya dia menahan sakit itu sendiri. Tak tahu sampai bila nak berterusan begini.
“Eh jomlah masuk kelas. Kita tunggu Faris dekat kelas jer lah,” ajak Aya. Tangan Auni terus ditarik. Sakit yang menyerang dadanya cuba ditahan. Sebentar lagi hilanglah rasa sakit ini.
SUARA orang bertengkar membuatkan Zahra bergegas masuk ke dalam rumahnya. Pagi ini saja dia singgah ke rumah keluarganya. Sudah lama tidak menjenguk mereka disebabkan kekangan masa. Tapi tak sangka pula sampai-sampai jer dia di sini, dia dihidangkan dengan pergaduhan ayah dan ibunya.
“Ayah, ibu... Kenapa ni?” soal Zahra cemas.
Mereka berdua berpaling ke muka pintu. Memandang Zahra.
“Baru kau ingat nak balik sini?” tegur Encik Abdul kasar. Dia cekak pinggang memandang Zahra tak puas hati.
Zahra ketap bibir. Sebab ni lah dia memilih untuk tinggal di rumahnya sendiri. Keluarganya tidak sama seperti keluarga orang lain. Ayah dan ibunya kerap bergaduh. Adik perempuannya pula sibuk dengan kawan-kawan. Kadang-kadang dia kesian dengan adiknya yang bongsu. Zira baru saja berusia 10 tahun dan dia perlu hadap semua ini. Nak dibawa tinggal bersama dengannya sekali tidak boleh. Siapa yang nak jaga adiknya itu nanti bila dia sibuk bekerja? Lagipun ibunya pasti tidak akan benarkan dia membawa Zira tinggal dengannya.
“Zahra sibuk kerja. Bukan macam ayah. Sibuk dengan perempuan keliling pinggang!” balas Zahra lantang. Dia yakin punca ibu dan ayahnya bergaduh lagi adalah kerana perangai buruk ayahnya itu. Bukan sekali ayahnya buat perangai. Dah banyak kali dia ulang perangai buruknya itu.
Tapi ibunya tetap memaafkan ayahnya. Tetap memaafkan kesilapan ayahnya biarpun berulang kali ibunya disakiti.
“Kau jangan biadab!” jerkah Encik Abdul kuat. Matanya tajam menikam wajah si anak.
Sedikitpun Zahra tidak gentar. Dia sudah letih dengan sikap ayahnya itu. Entah bila nak berubah. Asal ada duit sikit, mulalah cari perempuan untuk berhibur. Langsung tak fikirkan anak bini. Sedangkan kubur dah memanggil-manggil. Tapi tetap memilih untuk melakukan dosa.
“Apa? Salah ke apa yang along cakap? Ayah dan ibu bergaduh sebab ayah buat perangai lagi kan? Sampai bila ayah nak hidup macam ni? Kalau ayah dah tak sayangkan kami lagi, lepaskan ibu. Along boleh jaga ibu dan adik-adik.” Bergetar suara Zahra. Kesabarannya sudah tidak tertahan lagi. Dia sudah lelah.
Puan Sari terkejut mendengarnya. Seteruk manapun perangai suaminya, dia masih cintakan lelaki itu. Tak pernah terlintas di fikirannya untuk mereka berpisah.
“Hei! Kau jangan biadab. Kau ingat kau dah ada kerjaya hebat, kau boleh pandang rendah dekat aku? Aku ni bapak kau! Kalau aku tak bela kau, kau dah lama mampus lah! Kau dengar sini baik-baik, sekelip mata jer aku boleh jatuhkan kerjaya kau. Jadi kalau kau tak nak hilang kerjaya kau, jangan nak menyibuk hal aku dan ibu kau!”
“Sudahlah tu along. Jangan masuk campur hal ibu dan ayah,” tegur Puan Sari tegas. Dia tidak mahu anak-anaknya masuk campur urusan mereka.
Zahra terpanar. Tak sangka ibunya akan menyebelahi ayahnya selepas apa yang ayahnya itu telah lakukan pada ibunya. Entah atas alasan apa lagi yang membuatkan ibunya masih bertahan untuk hidup dengan lelaki ini. Dia sendiri sudah lelah melihat ibunya terus disakiti.
Ketawa sinis. Zahra menggeleng tak percaya. “Sekarang ni ibu dan ayah nak salahkan along ke atas apa yang terjadi pada keluarga kita?” soalnya perlahan. Perit di hati hanya Allah yang tahu. Selama ini dia sanggup korbankan segalanya demi keluarganya. Tapi di akhirnya, dia juga yang dipersalahkan. Tak boleh ke sekali saja mereka menghargai apa yang telah dia lakukan buat keluarganya?
Di saat rakan sebayanya menikmati kehidupan mereka, dia bersusah-payah bekerja. Kadang-kadang tiada masa langsung untuk diri sendiri. Dia ketepikan segalanya demi keluarganya.
“Kalau along datang sini sebab nak cari gaduh dengan ayah, lebih baik along balik,” ujar Puan Sari. Membuatkan Zahra semakin terluka.
Encik Abdul tersenyum mengejek memandang anak sulungnya itu. Puas hatinya. Dia tahu seteruk apapun dia lakukan pada isterinya, di akhirnya nanti pasti isterinya akan tetap memaafkannya.
Tanpa sepatah kata, Zahra terus angkat kaki meninggalkan rumah itu. Air mata sudah bertakung di kelopak mata. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Dia tidak mahu menangis di hadapan mereka. Sia-sia.
Pedal minyak ditekan. Laju keretanya meninggalkan kawasan perumahan itu. Tangisan Zahra pecah. Terhinggut-hinggut bahunya melepaskan tangisan. Berbaloikah segala pengorbanannya selama ini demi keluarganya yang toksik itu?
JAM sudah menunjukkan pukul 1.15 tengah hari. Tepat jam 2 tengahari nanti majlis pelancaran koleksi pakaian dan hijab terbaru Datin Hanim akan berlangsung. Tapi batang hidung Zahra masih belum kelihatan. Zahra adalah salah seorang model yang akan memperagakan koleksi pakaian dan hijab keluaran Datin Hanim sebentar lagi.
“Mana Zahra ni Riel? Dah lewat sangat ni,” soal Datin Hanim gusar. Bimbang jika Zahra tidak dapat datang. Siapa pula yang nak gantikan tempatnya nanti?
Azriel mengeluh perlahan. Berkali-kali dia mendail nombor telefon kekasihnya itu. Tapi panggilannya langsung tidak dijawab. Entah kemana Zahra pergi.
“Riel dah cuba call Zahra. Tapi dia tak jawab.”
“Hish. Kemana pula dia pergi? Rosaklah majlis mummy kalau macam ni. Model tak cukup,” keluh Datin Hanim panjang.
Azriel meraup perlahan wajahnya. Daripada pagi Zahra memang langsung tidak menghubunginya. Mesejnya yang dihantar pagi tadi pun masih belum dibalas oleh gadis itu. Dia mula susah hati. Bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku pada Zahra.
Datin Hanim melabuhkan duduknya di atas kerusi. Mata meliar memerhati model-modelnya yang lain. Mereka semua sedang bersiap.
“Hai aunty!”
Serentak Azriel dan Datin Hanim berpaling ke arah pemilik suara itu.
“Aya!” Datin Hanim terus bangun mendapatkan Aya.
“Mana umi?” soal Datin Hanim apabila melihat Aya datang seorang diri sahaja.
“Umi minta maaf dia tak dapat datang. Kawan abi meninggal malam tadi. Jadi umi temankan abi ziarah keluarga arwah,” jelas Aya.
Datin Hanim mengangguk faham. “Tak apalah. Aya datang pun, aunty dah cukup happy. Terima kasih ya sudi luangkan masa hari ni untuk aunty.”
“Sama-sama aunty,” balas Aya ceria. Dikerling sekilas ke arah Azriel. Nampak gelisah semacam jer.
“Cantik-cantik koleksi baju aunty,” puji Aya. Matanya ralit memerhatikan model yang sedang bersiap itu.
Datin Hanim ukir senyum. “Thank you Aya.” Hatinya kembali risau apabila teringatkan Zahra yang masih belum sampai. Lebih kurang 20 minit saja lagi majlis akan bermula.
“Dapat tak call Zahra?” Datin Hanim pandang Azriel.
“Tak dapat mummy.” Azriel menggeleng perlahan.
Keluhan panjang terlepas daripada bibir Datin Hanim. Mana dia nak cari pengganti Zahra di saat-saat akhir begini?
Tiba-tiba dia mendapat idea!
“Aya! Aya boleh tak gantikan model aunty? Dia tak dapat datang. Majlis pula dah nak mula. Aunty tak sempat nak cari model yang lain,” pinta Datin Hanim. Tangan Aya dipegang erat. Hanya Aya yang boleh membantunya saat ini.
Aya terkejut mendengar permintaan Datin Hanim. Biar betul? Tak pasal-pasal kena jadi model bidan terjun pulak. Dah lah dia tak ada pengalaman.
“Err... Tapi aunty...” Serba salah Aya dibuatnya. Tak sampai hati nak tolak permintaan Datin Hanim memandangkan wanita itu benar-benar memerlukan pertolongannya saat ini.
“Boleh lah ya Aya? Nanti aunty bayar Aya.”
Aya tak tahu nak bagi alasan apa untuk menolak. Ini bukan soal bayaran. Soalnya boleh ke dia beraksi di atas pentas tu nanti? Buatnya dia tergolek jatuh? Tak pasal-pasal Datin Hanim yang malu.
“Mila!” panggil Datin Hanim.
Seorang wanita berbaju hijau segera datang ke arah mereka.
“Mila, tolong siapkan Aya. Zahra tak datang jadi Aya yang akan gantikan tempat dia,” arah Datin Hanim.
Wanita yang memakai baju hijau tadi terus mengajak Aya mengikutnya. Tanpa sepatah kata, Aya hanya menurut. Matilah nak! Jadi model tudung pula tu. Dia sendiri tidak bertudung.
“Kalau Zahra datang sekejap lagi macam mana? Kecil hati dia kalau tahu mummy gantikan tempat dia dengan budak tu,” soal Azriel. Dia tak suka Aya yang gantikan tempat Zahra.
“Jadi Riel nak mummy tunggu dia sampai bila? Sampai majlis habis?” soal Datin Hanim geram. Sudahlah Zahra buat hal di saat-saat akhir. Sepatutnya Azriel ucapkan terima kasih kepada Aya kerana sudi membantu mereka di waktu genting begini.
Azriel diam. Dia tahu Zahra salah. Tapi pasti gadis itu ada alasannya sendiri. Mungkin dia tengah menghadapi masalah sekarang ni. Tak mungkin Zahra suka-suka nak tarik diri di saat akhir. Lagipun ini bukan kali pertama dia menjadi model untuk koleksi Datin Hanim.
“ABANG Riel, cantik tak?” soal Aya. Tudung yang tersarung di kepalanya dibetulkan sedikit.
Azriel angkat wajah. Terdiam seketika saat melihat Aya yang kelihatan manis bertudung itu. Wajah Aya terlihat matang dengan solekan di wajahnya.
“Biasa jer,” balasnya dingin. Kemudian dia pandang ke arah lain. Takut pandang lama-lama nanti jatuh cinta pula!
“Abang Riel ni kan, kalau dengan Aya sombong sangat. Dengan orang lain elok jer abang borak tadi,” rungut Aya sebal. Bukannya dia tak nampak Azriel berbual dengan model yang lain tadi. Elok jer. Siap senyum lagi. Kalau dengan dia, 24 jam tayang muka ketat. Kedekut betul nak senyum.
“Abang Riel jangan sombong sangat tau dengan Aya. Silap-silap orang yang abang tak nak layan ni lah yang akan jadi...”
“Aya! Dah siap?” Datin Hanim muncul di belakangnya.
“Dah aunty. Aya nervouslah.”
“Cantiknya Aya bertudung. Manis sangat. Aya jangan risau. Everything will run smoothly. Come. Majlis dah nak mula.” Datin Hanim menarik tangan Aya mengikutnya.
Azriel mencebik. Kalau dengan Aya, bukan main baik lagi. Si Aya ni pun satu. Sajalah tu nak ambil kesempatan dengan mummy.
“Riel, cepat!” gesa Datin Hanim apabila melihat Azriel masih duduk di bilik persalinan itu.
“Ya mummy.” Lambat-lambat dia bangun. Ikutkan hatinya mahu pergi ke rumah Zahra sekarang ni. Risau jika sesuatu yang buruk berlaku pada Zahra tapi Datin Hanim tidak membenarkan dia meninggalkan majlis.
Zahra cepat-cepat bersembunyi. Lebih kurang lima minit tadi dia baru saja tiba. Dia terlewat gara-gara dia tertidur. Puas menangis ketika pulang daripada rumah keluarganya tadi. Bukan niatnya sengaja datang lewat ke sini. Telefonnya pula kehabisan bateri. Tapi tak sangka pula tempatnya sudah digantikan oleh model yang lain.
Dia sempat juga mencuri dengar perbualan model itu dengan Azriel dan Datin Hanim. Hubungan model itu dan Datin Hanim juga kelihatan akrab. Seperti sudah lama kenal. Lagi-lagi apabila mendengar gadis itu memanggil Datin Hanim dengan panggilan aunty.
“Zahra?” sapa Mila saat terpandangkan kelibat gadis itu.
“Err... Kak Mila...” Zahra tersenyum kelat.
“Zahra pergi mana? Kenapa baru datang? Tempat Zahra...” Belum sempat Mila menghabiskan ayatnya, Zahra sudah memotong.
“Dah digantikan? Tak apa. Zahra faham. Memang salah Zahra juga sebab datang lewat.” Dia tersenyum hambar menutup rasa hati. Tipulah kalau dia cakap dia tidak berkecil hati apabila tempatnya sudah digantikan dengan model yang lain. Azriel pula nampak langsung tak kisah. Kalau lelaki itu benar-benar risaukannya, dah lama Azriel cari dia dekat rumah.
Hari ini benar-benar hari yang buruk buatnya. Bergaduh dengan keluarga. Terlewat datang ke tempat kerja. Pasti Datin Hanim marah padanya kerana tidak menepati janji. Makin buruklah dia di pandangan ibu kekasihnya itu.
AZRIEL terpaksa menghantar Aya pulang ke rumahnya. Ketika ingin turun pentas tadi, kaki Aya tersadung. Membuatkan dia terjatuh sehingga kakinya terseliuh. Boleh saja jika dia ingin memandu sendiri tetapi Datin Hanim tidak membenarkan dia memandu sendiri dalam keadaan kakinya yang cedera itu.
Mahu tak mahu terpaksalah Azriel menurut. Sudahlah dia mahu cepat. Tadi Mila ada memberitahunya Zahra datang. Tapi sebaik tahu tempatnya sudah digantikan, dia terus pulang. Makin susah hati Azriel dibuatnya. Dia yakin pasti Zahra berkecil hati. Ingatkan selepas majlis selesai mahu pergi ke rumah Zahra, tetapi terpaksa menghantar Aya pulang pula. Menyusahkan!
“Abang Riel, model yang Aya gantikan tu girlfriend abang ke?” soal Aya. Ketika di bilik persalinan tadi dia terdengar kru dan model-model yang lain berbual tentang Zahra. Tak sangka pula rupanya gadis itu adalah kekasih Azriel.
Kalau tadi dia gantikan tempat Zahra sebagai model. Mungkin selepas ini dia akan gantikan tempat Zahra di hati Azriel pula. Ah! Jauh betul kau berangan Aya. Tipulah jika dia tidak kecewa apabila mengetahui Azriel sudah memiliki kekasih hati. Tapi dia tak kisah. Selagi belum sah jadi isteri, macam-macam boleh jadi. Jodoh kan di tangan Allah.
Azriel malas nak jawab pertanyaan Aya. Dia masih bengang dengan gadis itu. Daripada dulu Aya asyik menyusahkan hidup dia. Tak boleh ke kalau sekali jer Aya tak ganggu ketenteraman hidupnya?
“Dia orang cakap girlfriend abang tu datang tadi. Tapi lepas tahu Aya gantikan tempat dia, dia terus balik. Dia marah ke?” soal Aya lagi walaupun soalannya yang tadi pun masih belum dijawab.
Azriel menghela nafas panjang. Bising! Daripada kereta mula bergerak tadi mulut Aya tak berhenti bercakap. Dia terus berhentikan kereta di tepi jalan.
“Turun,” arah Azriel.
“Hah?” Aya tercengang. Dia salah dengar ke?
“Aku cakap turun.”
“Ta...tapi... Kenapa?” soal Aya risau. Ah, tu lah kau Aya. Daripada tadi asyik tak berhenti membebel.
“Turun,” ulang Azriel lagi. Dia keluar daripada perut kereta. Pintu di tempat duduk sebelah penumpang dibuka.
“Cepatlah,” gesanya tidak sabar. Pandai-pandailah Aya balik sendiri nanti. Grab kan ada. Dia bukannya budak kecil lagi.
Lambat-lambat Aya keluar juga daripada kereta. Rasa nak menangis pun ada. Sampai hati Azriel tinggalkan dia dekat tepi jalan.
Sebaik Aya turun, Azriel masuk semula ke dalam kereta. Tanpa menunggu lama keretanya terus meluncur laju membelah jalan raya.
“Umi... Tolong Aya...” rengek Aya sendiri. Disebabkan mulutnya yang tak berhenti bercakap, dirinya merana ditinggalkan di tepi jalan.
Telefon daripada tas tangannya dikeluarkan. Nasibnya malang apabila telefonnya sudah kehabisan bateri. Macam mana dia nak hubungi teksi atau grab? Sudahlah jalan ini tidak banyak kereta yang lalu.
Aya rasa nak jerit kuat-kuat sekarang ni. Ah! Azriel memang kejam.
Dahi Aya berkerut apabila dadanya terasa sakit semula. Denyutan jantungnya terasa lebih laju daripada biasa. Nafasnya juga terasa seperti tersekat.
“Ya Allah...” Aya pegang dadanya. Pandangannya semakin lama semakin kabur. Tubuhnya rebah ke tanah. Aya terus tidak sedarkan diri.
Share this novel