Langkah Medina Atalia tenang menuruni anak tangga marmar putih, satu persatu. Suasana rumah besar itu tetap sepi meskipun dua tetamu yang tidak diundang sedang menunggu di ruang tamu duduk, tapi tidak pernah tahu cara untuk diam.
Datin Sri Qalsum membelek-belek bekas lilin hiasan yang terletak di atas meja sisi, seolah menilai citarasa Medina dari sudut perabot dan dekorasi.
Maria Elena pula duduk dengan kaki bersilang, berpeluk tubuh dan mencebik dari tadi, matanya tidak lepas memerhati setiap inci rumah itu.
“Akhirnya keluar juga tuan rumah,” sindir Maria sambil membetulkan rambutnya yang ditiup penghawa dingin.
Medina tidak terus menjawab. Dia hanya mengukir senyum nipis sambil berjalan menghampiri mereka.
“Saya mohon maaf kalau layanan pembukaan pintu tadi kurang menyenangkan. Tapi tetamu yang datang tanpa undangan, kami ada prosedur keselamatan.”
“Huh, prosedur konon. Rumah yang tak layak pun nak ada prosedur,” tempelak Maria sambil memandang sinis ke arah dinding-dinding rumah yang bersih dan tersusun rapi.
Medina duduk perlahan di sofa berhadapan mereka. Tegak, sopan, tapi aura dominasi jelas terpantul dari gerak gerinya.
“Kalau rumah ini tak layak, kenapa masih sudi datang, Puan Maria?” soalnya lembut namun menikam tepat.
Maria tersentap seketika, namun tidak sempat menjawab apabila Datin Sri Qalsum mencelah dengan nada lebih halus, tapi tajam.
“Kami datang bukan sebab kami mahu bertemu kamu, Medina. Kami cuma mahu tahu... sampai bila kamu nak hidup dalam bayang-bayang lelaki yang pernah menjadi suami kamu.”
Medina senyum. Senyuman yang cukup membuat darah sesiapa saja mendidih jika tidak tahan uji.
“Bayang-bayang itu sudah lama saya tinggalkan. Tapi nampaknya ada yang masih tak mampu hidup tanpa mempersoalkan saya... walaupun saya bukan siapa-siapa dalam hidup kalian lagi.”
Wajah Qalsum menegang sedikit. Maria sudah menggigit bibir, cuba menahan diri daripada melenting.
“Kau jangan perasan, Medina. Kami cuma tak mahu orang seperti kau terus pijak darjat keluarga kami. Cukuplah kau pernah duduk di sisi Mikael. Itu pun silap paling besar dalam sejarah hidup dia.”
Medina ketawa kecil. Tidak keras, tapi cukup jelas untuk menambahkan bara dalam hati Maria.
“Silap atau tak... dia yang pilih. Bukan saya yang cari dia, bukan saya yang minta dijadikan isteri.”
Kata-katanya menikam seperti kaca jujur, tapi menyakitkan.
“Jangan sombong sangat, Medina. Dunia ni bulat. Hari ni kau di atas, esok belum tentu. Aku akan pastikan kau jatuh dengan cara yang kau tak sangka,” Maria membalas, kini berdiri dalam keadaan resah.
Medina hanya memandang tepat ke mata wanita itu.
Tenang.
“Saya tak pernah minta berdiri atas kepala sesiapa pun. Tapi kalau berdiri saya buat kalian sakit, mungkin kerana kalian terlalu rapuh untuk hadap kenyataan.”
Datin Sri Qalsum bangkit dari duduknya, wajahnya dingin.
“Kau akan nampak nanti, Medina. Kami tak akan biar kau tenang. Walaupun kau bukan lagi isteri Mikael, kewujudan kau sendiri dah cukup cemarkan maruah kami. Dan aku takkan lupa itu.”
Medina berdiri perlahan.
“Saya pun tak lupa... betapa kerasnya kalian cuba hancurkan saya dulu. Tapi pelik, saya masih di sini, Datin. Masih hidup. Masih mampu senyum.”
Zara muncul dari arah dapur dengan dulang berisi teh panas dan biskut. Dia meletakkan perlahan di atas meja tanpa berkata sepatah.
“Silakan minum, sebelum kalian sambung membenci saya dalam hati masing-masing,” ucap Medina dengan tenang.
Maria menghentak kaki sedikit dan menjeling tajam ke arah Medina.
“Kau belum menang, Medina. Jauh lagi. Jangan terlalu yakin.”
“Saya tak perlu menang, Maria. Saya cuma perlu tenang,” balasnya, lalu berpaling dan berjalan semula ke arah tangga tenang seperti awal tadi, seolah tiada badai yang baru saja melanda.
Datin Sri Qalsum dan Maria hanya mampu berdiri, terkunci dalam amarah yang tidak berbalas. Mereka sudah kehilangan kawalan dan itu lebih menyakitkan daripada kekalahan.
Share this novel