LAMPU sorot memaku tubuh-tubuh gadis muda di atas pentas kaca. Mereka berdiri rapat-rapat dengan tangan masing-masing menutup dada dan celah paha namun sorot lampu terlalu kejam, menelanjangi semuanya.
Di bawah, meja-meja VIP makin riuh. Lelaki-lelaki berpakaian kemas. Ada juga berperut boroi, cincin emas gemuk penuh di jari sudah bersedia dengan buku nota kecil, kononnya untuk catat 'akaun malam'.
Tauke Lok bersandar malas, sesekali jari dia ketuk cerut pada tepi cawan, abunya jatuh bertabur atas meja.
“Kita mula dengan harga dua ribu ringgit. Siapa mahu nombor satu? Budak baru, virgin lagi...”jerit si tukang lelong, seorang lelaki berkot merah.
“Empat ribu!” sahut seorang lelaki bermisai tebal, ketawa terkekeh-kekeh sambil pegang bahu kawan sebelah.
“Ng cīn ng baak! Ng cīn ng baak! Lai la...” jerit pula seorang jutawan cina berkepala sulah sambil mengangkat kad nombor tinggi-tinggi.
“Sepuluh ribu!” ujar lelaki lain sambil sengih, lidah menjilat bibir. Gadis yang dia tunjuk merapat makin hampir nak rebah, wajahnya sudah basah dengan air mata.
Tauke Lok sengaja lambat-lambat menoleh ke arah Azhar.
“Budak nombor tiga tu... manja. Kalau dapat dia, tak payah bayar. Cakap saja, dia ikut aku balik.”
Azhar angguk, tunduk sedikit kemudian melangkah naik ke pentas kaca. Dengan kasar dia tarik lengan gadis nombor tiga. Gadis itu terpekik perlahan, terpaksa ikut langkah Azhar yang panjang-panjang. Bawah pentas makin riuh.
“Weh, belum habis bida lagi lah, Tauke!” bantah lelaki bermisai tadi.Tauke Lok angkat tangan, isyarat diam.
“Aku tau duit korang banyak tapi malam ni... dia hak aku.”
Orang ramai ketawa besar. Ada yang menumbuk meja, ada yang bertepuk tangan.
“Hidup Tauke Lok!"
Tukang lelong gelak besar, tepuk bahu lelaki botak yang tadi bid tinggi.
“Sabar lah... lepas ni ramai lagi. Kau nak nombor lima? Anak Thailand, tu. Lembut, tau.”
Lelaki botak sengih, lambai tangan.
“Tiga belas ribu. Aku nak dia hantar aku balik bilik. Malam ni, lima round. Kalau tak larat, aku bagi dia ubat!”
Orang sekeliling bergema dengan tawa jijik. Gadis Thailand itu hanya tunduk, tubuh menggigil, tangan menekup mulut menahan tangis. Tukang lelong lambai pelayan.
“Selesai. Bawa dia ikut encik ni. Lepas subuh, hantar balik stor.”
Tauke Lok pejam mata sambil sedut cerut panjang-panjang. Dalam hati, dia sebenarnya sudah rancak merencana.
“Raihana... I betul-betul mau bikin you, jadi I punya geh lou po tapi you tolak I itu maciam, ah. Apa pasat tak suka 'git fan' sama I? I kaya, ma... you nak emas, luit, apa saja gua boleh kasi sama you..." ujar Tauke Lok bukan saja bayang muka ayu Raihana tapi tubuhnya juga.
"Tak apa lor... tak mau git fan dengan wa. Wa tetap ada cara. You mau atau tak, you tetap tak boleh lari dari wa, lei..!"
"Lu fikir siapa lu, ah? Lui gam leng tapi sombong…"
"Puih!” Dia buat isyarat ludah kerana geram teramat sangat, mata mengecil pandang depan.
“Ini hutang bukan main-main oh… lu ingat boleh lari, meh? Ngóh dei sai yan!”
Tauke Lok ketawa pendek tapi matanya tak senyum langsung.
“Lu jaga ah… gua tau macam mana mau ambik barang gua!”
***
Hari itu panas luar biasa. Warung kayu usang itu terasa seperti kotak api, penuh bahang yang memerangkap peluh. Raihana sendirian.
Mak Leha terpaksa ke pekan sebelah, katanya urus pinjaman koperasi lama. Tinggallah dia mengurus warung sorang-sorang, dari bancuh teh tarik buih sampai ke mengira duit syiling.
Petang makin merangkak. Orang kampung sudah berkurang, cuma sekali-sekala ada lori lalu. Dari tadi Raihana tak sedap hati. Sejak dia mengenakan hijab buat julung kali, terasa pandangan orang makin melata. Entah kenapa, dia rasa lebih ‘terpamer’ dari dulu walau rambutnya sudah terbungkus rapi.
Sedang dia lap meja dengan kepala tunduk, bau asap cerut yang amat dikenal tiba-tiba menyinggah deria hidunya. Jantung Raihana terhenti. Perlahan dia angkat muka.
Tauke Lok berkemeja putih tapi butang saja-saja dia bukakan, tayang tatu kepala naganya itu. Dan sedang berdiri tidak jauh dari meja hadapan, satu tangan seluk poket manakala satu lagi pegang curut.
Dia memandang Raihana macam mahu telan gadis itu hidup-hidup. Geram sungguh. Mahu saja dia peluk dekat situ juga. Makin bertutup, makin dia mahu intai isi dalam.
"Wah leng loi... hari ni pakai tudung, ah? Manyak syok wo... gua tengok," katanya dengan senyuman miang.
Raihana cepat-cepat melangkah ke belakang kaunter. Genggam kain lap meja dengan sekuat hati. Jantung juga bergendang.
“Kalau nak beli makan, order saja. Kalau tak, saya sibuk," ujar Raihana yang terpaksa melayannya sebagai customer bagi mengelak salah-faham di pandangan orang lalu-lalang itu.
Tauke Lok ketawa pendek, langkahnya semakin menghampiri.
"Lu tau, gua sini bukan mau makan. Gua mau tengok lu... mau cakap sama lu," ujar Tauke Lok terus-terang saja tak perlu kona baring.
Dia sentuh hujung kain tudung Raihana, seakan mahu menarik. Raihana tepis, langkah makin ke belakang hingga tersandar pada dinding warung.
"Jangan kacau saya! Saya sibuk!" suara Raihana bergetar. Tauke Lok ketawa lagi, muncungnya dekat dengan wajah Raihana.
"Lu ingat pakai itu kain tutup kepala... boleh bikin gua tak rasa mau sama lu lagi, meh? Salah lei, sayang. Ini tutup, lagi bikin gua makin geram, tau," ancamnya sambil dekatkan wajah, Raihana berpaling muka. Nafas cerut Tauke Lok panas, baunya tajam.
"Gua kasi chance. Lu jadi ' lou po' gua, senang hidup. Lu tak payah susah-susah jual cucur sini sampai tua. Mau ka tak mau?" tanya Tauke Lok lagi. Penuh tekad. Raihana telan air liur yang terasa macam batu.
“Tak mau. Saya tak akan jual diri sebab hutang orang yang dah mati," jawab Raihana juga bertegas.
Muka Tauke Lok terus berubah merah padam. Dia tekan bahu Raihana ke dinding hingga gadis itu terpaksa pandang matanya.
"Lu jaga mulut. Gua kasi lu satu minggu. Kalau lepas tu lu masih degil, gua tak peduli lagi. Gua tak main cakap baik dah."
Dia lepaskan Raihana dengan satu tolak kasar. Raihana hampir terjelepuk jatuh. Tauke Lok mundar-mandir sekejap, menenyeh abu cerut ke tiang warung sebelum beredar dengan ketawa perlahan.
"Ingat... seminggu, sayang."
Raihana pegang dadanya yang berdegup kencang. Bibirnya berzikir perlahan, airmata mula menitik. Dalam hati dia mohon,
"Ya Allah, lindungilah aku dan mak dari lelaki yang berhati syaitan ini," gumamnya gigit pinggir bibir. Genangan akhirnya tumpah jua...
Share this novel