Bab 52

Romance Series 59840

KELOPAK mata Rizal terbuka perlahan-lahan. Kepalanya terasa sakit dan berdenyut-denyut. Lelaki itu kebingungan. Dia tidak tahu apa telah terjadi kepadanya. Fikirannya terasa kosong. Dia cuba bengah dari pembaringan, namun terpaksa membatalkan niatnya apabila tubuhnya terasa sakit dan kepalanya dirasakan sangat berat. Lelaki itu kemudian memandang ke sisi katilnya. Terlihat Amira yang sedang ketiduran di atas kerusi sambil meletakkan kepalanya di birai katil. Kedua belah lengannya disilangkan untuk dijadikan bantal yang melapik kepalanya.

"Sayang?" Rizal yang masih kebingungan sedikit kurang pasti dengan identiti Amira yang sedang tidur itu kerana wajah wanita itu tidak terlihat dengan jelas. Namun dari bentuk tubuh, Rizal dapat mengagak bahawa wanita itu adalah isterinya.

Mendengar suara Rizal, Amira langsung tersedar dari tidurnya. Wanita itu segera mengangkat kepala dan melihat ke arah Rizal.

"Abang.. abang dah sedar?" Amira sedikit menggelabah.

"Apa yang dah jadi?" Rizal masih bingung dan tidak mengingati kejadian yang berlaku sebelumnya.

Amira tersenyum seraya mengelus lembut pipi suaminya itu.

"Syukurlah abang tak apa-apa.. abang tak ingat? sebelum ni abang cedera sebab nak tolong sayang masa sayang kena serang.." Amira memberikan penjelasan. Rizal hanya mendiamkan diri dengan matanya yang berkerdip dan menganggukkan kepala dengan perlahan. Dia mula mengingati kejadian ketika dia menahan dan menerima pukulan yang ditujukan kepada Amira. Amira juga terdiam seketika. Dia masih memikirkan mengenai hubungan Rizal dan Juana sebelum ini. Tidak tahan memendam rasa, akhirnya Amira cuba mendapatkan kepastian daripada Rizal sendiri mengenai hubungan suaminya dengan Juana.

"Abang tahukan, perempuan tu dulu kekasih abang?"

Rizal terbungkam, mendiamkan diri. Dia harus berfikir dengan semasak-masaknya terlebih dahulu sebelum menjawab pertanyaan isterinya itu. Apa yang harus dia katakan, mestilah tidak membuatkan isterinya itu cemburu atau sakit hati. Rizal menghela nafas panjang sebelum berkata-kata.

"Sayang.. apa pun yang terjadi pada masa lalu.. siapa pun yang pernah berhubungan dengan abang, abang dah tak peduli.. itu semua benda lepas.. tak perlu difikirkan, tak perlu dikenangkan.. sekarang abang dah ada sayang sebagai isteri abang.. cukuplah sayang seorang sahaja yang ada dalam hati abang.. kini dan selamanya.."

Amira mendiamkan diri sambil tersenyum. Dari tindakan Rizal sebelum ini, Amira yakin lelaki itu benar-benar tiada keinginan untuk kembali bersama Juana. Satu perasaan bahagia menyelinap di dalam hati wanita tersebut. Dia bangga dan bahagia apabila mendapat suami seperti Rizal. Terasa dirinya sebagai wanita sangat dihargai. Namun seketika kemudian, fikiran Amira mula terbayangkan wajah bengis ibu mentuanya.

'Haruskah aku rasa bahagia dengan membuatkan orang lain sakit hati? takde guna aku terus bertahan kalau ibu mentua sendiri tak nak terima aku dalam keluarga dia.. itu bukan kebahagiaan sebenar.. aku cuma rampas kebahagiaan ibu mentua aku sendiri..' bisik hati Amira.

Tidak lama kemudian, Rizal yang masih menanggung rasa sakit akhirnya tertidur kembali. Dia harus berehat secukupnya agar dirinya cepat pulih dan dapat kembali ke rumah bersama isterinya semula. Amira yang dari tadi setia menanti disisi suaminya itu hanya menatap wajah Rizal dengan penuh rasa kasih. Dia tahu diri mereka saling sayang menyayangi. Namun kebahagiaan mereka pasti tidak akan bertahan lama dengan keberadaan Puan Sri Rohayu. Amira sama sekali tidak ingin menjadi orang yang akan memutuskan hubungan anak dan ibu. Hubungan darah daging diantara Rizal dan ibunya sama sekali tidak dapat diputuskan. Berbeza dengan dirinya yang hanya terikat dengan hubungan pernikahan semata-mata. Jika mereka bercerai, maka putuslah hubungan diantara mereka.

"Abang, sayang minta maaf.. sayang tak dapat terus bersama abang.. Mama sentiasa perlukan abang.. abang kembalilah bersama Mama.. Sayang tak nak hidup dalam tekanan dan sentiasa dibenci Mama.. Sayang dah tak sanggup.. sayang juga tak nak abang terpaksa membuat pilihan antara sayang dan Mama.. apa pun yang terjadi, abang tetap anak mama, dunia dan akhirat.. sayang tak nak jadi perosak kepada hubungan abang dan Mama.. sayang tak nak abang nanti digelar anak derhaka.. abang berbaktilah kepada Mama.." Amira bangkit berdiri dan membongkokkan badannya. Wajahnya di dekatkan dengan muka Rizal dan satu kucupan daripada wanita itu singgah di pipi suaminya.

Amira kemudian menyeluk saku seluarnya. Wang pemberian Shahira dipegang kemas dalam genggamannya. Wang kertas itu ditatapnya lama. Amira tekad. Dia harus pulang ke kampung dan meninggalkan Rizal. Dia harus berkorban demi kebahagiaan ibu mentuanya. Amira sedar, dirinya sama sekali tidak layak untuk berada di dalam keluarga yang kaya raya tersebut. Dengan hati yang berat, Amira mula melangkah, meninggalkan Rizal yang sedang tidur di dalam wad.

SHIELA memandu kereta Proton Saga yang ditinggalkan oleh Rizal kepadanya. Petang itu, dia baru pulang dari restoran, membantu menguruskan restoran yang diamanahkan oleh Amira dan Rizal kepadanya. Tiba di pekarangan rumah, wanita itu mula merasa pelik apabila melihat sebuah kereta yang merupakan teksi, berada di halaman rumah ibunya itu. Kelihatan Amira keluar dari kereta tersebut tanpa membawa apa-apa, termasuklah beg pakaian. Teksi yang menghantar Amira ke sana kemudian segera berpusing dan meninggalkan kawasan tersebut.

Melihat Amira yang pulang sendirian, Shiela segera menghentikan kereta dan turun dari kenderaan tersebut. Dia bergegas menuju ke arah anak perempuannya itu.

"Mira.. kenapa balik sorang? Mana Riz?" tegur Shiela secara kelam-kabut.

"Hmm.. jom la kita naik atas rumah dulu.." ujar Amira dengan suara mendatar. Dia segera menyalami ibunya itu dan mencium tangan tua ibunya.

Setelah menaiki anak tangga dan masuk ke ruang tamu, mereka berdua segera melabuhkan punggung pada sofa usang di rumah tersebut.

"Hmm.. kelmarin, Riz dengan adik dia datang sini.. katanya ada kerja kat sini dan singgah sekejap kat rumah.. tapi ibu tengok diorang, macam pelik je.. tak macam orang datang buat kerja pun.. sekarang kau pulak yang balik sorang-sorang.. Kenapa ni Mira? Kenapa Riz tak ikut sekali? Ke ada apa-apa dengan korang berdua ni?" Shiela membuat telahan. Amira diam seketika sebelum menjawab pertanyaan ibunya. Fikirnya Rizal dan Shahira ke sana pasti untuk mencari dirinya.

"Entahlah ibu.. sebenarnya Mira dan Riz okey je.. kami takde masalah.. tapi.." Amira menggantungkan ayatnya di situ.

"Tapi kenapa?" Shiela semakin pelik.

"Emm.. keluarga kita dan keluarga dia.. jauh berbeza.. ibarat langit dan bumi.. macam enggang dengan pipit.."

"Apa maksud Mira?"

"Dia.. keluarga dia kaya raya ibu.. tak macam kita.. Papa Riz tu, Tan Sri Hanafi.. Pemilik THL Global Group.. juga pemilik Jentayu Emas, syarikat yang Mira dan Riz kerja dulu.." Amira memberikan penjelasan kepada ibunya.

"Hah? Tan Sri Hanafi yang selalu masuk TV tu? antara orang terkaya dalam negara kita? Tapi.. bukan ke Riz tu dulu kerja sebagai cleaner je kat syarikat lama Mira tu?" Shiela seakan tidak percaya besannya adalah tokoh terkemuka dan jutawan terkenal seantero negara.

"Sebenarnya, Riz kerja jadi cleaner dulu sebab untuk terima syarat Papa dia, sebelum dia ambil alih semua syarikat milik Papa dia tu.."

Shiela terkedu. Penjelasan Amira itu benar-benar memberikan kejutan kepadanya. Amira kemudian melanjutkan lagi ucapannya.

"Selama ni, Riz pun tak pernah bagitau pasal keluarga dia.. sampai la dia hilang ingatan.. Kalau Mira tahu latar belakang keluarga dia, awal-awal lagi Mira tak terima Riz.." Amira tidak dapat menahan kesedihannya. Matanya mula berkaca akibat genangan air pada indera penglihatannya itu. Shiela mulai tersentuh dengan kata-kata anaknya itu.

"Tapi Mira dan Riz kan saling suka.. dah sama-sama sayang.. Keluarga dia macam mana? diorang dapat terima Mira tak?" tanya Shiela. Amira tidak terus menjawab. Wanita itu diam seketika sebelum membuka mulutnya.

"Ira dan Papa sangat baik.."

"Mak dia?" Shiela bertanya lagi. Kali ini Amira mula mengeluh perlahan.

"Mama dia.. tak nak orang kampung macam Mira.." jawab Amira.

Shiela mula memejam mata dan menarik nafas panjang. Dia mula mengerti kenapa anak perempuannya itu melarikan diri, pulang ke kampung sendirian.

"Tapi.. Riz tahu tak Mira balik kampung ni?" tanya Shiela lagi. Amira segera menggelengkan kepala.

"Allahuakhbar... kenapa Mira tak bagitau Riz?"

"Riz sakit.. dia duk dalam wad hospital.. Ini je peluang untuk Mira lari, tinggalkan rumah tu." Mira tertunduk. Sedikit rasa kesal dengan tindakannya sendiri yang telah meninggalkan suaminya tanpa pengetahuan lelaki tersebut.

"Astaghfirullah alazim.. kenapa Mira buat macam tu? tak baik tau, seorang isteri meninggalkan suaminya tanpa pengetahuan.. tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.." tegur Shiela terhadap perbuatan anaknya itu.

"Mira pun tak nak tinggalkan Riz.. tapi Mira terpaksa bu.. Ini je cara untuk kami bahagia.." Amira mula pecah tangis. Air matanya bercucuran dan dia segera memeluk ibunya. Shiela membalas pelukan anaknya itu terlebih dahulu bagi menenangkannya. Belakang badan Amira diusap dengan lembut.

"Tapi Mira tak boleh tipu diri Mira sendiri.. mana mungkin korang bahagia dengan cara macam ni.. ini satu penyeksaan kepada Riz dan kepada Mira sendiri.." Shiela menyatakan pendapatnya.

"Tapi kalau terus tinggal kat sana pun, Mira tetap terseksa bu.. Mira tak sanggup dah kena maki, kena hina dengan Mama Riz.. Kalau Mira pergi, setidaknya Mama dia dah tak sakit hati dengan Mira.. Mama dia boleh hidup bahagia dengan keluarga dia.. Riz pun tak perlu lawan Mama dia.. biarlah Riz hidup bahagia dengan keluarga dia.." Tangisan Amira semakin kencang. Pelukan terhadap ibunya juga semakin erat.

"Mira yakin Riz akan bahagia?" soal Shiela. Amira kemudian mengendurkan tangisannya. Pelukan terhadap ibunya mula direngganggkan dan dilepaskan perlahan-lahan.

"Masalah Mira dan Mama Riz, itu bukan tanggung jawab Mira untuk buat keputusan.. Itu tanggung jawab Riz sebagai suami. Biar Riz sendiri yang buat keputusan.. tugas Mira hanyalah berada disisi Riz dan taat kepada Riz selagi Riz menginginkan Mira sebagai isteri dia.. Lain la kalau Riz dah buat keputusan untuk lepaskan Mira, baru la Mira boleh tinggalkan dia.. Mira tinggalkan dia dan balik kampung ni, Mira ada fikir tak perasaan Riz macam mana? Kalau Riz sedih dan tak redha dengan perbuatan Mira ni, sepanjang masa, siang dan malam malaikat akan kutuk dan melaknat hidup Mira tau.." Ucapan Shiela itu bagaikan satu tamparan buat Amira. Kini dia mula sedar kesilapan yang dia lakukan. Kata-kata ibunya itu ada benarnya. Melarikan diri sepatutnya bukan menjadi keputusan Amira. Masalah antara dirinya dan Puan Sri Rohayu sepatutnya diselesaikan oleh Rizal sendiri sebagai seorang anak dan seorang suami. Amira tidak sepatutnya mendahului suaminya dalam membuat keputusan. Malah perbuatan Amira melarikan diri daripada Rizal itu sendiri sudah menjadi satu hukuman kepada Rizal yang tidak bersalah. Kini Amira mula kesal dengan dirinya sendiri.

"Tapi.. Mira pun sudah tak mampu nak bertahan kat sana bu.. Mira rasa, lebih baik Mira buat tuntutan fasakh je nanti.." Amira cuba mempertahankan tindakannya. Baginya, semuanya sudah terlanjur terjadi dan masa sudah tidak dapat diundurkan kembali. Alang-alang sudah bertindak, dia harus menyelesaikan semuanya dengan tuntas.

"Astaghfirullah alazim.. La haulawala quwatailla billah.. Mengucap Mira.. Mira sedar tak apa yang Mira duk cakap ni? Mira nak tuntut cerai dari Riz tu sebab apa? Riz ada buat salah apa kat Mira? Dia tak berikan nafkah? Dia tak tunaikan tanggung jawab? Dia pukul Mira? Ingat Mira, seorang isteri hanya boleh menuntut fasakh kepada suaminya hanya disebabkan oleh alasan yang dibenarkan oleh syari'e.. tak bau syurga bagi seorang wanita yang ingin bercerai sedangkan suaminya itu tidak melakukan kesalahan.. kat dunia, memang kita boleh buat.. tapi kat akhirat, kita takkan terlepas.. kalau bercerai tanpa si suami melakukan kesalahan yang di gariskan melalui syarie, dosa seorang isteri tu takkan diampunkan, walaupun si isteri tu bertaubat dan berkahwin lain, dan jadi isteri solehah kepada suami barunya.. tapi dosa dengan suami lama akan kekal dan tidak akan diampunkan jika si suami tu tak redha.." Ucapan Shiela itu seakan pukulan yang bertalu-talu, memukul-mukul hati Amira. Mendengar kata-kata tersebut, hati Amira mula menjadi gentar.

"Ingatlah sabda Rasulullah, kalaulah Allah membenarkan seorang manusia itu sujud kepada manusia lain, aku pasti akan suruh para isteri sujud kepada suaminya.. Dari ucapan Rasulullah tu, digambarkan betapa besarnya kemuliaan dan kehormatana seorang suami.. Syurga seorang isteri itu terletak kepada suaminya.. tapi Mira sekarang.. tengoklah.. Mira sendiri yang lari dari syurga.." Shiela terus menasihati anaknya. Amira terbungkam sambil menundukkan wajah. Kata-kata ibunya tak dapat disangkal sama sekali.

"Allah itu Maha adil.. semua orang mempunyai ibu.. setiap anak, termasuklah orang lelaki, syurganya terletak kepada seorang wanita, iaitu ibunya walaupun lelaki tu dah berkahwin.. tapi untuk seorang isteri, syurganya terletak pada lelaki yang menjadi suami selepas dia berkahwin.. Lelaki wajib taat kepada ibunya.. perempuan pula wajib taat kepada suaminya.. tapi taat itu pun bersyarat, selagi mereka taat kepada perintah Allah.. Jadi Mira taatlah kepada Riz.. soal Mama dia, biarlah Riz yang buat keputusan.." Shiela berkata dengan lembut untuk menasihati anak perempuannya itu. Amira pula mengangguk perlahan, mula memahami maksud ibunya.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-03-12 10:24:34 

tulah, Mira ni suka sgt buat keputusan sendri, kesian plak kat Riz, bru je jumpa, Mira lari lg...suka sgt kau lari² ni ya, Amira...hihihi..❤️

Fatimah Mutazali
2025-03-11 23:53:07 

tq update author


NovelPlus Premium

The best ads free experience