Dara Batrisya. Nama pendek Dara. Pelajar lulusan diploma. Disebabkan masalah kewangan yang kronik, dia tidak jadi untuk menyambung ke peringkat ijazah. Demi emak yang sudah meningkat usia dan kesihatan emak yang kurang memuaskan.
Kerja?
Ini merupakan salah satu penyebab utama hubungan Dara dengan Naim putus sekerat jalan. Bukan setakat Naim. Janji temu Dara bersama dua jejaka selepas itu juga kecundang. Jejaka kedua selepas Naim pula, tidak dapat menerima jurang umur mereka berdua. Perbezaan umur hampir sepuluh tahun menoktahkan terus hubungan yang baru terjalin dua hari. Takut banyak konflik di kemudian hari nanti.
Jejaka ketiga pula anak emak. Nak keluar berjumpa, perlu persetujuan dari emak. Nak belanja makan, pun perlu beritahu emak supaya perbelanjaan bulanannya mencukupi dan tidak boros. Nak pulang dari temujanji pun perlu maklum kepada emak.
Parah! Dara sendiri yang memutuskan hubungan mereka. Seminggu bersama jejaka itu bikin Dara mental. Dia juga anak emak. Tetapi, tidak lah seteruk ini.
"Sudah-sudah lah Dara...Mengeluh banyak mana pun, kau tak akan dapat lelaki yang sesuai dengan citarasa kau. Lagi-lagi anak dara terlajak macam kita."
Bertambah cemberut muka Dara. Terlajak apanya, dia baru saja menjejaki umur dua puluh lima tahun. Itu yang dilabelkan sudah terlajak? Inilah mentaliti orang zaman sekarang. Tetapi jika melihat muka Dara, mereka sendiri tidak dapat meneka umur Dara. Mungkin kerana Dara memiliki wajah keanak-anakkan. Maka tidak hairanlah mereka semua terkejut bila Dara jujur tentang umurnya.
Tetapi bagi Dara, itu bukanlah isu utama dia tidak laris. Dia bersyukur dengan apa yang ada padanya ketika ini. Cukup sekadar bersederhana. Tak perlu berlebihan dalam semua perkara.
Dulu, puas Dara mengisi jawatan kekosongan di semua tempat. Hasilnya sangat mendukacitakan. Permohonan dia hanya sepi tanpa khabar berita. Akhirnya dia memilih bekerja di kilang sebagai operator.
Minah kilang. Disebabkan gelaran itulah semua jejaka yang Dara kenali tidak boleh terima dia seadanya. Hina sangat ke kerja kilang? Bagi Dara, asalkan halal dan dia tidak mengemis di kaki lima sudah memadai.
"Mak I kalau boleh nak perempuan yang kerjanya menjamin masa depan. You tahu kan. Dah nama pun kilang, bila-bila boleh gulung tikar. Nanti I yang kena sara you seorang diri. I nak sara mak I lagi. Adik-adik I lagi. I anak yang sulung, banyak tanggungjawab."
Oh ya!
Ini jejaka ke empat yang Dara berani-beraninya menyimbah air ke mukanya. Belum apa-apa lagi, lelaki ini sudah berkira perihal tanggungjawab. Selepas kejadian Dara memalukan dia, Dara dan dia langsung tidak berhubung lagi. Lebih baik begini.
Benarlah kata orang, dunia ini tak luas mana pun. Pusing-pusing, dua hari lepas Dara bertembung dengan lelaki itu kembali. Elok saja sedang berkepit dengan seorang perempuan yang jauh lebih cantik. Maklumlah, model terkenal. Memang senyum sampai ke telingalah lelaki itu dapat ikan emas yang boleh sara keluarga dia.
Tapi itu semua cerita lama. Dara sudah buang jauh-jauh kenangan buruk dia. Buku cerita hidup dia telah diikat rapi, lalu dibakar terus. Biar jadi abu, dan tidak mahu dikenang lagi.
"Nasib baik aku tak alami nasib yang sama. Ada juga yang nak dengan aku seikhlas hati."
Dara mengerling perempuan yang bersuara di sebelah dia.
Itu Yana. Teman sekerja yang ada kalanya elok budi bahasanya. Ada harinya, inilah yang Dara terima. Sindiran demi sindiran daripada Yana. Mujur kedudukan mereka berjarak semeter. Kalau tidak, memang lengan Yana akan berbirat menjadi mangsa tamparan padu Dara.
"Move on Dara. Ramai sebenarnya yang nak pada kau. Cuma kau tu yang suka jalan sambil pejam mata. Buat-buat buta."
Gila!
Terjegil mata Dara. Soal jodoh dia tidak akan berkompromi. Itu kerja tuhan. Kerja dia, buat pilihan yang terbaik.
"Ha...Elok lah tu! Yang sibuk kejar-kejar tu, separuh daripada mereka suami orang. Ke, kau memang nak aku kena kejar dengan sekumpulan para isteri ke? Si Afan tu, dah bertunang pun. Tu ha, Pakcik Mus, jalan pun tak larat. Macam tu ke kau nak aku pilih mereka semua?" Dara bersuara, dia sempat melemparkan jelingan demi jelingan.
Mengekek ketawa Yana. Tangan dia sibuk memeriksa barangan sebelum dibungkus. Jelingan Dara tidak memberi apa-apa kesan langsung.
"Encik Husni?"
Meremang bulu roma Dara bila dengar nama Encik Husni. Lelaki yang terkenal dengan gosip miang. Pernah sekali Dara berjumpa di pejabat lelaki itu. Bukan main gatal pandangan Encik Husni. Habis atas bawah diteroka. Selalu juga Encik Husni tapau untuk mereka. Dara lebih rela memberi pada orang lain. Dia tidak berani menjamah makanan pemberian lelaki itu. Takut termakan budi! Lebih menakutkan jika terkena jampi. Minta selisih!
"Kau jangan macam-macam Yana. Aku ni dah lapar. Jangan nanti ada berita aku jadi dracula. Bukan darah, sekali tulang-tulang aku kokak!" Kesabaran Dara semenjak dua menjak ini, senipis kulit bawang. Pantang diusik, bunuh membunuh menjadi taruhan.
Ketawa besar Yana. Dia tidak terkesan pun dengan gurauan Dara. Dara hanya berani di mulut dan hanya mendabik dengan dia. Dara bukanlah jenis bersosial dengan semua orang. Itulah punca Dara menjadi bualan manusia dia kilang ini. Dia hanya akan bersuara bila ada yang menegurnya terlebih dahulu. Itupun kalau Dara rasa nak balas.
"Kau cantik Dara. Semua orang puji-puji kau, aku yang berkawan dengan kau pun rasa bangga." Dara mencebik. Dia hanya fokus pada kerjanya. Pujian Yana selalunya berhelah.
"Tapi itulah, kau mana ada masa nak cari calon suami sejak kau kerja kilang. Masa kau dekat sini saja sudah dua belas jam. Belum campur ot lagi. Balik dah rehat. Keluar rumah pun boleh di kira dengan jari."
Apa yang dikatakan Yana itu benar belaka. Hidup Dara, sebelum matahari terbit sudah berangkat ke tempat kerja. Matahari dah terbenam barulah Dara pulang. Itu pun dia terpaksa menaiki van kilang yang mengambil masa dua puluh minit untuk tiba di rumah.
Sampai saja rumah, tilam yang di cari Dara terlebih dahulu. Pernah dia terlajak tidur sehingga tak sempat untuk mandi. Bebelan emak pun akan kunjung tiba bila melihat Dara keluar dari bilik dengan seragam masih tersarung ditubuh.
"Tapi kan Dara..."
Dara malas mahu melayan keterujaan Yana. Yana sebenarnya yang terlalu risau jika dia menyandang gelaran andartu. Sedangkan, dia biasa-biasa saja. Ramai lagi yang sekapal dengan dia. Yang penting, kena percaya dengan aturan Allah.
"Sepupu aku ada join satu group ni." Yana pandang Dara. Baru terfikir.
"Group apa?" Soal Dara pura-pura berminat. Ikutkan hati, dia malas mahu layankan. Tapi mengenangkan istilah persahabatan, dia bersuara juga.
"Group mencari jodoh."
Berpusing tubuh Dara. Ada ke group macam tu? Atau sebenarnya dia sangat sinonim dengan perumpamaan katak di bawah tempurung yang tidak tahu apa sedang berlaku di dunia luar?
"Kau aje ketinggalan zaman. Di media sosial bersepah. Jangan group cari jodoh. Banyak lagi. Sebut je apa kau nak. Semua di hujung jari." Bukan main gamat suara Yana bercerita. Habis terbang sini sana tangan dia.
Dara pula, buat-buat pasang telinga. Tangan masih rakus bekerja. Bosan sebenarnya bila cerita bab jodoh tiada berpenghujung. Ibaratnya, jodoh itu sangat penting dalam menempuh kehidupan yang mendatang. Siapa yang beranggapan sedemikian, maka sesatlah ia!
"Berita baiknya, ada yang dah bertunang selepas dua bulan berkenalan." Yana bersungguh-sungguh menyampai cerita tersebut.
Dara jadi tertarik. Konsep bosan mendengar cerita melibatkan jodoh sebentar tadi terus lenyap saat raut tua milik emak datang bertandang. Dia pun sebenarnya terdesak mencari calon suami. Emak hari-hari menyebut perkara ini tanpa jemu. Sama seperti Yana.
Emak takut Dara tidak akan berkahwin. Emak takut Dara tidak laku. Emak takut Dara tak ada keturunan. Kata emak lagi, Dara sepatutnya dah beranak-pinak. Akhirnya kata, dia sudah layak menyandang gelaran ibu.
Panjang keluhan Dara. Terlalu banyak yang emak takutkan.
"Calon suami dia pun bukan calang-calang. Walaupun umur dekat empat puluh, suami dia masih kacak. Bujang lagi. Dan paling penting, poket dia tebal!"
Makin tinggi keinginan Dara untuk mencuba nasib. Kalau dapat lelaki kaya dan handsome, itu satu bonus. Bolehlah Dara tunjukkan pada bekas-bekas teman lelakinya, yang dia juga masih ada market. Masih ada orang nak. Dan lebih penting, dia tidak akan menyandang gelaran anak dara tua seperti yang dikatakan emak.
"Entah lah Yana. Ada jodoh tak lari ke mana pun." Lain pula yang diluah Dara. Mungkin hati dia buat lelaki sudah pudar. Tiada sinar lagi.
"Jangan macam tu, Dara. Aku ni ha...Dapat suami driver lori je. Itu pun aku yang kejar dia. Kalau kau tak cari, sampai bila? Tak kesian ke dekat mak kau tu. Kempunan nak anak lelaki."
Terteleng Dara.
Apa kena mengena anak lelaki dengan mak dia? Dara ada boleh jaga emaknya. Dia boleh jadi anak lelaki emak. Sampai tua pun tak mengapa. Kalau emak berleter sekali pun, bila penat nanti emak berhentilah.
"Kau tu anak sulung. Siapa lagi emak kau nak harapkan dapat cucu? Tak kan kau nak suruh Dira langkah bendul?"
Yana kalau dah nasihat, semua dia petik. Saja nak Dara merasa serba-salah yang amat.
"Kalau itu yang tersurat, aku rela. Aku akan pastikan adik-adik aku tidak mengalami nasib sama macam aku. Biar dia orang kahwin dulu. Lagi pun, aku ni anak sulung Yana. Banyak nak kena fikir." Sedikit bergetar suara Dara. Dia tidak mahu meninggalkan emak.
Kali ini, lengan dia menerima tamparan padu daripada Yana. Cukup perit. Cukup menghentikan kilang air mata dia yang baru beroperasi. Tak tahu bila masa Yana mendekat.
"Kau jangan nak ambil kerja tuhan! Kau tahu ke siapa jodoh kau? Tak kan? Entah-entah esok lusa jodoh kau tu jatuh dari langit. Yang spesis special edition punya, siapa tahu!"
Mencebik Dara. Ayat Yana itu untuk menyedapkan hatinya semata-mata. Dara meneruskan kerja tanpa pedulikan bebelan Yana. Tahu-tahu saja, mencicit Yana lari. Dara panggung kepala. Patutlah. Supervisor mereka munculkan diri. Dia mengerling Yana yang senyap terus. Bukan main tekun lagi sahabatnya melakukan kerja.
Tergeleng Dara melihat perangai Yana yang bertukar kepada pekerja paling dedikasi. Buat kerja tanpa culas. Dasar Yana hipokrit!
"Dara..."
Terangkat muka Dara bila nama dia disebut oleh supervisor. Yang berdrama sebagai pekerja paling berdedikasi itu, Yana. Tetapi nama dia pula diseru.
"Encik Husni nak jumpa."
Aduh! Jatuh bahu Dara.
"Hati-hati...Keladi tua dah mula menggatal." Yana berbisik bila bayang supervisor mereka menghilang. Mode paparazi terus on.
Mengetap kuat bibir Dara dengar usikan Yana. Memang tak salah dia gelar Yana hipo!
Share this novel