Dato’ Razif mematikan langkah di depan pintu sebuah bilik. Dua lelaki yang sedang menjaga pintu itu menundukkan kepala, tanda hormat kepadanya. Daun pintu ditolak perlahan oleh Dato’ Razif.
“Rhett…” Panggil Dato’ Razif dengan suara lembut.
Rhett yang sedang baring melentang, sebelah tangan atas dahi dengan mata tertutup rapat tidak beri sebarang respon. Kaku dan beku! Dato’ Razif henyak punggung di kerusi pelawat, bersebelahan dengan katil Rhett.
“Papa dah uruskan semuanya. Sekarang, kau hanya perlu lafazkan talak dan turunkan tanda tangan.”
Rhett masih diam. Hanya dada naik turun dengan laju.
“Rhett Raffendy!” Dato’ Razif tinggikan suara. Mulai geram bila Rhett buat tak acuh pada dia.
“Please papa… kalau papa tak kisah tentang saya, at least fikir tentang Del. Tak cukup lagi ke penderitaan yang papa beri pada ibu Del? Jangan paksa saya buat Del tambah menderita. Dia sebatang kara, papa. Kerana cinta, saya buat opah terluka, saya buat semua orang bencikan Del. Beri saya peluang untuk tebus semua kesilapan saya pada Del, papa. Kesilapan keluarga kita pada ibu Del. Papa tak rasa bersalah pada ibu Del ke? Tiada walau sekelumit pun?”
Terpanah Dato’ Razif dengar luahan hati Rhett. Selama ini, buat pertama kalinya dia rasa tertampar sampai ke ubun-ubun. Hampir menitis air mata jantannya.
Siapa kata dia tiada penyesalan? Ia datang bertimpa-timpa selepas perpisahan berlaku. Dia macam orang gila mencari Mardhiah. Dia macam mayat hidup, paksa diri untuk teruskan kehidupan walau jiwa mati tanpa Mardhiah.
Bukan mudah dia lalui semua itu, apatah lagi setelah dia dapat tahu yang Mardhiah telah berkahwin. Dia hancur saat tahu berita itu! Langsung setuju dengan calon isteri pilihan ibu dan ayah tanpa fikir panjang.
Dia tidak kenal malah tak pernah jumpa pun calon isterinya. Yang dia tahu, keluarga gadis itu sangat dipercayai oleh orang tuanya dan banyak berjasa dalam mengukuhkan perniagaan keluarga.
Tok Teh, ibu dia awalnya sangat memuji isterinya. Lama kelamaan, Tok Teh mulai banyak komplen, pada mulanya hanya kepada dia tapi setelah beberapa tahun berkahwin, mulut tok langsung tidak bertapis. Main sembur ikut suka hati tok. Siap tok bandingkan isterinya dengan Mardhiah.
Dia tahan hati kerana dia anggap tok dah tua, mungkin dah nyanyuk. Tapi, dia langsung tak sangka tok sanggup bertindak sejauh itu! Membawa anak Mardhiah tinggal bersama mereka. Lebih parah, anak dia dengan Mardhiah kini dah jadi isteri kepada anak kandung dia bersama isteri.
Dato’ Razif tarik nafas sedalamnya. Cuba kawal gelora di dada. Rasa marah kembali membara bila dia sedar pertalian darah antara Rhett dan Deila.
“Papa buat semua ini demi kebaikan kamu berdua, Rhett. Percayalah, papa juga tak mahu Del menderita. Dia anak kandung papa bersama wanita yang pernah papa cinta sepenuh hati. Tapi… ini semua tak betul, Rhett! Kau seharusnya jaga Del sebagai kakak kau, bukan sebagai isteri!”
Rhett tercengang. Beberapa saat dia hanya memandang papa dengan wajah bersalah.
“Papa… Del bukan anak kandung papa.” Ah, dah cakap! Tiada niat mahu bocorkan rahsia besar itu tapi kalau hanya itu caranya papa benarkan dia bersama Del, dia akan lakukan tanpa penyesalan.
“What?! Why?” Terbelalak mata Dato’ Razif memandang Rhett.
“Del muda setahun dari saya. Del sebenarnya anak angkat arwah Mardhiah. Anak papa tak sempat lihat dunia. Ibu Del depresi semasa mengandung.”
Ya Allah!
Dato’ Razif duduk bersujud di sebelah katil Rhett lalu menutup wajah dengan dua tapak tangan.
“Dhiah… maafkan saya…”
Rhett hanya mampu pandang dengan rasa hiba. Dia tahu papa sedang menangis. Walau pun tanpa suara, bahu papa jelas terenjut-enjut.
“Mengapa tipu papa? Adakah ini rancangan kau dan Del? Papa yakin tok juga tak tahu tentang ini.”
Bingkas Rhett tegakkan badan. Baru dia tersedar bahawa tindakannya membocorkan rahsia itu bakal menambah luka Deila.
“Papa, please… tujuan saya beritahu papa kerana saya tak nak papa teruskan niat mahu kami bercerai. Rahsia ni, hanya papa yang tahu. Tolong jangan beritahu tok kerana Del juga tidak tahu hubungan sebenar dia dan Mardhiah.”
“Apa?!” Dato’ Razif merenung Rhett dengan tajam.
“Arwah opah juga tak nak Del tahu mengenai hal ini, papa. Tolong rahsiakan dari tok. Kalau tok tahu, pasti Del juga akan tahu. Papa tahu kan sikap tok tu macam mana?” Rhett rayu sungguh-sungguh. Tergeleng Dato’ Razif dengar.
“Apa sebenarnya semua ni, Rhett?! Papa jadi bingung, tak boleh fikir apa-apa.”
“Simple je papa, tarik balik keputusan papa nak suruh kami cerai kerana saya takkan lepaskan Del. Jumpa keluarga Zara dan batalkan rancangan papa nak satukan kami. And now, lepaskan saya papa. Saya nak jumpa isteri saya.” Begitu bersemangat Rhett menutur kata. Dato’ Razif balas dengan keluhan kesal.
“Del yang pinta penceraian ini, Rhett.”
“Apa?! Tak mungkin, papa!” Terkejut sungguh Rhett dengar. Dia tak percaya. Tak mungkin Del buat keputusan seperti itu tanpa bincang dengan dia dahulu. Dia dah jelaskan tentang isi hatinya. Dia dah pinta sungguh-sungguh supaya Del bersabar dan tunggu dia.
“Del dah tak nak teruskan, Rhett. Dia kata dia tak bahagia. Sejak kenal kau, dia tak pernah rasa gembira lagi. Masalah datang tak henti. Semua orang pergi tinggalkan dia. Penceraian adalah jalan terbaik katanya.”
Rhett geleng. Hancur hatinya dengar penjelasan papa. Penceraian adalah jalan terbaik katanya? Tahukah Del tindakannya itu akan buat dia mati cepat? Itukah yang terbaik bagi Deila Araferro?
“Saya sungguh cintakan Del, papa…” Luah Rhett sayu.
“Papa tahu, papa lebih dulu rasa semua itu Rhett. Tapi cinta saja tidak cukup. Cinta tidak menjamin penyatuan dua jiwa untuk selamanya. Papa sokong kau undur diri, Rhett. Pulangkan semula Del kepada cinta pertamanya. Cukuplah kau ganggu mereka. Cukuplah kau bolak-balikkan perasaan Del. Kau kena berkorban jika kau benar-benar cintakan Del.”
Rhett buang pandangan tak mengerti. Hanya beberapa saat kemudian, baru dia mulai faham.
“Amirul ke yang beritahu papa?”
Dato’ Razif menarik sekeping sampul dari kocek kot yang dipakai.
“Del jelaskan semuanya melalui surat ni, Rhett. Dia mahu kau ceraikan dia kerana dia masih cintakan Amirul, cinta pertamanya. Dia akan menikah dengan Amirul yang sepatutnya jadi suami dia sebelum kau datang dan rosakkan semuanya. Amirul adalah calon suami Del yang dah opah pilih, Rhett.”
Tak mungkin!
Rhett geleng berkali-kali. Mata sudah basah tapi dia berusaha untuk tidak menangis depan Dato’ Razif.
“Ini semua tidak benar papa! Del takkan khianati cinta kami!” Sungguh-sungguh Rhett cuba nafikan.
“Hati manusia Rhett, keras-keras kerak nasi je, direndam dengan kata manis bergula, lembik terus. Kau lupa? Kau juga khianati Zara! Ibu Del khianati papa. Tak perlu agungkan cinta. Tanpa cinta pun, kita boleh bahagia.”
Rhett diam. Terpukul dengan kata-kata Dato’ Razif. Adakah ini kifarah untuk dia kerana berpaling tadah dari Zara? Apakah kerana kesilapan yang dah dibuat oleh tok, dia dan papa tanggung akibatnya? Mungkin betul kata papa, cinta bukan segalanya. Tapi tanpa Del, dia rasa mahu mati! Hidupnya hilang makna, jiwa pasti kosong.
“Del bukan macam tu, papa.” Hati masih mahu bela wanita kesayangannya itu.
“Tak percaya kau baca sendiri surat yang Del tulis, ada tanda tangan lagi. Tapi papa rasa tak perlulah kau baca. Cuma akan buat kau lebih terluka. Ni, permohonan cerai kau. Tanda tangan je, biarkan Del pilih jalan hidup dia.”
Tak nak!
Rhett geleng keras. Dia tetap dengan keputusannya. Dia mahu dengar dari mulut Deila sendiri jika benar semua yang ditulis dalam surat itu. Selepas dengar semuanya… selepas tahu kebenarannya… dia harus buat apa? Kalau betul, mampukah dia lepaskan Deila kepada lelaki lain? Rhett tunduk meraup wajah.
“Rhett! Kau dah gila ke? Kau belum sembuh!” Terjerit Dato’ Razif bila Rhett tiba-tiba melompat keluar dari katil lalu berlari ke arah pintu.
“Saya perlu jawapan, papa!”
“Rhett!”
Berdesup Rhett hilang dari pandangan. Dato’ Razif terkesima.
SEORANG wanita pertengahan abad kelihatan sedang berlenggang masuk ke dalam sebuah banglo mewah. Wajah berseri-seri, seperti baru saja kena jackpot.
“Bik! Bawa air ais!” Sambil beri arahan kepada pembantu rumah, wanita itu duduk bersilang kaki dengan penuh bergaya di salah satu sofa.
Tersenyum-senyum wanita itu ketika sedang menilik telefon bimbit di tangan.
“So… budak tak sedar diri tu terselamat tapi dah larikan diri bersama kekasih gelapnya huh?” Senyuman semakin lebar ketika dia bercakap seorang diri.
“Tapi…” Senyum mendadak mati. Wajah berkerut seribu. “bagaimana kalau budak tu tiba-tiba kembali?”
Wanita itu termenung sejenak. Hujung kening hampir bertaut.
“Jenis manusia tak tahu malu macam budak tu harus dihapuskan. Larilah jauh sekali pun, selagi budak tu masih bernafas, tetap jadi ancaman!” Wanita itu bergumam lagi.
Telefon bimbit dibawa ke telinga. Panggilan dibuat.
“Saya nak korang cari dan hapuskan budak tu. Kalau korang berjaya, saya akan bayar tiga kali ganda upahnya.”
Share this novel