Bab 24

Romance Series 59840

BERADA di kawasan luar bandar, peluang pekerjaan yang ditawarkan sangat terhad dan sukar untuk mencari kekosongan jawatan. Amira sudah berjalan beberapa jam di kawasan pekan untuk mencari syarikat atau kedai yang memerlukan pekerja, namun masih gagal. Satu persatu syarikat dan kedai di pekan tersebut dimasuki oleh Amira untuk bertanyakan peluang pekerjaan namun semuanya menolak.

Tiba di hadapan sebuah bangunan, Amira melihat ke arah iklan jawatan kosong yang ditawarkan. Seorang pembantu tadbir diperlukan oleh sebuah syarikat hartanah. Memandangkan dirinya mempunyai pengalaman dan pernah bekerja di syarikat Jentayu Emas sebelum ini, Amira berfikir jawatan itu pasti bersesuaian dengan dirinya. Walaupun hanya pernah bekerja selama tiga minggu, namun dia telah mendapat pelbagai pengetahuan baru ketika berada di sana. Malah dia turut mempunyai pengetahuan dalam akaun yang pernah diajarkan oleh Rizal kepadanya.

Amira meyakini, dia harus memohon untuk jawatan tersebut. Wanita itu dengan segera menuju ke bangunan pejabat syarikat tersebut untuk ditemuduga. Di dalam hatinya, dia tidak putus berdoa agar dia berjaya mendapatkan pekerjaan tersebut.

Masuk ke dalam bangunan, Amira langsung bertanya mengenai jawatan kosong yang dimaksudkan kepada pekerja di sana. Dia kemudian di arahkan untuk menunggu sementara sesi temuduga dijalankan. Tanpa di duga, Amira terkejut apabila melihat begitu ramai calon yang sedang menunggu untuk ditemuduga, sama sepertinya.

Amira mula menempatkan dirinya di bangku menunggu bersama calon lain. Di sebelahnya, terdapat seorang perempuan yang terlihat sebaya dirinya sedang menunggu giliran untuk dipanggil wawancara sambil menggesek permukaan layar telefon pintarnya. Perempuan itu begitu ralit bermain aplikasi media sosial sambil tersenyum sendiri. Seketika kemudian, perempuan itu berkalih pandang ke arah Amira dengan senyuman kecil.

"Datang interview jugak ke?" Sapa perempuan itu kepada Amira.

"Ha'ah.." Amira membalas ringkas sambil menganggukkan kepala. Setelah itu, perempuan tersebut memandang semula ke arah skrin telefon pintarnya. Amira hanya melihat sekilas pandang ke arah paparan skrin telefon bimbit perempuan disebelahnya. Dia kemudian berkalih melihat ke arah fail yang mengandungi pelbagai sijil dan maklumat peribadi ditangannya. Amira selama ini tidak berminat terhadap sebarang aplikasi media sosial dan tidak pernah mempunyai akaun di laman maya.

Bagi perempuan polos sepertinya, aplikasi media sosial hanya mempunyai lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Dia tidak ingin membuang masanya untuk menghabiskan hidup di alam yang tidak nyata seperti di laman sebegitu. Sebagaimana yang dia perhatikan, di zaman ini, terlalu ramai orang yang membuang masa mereka di laman media sosial hanya untuk berhibur dengan menonton video yang tidak bermanfaat dan sering berkomentar dengan caci maki dan sibuk dengan kehidupan para artis. Pada pandangan Amira, dia tidak ingin turut terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat sebegitu.

"Wah, Tan Sri Hanafi, usahawan yang jutawan tu dah naikkan hadiah tawaran sampai 2 juta kat sesiapa yang dapat bantu menemui anak dia yang hilang.. gila la.. beruntung betul siapa yang jumpa anak dia tu, terus jadi jutawan.. tapi tak tahu la macam mana nak cari.. orang hilang ni, mesti dah kena culik.. nak cari macam mana.. mesti penculik tu dah sorokkan kat tempat tersembunyi.. ni mesti penculik tu tunggu, hadiah tawaran naik lebih tinggi, baru mereka akan lepaskan anak jutawan tu.. senang buat duit sekarang, culik je anak orang kaya.." Perempuan di sebelah Amira bersuara setelah membaca satu artikel di laman media sosial.

Amira hanya mendengar kata-kata perempuan disebelahnya. Dia langsung tidak berminat untuk ambil tahu. Fikirnya, anak jutawan yang diculik itu pasti seorang anak kecil. Sungguh malang nasib si anak kecil yang masih tidak tahu mengenai kekejaman orang dewasa. Hanya terdetik rasa simpati dihati Amira terhadap anak orang kaya yang hilang itu. Dia sama sekali tidak terfikirkan jika anak orang kaya yang hilang itu sebenarnya adalah suaminya sendiri. Ucapan perempuan disebelahnya tadi telah menyebabkan kesalah fahaman terhadap informasi dan mengakibatkan Amira berfikir anak yang hilang itu adalah seorang anak kecil.

Akhirnya giliran Amira untuk ditemuduga pun tiba. Namun setelah menjalani sesi tersebut, pegawai yang melakukan temuduga tersebut langsung memberikan jawapan yang mengecewakan. Permohonan Amira langsung ditolak. Dengan menanggung kekecewaan yang memenuhi dada, Amira terpaksa pulang. Sudah hampir setengah hari dia keluar ke pekan untuk mencari pekerjaan namun masih gagal. Dia harus pulang semula ke rumah dengan segera kerana perlu menguruskan Rizal dan neneknya yang sedang sakit.

Dalam perjalanan pulang, Amira terfikir untuk membelikan makanan daripada warung untuk diberikan kepada Rizal dan neneknya di rumah. Dia sudah sangat keletihan setelah seharian mencari pekerjaan di sekitar pekan dan tidak sanggup untuk memasak dan menyediakan makanan nanti. Fikirnya, lebih baik mendapatkan makanan yang sedia untuk di makan dari warung sahaja pada hari tersebut.

Tiba di persimpangan yang tidak jauh dari rumah neneknya, Amira memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah warung makan. Dia berhasrat untuk membeli makanan di warung tersebut.

"Apa yang ada lagi kak?" Amira menjenguk, melihat ke arah bekas lauk-pauk. Namun bekas-bekas yang tersusun itu sudah banyak yang sudah tidak berisi.

"Hmm.. itu je yang tinggal.. gulai ikan, asam pedas pun tinggal sikit lagi.. lepas tu ada ikan goreng je la.. lauk lain semua dah habis.." Jawab wanita yang merupakan pemilik warung makan tersebut. Walaupun wajahnya jelas menunjukkan yang dirinya sedang keletihan, namun wanita itu masih melayan Amira dengan senyuman.

"Emm.. kalau macam tu, bagi gulai ikan dengan ikan goreng tu je la.. bungkus ye.." Amira segera membuat pesanan setelah melihat jenis lauk yang masih berbaki.

"Eh, ini kalau tak salah, anak kak Shiela kan? cucu Cik Mah?" Peniaga wanita itu bertanya setelah beberapa detik menatap ke arah wajah Amira.

"Ya, saya.." Amira membalas dengan senyuman.

"Laa.. dah lama tak tengok.. dah besar sekarang ni.. cantik macam mak dia masa muda-muda dulu.. memang seiras betul." Puji wanita tersebut.

"Ah, ibu memang cantik.. kalau saya ni biasa-biasa je.."

"Ish, mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.. sama-sama cantik.. ni, nama apa dah? Mira kan?"

"Ya, Amira.."

"Dari mana ni? balik kampung jenguk nenek?"

"Ah, tok ma sakit, jatuh bilik air baru ni.. tu yang balik sini.. nak kena jaga dia la sekarang.." Amira segera menjawab dengan ramah.

"Oh.. baguslah kalau macam tu.. jadi, Mira cuti kerja ke balik duk kampung ni? Ke tak kerja? dah jadi isteri orang?" Soalan bertalu-talu dilontarkan peniaga wanita itu sambil tangannya mengisi lauk yang dipesan oleh Amira ke dalam plastik.

"Aa.. sekarang dah tak kerja.. baru ni dah berhenti kerja.. tu yang boleh balik jaga tok ma.. sekarang pun balik dengan suami la.. suami pun baru lepas accident baru ni.. jadi sekarang kena duk jaga dua orang sakit kat rumah tu.." Amira menjawab dengan jujur.

"Lahaula wala quwatailla billah.. teruk ke suami tu?"

"Emm.. kaki dia patah.. lepas tu, otak dia pun ada gegaran.. jadi ingatan dia ada masalah sikit sekarang.."

"Allahu... kesiannya.. tabah betul kau hadapi dugaan.."

"Dah nama pun ujian kan.. hidup kita ni takkan lepas dari ujian.. saya pun tak boleh buat apa.. bersabar je la.. semoga Allah ringankan ujian saya nanti.." Amira menyuarakan redhanya dengan ikhlas.

"Ye la.. nak tak nak, kena la hadapi.. semoga kau terus kuat la hadapi ujian ni.." Wanita itu menghulurkan lauk yang sudah siap dibungkusnya kepada Amira.

"Berapa?"

"Eh, tak payah la.. hari ni Kak Ma belanja.. Kak Ma pun dah lama tak jumpa kau dengan ibu kau tu.."

"Ish, tak boleh la macam tu.." Amira serba salah untuk menerima pemberian dari pemilik warung. Padahal dia sudah berniat untuk membeli makanan tersebut.

"Takde apa la.. lagipun jualan Kak Ma laku hari ni.. dah habis pun.. ni je yang tinggal.. kau ambil la buat makan.." Hasma tersenyum untuk menunjukkan keikhlasannya.

"Banyak jugak jualan Kak Ma.. Kak Ma buat sorang-sorang? Jual sorang-sorang ke? larat betul.. tak penat ke?" Amira kagum melihat kekuatan wanita pemilik warung tersebut.

"Ah, sorang je la.. Penat tu, memang penat la.. kalau boleh, Kak Ma pun nak jugak cari pekerja sorang dua buat bantu kak Ma kat warung ni.. tapi zaman sekarang, susah nak cari pekerja.. budak-budak zaman sekarang ni bukannya nak kerja kat warung macam ni.. paling tak, baik mereka kerja kat pasar raya.. kerja dalam aircond." Shima meluahkan rasa.

"Kalau macam tu, boleh tak saya kerja kat sini? bantu Kak Ma.." Amira melihat peluang pekerjaan di depan matanya. Dia tidak kisah jika bekerja sebagai apa pun. Kini yang paling penting baginya adalah mendapatkan pekerjaan agar dapat menyara kehidupannya bersama Rizal dan neneknya.

"Ish, betul ke kau ni nak kerja kat warung macam ni? Kalau betul nak, Kak Ma pun gembira.."

"Betul.. saya serius ni.. lagipun saya balik kampung ni, sementara jaga tok ma, saya pun nak la jugak cari duit sikit buat belanja diri saya sendiri.."

"Kalau macam tu baguslah.. okey, esok boleh mula kerja.. Kak Ma mula berniaga pukul 11 tengah hari sampai pukul lima petang.. Pukul 10 setengah kau datang la.. tolong kemas-kemas dulu.."

"Baiklah.. esok insyaallah saya akan datang." Amira gembira.

Dapat bekerja di warung tersebut merupakan satu tuah bagi Amira. Akhirnya dia sudah mendapat pekerjaan bahkan paling menyenangkan, warung yang dia akan bekerja hanya berdekatan dengan rumah neneknya. Jadi dia tidak terlalu risau untuk meninggalkan Rizal dan neneknya yang sedang sakit dirumah. Jika berlaku hal kecemasan, dia akan dapat pulang dengan segera. Malah Amira turut senang hati kerana pemilik warung yang akan menggajinya itu adalah sahabat ibunya sendiri. Walaupun kurang mengenali Shima, namun Amira tahu wanita itu baik orangnya dan menjadi sahabat rapat ibunya sejak mereka kecil lagi.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-02-09 00:36:04 

Alhamdulillah, Amira dpt juga kerja...


NovelPlus Premium

The best ads free experience