Bab 2

Romance Series 452923

“INGATKAN gempa bumi tadi. Rupanya kau yang jatuh,” ujar Azriel dengan sisa tawanya yang masih tersisa. Naik kejung perutnya kerana terlebih-lebih ketawa.

Aya ketap gigi menahan geram. Ewah ewah, main kasar nampak. Mulut tak ada insurans langsung! Bukannya nak tolong orang.

“Abang Riel ni, tak baik tau gelak-gelak macam tu. Sakit pinggang Aya ni.” Aya mengurut perlahan pinggangnya. Boleh tahan kuat juga dia terhentak jatuh tadi. Bukan setakat pinggang yang sakit, punggungnya pun terasa kebas apabila bercium dengan lantai.

“Clumsy,” gumam Azriel perlahan. Aya yang dia kenal 20 tahun lepas masih sama seperti Aya yang berada di depannya ini. Tak ada apa yang berubah pun.

Perlahan-lahan Aya bangun sendiri. Nak harapkan Azriel tolong? Jangan haraplah. Tolong gelak boleh lah. Sangkanya Azriel tidak datang bersama dengan Datin Hanim. Tak tahu pula yang Azriel pun ada. Tak sia-sia dia batalkan rancangan dia untuk keluar bersama Faris. Akhirnya dapat juga dia bertemu dengan Azriel.

Selama ini susah benar mahu berjumpa dengan lelaki itu. Azriel sentiasa sibuk. Maklum sajalah Azriel kini menggantikan tempat ayahnya menguruskan syarikat keluarga mereka.

Tapi entah kenapa malang sangat nasibnya, bila Azriel nampak detik-detik yang memalukan dalam hidupnya. Malu betul bila Azriel nampak dia tergolek jatuh tadi. Agak-agak buruk sangat ke muka dia waktu jatuh tadi tu eh?

“Aya tak tahu pula yang abang Riel datang sekali.”

Azriel tak menjawab. Dia terus beredar ke gazebo. Duduk dilabuhkan di situ.

“Sombong!” Aya mencebik. Dijeling sekilas ke arah Azriel. Dinginnya Azriel dengannya masih sama seperti dulu. Sedikitpun tidak berubah. Ingatkan bila masing-masing dah menginjak dewasa layanan Azriel padanya akan berubah. Rupanya sama jer. Dia tunduk mengutip kembali sampa-sampah yang bertaburan di atas lantai.

Azriel keluarkan telefon bimbit daripada poket seluarnya. Nombor Zahra cuba dihubungi tetapi panggilannya tidak berjawab. Sibuk benar kekasih hatinya itu.

Semenjak Zahra bergelar pereka fesyen, gadis itu sentiasa sibuk dengan kerjanya. Maklum sajalah, Zahra bekerja dengan orang-orang ternama. Pelanggannya  kebanyakan orang-orang berpangkat tinggi. Tambahan pula, Zahra juga seorang model. Banyak jenama pakaian muslimah yang memilihnya sebagai model mereka. Makin bertambah padatlah jadual kerja Zahra.

Bohonglah jika Azriel tidak berkecil hati dengan Zahra. Tapi dia cuba memahami jadual kerja Zahra. Mujur saja kadang kala dia juga sibuk dengan kerjanya. Jika tidak, pasti sunyi menghimpit diri.

Keluhan kecil terlepas daripada bibirnya apabila dia tidak berjaya menghubungi Zahra. Angkat wajah. Mata Azriel terpandangkan Aya yang sedang membuang sampah. Hujung bibirnya ternaik sedikit mengenangkan kejadian tadi.

Sudah lama dia tidak bertemu dengan gadis itu. Keluarga dia dan keluarga Aya memang rapat. Ini kerana Datin Hanim dan Puan Murni sudah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Ayah mereka berdua juga boleh dikatakan agak rapat. Cuma dia dan Aya yang tidak boleh berdekat. Entah kenapa sejak daripada kecil dia rasa Aya seorang gadis yang menjengkelkan. Berada dekat dengan Aya membuatkan dia jadi rimas. Mereka ibarat minyak dan air. Tidak akan pernah bersatu.

“Abang Riel, jomlah main dengan Aya. Ni tengok ni, Aya masak macam-macam yang untuk abang tau. Makanlah...” rengek gadis bertocang dua itu.

Azriel mengeluh kasar. Budak ni tak habis-habis nak ganggu ketenteraman hidupnya. Sebab ni lah dia tak suka datang ke rumah kawan baik ibunya. Dia perlu berhadapan dengan 'makhluk' kecik yang annoying! Lagipun dia sudah berumur 13 tahun. Dipaksa main pula dengan kanak-kanak berumur lima tahun. Memang tak lah!

“Jangan kacau akulah. Kalau kau nak main, main jer lah. Aku ni lelaki. Mana ada lelaki main masak-masak!” balas Azriel kasar.

Bibir Aya sudah tercebik-cebik seperti ingin menangis. Membuatkan Azriel cemas. Kalau Aya menangis, pasti dia yang akan kena marah dengan Datin Hanim sekejap lagi. Ah! Aya memang tak habis-habis nak susahkan hidup dia.

“Hei, hei! Janganlah menangis. Okay aku main dengan kau. Tapi kau jangan menangis.” Azriel terpaksa akur. Daripada kena marah dengan Datin Hanim sebab buat Aya menangis, lebih baik dia turutkan saja permintaan Aya.

Terus Aya ukirkan senyuman sampai ke telinga apabila Azriel bersetuju untuk bermain dengannya.

“Sini abang Riel.” Ditarik tangan Azriel duduk di sebelahnya.

Mahu tak mahu, Azriel hanya akur.

“Abang Riel minum ni,” suruh Aya. Cawan mainan yang diisikan dengan air paip itu disuakan pada Azriel.

“Itukan air paip. Kau jer lah yang minum,” tolak Azriel kasar. Ada ke patut Aya nak suruh dia minum air paip itu. Kalau sakit perut nanti macam mana?

“Abang minumlah! Minumlah cepat,” desak Aya.

“Tak faham bahasa ke? Kau jer lah yang minum. Janganlah paksa-paksa orang macam ni.” Suara Azriel mula meninggi. Bengang apabila Aya terus memaksanya begini. Dia dah bersetuju untuk bermain dengan Aya pun dah cukup baik.

“Minumlah abang Riel,” paksa Aya lagi. Kali ini disuakan cawan itu ke bibir Azriel.

“Aya!” Azriel pantas menepis. Tapi dengan tidak sengaja dia tertolak Aya. Membuatkan kepala Aya terhantuk pada tiang gazebo itu.

“Aya... Kau... Okay tak?” soal Azriel cemas.

Aya tergamam. Terasa ada cecair mengalir di dahinya. Perlahan tangan naik menyentuh dahi sendiri.

“Umi!” jeritnya kuat apabila melihat cecair merah melekat pada tangannya. Air mata merembes laju membasahi pipi.

Jantung Azriel berdegup laju. Dia mula takut melihat darah yang mengalir pada dahi Aya. Macam mana kalau Aya mati? Apa dia nak jawab pada Datin Hanim nanti?

Puan Murni dan Datin Hanim berlari keluar daripada rumah apabila mendengar suara tangisan Aya.

“Ya Allah, Aya...” Puan Murni terus mendapatkan Aya. Cemas dibuatnya apabila melihat dahi anaknya itu berdarah. Terus di dukung tubuh Aya lalu membawanya masuk ke dalam rumah.

“Apa yang jadi dengan Aya? Riel buat Aya ya?” soal Datin Hanim.

Azriel ketap bibir. Dia tidak mampu nak menjawab pertanyaan Datin Hanim tika ini. Dada semakin dihempas debaran apabila mendengar suara tangisan Aya semakin kuat di dalam rumah.

“Mummy tanya ni, Riel buat apa dekat Aya?” soal Datin Hanim lagi. Serius wajahnya memandang Azriel.

“Riel... Riel tak sengaja tolak Aya...” akui Azriel jujur. Dia tidak berniat pun nak tolak Aya tadi. Dia cuma mahu menepis tangan Aya.

“Ya Allah budak ni kan... Janganlah main kasar macam tu. Aya tu perempuan. Hish Riel ni kan. Kalau teruk luka Aya tu, Riel jawablah sendiri dekat abi Aya nanti.” Datin Hanim terus berlalu masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Azriel sendirian di luar rumah.

Azriel genggam penumbuknya. Disebabkan Aya, dia yang selalu dimarahi. Padahal Aya yang menganggunya terlebih dahulu. Tapi tak ada siapa yang kisah tentangnya. Aya yang diberi perhatian lebih.

“Abang Riel!”

Panggilan daripada Aya menyentakkan Azriel daripada lamunan panjangnya. Boleh pula dia terkenang kembali memori 16 tahun lepas.

“Jauhnya termenung,” tegur Aya. Duduk dilabuhkan di tepi Azriel.

Azriel hanya diam. Ditoleh ke arah lain. Malas nak layan Aya.

“Abang Riel sihat?” soal Aya lagi. Cuba berbual dengan lelaki dingin itu.

“Kau nampak macam aku tengah sakit ke?” sinis Azriel membalas. Dikerling sekilas ke arah Aya. Dia ni tak faham bahasa ke? Tak nampak ke yang aku tak berminat nak berbual dengan dia?

“Amboi, berlagaknya. Tak baik tau cakap macam tu. Nanti Allah tarik nikmat sihat abang baru tahu.”

Azriel hanya buat tak tahu. Dia sibuk membelek telefon bimbit di tangan.

“Abang ingat tak waktu kecil-kecil dulu kita selalu main kat sini kan?”

“Entah. Tak ingat.” Bahu diangkat.

Aya ketap bibir. Dia tak mengalah. Cuba mencari lagi topik perbualan. “Macam mana dengan kerja abang Riel? Okay?” soalnya lagi. Dia tahu yang lelaki itu sibuk menguruskan syarikat keluarganya selepas ayahnya jatuh sakit.

Diam.

“Abang Riel? Dengar tak Aya tanya ni?” soal Aya lagi. Geram pun ya. Macam cakap dengan tunggul.

Azriel masih diam. Langsung tak rasa bersalah membuat Aya bercakap seorang diri. Keluhan berat terlepas daripada bibir Aya. Susah betul nak ajak Azriel berbual.

“Lah, kat sini rupanya budak berdua ni. Seronoknya berbual,” tegur Datin Hanim yang baru keluar daripada rumah.

Aya hanya tersenyum kelat. Seronok berbual? Aah. Seronok sangat bercakap seorang-seorang.

“Aunty Hanim sihat?” sapa Aya ramah. Dia bangun daripada duduknya dan mendapatkan wanita itu. Tangan Datin Hanim disalam hormat.

“Alhamdulillah aunty sihat. Aya sihat? Makin cantik sekarang aunty tengok.” Lengan Aya diusap perlahan.

Aya tersengih apabila dipuji. Ini baru aunty Hanim yang puji. Kalau Azriel yang puji, mahu koyak bibirnya senyum.

“Aya pun sihat aunty.” Aya mengangguk perlahan.

“Jom masuk makan,” ajak Puan Murni yang berdiri di muka pintu.

Aya mengangguk. Kepala ditoleh memandang Azriel. Lelaki itu masih sibuk dengan telefon bimbitnya. Wajahnya nampak tegang.

“Riel, jom masuk makan,” panggil Datin Hanim.

“Sekejap lagi Riel masuk,” balasnya.

“Aya, tolong umi sekejap,” pinta Puan Murni.

“Baik umi.” Aya terus berlalu masuk ke dalam rumah.

“Cepat sikit masuk dalam. Jangan buat orang menunggu,” pesan Datin Hanim sebelum dia turut melangkah masuk semula ke dalam rumah.

Azriel sekadar mengangguk. Bibirnya mengukir senyuman nipis saat menerima pesanan daripada Zahra. Ini yang dia nanti-nantikan sejak daripada tadi.

“APA hal kau tiba-tiba ajak aku keluar pula ni? Mana Aya?” soal Auni hairan. Tak pernah-pernah Faris mengajaknya keluar berdua. Kalau mereka keluar pasti Aya ada bersama sekali.

Faris sedut sedikit teh ais di dalam gelasnya. “Aya cakap dia ada hal. Tu yang aku ajak kau keluar.”

Dahi Auni berlapis memandang Faris. Ada hal? Baru tadi dia telefon Aya. Aya cakap dia ada dekat rumah.

“Hal apa?” soal Auni lagi.

Faris angkat bahu. “Aya cuma cakap dia ada hal penting.”

Auni ketawa kecil. Rasanya macam Faris dah terkena dengan Aya. Aya ni pun satu. Tak baik buat orang macam tu. Tak mengapalah. Dapat juga dia keluar berdua dengan Faris hari ini. Bukan senang dia nak dapat keluar berdua dengan Faris.

“Bila Aya tak ada, baru kau cari aku kan.” Suara Auni kedengaran agak berkecil hati.

“Lah, sentap pula? Seriously Auni?”

Auni mencebik. Dah agak respon Faris. Sedar diri. Dia bukannya Aya yang setiap kali merajuk pasti akan dipujuk oleh Faris.

“Tak kuasalah aku nak sentap dengan kau.”

Faris hanya ketawa. Dia tahu Auni bergurau. Mereka bukannya baru berkawan. Dia, Aya dan Auni sudah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Sampailah mereka menyambung pengajian di universiti. Masih bersama dan tak pernah berpisah jauh.

AYA berdiri di balkoni biliknya sambil merenung telefon bimbit di tangan.

“Nak call ke tak nak? Nak call ke tak nak?” Dia dalam dilema. Nombor telefon Azriel yang tertera pada skrin telefonnya itu ditatap lama.

Siang tadi sempat dia meminta Datin Hanim nombor telefon lelaki dingin itu. Dengan alasan mahu bertanyakan Azriel sama ada syarikatnya mahu mengambil intern atau tidak. Datin Hanim tidak bertanya lebih-lebih. Malah dengan senang hati dia memberikan nombor telefon Azriel padanya.

Perlahan jarinya menekan simbol hijau pada skrin telefon. Telefon dilekapkan di telinga.

Troot... troot...

Jantungnya berdegup kencang menanti panggilannya dijawab.

“Hello.” Suara garau itu menampar gegendang telinganya.

Aya tekup mulutnya. Tak sangka Azriel jawab panggilannya.

“Hello. Siapa ni?” soal Azriel di hujung talian.

Aya masih diam. Rasa macam nak hentak-hentak kaki sekarang ni. Dengar suara Azriel pun dah cukup buat jantungnya bagai nak melompat keluar.

“Siapa ni? Janganlah main-main.”

Aya tahan ketawa. Mamat ni sikit-sikit nak marah tau. Cepat betul naik angin. Rileks sikit tak boleh ke?

Tut! Panggilan dimatikan oleh Azriel. Pasti dia bengang kerana orang yang menghubunginya seolah sengaja mahu mengenakannya. Agak-agak kalau Azriel tahu dia yang menelefon lelaki itu, apa reaksi Azriel? Rasanya lagi naik hantu lelaki itu kalau tahu Aya yang menghubunginya.

Aya masuk ke dalam biliknya semula. Dia merebahkan badannya di atas katil. Telefon bimbitnya dibawa ke dada

“Abang Riel...” Dia tersenyum sendiri membayangkan wajah Azriel.

Daripada dulu sampailah sekarang perasaannya pada Azriel tak pernah berubah. Walaupun dia sedar yang Azriel tidak sukakannya, dia masih berharap suatu hari nanti hati lelaki itu akan terbuka untuk mencintainya seperti mana dia mencintai lelaki itu. Tiada erti putus asa dalam kamus hidup Aya. Hati Azriel akan ditawan sehingga dia berjaya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience