DCS 4 ~ CURANG

Romance Series 18396

"Fasubhaanallazi biadihi malakutukullisyaiin wailaihiturjaaun... Sadaqallahul Azim..."

Alunan bacaan Yassin yang berkumandang sebentar tadi mengakhiri rutin malam Cahya. Al-Quran saiz A5 berwarna hitam emas itu dicium dan dipeluk sebelum meletakkan ia ke dalam rak.

Sambil menanggalkan telekung yang tersarung, Cahya pandang Riyad yang sedang melunjur kaki di atas katil, masih sibuk dengan komputer ribanya.

"Abang. Abang..." Cahya panggil lagi kerana tiada respon dari Riyad.

"Hei, abang!"

Tersentak Riyad dek suara Cahya dan cuitan yang berlaku di bahu bidangnya. "Hah? Ada apa, sayang?"

Cahya ketawa kecil.

"Amboi, lekanya abang sampai sayang panggil pun tak dengar. Apa yang sibuk sangat tu?" Cahya labuhkan punggung di sisi Riyad. Belum sempat bola matanya mengintai skrin komputer riba Riyad itu, laju Riyad katup rapat.

"Biasalah, abang kalau tengah fokus buat kerja ni sayang tahulah kan..." jawab Riyad dengan senyuman.

"Ya, tahu sangat," cebik Cahya.

"Sayang dah siapkan beg baju abang. Abang nak sayang sediakan apa-apa lagi?"

"Hm, tak apalah. Tak ada apa rasanya. Abang pergi dua hari je sayang. Bukan nak pindah terus. Kalau pindah, dalam beg abang tu sayang yang abang nak sumbat dulu!" Riyad bergurau diakhiri dengan dekih halus.

"Eii, abang ni! Ada-ada je!"

Makin galak masing-masing ketawa.

"Dahlah, sayang nak tidur. Dah siap kerja abang nanti, matikan lampu ya," pesan Cahya seraya berbaring dan menyelimuti dirinya.

"Eh, sayang nak tidur dah ke? Nantilah. Sini kejap. Tak rindu, abang?" Lekas Riyad ketepikan komputer ribanya lalu berbaring sambil tarik Cahya.

Sekelip mata, Cahya sudah berada di atas tubuh Riyad. Cahya tahan sengih sebelum ia jadi selebar alam kerana mengerti akan maksud tingkah Riyad itu.

"I miss you..." rengek Riyad. Bisikannya depan wajah Cahya hanya berjurang dengan helaan nafas mereka sahaja.

"I always miss you more, abang," bisik Cahya dengan suara yang menggoda. Suaminya tiada di sisi hanya dua hari namun kalaulah Riyad boleh tahu yang hatinya tidak pernah 'rela' untuk Riyad pergi.

Cahya kucup bibir Riyad sekilas namun Riyad balas seakan tidak boleh dihenti waktu. Dua jasad yang bersatu, terus menghangatkan malam yang bertamu.

***

Pagi yang masih hening, Cahya ligat menghidang itu ini di atas meja makan. Riyad sibuk melayani Tania bermain di ruang tamu. Hujung minggu begini, begitulah rutin mereka. Riyana sahaja yang kebiasaannya akan bangun lewat.

"Morning, mummy," sapa Cahya seusai ibu mentuanya mengambil tempat.

"Hm."

Cahya tersengih dengan reaksi normal Puan Syanti. Jika jawapan ibu mentuanya itu panjang lebar, mahu sahaja dibilang buang tabiat!

"Kejap ya, mummy. Cahya buatkan jus buah untuk mummy. Bagi kulit mummy lagi cantik!"

Cahya buka peti sejuk lalu diambilnya sebiji epal dan oren. Beberapa minit kemudian, Cahya letakkan segelas jus yang sudah siap dikisar depan Puan Syanti. Tidak pernah lupa untuk buat minuman kegemaran ibu mentuanya setiap pagi.

"Abang! Tania! Jom, sarapan," laung Cahya dari dapur.

"Pak long, nanti kita main lagi tau. Teman Tania colour buku princess pulak!" Penuh teruja Tania bersembang masa Riyad pimpin tangannya.

Riyad tersengih lantas mengusap kepala anak kecil itu.

"Tak bolehlah, Tania. Pak long nak pergi dah kejap lagi."

Berubah terus raut wajah Tania. Kalau dibiarkan, boleh merajuk.

"Tania, makan dulu. Nanti, mak long teman Tania warna buku tu cantik-cantik ya. Pak long nak pergi work, sayang." Gigih Cahya pujuk sambil cedokkan sepinggan bihun goreng pada Riyad.

Puan Syanti hanya cebik sinis. Entah apa yang sedang bermain di fikiran wanita separuh usia itu tiap kali matanya pandang tingkah Cahya.

"Hm, as usual sedap sangat sayang masak. Tapi, maaf sayang abang tak boleh nak makan banyak-banyak. Abang pergi dulu ya." Riyad pinta undur diri. Kalau tidak gerak sekarang, dia bakal lewat ke tempat seminar.

"Abang, nak pergi dah? Okey. Cahya buatkan bekal?" Cahya turut berdiri mahu membuntuti suaminya.

"Eh, tak perlu sayang. Kat sana dah banyak makanan," tolak Riyad.

Riyad salam Tania. Riyad salam mummynya.

"Yad pergi dulu, mummy."

"Have fun, Yad. Dua hari ni tak usah fikirkan hal kat rumah ni. Tahulah mummy dan semua nak jaga diri kat sini," pesan Puan Syanti.

"Baik, mummy. Anything inform Yad, please."

"Of course!" Puan Syanti melorek sengih.

"Bye, pak longggg!" teriak Tania dari dapur.

"Bye, Taniaa!" sahut Riyad.

"Abang pergi, sayang." Laju Riyad hulur tangan untuk peluk cium Cahya di muka pintu.

"Yalah. Hati-hati, abang. Beritahu sayang bila dah sampai." Bola mata Cahya hanya dipusingkan sebaik sahaja kereta Riyad sudah hilang dari pandangan.

"Ni, kejap lagi mummy nak keluar. Tengokkanlah Tania dengan Saidah tu," ujar Puan Syanti sebaik sahaja Cahya kembali ke meja makan.

"Boleh, mummy. Mummy nak pergi mana?"

"Spa. Rasa berkedutlah muka aku ni. Tak naklah aku nampak tua dari usia... macam kau, Cahya," perli Puan Syanti.

"Cahya... nampak tua sangat ke mummy?" Serta-merta tangan kanan Cahya naik memegang pipi.

"Mak long nampak cantiklah. Macam princess Elsa!" celah Tania dengan sengih.

Terhambur dekih kecil dari Cahya. Pujian percuma secara spontan itu sedikit sebanyak menghiburkan hatinya.

"Kau pun samalah macam pak long kau tu," gumam Puan Syanti dengan jeling. Masing-masing nak menangkan si Cahya itu aje!

Jujur, Puan Syanti tidak akan pernah mengakui kejelitaan Cahya. Menantunya itu berkulit cerah, air muka yang redup, berperwatakan lemah-lembut, meski badan sedikit berisi Cahya serba-serbi hebat dalam menguruskan kerja rumah.

***

Cahya hanya meleret pandang Riyad yang baru keluar dari bilik air. Barulah satu jam yang lepas Riyad pulang tapi sekarang lelaki itu mahu keluar semula.

"Tak penat ke, abang? Abang baru je balik. Esok abang dah mengajar. Taknak rehat dulu?" aju Cahya dari birai katil. Hairan, baru pulang dari seminar tapi Riyad masih punya kerja yang perlu dibuat.

Riyad sekadar sengih sekilas. Rambutnya sedang disikat kemas depan cermin sebelum tubuhnya dipusing.

"Tak penatlah. Abang kan kerja cari rezeki. Itulah, esok report seminar tu abang kena hantar. Jadi, abang nak discuss dengan Aizat kejap sebab esok dia cuti. Sayang tidur je dulu jangan tunggu abang okey takut abang balik lewat nanti," pesan Riyad sambil genggam tangan Cahya.

"Abang," tahan Cahya kerana Riyad menonong pergi.

Tiba-tiba, Cahya dakap Riyad. Entah kenapa, ada satu titik rasa yang sedang bertunas dalam hati Cahya ketika ini. Rasa yang tidak enak untuk difikirkan. Namun, dia tidak mahu memikirkan hal yang bukan-bukan.

Riyad tahan tawa dengan reaksi spontan Cahya.

"I love you," ucap Riyad seraya melabuhkan kucupan atas ubun-ubun Cahya.

"Love you too, abang. Jangan balik lewat sangat." Cahya pula titip pesanan.

Berat Cahya pandang tiap langkah Riyad yang menapak keluar dari bilik mereka. Sebenarnya, dia rindukan Riyad!

Tidak mahu terus melayangkan fikiran, Cahya cari kerja. Baju dan seluar kotor Riyad dalam bilik air tadi dihumban masuk ke dalam bakul baju di luar pintu bilik air. Cahya toleh kepala semula kerana tangannya seakan terasa sesuatu di sebalik fabrik yang dia sentuh.

Seluar jeans Riyad diangkat keluar. Cahya raba poket belakang seluar. Betullah, memang terasa ada gesekan suatu benda dari dalam.

"Hm, apa ni?" soal Cahya sebaik sahaja tapak tangannya menggenggam sisa plastik kecil yang sudah terkoyak tanpa sebarang isi.

Berderau darah Cahya selepas tulisan yang tertera di plastik itu dibaca. Terus lututnya lembik longlai. Nafasnya turut sesak macam nak mati.

"Kenapa... abang ada benda ni?" gumam Cahya dengan air mata yang kian penuh bergenang.

Cahya cuba leraikan persoalan yang datang menerpa selepas bola matanya cukup pasti benda yang berada di dalam tapak tangannya ini adalah plastik kondom!

Kenapa Riyad ada benda ini?

Dan, kenapa Riyad perlu guna benda ini?!

Untuk apa alat pencegahan itu wujud sedangkan Riyad dan Cahya begitu menginginkan zuriat?!

Lebih menikam hati, Riyad sanggup gunakan 'benda' itu pada orang lain? Sadis!

Cahya jatuh terduduk. Tanpa dipinta, air mata yang ditahan sejak tadi gugur sewenangnya. Remuk dia genggam baju di dada seremuk hatinya yang hancur luka.

"Abang.... Ya Allah, abang..." rintih Cahya dengan deraian air mata.

Lama Cahya berteleku kaku atas lantai sebelum dia jitukan hati juga tubuhnya untuk bergerak.

Meski masih menggigil, Cahya periksa seluar dan baju kotor Riyad yang lain. Juga, pakaian Riyad yang ada dalam bagasi. Cahya periksa semuanya. Kesemuanya. Tidak tinggal satu pun. Namun, tiada sebarang tanda yang pelik-pelik.

Cahya susun semula segala barang Riyad yang terusik tadi kembali bagai asal. Dia cuma tidak mahu Riyad perasan. Jika benar suami yang dikasihinya itu curang, Cahya perlu mensahihkan hal ini dengan caranya sendiri.

Riyad tarik brek tangan keretanya seusai selamat parkir di laman rumah. Terus dia mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas kerusi sisi. Nombor seseorang didail lantas menunggu talian bersambung.

"Hello, sayang. I dah sampai rumah ni," ujar Riyad sambil bola matanya melilau ke luar jika ada yang memerhati.

"Hm, thank you baby for tonight. Love you," balas pemanggil wanita yang sengaja bersuara manja.

Riyad tersengih lebar.

"Love you too, sayang. I baru balik tapi dah rinduuu sangat kat you..." rengek Riyad seakan tidak rela langsung untuk pulang ke rumah.

"Then... you should overnight here," balas wanita itu di hujung talian.

"Honestly, I memang nak sangat buat macam tu sayang tapi tak boleh. I kena balik. Enough for today. Okeylah, dah lewat. Sweet dreams!" Riyad matikan panggilan selepas si dia menggumam kecewa.

Sekujur tubuh yang masih kaku di pembaringan melegakan detak jantung Riyad yang baru menerpa masuk ke bilik. Cahya tampak lena meski posisi isterinya itu membelakangi.

Bunyi halus yang menerpa telinga Cahya buat Cahya terjaga.

"Abang... Baru balik? Cari apa?" tegur Cahya dengan raut wajah yang dibuat terpisat-pisat.

Jelas depan mata dia tengok Riyad sedang selongkar bakul baju kotor dalam cahaya suram yang samar-samar. Sengaja mahu tahu jawapan Riyad.

Laju Riyad toleh belakang.

"Sayang! Abang buat sayang terjaga? Sorry, abang cari duit abang. Salah letak, dah jumpa dah. Tidurlah balik. Abang nak mandi dulu," jawab Riyad tidak keruan. Mahu gugur jantungnya tiba-tiba Cahya bangun begitu.

"Hm..."

"Aish, nasib baik Cahya tak jumpa lagi..." bisik Riyad dalam bilik air. Lekas dia buang 'rahsianya' itu ke dalam tong sampah di bahagian yang terpaling bawah.

Cahya baringkan tubuh semula. Lepas Riyad tutup pintu bilik air tadi, tangis Cahaya meletus semula. Cahya tekup mulutnya dengan tangan agar bunyi esakannya tidak terlalu kuat.

Mana mungkin Cahya dapat tidur. Sekilas lelap jua tidak bisa. Dia tunggu Riyad balik sejak Isyak tadi sehingga kini jam di dinding bilik mereka sedang menunjukkan pukul 2.30 pagi.

Fikiran Cahya bercelaru. Hati dan jiwanya tidak ampuh. Rasa bagai nak gila memikirkan apa yang Riyad dah lakukan!

"Abang cuma cari bukti... Ergh... Bukti yang abang nak sorok dari Cahya... Tsk... Argh... Tsk..."

"Kenapa abang tipu Cahya? Tsk... Kenapa abang? Argh... Siapa perempuan tu? Siapaaa?"

Air mata Cahya yang luruh makin deras meski terpaksa sembunyikan rasa yang menikam-nikam kejam ini daripada Riyad. Tidak mungkin suaminya itu keluar berjumpa dengan Aizat. Tidak mungkin juga perbincangan mereka memakan masa berjam-jam lamanya.

Bagaimana lagi benak akal ini mahu menafikan?
Bagaimana lagi hati ini mahu menidakkan?
Dan, bagaimana lagi kepercayaan yang pernah terbina ini bisa kekal terpasak?

Kasih dan cinta engkau kuharap abadi,
Andai tiada lagi rasa kuizin kau pergi,
Andai pura-pura setia sebagai pengganti,
Ketahuilah, hati kita menanti mati...

Selama Hasya buat novel, Hasya tak pernah lagi percetankan hero. Tapi, hero kali ni memang mintak dicetankan! Lol Jemput follow dan komen ya gais!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience