JAM menunjukkan hampir pukul sepuluh pagi. Terlihat Nisa melangkah masuk ke wad untuk melawat ibunya yang sakit sudah hampir seminggu. Wajahnya tampak pucat tetapi senyuman tetap menyambut kehadiran anaknya.
"Mak, Nisa datang ni." Panggil Nisa sambil menghampiri sisi katil lalu mencapai tangan ibunya yang dingin.
Puan Eca tersenyum.
"Anak mak. Dah sarapan?."
"Dah. Macam mana keadaan mak harini?."
"Alhamdulillah, pagi tadi nurse kata tekanan darah mak dah stabil sikit. Tapi mak rindu nak balik rumah. Tak suka duduk lama-lama dekat sini."
Nisa duduk di kerusi di sisi katil. Matanya memerhati segenap wajah ibunya. Hatinya pilu. Dia tahu, jika bukan kerana masalah kewangan, ibunya takkan berada di hospital kerajaan.
Dia ingin memberi lebih, tapi hidupnya sendiri porak-peranda. Dan kini, jalan penyelesaiannya datang dalam bentuk perjanjian aneh, perkahwinan kontrak dengan seorang duda kaya, yang inginkan dia melahirkan seorang waris.
“Mak sabar ya. Lepas mak sihat, kita balik rumah. Nisa akan pastikan mak dapat rawatan terbaik. Semua ni… Nisa akan usahakan.”
Puan Eca mengangguk. Namun belum sempat dia bertanya lanjut, pintu wad diketuk. Dengan serentak mereka menoleh.
Terlihat seorang lelaki tinggi, berkemeja biru dengan jam tangan mahal tersarung kemas di pergelangan tangannya, dia melangkah masuk bersama seorang lagi lelaki di sisinya. Kedua-duanya menatang bakul berisi buah-buahan, kotak susu premium dan satu jambangan bunga segar.
"Assalamualaikum." Ucap lelaki itu.
Nisa hampir tercekik air liur sendiri. Dato’ Rayyan?. Buat apa dia datang?. Dia tak cakap apa-apa pun semalam.
“Waalaikumussalam.” Puan Eca menjawab sambil cuba duduk. Nisa segera membantu.
Rayyan melemparkan senyuman manis.
“Saya Rayyan, makcik. Kawan Nisa.”
Tan meletakkan bakul buah di atas meja sisi. Dia sempat menjeling Nisa yang jelas kelihatan terkejut.
“Kawan?.” Puan Eca mengangkat kening.
Rayyan mengangguk, lalu duduk di tepi katil sebelah Nisa. Tanpa dijangka, tangannya menggenggam jari jemari Nisa yang terletak di riba.
Nisa kaku. Matanya membulat namun dia tidak menarik tangannya. Dia tahu permainan ini. Dan dia harus masuk ke dalam lakonan itu walaupun seluruh tubuhnya meremang geli.
“Saya minta maaf sebab datang tanpa beritahu. Tapi saya betul-betul nak jumpa makcik. Saya nak minta restu.”
Puan Eca semakin kebingungan.
“Restu?. Restu apa, nak?.”
Rayyan memandang Nisa sekilas, kemudian kembali memandang ibunya.
“Saya dah buat keputusan nak kahwin dengan Nisa.”
"Apa!?." Suara Puan Eca meninggi, tapi cepat-cepat dia menekup mulut. “Betul ke ni?.”
Rayyan tersenyum lebar, seolah-olah itu satu berita paling bahagia untuknya.
“Betul, makcik. Saya ikhlas. Saya tahu Nisa gadis baik. Dalam dunia ni susah nak jumpa orang macam dia. Bila saya tengok dia jaga makcik, saya nampak wanita yang saya mahu dalam hidup saya."
Nisa hampir tersedak dengan ayat itu. Dia menoleh ke arah Rayyan, memandangnya dengan pandangan 'kau-biarlah-betul'. Tapi dia tetap diam, bibirnya hanya menguntum senyum nipis.
Puan Eca menggeleng, masih terkejut.
"Sejak bila korang berdua kenal?."
"Sejak Nisa umur 18 tahun lagi. Waktu tu kami tak yakin. Sebab umur kami jauh beza. Tapi sekarang, saya dah tak nak lepaskan Nisa, sebab saya cintakan dia sangat-sangat."
"Tapi kamu orang berada, Nisa cuma orang biasa. Kamu pasti?."
Rayyan memandang Puan Eca dengan penuh ketulusan palsu yang sangat meyakinkan.
“Harta bukan penghalang, makcik. Saya dah terlalu lama hidup sunyi. Saya perlukan keluarga, dan saya nampak itu dalam diri Nisa.”
Puan Eca kelihatan sebak. Air matanya mengalir. Tangannya mengusap tangan Nisa dan Rayyan yang masih bersatu.
“Kalau kamu betul-betul ikhlas, mak restu. mak tak minta apa-apa asalkan kamu bahagiakan anak mak ni. Dia anak yang baik, tak pernah susahkan mak.”
Nisa menunduk. Rasa bersalah menekan dada. Dia tahu semua ini bukan sebenar-benarnya cinta. Ia perjanjian. Tapi dia tidak mampu beritahu kebenaran. Tidak sekarang.
Rayyan mengangguk.
“Saya janji. Saya akan jaga dia baik-baik.”
Tan yang dari tadi berdiri di sudut dinding hanya tersenyum. Dia kagum, Rayyan sememangnya pelakon yang sangat meyakinkan. Mungkin kalau bukan jadi ahli perniagaan, dia boleh menang anugerah pelakon lelaki terbaik.
Mereka berbual-bual lebih setengah jam. Rayyan terus melakonkan watak bakal suami penyayang yang bakal menikahi gadis sederhana. Dan Nisa?. Dia hanya mampu diam, mengangguk dan tersenyum bila perlu.
Sebelum pulang, Rayyan mencium tangan Puan Eca, memohon restu sekali lagi. Tan membantu menyusun hadiah yang dibawa tadi.
“Terima kasih, makcik. Kalau takda apa yang menghalang, lusa saya dan Nisa akan bernikah. Nanti kita bawa makcik keluar hospital untuk hadir sama.”
Puan Eca menangis bahagia. Dia lantas memegang tangan anaknya erat.
“Alhamdulillah, Nisa. mak tak sangka jodoh kamu secepat ni.”
Rayyan hanya tersenyum dan melirik pada Nisa.
“Saya pun tak sangka. Tapi Allah tu maha tahu.”
Dan saat mereka melangkah keluar dari wad, Nisa menoleh pada Rayyan dengan wajah yang penuh pertanyaan.
“Apa yang Dato' buat tadi?.”
Rayyan menyimpan tangan ke dalam poket seluarnya. Dia tersenyum sinis.
“Aku cuma jadi lelaki yang mak kau nak tengok. Sekarang, kau hutang aku satu lakonan.”
Nisa mendengus.
“Geli tahu tak?. Dato' pegang tangan saya depan mak saya.”
Rayyan tergelak.
“Tunggu malam akad nanti. Kau akan tahu erti geli yang sebenar.”
Dan Nisa terdiam. Kali ini, bukan kerana marah. Tapi kerana dia sedar, lakonan mereka baru saja bermula. Dan pentas sebenar akan tiba dalam masa kurang 48 jam.
"Kita pergi makan."
"Saya tak nak."
"Degillah kau ni. Aku nak belanja kau makan. Anggap saja ni jamuan untuk meraikan restu mak kau tadi."
"Kalau saya tak nak macam mana?."
"Kalau kau tak nak. Aku heret kau masuk kereta. Aku tak main-main. Cepat jalan."
"Ok." Pasrahnya, lantas berjalan malas menuju kereta bakal suaminya. Diikuti Rayyan di belakangnya. Tan hanya mampu menggelengkan kepalanya sambil tersenyum melihat kerenah bossnya dan bakal nyonyanya.
"Belum lagi kahwin dah gaduh. Apatahlagi dah kahwin nanti. Memang robohlah rumah tu nanti." Katanya lalu melangkah pergi.
•
SESAMPAINYA di restoran mewah tidak jauh dari hospital. Terlihat pelayan menyambut mereka dan membawa ke meja tepi tingkap. Meja itu sudah dihias indah dengan lilin dan sejambak bunga ros.
"Tuan Rayyan, selamat datang. Sila duduk."
Nisa menunduk, memandang kasut tumit rendahnya. Dia rasa begitu asing. Bukan saja tempatnya terlalu eksklusif, malah pandangan pelayan juga penuh hormat kepada lelaki di hadapannya.
Menu diserahkan. Nisa membukanya perlahan. Seketika matanya membulat.
"Mahalnya !."
Dia membaca satu per satu item dalam menu. Salad saja mencecah RM85. Air kosong pun dikenakan bayaran. Membuatkan Nisa menelan air liur.
"Kenapa?." Rayyan bertanya, memerhati reaksinya dengan senyuman sinis.
"Tak ada apa, cuma mahalnya. Saya ok je makan tempat biasa-biasa." Bisik Nisa dengan nada serendah mungkin.
Rayyan menyandarkan tubuhnya ke kerusi empuk.
"Kau lupa siapa aku?. Aku tak biasalah makan dekat tempat biasa-biasa. Bukan level aku."
Nisa menjeling tajam tapi tidak berani bersuara. Dia berpura-pura fokus semula kepada menu, cuba mencari yang paling murah. Pelayan datang mencatat pesanan. Rayyan memesan untuk mereka berdua, tanpa langsung bertanya Nisa mahu apa.
"Aku pesan sesuatu yang sesuai untuk selera kau." Katanya ringkas selepas pelayan beredar.
"Tak tanya pun saya suka makan apa." Nisa membalas.
"Kau makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Tak penting."
Nisa mendengus, tapi tetap diam. Tidak lama kemudian, makanan dihidangkan. Hidangan yang kelihatan terlalu cantik untuk dimakan. Dihias seperti lukisan seni. Sekeping daging sebesar tapak tangan, diapit sos berwarna-warni dan bunga yang katanya boleh dimakan.
"Makan."
Nisa perlahan-lahan mengangkat sudu dan garpu. Dia rasa kaku. Segan. Tapi kelaparan juga. Dari tadi dia tak menjamah apa-apa.
"Mak kau nampak gembira tadi." Rayyan memulakan bicara.
"Yalah, sebab Dato' pandai berlakon."
Rayyan tersenyum lagi.
"Jangan panggil aku dato', just tuan. Lagipun aku tak berlakon. Aku cuma beri dia harapan."
"Harapan palsu."
"Bukan. Kalau kau ikut rancangan ini, anak yang kau kandungkan nanti akan jadi cucu yang dia tunggu-tunggu. Tak ada yang palsu tentang itu."
Nisa terdiam. Tangannya menolak pinggan perlahan.
"Tapi cara tuan, macam bagi harapan."
"Aku tak minta kau jatuh cinta. Aku tak perlukan cinta. Aku perlukan anak. Kau sendiri yang datang, menawarkan rahim kau. Jadi sekarang, aku hanya nak pastikan proses ni selamat, bersih, dan halal."
"Dengan menjadikan saya isteri kontrak?."
"Kalau kau rasa tak sanggup, kau boleh undur diri sekarang. Tapi ingat mak kau perlukan rawatan yang tak murah."
Ancaman halus itu masuk seperti belati ke hatinya.
"Saya tak lari. Saya akan tunaikan bahagian saya."
Rayyan tersenyum puas. Tangannya mencapai kotak, lalu menyerahkannya kepada Nisa.
"Apa ni?."
"Baju kaulah. Kita nikah di villa aku. Private. Jangan bimbang, tak ramai tetamu. Aku dah sediakan semuanya. Kau cuma perlu hadir."
Nisa menyentuh kotak itu dengan jari menggigil. Hidupnya bakal berubah dalam dua hari lagi dan lelaki di hadapannya ini akan menjadi suaminya. Walaupun hanya untuk sementara.
Share this novel