Bab 7

Romance Series 10414

HARI ini Ajana mengikut Afka berpindah ke rumah lelaki itu. Ajana sangkakan selama ini Afka tinggal dengan keluarganya rupanya lelaki itu sudah mempunyai rumah sendiri.

“Ni rumah kau ke?” soal Ajana saat kereta yang dipandu Afka berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat.

“Takkan aku nak bawa kau pergi rumah Cik Milah kantin sekolah kita dulu tu.” Macam biasa, Afka tak pernah lepaskan kesempatan yang ada untuk mengusik Ajana.

Jelingan tajam Ajana lemparkan pada Afka. Tak sah kalau sehari Afka tak sakitkan hati dia.

“Jom turun,” ajak Afka.

Ajana mengikut Afka keluar daripada perut kereta. Matanya meliar memerhati halaman rumah Afka. Nampak bersih dan kemas. Terdapat beberapa jenis pokok bunga juga. Pandai juga mamat ni jaga rumah dia.

“Pokok-pokok ni semua mama yang paksa aku tanam. Mama cakap rumah aku suram sangat. Macam rumah hantu,” cerita Afka.

Ajana tersenyum kecil. Patutlah.

“Tapi lepas ni kau ada. Kau boleh tolong siramkan semua pokok-pokok ni.”

“Kau ingat aku ni tukang kebun kau?” bidas Ajana. Tak kuasa dia nak jaga pokok-pokok bunga Afka. Banyak lagi benda lain yang dia boleh buat.

“Lah bukan ke termasuk dalam pakej?” usik Afka lagi.

“Annoying!”

Afka ketawa melihat wajah cemberut Ajana. Sebelum gadis itu naik hantu, baik dia bawa Ajana masuk ke dalam rumah cepat-cepat.
“Rumah ni ada 4 bilik. Satu bilik dekat bawah. Tiga lagi bilik dekat atas.”

“Boleh tak kalau kita tidur bilik asing?” tanya Ajana. Memandangkan hubungan mereka masih baru lagi, dia rasa lebih baik jika mereka tidur di bilik yang berasingan.

“Ajana, kau berani ke nak tidur seorang-seorang?”

Dahi Ajana berkerut halus. “Kenapa pula?”

“Bukan apa, rumah aku ni… Keras sikit.”

Terus berubah raut wajah Ajana. Biar betul Afka ni?

“Jangan main-mainlah Afka.” Ajana dapat rasakan yang Afka sengaja nak kenakan dia. Kalau dengan Afka, susah dia nak percaya. Lagipun Afka ingat dia budak-budak ke mudah ditipu?

“Tak percaya sudah. Dua bilik lagi tengah renovate. Tak ada katil. Semua berselerak. Jadi kita kongsi bilik je,” putus Afka. Memang dia sengaja mencari alasan sebenarnya.

Ajana ketap bibir. Nampaknya dia tiada pilihan lain. Terpaksalah berkongsi bilik dengan Afka. Harap-harap Afka pegang janjinya.

“AFKA, cepatlah! Berapa lama lagi awak nak duduk dalam bilik air tu? Saya dah lambat ni!” Pintu kamar mandi diketuk berulang-kali. Ajana sudah hilang sabar.

Sudah hampir sejam dia menunggu Afka mandi. Tapi lelaki itu masih tak keluar-keluar. Punyalah lama Afka mandi. Kalah orang perempuan.

Sedar tak sedar sudah hampir sebulan Ajana menjadi isteri Afka. Dalam tempoh sebulan ini juga dia mula mengenali sisi lain Afka yang dia tidak pernah nampak dalam diri lelaki itu. Sebenarnya menjadi isteri kepada Afka taklah seteruk yang Ajana bayangkan selama ini walaupun Afka masih suka mengusiknya.

Oh ya, mereka juga sudah mengubah panggilan mereka. Daripada aku-kau, sekarang dah tukar dengan panggilan saya-awak. Kadang-kadang Ajana tersasul juga beraku-kau dengan Afka. Maklumlah, dah terbiasa.

“Ya, ya!” Tak sampai beberapa minit kemudian, pintu bilik air dibuka daripada dalam. Terjengul wajah Afka. Dia sudah siap memakai baju di dalam bilik air. Tu pun sebab Ajana bising kalau dia keluar bilik air pakai tuala je. Seksa mata Ajana!

“Lambatlah awak ni. Saya nak kena cepat ni. Ada photoshoot untuk design tudung baru saya. Dah lah jalan jammed,” rungut Ajana panjang. Bukannya tak boleh dia gunakan bilik air yang lain, tapi peralatan mandinya semuanya di dalam bilik air itu.

Afka macam biasa, masih kekal tenang walaupun Ajana dah mula membebel.

“Sabarlah. Orang cantik kena sabar.”

Makin geram Ajana dibuatnya mendengar jawapan Afka. Bukannya nak menyejukkan hati dia, makin buat dia panas hati adalah!

“Saya betul-betul tak faham. Yang awak ni mandi lama-lama mengalahkan orang perempuan kenapa?”

“Nak bagi isteri tengok suami dia dalam keadaan yang paling bersih dan wangi.” Afka tayang sengih.

Ajana menjulingkan matanya ke atas. Menyampah! “Dah, cepat keluar. Saya dah lambat.”

DISEBABKAN rasa bersalah buat Ajana lewat, Afka tawarkan diri menghantar Ajana ke studio hari ini. Kebiasaannya Ajana akan keluar lewat sikit daripada rumah. Tapi hari ini dia ada sesi bergambar untuk tudung keluaran terbarunya, jadi dia perlu datang ke studio lebih awal.

Ajana bukan apa, dia malas mahu menghadap kesesakan lalu lintas pagi-pagi. Nasib baiklah Afka tawarkan diri mahu menghantarnya pagi ini.

“Tak apa ke kalau awak lewat masuk ofis?” tanya Ajana.

“Untuk isteri saya, saya lewat masuk ofis pun tak apa.”

“Afka.” Ajana jegilkan mata. Geramnya!

“Kalau awak lambat nanti, jangan salahkan saya pula. Awak yang offer nak hantar saya.”

Afka yang sedang memandu itu mengerling sekilas wajah Ajana. Kemudian dia tersenyum. “Kalau kena marah sebab lambat pun berbaloi. Bukan selalu saya dapat peluang hantar awak pergi kerja.”

Ajana terdiam seketika. Dia terus palingkan wajah ke luar tingkap. Cuba sembunyikan rasa di hati.

“Terima kasih tolong hantar saya pagi ni,” ucap Ajana sebaik kereta yang dipandu Afka berhenti di hadapan studionya.

“Terima kasih, terima kasih juga. Pengerasnya tak ada ke?” Afka jungkit kening.

“Pengeras?” soal Ajana dengan dahi berkerut.

“Belanja saya nasi kandar sepinggan tengah hari nanti.”

Ajana ketap bibir. Cis! Siapa ada pengerasnya pula. Patutlah Afka beria nak hantar dia tadi.
“Ya lah.”

Afka senyum. Tengah hari nanti dapatlah makan bersama dengan Ajana! Dia bersorak riang dalam hati. Saja je gunakan alasan minta Ajana belanja. Sebelum ni tak pernah lagi mereka keluar makan tengah hari bersama.

SELEPAS menghantar Ajana, Afka memandu kereta menuju ke pejabat. Mujurlah pagi ini jadualnya kosong. Jadi tiada masalah pun kalau dia lewat sedikit.

Sewaktu ingin keluar daripada perut kereta, Afka terpandangkan sebuah buku di tempat duduk sebelah pemandu. Dia mengangkatnya dan tersenyum kecil sebaik membaca tajuk buku itu.

PIKAT HATI ENCIK DUDA SEBELAH RUMAH.

Nak tergelak pun ada. Macam manalah Ajana boleh berminat nak baca buku-buku macam ni? Wanita itu tak pernah berubah. Daripada zaman sekolah Afka tahu yang isterinya itu sangat meminati novel cinta.

Buku itu diletakkan kembali di tempat duduk sebelah pemandu. Nanti adalah idea dia nak mengusik Ajana.

TENGAH hari itu seperti yang dijanjikan, Afka menjemput Ajana di studionya. Selepas itu mereka makan di restoran berhampiran dengan kawasan studio Ajana.

“Awak cakap nak makan nasi kandar,” ujar Ajana. Restoran yang mereka pergi ni semua menunya makanan western je. Mana nak cari nasi kandar?

Afka ketawa kecil. “Saya main-main je. Makan dekat mana-mana pun saya okey je. Asalkan dengan awak.” Ayat terakhirnya itu sengaja disebut perlahan.

“Hah? Awak cakap apa tadi?” soal Ajana.

Afka menggeleng perlahan. Selepas itu dia terus memanggil pelayan restoran untuk mengambil pesanan mereka. Seronoknya lain macam hari ni bila dapat keluar makan tengah hari dengan Ajana. Kalau hari-hari macam ni kan seronok. Tapi tu lah, Afka risau kalau Ajana menolak.

“Duda awak tertinggal dalam kereta saya.”

Nak tersembur air dalam mulut Ajana mendengar ajaran Afka. Nasib baik tak tersembur dekat muka Afka.

“Duda?” soalnya dengan kening berkerut.

“Duda sebelah rumah.” Afka tahan ketawa. Aik, takkan Ajana tak ingat kut?

Ajana berdecit perlahan bila dia sudah dapat menangkap maksud Afka. Baru dia teringat novel yang baru saja dibeli dua hari lepas tertinggal dalam kereta Afka pagi tadi. Patutlah dia cari dalam beg tak jumpa. Ingatkan tertinggal dekat rumah.

“Ajana, daripada awak sibuk baca novel nak pikat duda sebelah rumah tu, baik awak pikat hati suami awak ni.”

Baru Ajana nak buka mulut membalas, tiba-tiba ada seorang wanita menghampiri meja mereka.

“Afka,” sapa wanita itu ceria.

Ajana angkat wajah memandang wanita itu. Siapa pula ni? Wajah wanita itu kelihatan familiar di matanya. Rasa macam pernah berjumpa sebelum ini. Cuma Ajana tidak ingat mereka pernah berjumpa di mana.

“Adel.” Afka senyum segaris. Kenapalah waktu-waktu ni juga dia nak bertembung dengan bekas kliennya? Kacau daun betul!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience