Bab 3

Romance Series 39307

LANGIT yang tadi cerah mulai berubah mendung. Angin sepoi-sepoi bertiup lembut menyapa wajah pelajar-pelajar yang baru sahaja selesai menghadiri kuliah di Fakulti Pengurusan Perniagaan pada petang itu. Derapan tapak kaki dan suara perbualan sesama mereka memecah suasana lengang kampus yang agak sunyi.

Erisha jalan beriringan dengan Fizah seperti biasa. Dengan beg galas yang bersangkut di sebelah bahu, Erisha kelihatan sedikit letih dan dia sebenarnya lapar.

"Next class Prof. Hariz hari Isnin, kan? Nervous pula aku pasal pembentangan projek final duo tu," ujar Fizah sambil menilik nota kecil di tangannya.

"Ya, hari Isnin. Apasal pula kau yang nervous? Yang buat pembentangan kat depan tu nanti, aku jugakan? Kau tukang control slide skrin je."

Fizah ketawa kecil. "Memanglah nervous. Takut dapat markah rendah. Kau pun tahu yang Prof. Hariz tu cerewet, kan? Lagipun, bukannya kau tak tahu si Mona tu gedik semacam dengan Prof. Hariz."

"Kalau dia gedik dengan Prof. Hariz, kenapa? Kau jealous ke?" seloroh Erisha disusuli tawa kecil. "Dah memang sikap dia macam tu, kan? Biar ajelah dia."

"Eh, excuse me! Tak kuasa aku nak jealous, eh! Memanglah aku tahu dah sikap dia macam tu, tapi dengan Prof. Hariz tu, agak luar biasa dia punya gedik tau! Mesti ada udang di sebalik mi! Dahlah dia cakap hari tu kat Suzan yang kita ni saingan besar dia."

"Maksud kau, dia nak 'rasuah' Prof. Hariz untuk dapat markah tinggi dengan cara tu ke?"

"Who knows!" balas Fizah sambil menjongketkan kedua-dua bahunya. "Selain tu, risau juga kalau dia hasut Prof. Hariz supaya tak luluskan kita."

"Hisy, kau ni! Tak baik buruk sangka tau! Daripada kau sibuk fikir pasal orang lain, baik kau bagi cadangan kita nak makan kat mana ni. Aku dah tahap kebulur dah ni tau!" ujar Erisha sambil memegang perutnya. "Ke nak masak kat rumah je?"

"Nak masak apa? Magie? Ada magie je lagi stok makanan kat rumah tu. Itupun ada sebungkus lagi tinggal. Nak harap si Rita dan si Nani tolong back up supply makanan mentah kat rumah tu, dalam mimpi jelah! Nak cakap susah, dia orang tu tak adalah susah sangat. Tiap hari boleh je beli air dan minuman mahal kat kafe T20 tu. Cuma, dia orang memang jenis kedekut. Tapi, kalau kita isi makanan kat dapur tu, bukan main lagi dia orang 'kenduri' sakan sampai habis stok makanan," bebel Fizah panjang lebar dengan mimik wajah meluat dan lenggok tangan yang turut memainkan peranan.

"Hmm, apa boleh buatlah. Dah nasib kita dapat housemate macam tu. Jadi, apa cadangan kau? Kita pergi pasar malam, nak? Jimat sikit," cadang Erisha sambil mengerling jam di pergelangan tangannya. "Masa-masa macam ni, pasar malam dah buka dah ni."

"Aku okey je. Tapi..." Fizah tersengih memandang Erisha.

"Tapi, apa?"

"Minyak kereta aku..."

"Hisy, kau ni! Macam tak biasa pula. Nanti aku share lah bayar isi minyak nanti," pintas Erisha sambil menampar perlahan sisi bahu rakan baiknya itu.

"Risha! Fizah! Tunggu!"

Serentak dua bersahabat itu menoleh ke belakang selepas mendengar nama mereka dipanggil.

"Eh! Budak akaun ada kelas juga je hari ni? Ingatkan kita je," soal Erisha sambil memerhati sosok tubuh tinggi lampai lelaki yang sedang berlari menghampiri mereka.

"Tak tahu. Dah dia ada kat sini, yalah tu kut," jawab Fizah.

"Korang dah habis kelas ke?" soal Rafiq dengan nafas terengah-engah sebaik sahaja dia berdiri di sebelah dua wanita itu.

"Ha'ah, baru je," jawab Fizah sambil melirik Erisha dengan isyarat mata.

Namun, Erisha buat-buat tidak mengerti akan maksud isyarat mata gadis berkaca mata itu. Dia hanya berlagak tenang dan bersahaja seperti selalu setiap kali dia bersemuka dengan lelaki yang dia tahu meminatinya sejak sekian lama itu.

"Kau ada kelas juga ke? Kenapa kau seorang je? Geng keras kau si Munif mana?" soal Fizah bertubi-tubi, lalu mereka meneruskan langkah mereka yang terhenti tadi.

"Takda kelas pun. Aku datang untuk sesi pemilihan ragbi," jawab Rafiq sambil melirik Erisha. "Risha, kau free tak lepas ni?"

"Aku ke?" Erisha menayang muka bingung.

"Ada Erisha lain ke kat sini?" Rafiq melihat ke sekeliling, pura-pura mencari jika ada orang lain selain mereka bertiga di situ. "Yalah, kaulah. Sempat lagi mengelamun!"

"Bukan mengelamunlah! Tak jelas aku dengar tadi. Lepas ni aku tak free. Ada kerja nak dibuat dengan Fizah kat rumah. Kenapa? Kau nak belanja ke?"

"Kalau aku cakap nak belanja, kau nak?"

"Eh, dia tanya balik pula! Kalau macam tu, baik tak payah tanya! Macam tak ikhlas je nak belanja!"

"Eh, dah, dah! Korang ni kan! Cakap terang dan jelas tu tak boleh ke? Kau tu pun satu!" Fizah menjegilkan mata memandang seraut wajah kacak putih bersih bercukur itu. "Kalau nak belanja, cakap jelah nak belanja! Takpun, belikan terus. Ni macam nak tak nak je! Kalau Risha tak nak, belanja aku je! Well, orang memberi, nyiru kutadahkan!"

"Aku kenalah tanya tuan badan dulu. Aku ni orang yang beradab, okey? Bukan style akulah nak paksa-paksa orang ni. Untung orang yang jadi isteri orang beradab dan penyabar macam aku tau!" balas Rafiq sambil menepuk-nepuk dadanya dengan muka bangga.

Spontan Erisha dan Fizah berpandangan sambil membuat mimik wajah hendak termuntah sebelum kedua-duanya meledakkan tawa.

Baru Erisha membuka mulut hendak membahas kata-kata Rafiq tadi, telefon di dalam poket seluarnya berdering. "Nombor siapa pula ni? Scammer ke?" gumamnya dengan kerutan di dahi sambil merenung nombor tidak dikenali yang terpapar pada skrin telefonnya.

"Jawablah dulu. Manalah tahu nombor lecturer atau family kau guna nombor lain ke," kata Fizah.

Erisha menjongketkan bahu dan keningnya serentak sebelum dia menjawab panggilan itu tanpa banyak soal lagi. "Hello?"

"Assalamualaikum, Erisha. Ni mama ni," sapa suara wanita di hujung talian.

"Waalaikumsalam," jawabnya sepatah. Mama? Bila masa aku ada orang yang aku panggil mama? getus hatinya dengan berlapis-lapis kerutan di dahi. Dia membungkam seketika dengan riak muka bingung.

"Risha sihat? Mama harap tak ganggu Risha waktu belajar. Ermm, mama nak tanya, Zaq ada contact Risha tak?"

Eh, mentua akulah! jerit hati Erisha. Spontan dia memandang Fizah dengan mata terbeliak sambil menekup mulutnya yang ternganga sejurus selepas dia mendengar nama yang disebut oleh wanita di hujung talian itu. "Err... alhamdulillah, sihat. Tak ganggu pun. Risha baru je habis kelas," jawabnya dengan sopan. Ah, kekoknya!

Fizah memandang Erisha sambil mengangguk dan bertanya 'siapa?' dengan hanya gerakan bibir tanpa suara. Pelik melihat ekspresi wajah rakannya yang kelihatan terpinga-pinga dan tergagap-gagap itu.

Erisha lantas mengangkat tapak tangannya sebelum dia melangkah menjauh daripada Fizah dan Rafiq supaya dia boleh bercakap secara peribadi dengan ibu mentuanya. Mudah sangat diteka dari mana wanita itu mendapatkan nombor telefonnya. Pasti daripada ibu atau ayahnya di kampung.

"Dia bercakap dengan siapa tu? Tengok reaksi dia lain macam je. Boyfriend dia ke?" soal Rafiq sambil memandang Erisha yang berada lebih kurang sepuluh meter dari kedudukan mereka.

Laju Fizah menjongketkan kedua-dua bahunya sebelum dia mengambil tempat duduk di kerusi panjang yang terletak di tepi kolam kecil di taman mini yang terletak di depan mereka sahaja.

"Ada apa mama call Risha ni?" Erisha berusaha mengawal nada suaranya agar kedengaran tenang.

"Mama nak ajak Risha datang rumah. Mama nak bersantai minum petang dengan menantu mama ni. Boleh kita sambil-sambil bersembang. Lagipun, tadi Risha cakap dah habis kelas, kan?"

Kalau aku tahu tadi, baik aku cakap tengah kuliah, getus hati Erisha sambil mengetap bibir. “Err... sekarang ke, ma... ma?” Tergagap mulutnya menutur perkataan panggilan yang tidak biasa dia gunakan itu.

"Ya, sekarang. Boleh, ya? Yalah, mama nak kenal-kenal juga dengan menantu mama ni. Papa pun ada ni, tak sabar nak jumpa Risha. Nanti mama suruh driver ambil Risha kat rumah sewa, ya?" balas Datin Maherah dengan nada mengharap dan dalam masa yang sama, kedengaran seperti mendesak secara halus.

Pandangan Erisha tertumpu ke arah Fizah dan Rafiq yang sedang berbual buat seketika sambil berfikir sebelum dia melepaskan keluhan halus, tahu bahawa dia tiada alasan kukuh untuk mengelak pelawaan ibu mentuanya itu.

"Takpalah, mama. Erm, maksud Risha, tak perlu suruh driver ambil Risha. Risha pinjam kereta kawan pergi situ. Mama send alamat rumah je."

"Okey, takpalah kalau macam tu, asalkan Risha datang. Kejap lagi mama hantar alamat, ya?"

“Okey, mama."

“Okey, mama tunggu, ya sayang? Hati-hati bawa kereta nanti.”

Setelah panggilan ditamatkan, Erisha kembali semula menyertai Fizah dan Rafiq. "Jom gerak!"

“Siapa call?” soal Fizah.

Spontan Erisha melirik lelaki yang sedang berdiri di sebelah Fizah dan sedang memandangnya itu. "Oh, erm... abang aku. Dia tanya pasal barang kiriman yang dia hantar dah sampai ke belum." Laju sel-sel otaknya berhubung mencipta alasan.

Tiba-tiba Rafiq tersengih. “Ingatkan boyfriend yang call sampai pergi jauh-jauh nak bercakap. Kecewa aku kalau aku tahu kau ada boyfriend tau," ujarnya sambil tertawa kecil.

Erisha dan Fizah spontan berpandangan sesama sendiri dengan riak wajah yang hanya mereka berdua sahaja tahu.

- - - -

"SIAPA sebenarnya yang call kau tadi?" soal Fizah setelah masing-masing duduk di dalam kereta. "Bukan abang kau, kan?"

"Hmm, Datin Maherah."

"Datin Maherah? Siapa tu? Apasal tetiba ada datin call kau pula ni?"

Erisha mendengus sambil menyandarkan tubuhnya usai dia memakai tali pinggang keledar. "Tu mak kepada lelaki yang aku kahwin tulah!"

Terhambur tawa Fizah mendengarkan kata-kata sahabat baiknya itu. "Cakap ajelah mentua kau, simple! Weh, anak Datuk datin rupanya suami kau eh! Kau tak cakap pun hari tu. Pehhh! Bukan orang biasa-biasa rupanya suami kau."

"Eh, takda maknanya siapapun dia, Zah. Kalau dia anak presiden Amerika sekalipun aku tak hairanlah!"

Sekali lagi Fizah menghamburkan tawa. "Kenapa mentua kau call tadi?" soal Fizah dengan muka berminat hendak tahu.

"Dia suruh aku datang minum petang dengan dia kat rumah. Eh, Zah, aku pinjam kereta kau pergi situ lepas ni tau. Dia nak suruh driver dia jemput aku, tapi aku tak nak. Sekurang-kurangnya, kalau aku bawa kereta kau, ada juga alasan aku nak balik cepat. Aku boleh bagi alasan kau nak guna kereta."

"Eh, aku juga? Jadi, cancel lah plan kita nak pergi pasar malam ni?"

"Eh, mestilah pergi! Aku kebulur tahap gaban dah ni tau! Last aku makan, sarapan roti dua keping je pagi tadi. Kita pergi pasar malam sekejap beli makanan. Nanti takdalah aku terpaksa tahan lapar kat rumah datin tu. Takkan aku nak minta makan kat situ pula?"

"Kau ni, cakap jelah mentua. Macam tak sudi je nak mengaku. Sekali jadi mentua, sampai kiamat mentua kau, tahu tak? Alah, takda salahnya pun kalau kau makan kat situ, dah jadi keluarga kau jugakan?"

"Eh, sudahlah kau! Jalanlah cepat. Aku lapar dah ni," balas Erisha sambil memegang perutnya yang berkeroncong sejak tadi.

Fizah melepaskan keluhan kecil sambil menggeleng sebelum dia memulakan pemanduan. Erisha pula, terus membuang pandangannya ke luar tingkap. Resah memikirkan tentang perjumpaan dengan mentuanya sekejap lagi. Namun, ada sesuatu yang lebih meresahkannya. Zaq Zaeden.

Mamat tu ada kat rumah ke? Mesti dia marah tengok aku kat situ. Ah! bukannya aku yang beria nak datang, mak dia juga yang suruh. Aduh, malasnya ada perasaan macam ni! rungut hatinya sambil membayangkan situasi di rumah mentuanya nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience