Bab 2

Romance Series 63831

SETELAH selesai menyiapkan kerja sekolahnya, Aneesa menyusun pula buku-buku yang perlu dibawa ke sekolah esok. Jika dulu, arwah ibunya yang akan selalu melakukan semua itu tetapi kini Aneesa tahu, dia perlu berdikari dan melakukan semuanya sendiri. Anak manja, namun Aneesa masih tahu mengurus dirinya. Tambahan pula, dia kini sudah semakin terbiasa membantu Kamilia melakukan semua kerja-kerja di rumah besar itu.

Tanpa ketukan, tanpa salam tiba-tiba sahaja Nadirah muncul di dalam bilik Ameesa. Namun Aneesa tidak terkejut kerana Nadirah memang sudah terbiasa bersikap seperti itu. Jangankan bilik Aneesa, bilik orang tuanya, bilik Hakeem pun dia main masuk sesuka hatinya sahaja. Nadirah hanya tidak berani mencari pasal dengan Adham kerana abang sulungnya itu seorang yang sangat tegas.

“Anes dah siap buat homework Matematik yang Cikgu Syikin bagi tu ke?” tanya Nadirah, bercekak pinggang sambil memerhatikan Aneesa dengan riak yang jengkel.

“Dah. Kenapa?”

Tanpa mengendahkan pertanyaan Aneesa, Nadirah terus merampas beg sekolah daripada pegangan Aneesa sebelum diselongkar sembarangan. Sudah dapat barang yang dia cari, Nadirah kemudiannya terus melontarkan semula beg sekolah Aneesa ke atas lantai membuatkan buku-buku yang sudah Aneesa susun kemas tadi tercampak keluar semula.

“Eh, Ira buat apa ni? Anes dah susun buku elok-elok dah tadi!”

“Anes susunlah balik. Ira cuma nak ni je!” ujar Nadirah selamba sebelum bergerak mahu membawa buku latihan milik Aneesa itu ke arah luar.

“Tak boleh! Tu buku Anes. Ira buatlah sendiri!”

“Ira malaslah nak fikir. Susah.”

“Tak susah kalau usaha. Ira tak boleh tiru jawapan Anes! Selalu je tiru jawapan orang!” Aneesa mencebik, berkali-kali mencuba untuk merampas buku latihannya daripada pegangan Nadirah tetapi masih tak berjaya.

“Kedekut! Anes kedekut!” Nadirah mengejek sebelum menjelirkan lidahnya ke arah Aneesa. “Sebab tu mama dengan papa Anes mati, sebab Allah tak suka dengan Anes!” Nadirah tersenyum puas. Tanpa mempedulikan Aneesa, dia terus berlari ke arah muka pintu.

Aneesa yang masih enggan mengalah laju menarik tangan Nadirah dengan kuat membuatkan Nadirah hilang keseimbangan lalu terjatuh di atas lantai. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Terasa bergegar seisi ruangan itu tatkala Nadirah tiba-tiba sahaja memecahkan tangisan yang sangat nyaring.

Aneesa tergamam, juga ketakutan. Baru mahu menunduk untuk membantu, tiba-tiba muncul pula Kamilia.

“Kenapa bising-bising ni?” soal Kamilia bersama riak muka yang berkerut.

“Anes tolak Ira, mama. Dia marah sebab Ira tak nak bagi dia tiru jawapan Ira.” Tak sempat Aneesa memberitahu hal sebenar, Nadirah yang terlebih dahulu membuka mulut. Susah payah membangkitkan tubuhnya yang gempal itu semula sebelum memeluk Kamilia dengan sangat erat. “Sakit, mama. Anes jahat!”

Aneesa yang tadinya melongo segera menggeleng. “Tak, Ira tipu, mama! Bukan Anes yang nak tiru, tapi Ira yang nak tiru Anes.“

“Sebab tu Anes selalu dapat A, sebab dia suka tiru jawapan Adam! Lepas tu, Anes tipu Cikgu Mazlan yang dia selalu belajar sebab nak Cikgu Mazlan puji dia! Anes sukakan Cikgu Mazlan!”

"Anes tak tipu! Anes tak pernah tipu, mama! Ira yang tipu!" Aneesa semakin kalut.

"Anes yang tipu! Anes yang salah! Anes yang jahat!"

Kamilia ketap bibir, geram. Tak kisahlah siapa yang salah sekalipun, tetapi dia paling pantang jika ada manusia yang berani membuat anak kesayangannya itu menangis. Sedangkan dia sebagai seorang ibu pun, tidak pernah langsung menjentik atau memarahi Nadirah.

“Anes tak tiru! Anes belajar sendiri! Anes buat sendiri!” Aneesa sudah menahan tangis. Perlahan-lahan mahu menarik tangan Kamilia namun wanita itu pula pantas menepis.

"Kecik-kecik dah pandai buat perangai jahat. Nak jadi penipu? Anes nak mama bagitahu papa? Dulu mak bapak Anes tak ajar Anes ke? Hahhhh? Tak sedar diri tu cuma menumpang! Bela Anes ni, buat menghabiskan beras je!”

“Bukan Anes, mama. Ira yang nak tiru jawapan Anes! Anes tak tipu!” Esakan Aneesa memecah, gigih menidakkan kesalahan yang sememangnya tidak pernah dia lakukan.

Namun Kamilia tak peduli. Bersama tampang yang sangat bengis, dia terus menarik telinga Aneesa dengan sangat kuat bersama mulut yang tak sudah-sudah memaki. Tak puas hati, buku-buku Aeesa diambil dari atas meja lalu digunakan untuk memukul kepala anak kecil itu berkali-kali. Puas hatinya, biar Aneesa serik mengganggu Nadirah.

PETANG itu, Aneesa duduk sendirian di luar rumah sambil menunggu kepulangan Ghazi. Setelah teruk dimarahi dan dipukul oleh Kamilia tadi, dia tidak lagi berani menjejakkan kaki untuk masuk ke dalam. Menunggu Ghazi bukan berniat untuk mengadu, tetapi Aneesa hanya ingin melepaskkan rasa rindunya sahaja. Semenjak pemergian orang tuanya, kepada Ghazi sahajalah tempat dia menumpang kasih.

Ghazi memang baik sejak dulu. Sikapnya yang sangat penyayang membuatkan Aneesa kadang kala terlupa yang lelaki itu hanyalah ayah angkatnya. Terlalu baik, berpengertian, malah tidak pernah membezakan kasih sayangnya terhadap Aneesa dan anak-anak kandungnya yang lain. Tetapi mengapa Kamilia tidak sebaik Ghazi?

Lamunan Aneesa terhenti ketika melihat Adham muncul tepat di hadapan muka pintu. Seperti biasa, membawa muka tanpa senyum dan angkuh. Namun semua itu langsung tidak membuatkan Aneesa takut kerana dia tahu hati Adham sama baik macam Ghazi. Aneesa segera bangkit dari duduknya lalu berlari ke arah Adham.

“Abang, abang nak pergi mana?” tanya Aneesa.

Adham yang sedang menarik basikalnya dari tempat asal hanya menoleh sekilas. “Main bola.” Sepatah dijawab. Memanjat naik, Adham sudah bersedia mahu mengayuh basikalnya.

“Main bola? Kat mana?"

"Padang."

"Boleh tak kalau Anes nak ikut?” Pertanyaan Aneesa membuatkan Adham tak jadi bergerak pergi.

“Tak boleh. Budak kecik tak boleh main kat luar, panas.”

Aneesa terus berdecit manja. “Mana ada panas, tak panas pun. Anes rasa Anes nak ikut abang.” Tangan Adham ditarik lalu digoyangkan berkali-kali.

“Tak boleh, kau masih kecik. Lagipun aku balik lambat sikit nanti. Kau duduk rumah,” ujar Adham dengan lebih tegas sebelum menarik tangannya semula daripada pegangan Aneesa. Ditarik tetapi sia-sia kerana Aneesa tetap juga menarik tangannya semula.

“Anes bosanlah duduk kat rumah. Nak ikut abang main bola jugak!”

“Kalau bosan, kau belajar. Buat homework kau. Atau tengok kartun.”

“Anes nak ikut abang Am jugak!"

"Tak boleh. Duduk rumah." Adham tetap tegas menggeleng.

"Kalau abang tak nak bawa Anes, Anes tak nak kahwin dengan abang bila Anes dah besar nanti! Biar abang susah cari girlfriend lain!” Aneesa mendengus, menghentak kali sambil memeluk tubuhya sendiri dengan muka yang masam kekat.

Mahu tercekik Adham mendengar ugutan Aneesa itu. Tak tahu mahu ketawa atau menangis. Dasar budak kecik, ada hati pula nak mengugut. Jatuh sikit, menangis. Kena marah sikit pun menangis! Ni nak main ugut-ugut orang pulak?

“Haaa, tahu pun takut. Takut Anes tak nak kahwin dengan abang kan? Abang takut susah cari girlfriend yang cantik macam Anes kan?” Aneesa memicingkan mata ketika melihat Adham masih diam. “Anes tak peduli, Anes tetap nak ikut abang jugak. Anes teringin sangat nak naik basikal tapi Anes tak pandai bawa. Bolehlah, bang… bolehlah… “

Adham mengeluh. Dia sangat mengejar masa namun untuk menolak permintaan Aneesa itu dia tak sampai hati pula. “Tapi kau jangan komplen panas atau lama pulak nanti. Kalau kau merengek nak balik, aku tinggalkan kau kat tepi jalan tu.”

Aneesa tersenyum menang. Fikirnya Adham bersetuju kerana takut dengan ugutannya sebentar tadi. “Tak, Anes janji tak macam tu. Anes akan duduk baik-baik sambil tunggu abang,” ujar Aneesa sambil memanjat naik ke atas basikal. Duduk di belakang Adham, tanpa segan silu pinggang lelaki itu dipeluknya erat.

“Duduk elok-elok.”

“Anes tahu.”

ANEESA duduk di bawah pokok sambil memerhatikan Adham dan rakan-rakannya beraksi di padang. Masing-masing terlihat bersemangat dan seronok.

Tak sampai sejam menunggu, Aneesa mulai bosan. Rupa-rupanya benar kata Adham, cuaca petang itu masih sahaja panas. Berkali-kali Aneesa mengesat peluhnya malah air minuman yang dibawa oleh Adham tadi pun sudah habis dia kerjakan tanpa perasaan bersalah.

Mahu Aneesa mengajak Adham pulang tetapi bimbang pula jika lelaki itu akan betul-betul meninggalkan dia di tepi jalan. Aneesa mengeluh, menyesal pula dia mengikut Adham tadi. Bahang mentari petang itu membuatkan Aneesa penat, lapar dan haus. Namun ketika mendengar bunyi tiupan wisel, Aneesa kembali menghalakan pandangannya ke arah padang. Kelihatan, masing-masing sudah bergerak keluar. Begitu juga Adham.

Senyuman lega Aneesa terukir. Akhirnya tamat juga permainan yang membosankan itu. Bangkit dari duduknya, Aneesa melompat terkinja-kinja menanti susuk Adham dan beberapa orang rakannya datang mendekat seolah-olah sudah tak sabar benar mahu balik.

“Adikkk… “

Ramah rakan-rakan Adham itu menyapa Aneesa dan senang hati juga Aneesa membalas senyuman mereka.

“Kenapa tak ikut main bola tadi? Tak bosan ke duduk sorang-sorang kat sini?” tanya Abdul sebelum ikutan mengambil tempat di bawah pokok itu.

“Tak nak. Anes tak pandai.” Aneesa menggeleng sambil memerhatikan tingkah Adham mengambil botol airnya yang sudah kosong. Diangkat, ditiliki, Adham kemudiannya mengeluh kecewa.

“Anes dah minum habis air abang. Tadi Anes rasa Anes macam haus,” kata Aneesa selamba.

Tiada tanggapan daripada Adham. Dia duduk di sisi Aneesa untuk melepaskan penat sementara.

“Abang, abang ada duit tak?” tanya Aneesa.

Adham menoleh. “Kau nak beli apa?” tanya Adham pula.

“Ice cream. Kat hujung tu ada kedai. Anes haus, Anes nak makan ice cream.”

Adham mengangguk. “Boleh, nanti kita beli.”

Namun jawapan Adham itu pula langsung tidak membuatkan Aneesa berasa puas hati. “Kenapa nanti? Kenapa bukan sekarang?”

“Sebab aku belum habis main.” Sabar sahaja Adham melayan budak sepolos Aneesa itu.

“Kan dah habis main dah ni? Tengok, semua orang dah tak main lagi.”

“Kami rehat. Habis separuh masa pertama.”

“Ada berapa banyak separuh masa? Ada sepuluh?” Aneesa menyoal dengan sepasang mata yang terkebil-kebil.

Pecah tawa rakan-rakan Adham mendengar pertanyaan Aneesa itu. Sudahlah wajahnya sangat polos dan comel. Tidak hanya mereka, Adham pun ikutan tersenyum juga.

“Ada dua je. Separuh masa pertama dan separuh masa kedua. Sekarang ni, aku rehat. Lepas ni sambung main lagi.”

Aneesa diam, namun sempat juga mengangguk faham.

“Adik dah nak balik ke? Penat dah?” Naim mencelah.

Aneesa mengangguk perlahan-lahan, tersengih ketika Adham menoleh ke arahnya. Dia masih ingat lagi amaran Adham sebelum bersetuju membawanya keluar tadi.

“Tapi abang Am dah cakap Anes tak boleh complain. Nanti abang tinggalkan Anes kat tepi jalan tu pula.” Aneesa kembali bersuara sambil mengesat wajahnya berkali-kali. Berpeluh mengalahkan orang yang bermain bola. Belum lagi jika hendak diceritakan tentang keadaan kulit mukanya yang aslinya putih melepak itu sudah berubah pula menjadi merah jambu.

Naim tertawa kecil. Terhibur pula hatinya mendengar kepetahan Aneesa berkata-kata. Langsung tidak teragak-agak.

“Tapi Anes rasa macam menyesal ikut abang tadi. Kat sini panas, tak ada air. Lepas tu Anes dah rasa penat, lapar, macam nak makan ice cream pulak.” Entah hilang ke mana rasa takutnya terhadap Adham tadi, tiba-tiba sahaja Aneesa meluah. Sudahlah dengan muka yang sangat bersahaja. “Abang, Anes rasa macam nak balik. Anes rasa Anes macam tak suka kat sini. Panas, tak ada kipas, tak ada aircond.” Renggekannya itu membuat Adham terus mengeluh. Geram pun ada juga. Namun entah mengapa, dia tak sampai hati pula mahu membiarkan Aneesa berada di dalam keadaan yang tidak selesa seperti itu.

“Sebab tu aku kata jangan ikut, tapi kau degil.” Sempat membebel, tetapi Adham bangkit juga daripada duduknya. “Im, nanti suruh Faizal yang gantikan aku. Aku nak bawa budak kecik ni balik.”

“Lah, kata nak lepak lama sikit?” Naim mengangkat kening, memandang ke arah Adham dengan perasaan agak mengharap.

“A’aa lah Am. Lagipun ni last kita lepak sama tau? Lusa kau nak gerak dah.” Abdul juga ikut mencelah. Berat hati mahu melepaskan Adham memandangkan ini adalah pertemuan terakhir mereka.

“Aku minta maaf. Esok tengok macam mana, kalau sempat kita lepak kejap. Korang tengoklah muka budak kecik ni, macam udang terbakar dah aku tengok.”

Masing-masing tertawa, hanya Aneesa sahaja yang masih menayang riak polos seperti tadi.

“Okeylah. Apa-apa nanti kau roger.”

Adham mengangguk lega walaupun masih berasa serba salah. Basikalnya ditarik lalu dinaiki. Tak perlu dia menyuruh, Aneesa terus melompat naik di belakangnya.

“Bye adik. Lain kali jumpa lagi ya?” Abdul dan Naim melambai tangan ke arah Aneesa. Aneesa juga turut membalas lambaian itu sebelum memeluk pinggang Adham dengan erat.

SESUAI dengan permintaan Aneesa, Adham membawa anak kecil itu singgah sebentar di sebuah kedai runcit. Tambahan pula, dia sendiri pun kehausan juga.

“Kau nak yang mana satu?” tanya Adham setelah membantu membukakan peti beku berkaca itu untuk Aneesa, sementara dirinya sudah mengambil sebotol air mineral kecil.

“Anes rasa Anes nak ambil dua, boleh?” Aneesa menyoal semula sambil tersengih.

“Boleh, ambillah.”

Senang hati dengan jawapan Adham, Aneesa terus mengambil dua bungkus aiskrim berlainan perisa. Berkali-kali menelan air liur kerana sudah tidak sabar.

Setelah membayar, Adham mengajak Aneesa duduk di sebuah kerusi. Hanya sekali tegukan, dia sudah menghabiskan sebotol air mineral kecil yang dia beli tadi.

“Abang tak makan ice cream?”

Adham menggeleng.

“Kenapa? Abang tak cukup duit ke nak beli lagi?” Riak Aneesa mula berubah. Untuk pertama kalinya dia terlihat serba salah.

“Tak, aku memang tak suka makan ice cream.”

“Kenapa?” soal Aneesa lagi.

“Sebab aku takut gigi aku jatuh. Aku bukan budak kecik macam kau. Aku dah besar, orang besar tak boleh makan ice cream.”

Air muka Aneesa terus berubah. “Anes rasa Anes tak suka abang selalu panggil Anes budak kecik. Anes malu dengan kawan-kawan abang sebab abang selalu kata Anes ni budak kecik depan mereka.” Aneesa merungut.

“Dah memang kau kecik. Badan keding, makan banyak pun tak pandai besar-besar. Sekali aku tiup, sampai ke semenanjung sana kau terbang,” ujar Adham selamba tanpa riak lain selain tegang dan dingin. Caranya seolah-olah bukan mengusik walaupun hakikatnya dia memang sedang mengusik.

"Anes rasa Anes bukan budak kecik. Anes selalu tolong mama kemas rumah, lipat baju, cuci-cuci. Baju abang pun Anes pandai cuci. Anes bukan budak kecik! Abang ingat tu!"

Diam-diam Adham pula sedang seronok tersenyum. Rungutan dan leteran Aneesa itu benar-benar membuatkan hatinya terhibur.

"Dahlah, budak kecik. Jom balik. Aku tinggalkan kau kat sini karang." Adham segera bangkit lalu menuju ke arah basikalnya. Aneesa yang kononnya sedang merajuk terus mengejar pergerakan Adham dengan tingkah yang kalut. Bimbang pula jika dirinya akan ditinggalkan betul-betul di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience