ISTERI PENGGANTI: BAB 3

Romance Series 4943

"HELLO, Maira. Hari ini saya masuk kerja lewat sikit. Pastikan awak periksa dulu semua kain yang sampai nanti," pesan Lily.

"Baik, Cik Lily..." jawab Maira di hujung talian.

"Terima kasih, Maira," balas Lily sebelum menamatkan panggilan.

Lily merenung wajahnya di cermin hotel. Matanya sembab, bibirnya pucat. Dia menghela nafas panjang, cuba menghapus sisa ketakutan yang masih bersarang dalam dirinya. Semalaman di bilik hotel itu, dia berharap dapat melupakan gangguan Johari, namun bayang lelaki itu masih menghantui fikirannya.

Dia memejam mata seketika, mengumpul kekuatan. Dia tidak boleh bersembunyi selamanya. Kehidupannya perlu diteruskan. Dengan langkah berat, dia mencapai beg tangan dan keluar dari bilik hotel.

Di lobi, suasana pagi begitu sibuk. Bunyi deringan telefon, suara pekerja hotel yang ramah menyambut tetamu, serta langkah-langkah kaki yang tergesa-gesa mengingatkan Lily bahawa dia harus kembali ke realiti. Dia berjalan ke kaunter untuk menyelesaikan bayaran.

"Semuanya sudah selesai, Cik. Terima kasih kerana menginap di sini," ujar penyambut tetamu dengan senyuman mesra.

Lily mengangguk kecil sebelum melangkah keluar. Udara pagi yang sejuk menyentuh wajahnya. Dia mendongak ke langit yang cerah, seolah-olah memberi dirinya harapan baharu. Perlahan-lahan, dia berjalan ke arah kereta dan meninggalkan pekarangan hotel.

Sampai di rumah, Lily terus naik ke biliknya dan menukar pakaian. Dia memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg jinjing sebelum keluar dengan tergesa-gesa.

Kereta yang dipandu Lily memasuki pekarangan butiknya. Dia menarik nafas dalam, cuba menenangkan diri beberapa saat. Tangannya menggenggam stereng erat sebelum akhirnya melepaskan nafas perlahan. Dengan hati yang masih berdebar, dia mematikan enjin dan keluar dari kereta.

"Selamat pagi, Cik Lily," sapa Aliya yang sedang sibuk menyusun pakaian di rak sebaik sahaja melihat wajah Lily.

"Selamat pagi, Aliya," balas Lily.

"Err... Aliya, ada sesiapa datang cari saya?"

"Tak ada, Cik Lily. Cik Lily tunggu seseorang ke?"

"Taklah. Terima kasih, Aliya," ujarnya sebelum berlalu ke pejabatnya. Namun, belum sempat dia melangkah masuk, suara seseorang menarik perhatiannya. Dia segera mendekati individu tersebut.

"Suraya, kenapa ni?" soal Lily apabila melihat wajah cemas Suraya.

"Cik Lily… err, puan tu nak beli baju keluaran tahun lepas, tapi kita dah tak ada stok," lapor Suraya dengan nada risau.

"Tak apa, biar saya uruskan," balas Lily tenang.

"Baik, Cik Lily."

Lily mendekati pelanggan itu dengan senyuman manis.

"Selamat pagi, puan. Nama saya Lily. Ada yang boleh saya bantu?"

Wanita itu mengangkat wajahnya perlahan. Saat mata mereka bertemu, ekspresi wanita itu tiba-tiba berubah. Ada kekeliruan dan sedikit ketegangan terpancar di wajahnya. Matanya membesar, seolah-olah terkejut dengan sesuatu.

"Maafkan saya, awak...?" suara wanita itu terhenti seketika.

Lily menunggu beberapa saat sebelum menjawab.

"Lily, Puan. Ada yang boleh saya bantu?"

Wanita itu terdiam, matanya masih terpaku pada wajah Lily. Ada sesuatu yang dirasakannya... wajah Lily begitu mirip dengan seseorang yang sudah lama pergi. Dia cuba menahan perasaannya, namun sesuatu dalam dirinya bergolak.

"Nama saya Noraini. Saya… ibu kepada Noah," akhirnya wanita itu bersuara.

Lily sedikit berkerut.

"Noah?"

Noraini mengangguk perlahan, tetapi pandangannya tidak lepas dari wajah Lily. Fikirannya berputar, mengingatkan dia kepada arwah menantunya, Anggun, yang telah meninggal beberapa tahun lalu. Wajah Lily terlalu serupa dengan Anggun.

Lily cuba mengawal perasaan yang tiba-tiba timbul.

"Maaf, puan, saya tak faham."

Noraini menghela nafas panjang.

"Anggun, menantu saya… Dia… dia meninggal beberapa tahun lalu. Tetapi awak… awak sangat mirip dengan dia. Saya tak tahu kenapa, tetapi..."

Lily kaku. Ada sesuatu yang aneh menjalar dalam dirinya. Takdir… atau sekadar kebetulan? Hatinya berbisik, ada sesuatu yang tidak kena dengan pertemuan ini.

"Saya minta maaf kalau saya mengganggu, Cik Lily. Cuma, saya… saya rasa seperti melihat arwah menantu saya," ujar Noraini dengan suara bergetar.

Lily terasa matanya menjadi berat. Dia cuba tersenyum, tetapi senyuman itu terasa canggung.

"Saya... tak pernah kenal puan sebelum ini. Saya tak tahu apa yang membuatkan saya nampak seperti… Anggun."

Namun, Noraini tidak dapat mengalihkan pandangannya. Fikirannya terus berputar, dan hatinya dibayangi oleh kenangan masa lalu.

"Tak mengapa, Lily. Mungkin ini hanya perasaan saya saja. Saya nak tengok-tengok sekejap," akhirnya kata Noraini, cuba mengalihkan perhatian daripada perasaan bercampur-baur dalam hatinya.

Lily mengangguk, tetapi hatinya tetap tidak tenang. Siapa sebenarnya Anggun? Dan siapa pula Noah? Soalan-soalan itu berlegar di fikirannya, tetapi dia tahu ini bukan masanya untuk hanyut dalam teka-teki yang belum terjawab.

Lily cuba mengawal perasaannya yang tiba-tiba terasa bercelaru. Pertemuan dengan Noraini meninggalkan kesan yang sukar diungkapkan. Tetapi dengan senyuman profesional, Lily menjemput Noraini melihat koleksi pakaian yang tersedia.

“Puan, saya tunjukkan koleksi baju kurung yang baru sahaja launching bulan lepas,” ujar Lily sopan.

Namun, ketika dia sedang mengeluarkan beberapa rekaan untuk diperlihatkan, hatinya tetap tidak tenteram. Sesekali, dia mencuri pandang ke arah Noraini, yang masih kelihatan teragak-agak.

"Ini antara koleksi terbaru kami, Puan Noraini. Kalau Puan berminat, kami juga boleh buat rekaan khas mengikut citarasa Puan," ujar Lily, berusaha mengalihkan perbualan.

Noraini menyentuh perlahan fabrik yang terhidang di hadapannya, namun fikirannya masih jauh.

"Saya akan fikirkan dulu, Cik Lily. Mungkin saya akan datang semula nanti," katanya sebelum meminta diri.

Lily mengangguk, tetapi perasaan tidak enak terus mengganggunya. Sejurus selepas Noraini berlalu, dia menarik nafas panjang. Sebelum dia dapat melangkah ke biliknya, Maira muncul dengan wajah cemas.

“Cik Lily, ada seseorang mencari Cik di luar,” beritahu Maira.

Lily mengerutkan dahi.

"Siapa?"

Maira menelan liur.

"Saya tak pasti, tapi lelaki itu nampak… pelik. Dia asyik memandang ke dalam butik."

Jantung Lily berdegup kencang. Perasaan tidak enak kembali menyelubunginya. Dengan langkah berhati-hati, dia berjalan ke arah pintu masuk butik. Sebaik sahaja dia melangkah keluar, matanya terus menangkap sesusuk tubuh yang berdiri di seberang jalan.

“Johari,” desis Lily perlahan. Dengupan jantungnya mula berdegup laju.

Lelaki itu bersandar pada kereta, matanya tajam menikam ke arahnya. Senyuman sinis terukir di bibirnya, membuatkan Lily kaku di tempatnya.

“Akak Lily…” suara Johari kedengaran, cukup kuat untuk menusuk ke telinganya walaupun jarak antara mereka masih jauh.

Lily menelan liur. Dia tahu dia tidak boleh lari lagi. Apa yang lelaki itu mahukan darinya kali ini?

“Kenapa akak nampak macam takut je? Terkejut sebab saya masih hidup?” Johari bersuara sinis, matanya tajam menikam wajah Lily. Suaranya penuh ejekan sebelum dia ketawa kuat, seolah-olah mengejek kelemahan wanita di hadapannya.

Lily mengetap bibir, cuba menahan diri daripada bertindak balas. Dadanya berombak menahan gelora emosi.

“Kau nak apa lagi, Johari? Boleh tak jangan ganggu aku lagi?” suaranya tegang, cuba mengawal gemuruh yang makin menyesak dada.

Dia memeluk tubuh, menjeling tajam sebelum berpaling ke arah lain. Namun, langkah Johari sedikit pun tidak terhenti.

“Kenapa marah sangat ni, akak? Dah lama tak dapat, ya? Sebab tu garang lain macam…” Johari menyindir dengan nada menjijikkan. Dia melangkah masuk ke dalam butik tanpa menghiraukan Lily yang kini terkaku.

“Eh! Kau nak pergi mana?!” Lily tersentak, segera mengekori langkah lelaki itu.

Johari menjeling ke sekeliling, bibirnya mengukir senyum sinis.

“Hmm… lawa juga butik kau ni. Makin mewah hidup kau, ya?” katanya sambil meneliti setiap sudut butik yang dipenuhi dengan pakaian eksklusif.

Namun, kata-kata seterusnya yang keluar dari mulutnya membuatkan darah Lily mendidih.

“Aku tak percaya perniagaan kau boleh maju macam ni. Ada datuk bela kau sekarang?” Johari menghamburkan tuduhan keji sebelum mula menarik pakaian yang tergantung satu persatu.

Pelanggan yang berada di dalam butik mula ketakutan. Ada yang menjerit kecil, ada pula yang berlari keluar.

“Hey, Johari! Apa yang kau buat ni? Kau dah gila ke?!” Lily segera mendapatkan Johari, tangannya menarik lengan lelaki itu dengan wajah tegang.

Johari berpaling, matanya berkilat penuh provokasi.

“Kenapa? Tak puas hati? Kau jangan buat kecoh dekat sini!” Lily menengking lantang.

Johari ketawa terbahak-bahak, bertepuk tangan seolah-olah mengolok-olok Lily.

“Nampaknya kau dah banyak berubah, kan? Lily yang aku kenal dulu lemah lembut, sopan santun, solehah… tapi sekarang, dah macam perempuan murahan!”

Tamparan Lily hinggap di pipi Johari tanpa dia sendiri sedar. Nafasnya turun naik, dadanya berombak hebat menahan marah.

“Kau tak ada hak nak hina aku!” Lily menuding jari ke arah Johari dengan wajah merah padam.

“Keluar sekarang sebelum aku report polis!”

Namun, Johari hanya tersenyum sinis. Tanpa mengendahkan ugutan Lily, dia terus menumbangkan rak pakaian, membaling baju ke lantai dan ke arah pelanggan yang masih berada di dalam butik.

Seorang pelanggan wanita menjerit apabila Johari tiba-tiba menarik tangannya.

“Argh!”

“Kau tak faham bahasa ke aku suruh kau keluar?!” Lily menjerit lagi, kini benar-benar hilang sabar.

Johari akhirnya melepaskan tangan pelanggan itu, namun matanya masih tajam menikam Lily. Suara bisikan mula kedengaran antara pelanggan yang ketakutan.

Di sudut butik, Suraya dan Aliyah berpelukan erat, wajah mereka pucat ketakutan. Maira pula tanpa berlengah segera membuat panggilan kecemasan kepada pihak polis.

“Korang semua tak payah support perempuan ni! Dia ni bukan perempuan baik-baik!” Johari melaung kuat, cuba menanam syak wasangka dalam fikiran orang sekeliling.

Lily merasakan tubuhnya menggigil menahan amarah dan rasa terhina.

“Kau dah gila ke?! Keluar sekarang!”

Langkah Johari semakin mendekat, membuatkan Lily secara refleks mengundur ke belakang. Sebelum dia sempat berbuat apa-apa, Johari mencengkam pipinya dengan kasar.

Lily meronta, cuba menepis pegangan itu.

“Argh! Lepaskan aku!”

“Cik Lily!” Suraya dan Aliyah menjerit serentak, mahu membantu, tetapi langkahnya terhenti apabila Johari menjeling tajam.

“Kau diam!” Jerkahan Johari membuatkan mereka kaku, tubuhnya menggigil ketakutan.

Matanya liar menatap setiap orang di dalam butik.

“Jangan ada sesiapa yang berani masuk campur! Aku takkan teragak-agak untuk sakitkan korang!”

Suasana sunyi. Semua orang membeku di tempat masing-masing, bimbang jika provokasi lebih jauh akan mengundang bahaya.

Lily menggenggam tangan Johari, cuba melepaskan diri.

“Lepaskan aku, bodoh!” Dia menumbuk dada lelaki itu sekuat hati.

Namun, Johari hanya tersenyum sinis.

“Apa? Adik tak dengarlah…” sindirnya sebelum menekankan cengkaman pada pipi Lily lebih kuat.

“Lepaskan aku…” suara Lily semakin lemah, cengkaman itu menyakitkan.

Johari tertawa kecil sebelum mengangkat tangannya dan menampar pipi Lily perlahan, tetapi penuh penghinaan.

Lily membeku. Hatinya menjerit, bukan kerana kesakitan fizikal, tetapi kerana maruahnya diinjak tanpa belas kasihan.

Maira, yang masih memegang telefon, kini menggigil.

“Pihak polis dah dalam perjalanan…” bisiknya perlahan kepada Suraya dan Aliyah.

Namun, dalam hatinya, dia hanya mampu berharap mereka sampai sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

"Assalamualaikum, Noah. Umi nak cakap sesuatu…" Suara Noraini kedengaran cemas di hujung talian.

"Waalaikumsalam. Ya, umi. Kenapa ni?" Noah berkerut dahi. Nada suara uminya tidak seperti biasa.

"Noah, kamu kena datang sekarang!" Pinta Noraini tergesa-gesa.

Noah menjauhkan telefon sedikit dari telinga. Dahinya semakin berkerut.

"Datang? Datang ke mana tu, umi?" soalnya pelik. Uminya memang suka mengarah tanpa memberi penjelasan yang jelas.

"Err… butik yang tak jauh dari pejabat kamu. Umi nak tunjukkan sesuatu pada kamu. Cepat datang, umi tunggu," ujar Noraini, tangannya mengesat peluh yang mula membasahi pelipis.

Noah menggigit bibir bawahnya dan menarik nafas perlahan. Ada sesuatu yang tidak kena.

"Umi, Noah sibuk sekarang. Ada hal apa yang penting sangat tu? Umi nak shopping ke?" Nada suara Noah masih lembut, cuba meredakan ketegangan.

"Hisyy, kamu ni, Noah! Umi kata datang sekarang, maksudnya sekarang lah!" Suara Noraini tiba-tiba meninggi, menandakan dia benar-benar serius.

Noah tersentak. Jarang sekali uminya bercakap dalam nada begitu.

"Eh, marah betul. Okay-okay, Noah datang. Butik mana tu?"

Noraini menghela nafas sambil mendongak melihat papan tanda di hadapan butik.

"Nama butik… Lily Luxe."

Noah terdiam seketika.

Lily Luxe? Hmmm… tempat semalam. Desisnya dalam hati.

"Okay, umi. Nanti Noah datang."

Tiba-tiba…

PRANG!

Bunyi kaca pecah bergema di hujung talian.

"Astaghfirullahalazim!" Terdengar suara Noraini menjerit kecil.

Noah tersentak.

"Umi! Kenapa tu?" Nada suaranya berubah panik.

Namun…

TET!

Talian tiba-tiba terputus.

"Umi! Umi!" Jerit Noah, namun tiada sahutan.

Jantungnya berdegup kencang. Apa yang sedang berlaku di Lily Luxe? Sesuatu yang buruk pasti terjadi, desis Noah dalam hati.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-02-03 15:12:19 

Cepatlah Noah, selamatkan Lily


NovelPlus Premium

The best ads free experience