Series
3703
“SAYANG, malam ni saya tak boleh keluar. Kan saya dah cakap yang saya outstation tiga hari ni. Kalau saya balik, nanti client saya lari. Projek kali ni penting.”
Maya diam, terbatuk beberapa kali. Badannya terasa panas. “Sekejap je, Ray. Klinik tak dekat dengan rumah saya. Saya–”
“Awak makan Panadol je dulu. Malam-malam macam ni awak jangan nak keluar rumah. Bahaya,” Ray cepat-cepat memotong kata-kata Maya. “Esok saya balik, saya bawa awak pergi klinik, okay? Bye,”
Belum sempat Maya hendak membuka mulut, panggilan ditamatkan oleh tunangnya.
Maya menatap skrin yang gelap untuk beberapa saat. Hatinya seakan tenggelam selepas tunangnya itu menidakkan permintaannya. Suhu badannya semakin tinggi, tapi pesanan Ray tadi terasa dingin dan membuatkan tubuhnya semakin terasa lemah. “Tapi outstation dekat Pahang je…” gumamnya perlahan.
Namun, selepas berfikir kurang satu minit, Maya memutuskan yang dia tak mahu menunggu kepulangan Ray esok. Badannya dah terlalu panas. Kalau dibiarkan, mungkin akan melarat nanti.
Dengan langkah perlahan, sarung cardigan, ambil dompet serta telefonnya dan keluar untuk pergi ke klinik yang berdekatan dengan rumahnya. Dia tinggal di KL, jadi klinik 24 jam ada di mana-mana sahaja.
Sebaik sahaja dia keluar dari bangunan apartmennya, angin bertiup seolah-olah hendak hujan. Dia terus menahan teksi dan meminta pemandu itu untuk bawa dia ke klinik yang berdekatan.
KLINIK 24 jam itu sunyi, hanya ada seorang nurse yang duduk di kaunter dan doktor lelaki muda yang nampak keletihan. Mungkin sebab jam kini menunjukkan jam 11 malam.
“Cik demam panas ni. Banyakkan rehat dan pastikan minum air cukup. Nanti makan semua ubat yang saya bagi,” pesan doktor sambil menulis preskripsi. Maya mengangguk lemah. Badannya terasa berat dan kepalanya semakin berdenyut. Mungkin sebab lampu klinik yang terlalu cerah. Lepas membuat pembayaran, dia keluar dari klinik dengan memgang plastik berisi ubat yang diberikan oleh pihak klinik.
Dengan langkah kaki yang berat disebabkan demamnya, Maya menunggu kalau-kalau ada teksi yang akan lalu sekejap lagi. Dia berjalan sedikit ke sebuah perhentian bas yang gelap tanpa cahaya lampu.
Di seberang jalan, papan tanda Hotel Scarlett menyala samar, huruf ‘S’ berkelip-kelip. Berdekatan dengan pintu masuk hotel itu, Maya terpandang seorang lelaki keluar dari sebuah kereta Sedan Hitam. Maya yang sedang demam, cuba membuka matanya untuk melihat dengan lebih jelas. Bayangan lelaki itu macam dia kenal.
Ray.
Dan kemudian, Ray berlari ke pintu sebelah pemandu keretanya dan menjemput keluar seorang wanita – Sophie.
Maya berundur selangkah ke belakang, hampir tak percaya. Ray yang baru sejam tadi kata dia “outstation”, kini berdiri di depan matanya, bersama sahabatnya sendiri.
Dah kenapa kawan baiknya naik satu kereta dengan tunangnya? Dan kenapa pula tunangnya ada di Kuala Lumpur? Bukankah katanya tengah ada di Pahang? Outstation? Ray kemudian mengambil beg tangan yang dihulur oleh Sophie. Gaya badan mereka nampak terlalu mesra dan mereka berhenti berdekatan dengan hotel bajet itu sahaja membuatkan Maya rasa mendidih.
Maya mula menggigil.
Bukan disebabkan demam, tapi disebabkan ada sesuatu dalam dirinya terasa hancur menyaksikan kejadian ini.
Di bawah lindungan perhentian bas yang gelap itu, Maya cuba mengawal nafasnya. Otaknya cuba menafikan apa yang dilihat dengan kedua matanya. Tapi tawa Sophie yang kedengaran dari jauh itu menarik dia kembali ke realiti.
‘Oh, outstation, ya?’
Matanya panas. Jari-jemarinya menggigil ketika dia menyeluk poket dan mengeluarkan telefon. Dia buka kamera dan menekan butang ‘rakam’.
Ray menyentuh belakang Sofie, mengusap lembut wajah wanita itu sambil membisikkan sesuatu ke telinganya. Sofie tersenyum dan mereka mula berjalan ke arah pintu masuk Hotel Scarlett. Pintu kaca bergeser, menutup pandangan Maya. Dia kemudian zoom ke arah nombor plat kereta Ray yang jelas dilihat dari mana dia berdiri.
Rakaman itu ditamatkan dan disimpan.
Tempoh rakaman cukup 30 saat.
Maya memandang skrin telefon. Dia memainkan semula rakaman tadi. Semakin dia lihat, semakin perih perasaannya pada ketika itu. Dia kemudian tergelak. Gelaknya bukan disebabkan terhibur, tapi dia terasa bodoh melihat dua orang yang dia percaya kini menikam dia dari belakang begini.
“Outstation konon,” gumamnya dengan gigi yang diketap. Suaranya pecah di hujung kata.
Hujan mula turun rintik-rintik. Disebabkan tak ada teksi yang lalu, dia memutuskan untuk berjalan pulang ke rumah sendiri. Dia nak balik. Dia hendak menenangkan diri. Apa yang dia rasa malam ini, hanya Allah sahaja yang tahu. Sedih bercampur marah. Tekaknya seakan dirobek disebabkan menahan air mata dan juga sebab demamnya.
Namun setiap langkah terasa berat, dan dunia seakan berpusing. Badannya menggigil. Kepala terasa semakin memberat.
Dia melajukan langkahnya tanpa memandang ke depan.
Baru tiga langkah diambil, tiba-tiba – BAM!
Dia terjatuh ke lantai. Badannya terasa macam baru sahaja merempuh satu tembok besi. Plastik ubat yang dipegangnya terus terjatuh ke atas lantai dan dibasahi air hujan yang masih rintik.
“Aduh–!” Maya mengusap telapak tangannya yang tergesek ke lantai, pedih. Kepalanya berdesing disebabkan impak dia terjatuh terlalu laju tadi.
“Awak okey?” satu suara garau menegur, rendah tapi kedengaran tegas.
Maya mengangkat pandangannya. Seorang lelaki berdiri di depannya – tinggi, mata dan kening yang tajam menikam, dan berpakaian serba hitam. Matanya tajam memandang Maya yang terjelopok di lantai, tapi pandangannya tak menakutkan. Lebih kepada… bimbang.
Dia pernah jumpa dengan lelaki ni sebelum ni.
Dua tahun yang lepas, di sebuah majlis kolaborasi dengan jenama produk kecantikan. Dia kenal lelaki ini sebagai CEO kepada Novarith Entertainment.
Dah dua tahun macam ni pun gaya lelaki ini tetap nampak sama, masih berpakaian mahal walaupun berada di tepi jalan begini.
“Saya…” Maya cuba bersuara, tapi suaranya terus hilang. Dia menunduk malu dan memungut plastik ubat yang jatuh di sebelahnya. “Maaf, saya tak perasan.”
Lelaki itu bercangkung di depan Maya dan menghulurkan satu sapu tangan berwarna royal blue. “Awak kalau jalan memang tak pandang nak ke mana ke?” suaranya sedikit keras tapi bukan marah.
“Saya nak balik. Hujan,” balas Maya perlahan, masih tak berani nak menatap lama.
Dia menggenggam plastik ubat, cuba mengatur nafasnya. Lelaki itu menarik Maya untuk berdiri. Bila dia tak terasa hujan menitis ke kepala, dia pandang lelaki itu dan dia berdiri betul-betul di depannya, dan untuk seketika, dunia terasa tenang. Hanya bunyi hujan menitis ke payung yang dipegang oleh lelaki itu, melindungi mereka dari hujan.
Maya menggigil. Dia hendak melangkah pergi, tapi kakinya seolah terpaku. Pandangannya menjadi kabur. Mungkin disebabkan oleh demam, atau mungkin sebab kejadian tadi yang dia saksikan dengan kedua matanya yang dah menghancurkan perasaannya.
Lelaki itu memerhati wajahnya untuk beberapa saat. “Awak demam ke?” soalnya.
Maya mengangguk kecil, suaranya hampir tak kedengaran. “Saya baru balik dari klinik.”
Lelaki itu hanya mengeluh lembut, memandang tanah yang semakin dibasahi hujan yang sekadar rintik. “Patutlah jalan macam baru dapat kaki.”
Maya tunduk, terasa malu. “Maaf, saya betul-betul tak sengaja langgar awak tadi.”
Tak ada jawapan selepas itu. Hanya pandangan lelaki itu yang tak beralih darinya. Pandangan yang peliknya, membuatkan dada Maya rasa pelik dari biasa. Rasa antara takut, dan sesuatu yang dia tak pasti nak namakan apa.
Dia menggenggam plastik ubatnya dengan erat, menunduk. “Saya pergi dulu,” katanya sambil membuka langkah tapi baru sahaja dua langkah, lututnya menggeletar.
Sebelum dia terjatuh, lelaki itu sempat menyambar tangannya.
“Tunggu,”
Share this novel