Bab 56

Romance Series 59840

MATAHARI memberikan sinarnya yang terang benderang, terik memancar dan menghangatkan suhu disekitar. Angin yang bertiup di sekitar kota membawa debu-debu halus dan turut ternoda dengan kepulan asap daripada pelbagai jenis kenderaan. Di dalam kesibukan lalu lintas pada sebatang jalan, sebuah kereta BMW berwarna putih mencelah dan memotong beberapa buah kenderaan lain. Kereta mewah buatan negara Jerman itu kemudian membelok pada satu persimpangan sebelum berhenti di hadapan sebuah bangunan yang tersergam indah.

Pada dinding luar bangunan tersebut, tertera papan tanda nama yang tertulis JENTAYU EMAS, sebuah syarikat pemaju dan hartanah. Dari kereta BMW yang baru berhenti pada tempat parkir khas, Rizal keluar dan melangkah dengan penuh bergaya. Lelaki itu terlihat penuh karisma dan aura sebagai seorang pemimpin. Ketika dia tiba di pintu masuk, seorang pengawal keselamatan segera membukakan pintu untuknya dan sedikit menundukkan kepala sebagai tanda hormat kepada lelaki tersebut.

Kini, sudah hampir empat bulan Rizal menjawat jawatan sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat Jentayu Emas, salah sebuah anak syarikat THL Global Group, milik bapanya, Tan Sri Hanafi. Buat ketika ini, Tan Sri Hanafi memberikan masa beberapa tahun untuk anak lelakinya itu mempelajari selok belok pengurusan syarikat sebelum mengambil alih sepenuhnya semua syarikat yang bernaung di bawah THL Global Group. Mengambil peluang tersebut, Rizal memilih untuk menerajui Teraju Emas, yang merupakan ibu pejabat kepada cawangan syarikat tempatnya bekerja bersama Amira suatu ketika dahulu. Syarikat itu memiliki nilai sentimental tersendiri kepada Rizal, dimana dia mendapat pengalaman suka dan duka ketika kali pertama menempuh alam pekerjaan. Malah syarikat itulah yang menjadi tempat perkenalannya dengan isterinya sekarang. Fikir Rizal, tanpa Jentayu Emas, dia tidak akan berpeluang untuk mengenali Amira dan menemui cinta sejatinya.

Berada di dalam biliknya sendiri, Rizal tersenyum sambil duduk di atas kerusi empuk. Kini impiannya semakin hampir. Dia gembira kerana dirinya kini sudah begelar seorang Ketua Pengawai Eksekutif dan menguruskan sebuah syarikat gergasi. Malah restoran miliknya dan Amira dahulu juga sudah diserap sebagai salah sebuah anak syarikat dibawah naungan THL Global Group. Dengan suntikan modal daripada bapanya, restoran Rizal dan Amira itu kini sudah mempunyai lapan cawangan di seluruh negara dan bakal terus bertambah di masa akan datang. Walaupun restoran tersebut telah berada di bawah syarikat induk milik bapanya, namun pegangang saham ke atas restoran itu masih diberikan sebanyak lapan puluh peratus kepada Amira sebagai penghargaan kepada wanita tersebut.

Sedang Rizal asyik dibuai lamunan, tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Seorang wanita membuka pintu dan masuk ke dalam bilik Rizal sambil membawa sebuah fail di tangannya. Wanita itu adalah Aqila, setiausaha kepada Rizal.

"Encik Rizal, sebentar lagi kita akan meeting untuk projek di Tanjung Butat.. ini adalah minit menyuarat.. Encik Rizal boleh semak terlebih dahulu dan buat pengesahan.." ujar Aqila sambil menghulurkan dokumen yang berada di dalam fail kepada Rizal.

"Laa.. masa ni baru nak buat minit menyuarat?" Rizal membalas dengan nada yang tegas.

"Maaf Encik Rizal.. sebab kita pun baru dapat pengesahan daripada supplier.. tu yang lambat sikit.." balas Aqila sambil menundukkan sedikit pandangannya.

Rizal menggelengkan kepala sambil mendengus perlahan. Lantas tangannya mencapai dokumen yang diberikan oleh setiausahanya itu. Matanya kemudian fokus membaca dan menilai setiap butiran yang terdapat di helaian kertas yang diterimanya.

"Baiklah.. pastikan semua orang yang terlibat dalam projek tu hadir kat mesyuarat.." Rizal menyampaikan pesan.

"Baik Encik Rizal.. tapi Encik Fikri yang menjadi pengurus logistik hari ni takde.. dia baru tinggalkan pejabat sebab anak dia sakit.. katanya nak bawa anak dia ke hospital.." ucap Aqila, memberikan berita.

"Oh, takpe la kalau dia sorang yang takde.. tapi pastikan semua maklumat dan keputusan mesyuarat nanti di sampaikan kat dia.."

"Emm.. tapi Encik Fikri takde apply cuti.. dia keluar terburu-buru je tadi.. perlu ke diambil tindakan kat dia?" tanya Aqila mengenai tindakan yang akan diambil oleh Rizal. Bagi wanita itu, pengurus yang keluar dari pejabat itu telah melakukan kesalahan dan patut diambil tindakan sewajarnya oleh pihak syarikat.

"Biar je la.. lagipun dia keluar sebab urusan anak.. anak dia sakit kan? bukan dia keluar saja-saja.. kita pun tak tahu keadaan anak dia macam mana.. jangan main-main soal nyawa.. mungkin anak dia betul-betul dalam bahaya, sebab tu dia terburu-buru.." balas Rizal. Fikiran lelaki itu penuh dengan pertimbangan.

"Tapi, setidaknya dia perlu apply emergency leave.."

"Qila, bukan semua benda kita perlu strict, nak kena ikut prosedur.. setiap saat sangat berharga.. kita pun tak tahu keadaan sebenar yang terjadi kat dia.. apa masalah dia.. nanti kita boleh je minta penjelasan daripada dia.. buat masa sekarang, biar dia selesaikan dulu urusan keluarga dia.. jangan kita nak menambah lagi masalah yang dia ada.. cuba awak fikir, apa akan jadi kalau dia terlambat bawa anak dia ke hospital dan anak dia meninggal? padahal anak dia masih boleh selamat kalau dia lebih awal beberapa minit.. tapi dia terlambat sebab nak kena uruskan prosedur untuk tinggalkan syarikat pada waktu bekerja dan anak dia tak dapat diselamatkan.. apa yang awak rasa kalau awak berada di tempat dia? Prosedur tu kita je yang cipta.. tapi kita juga perlu pertimbangkan melalui rasa kemanusiaan.. ambil contoh, kalau la anak dia sekarang sakit tenat dan perlukan kos rawatan yang tinggi.. tapi sebab dia tak ikut prosedur, kita buang dia atau potong gaji dia, macam mana dia nak selesaikan masalah anak dia? Bahkan kita hanya menambahkan lagi masalah dia.. sebab tu kita perlu ada pertimbangan.. nanti suruh dia jumpa saya bila dia kembali.." Rizal memberikan nasihat kepada setiausahanya.

Aqila hanya mengangguk. Wanita itu merasa kagum dengan pemikiran dan pertimbangan Rizal yang penuh pengertian. Manakala bagi Rizal, soal masalah keluarga haruslah diberi keutamaan bagi sesiapa sahaja. Dia sendiri pernah melalui pengalaman pahit, hidup tanpa ahli keluarga dan ditinggalkan ahli keluarga. Dia tahu betapa sukarnya untuk menghadapi situasi sebegitu. Di sebabkan itu, dia kini lebih menghargai hubungan kekeluargaan dan ingin sentiasa bersama ahli keluarganya. Dia juga ingin menerapkan hal tersebut kepada para pekerja di syarikatnya.

Terlintas dibenak Rizal, betapa bergunanya arahan bapanya dahulu yang melemparkan dirinya ke cawangan Jentayu Emas. Kini barulah dia mengerti niat dan tujuan bapanya itu. Dahulu dia memberontak apabila merasa tertipu dengan helah bapanya dan menganggap bapanya hanya sekadar berniat untuk membuangnya dari keluarga kerana jemu dengan perangainya. Namun kini Rizal mula mengerti. Semua yang dilakukan oleh bapanya itu adalah kerana sifat kasih dan sayang seorang bapa kepada anaknya yang ingin melihat anaknya itu menjadi manusia yang berakhlak baik. Sungguh Rizal dapat merasai, kesusahan telah banyak mengajarnya erti kemanusiaan dan sikap untuk berusaha.

Malah di dalam kesusahannya itu, Tuhan juga telah menghantar Amira untuk menjaga dan mengubah sikap buruk Rizal. Dia turut diuji dengan kehilangan ingatan dan mula beradaptasi untuk hidup susah sebagai orang kampung. Kini Rizal termenung jauh. Rasa syukur menyelinap di dalam hati. Dia bersyukur kerana diberi kesempatan dan bimbingan untuk menuju ke jalan yang lebih baik, membentuk peribadinya yang lebih berakhlak dan manusiawi.

Tidak lama kemudian, Rizal berjalan menuju ke bilik mesyuarat. Baru sahaja melangkahkan kakinya ke dalam bilik, para pekerjanya yang terlibat di dalam mesyuarat tersebut sudah siap sedia menunggu kemunculannya. Belum sempat lelaki itu melabuhkan punggungnya ke kerusi, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Rizal segera melihat ke arah papan layar telefon bimbitnya itu.

"Papa?" Rizal mula pelik apabila melihat nama bapanya muncul di skrin telefon, sedang membuat panggilan kepadanya.

"Hello Pa.. ada apa? Riz baru nak mulakan meeting ni.." ucap Rizal sebaik sahaja menerima panggilan yang masuk ke telefonnya. Beberapa pasang mata yang berada di dalam bilik mesyuarat hanya diam memerhatikan Ketua Pegawai Eksekutif mereka itu.

"Apa? Mira masuk hospital?!" Rizal separa menjerit apabila menerima khabar daripada Tan Sri Hanafi.

"Baiklah, Riz datang sekarang!" Rizal kemudian mematikan panggilan telefon. Wajahnya mulai resah. Lelaki itu kemudian memandang ke arah para pekerja yang sedang memerhatikannya. Rizal tiada pilihan, dia harus membatalkan mesyuarat yang bakal berlangsung ketika itu.

"Maaf, saya kena pergi hospital sekarang.. mesyuarat kali ni kita tunda dulu." Rizal menyampaikan pesan seraya bergegas membuka langkah meninggalkan bilik mesyuarat. Para pekerja di sana pula saling berpandangan dan berbisik sesama mereka.

"Kenapa dengan CEO kita tu?" tanya salah seorang daripada mereka kepada Aqila yang masih berdiri. Wanita yang menjadi setiausaha kepada Rizal menghembuskan nafas panjang seraya tersenyum.

"Hmm.. kan isteri dia dah masuk hospital.. dah sampai due la tu.." jawab Aqila sambil matanya melihat ke arah Rizal yang kelam-kabut memasuki lif untuk turun ke lantai bawah dan meninggalkan pejabat. Wanita itu terus tersenyum apabila teringatkan kata-kata Rizal kepadanya tadi. Apa pun yang terjadi, keluarga haruslah menjadi keutamaan. Jangan terlambat atau lepaskan walau sedetik masa untuk bersama keluarga jika keadaan memerlukan. Rizal benar-benar mengotakan apa yang sudah dia katakan.

TIBA di hospital, Rizal bergegas berlari menuju ke arah dewan bersalin. Di luar bilik pembedahan, kelihatan Tan Sri Hanafi, Puan Sri Rohayu dan Shahira sudah pun menunggu dengan penuh keresahan. Rizal segera mendapatkan ahli keluarganya itu.

"Macam mana dengan Amira?" soal Rizal dengan nafas yang tercungap-cungap.

"Masih kat dalam labor room.." jawab Shahira.

"Kalau datang awal, Riz boleh je masuk ke dalam, temankan Mira.. sekarang pintu pun dah tutup.. kena tunggu je la kat luar ni.." balas Puan Sri Rohayu.

"Mana la Riz tahu.. dah Papa pun baru call. Ni pun Riz cepat-cepat datang sini, tinggalkan meeting.."

"Papa pun mana la tahu nak jadi macam ni.." Tan Sri Hanafi menggaru kepala sambil menundukkan pandangannya ke bawah.

Tidak lama kemudian, pintu dewan bersalin terbuka. Seorang doktor wanita keluar dan membuka pelitup muka yang dipakainya. Rizal sekeluarga segera mendekati doktor terbabit dengan penuh cemas.

"Doktor, macam mana dengan isteri saya?" tanya Rizal.

Doktor wanita itu tidak segera menjawab. Dia merenung seketika wajah Rizal sebelum menguntumkan senyuman.

"Isteri encik selamat.. Tahniah, encik dapat anak lelaki." ujar doktor tersebut.

"Alhamdulillah.." ucap Rizal dan keluarganya serentak.

"Boleh saya masuk, jumpa anak isteri saya?" tanya Rizal lagi.

"Masuklah.. tapi hanya suami seorang sahaja.. ahli keluarga yang lain tak boleh masuk lagi ya.." doktor tersebut memberi kebenaran dan peringatan. Semua orang mengangguk faham. Rizal segera melangkah masuk untuk menemui Amira.

Rizal segera mendapatkan Amira yang masih terbaring lemah. Wanita itu benar-benar kehausan tenaga selepas bertarung nyawa untuk melahirkan anaknya. Namun segala kesakitan dan kelelahannya seolah menghilang tatkala melihat Rizal masuk dan berdiri di hadapannya. Satu senyuman terukir pada bibir wanita tersebut. Satu sentuhan lembut dari telapak tangan Rizal singgah ke pipi isterinya itu.

"Bukan ke abang masih bekerja?" tanya Amira dengan suara yang lemah.

"Tiada yang lebih penting daripada sayang dalam hidup abang.." Rizal cuba memberikan semangat kepada isterinya.

"Tapi abang minta maaf.. lepas ni abang kena kongsikan kasih abang kat sayang... dengan anak kita.." usik Rizal. Amira tersedak sehingga terbatuk kecil.

"Ish, abang ni.. jangan duk cakap yang bukan-bukan.. sayang sakit lagi ni.." Amira mengulumkan senyum.

"Abang minta maaf.. abang tak cakap dah.. tapi nanti sayang kena bagi ramai lagi anak kat abang."

"Mengada la abang ni.. abang nak berapa orang lagi anak?" Amira ketawa sambil menahan sakit sehingga berkerut mukanya. Namun bibirnya tetap tersenyum.

"kita cukupkan sedozen.. 12 orang.. boleh buat team bola sepak.. 11 orang pemain, sorang lagi jadi coach.." Rizal masih berseloroh. Amira yang lemah tetap tertawa.

"Mati la sayang nak kena beranak 11 kali lagi.. tapi demi abang, dapat 22 orang anak pun takpe.. boleh buat dua team bola sepak terus.. senang sikit diorang nak training, sebab dah ada pasukan lawan.."

"Melampau la pulak sampai 22 orang.. nanti nak pergi mana-mana, kita dah tak boleh naik kereta dah.. kita beli bas je.." Rizal terus berjenaka. Amira pula tidak berhenti ketawa dengan celoteh suaminya itu.

Seketika kemudian, Rizal berkalih pandang ke arah jururawat yang sedang mengendong bayinya yang baru lahir. Lelaki itu segera mengambil anaknya itu dari tangan jururawat dan menatap lama wajah bayi tersebut. Rizal tersenyum sendiri. Gembira dan syukur di atas kelahiran anak sulungnya. Bahkan dia sepertinya seakan tidak percaya jika dia kini sudah memiliki zuriatnya sendiri. Tidak terus membuang masa, Rizal kemudian mengalunkan suara azan kepada bayi yang baru lahir ke dunia itu.

"Allahuakhbar, Allahuakhbar.." Suaranya perlahan namun masih jelas kedengaran, mendayu-dayu tertangkap di telinga bayinya. Bayi yang tadinya merenggek kini terdiam, seolah asyik mendengar irama kalimah suci tersebut. Amira masih tersenyum, menatap Rizal yang menyampaikan azan kepada anak mereka. Wanita itu merasa bahagia bersuamikan Rizal. Dihatinya, dia berdoa agar cinta mereka terus berkekalan selamanya.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-03-15 23:08:28 

yey...Alhamdulillah, Mira dgn Riz dh dpt ank...akhirnya bhgia mereka berdua...Juana plak dh dpt blasan...


NovelPlus Premium

The best ads free experience