LANGKAH kaki diatur masuk ke dalam sebuah kedai buku. Nafas ditarik dalam-dalam. Sedapnya bau buku!
Dah lama sebenarnya Ajana tak jejakkan kaki ke kedai buku. Sejak dua bulan lepas dia sibuk dengan pelancaran terbaru koleksi tudungnya.
Sekarang baru ada masa dia nak fokus semula pada hobinya itu. Tangan pantas mengambil beberapa buah buku yang tersusun di rak. Sebelum datang ke sini tadi dia sudah merancang untuk membeli buku-buku itu.
“Hah, jumpa pun!” Lebar senyumannya melihat buku yang dicari. Tinggal satu pula tu. Memang rezeki dia!
Ajana dan novel cinta memang tak dapat dipisahkan. Sejak daripada zaman sekolah lagi dia gemar membaca novel. Bilik-biliknya penuh dengan novel cinta sampai terpaksa beri separuh pada orang walaupun Ajana sayang.
Ajana masukkan novel-novel yang sudah dipilih ke dalam bakul yang berada di tangannya. Dia bergerak ke rak yang lain pula. Ada sebuah novel menarik perhatian. Tangan langsung mencapainya.
Sedang Ajana membelek-belek bahagian belakang novel itu ada satu suara menegurnya.
“Tak habis-habis dengan novel cinta.”
Ajana langsung angkat wajah. Suara itu cukup familiar.
Kan dia dah agak! Memang Afka. Ah, bencinya. Kenapalah mereka boleh bertembung dekat sini?
“Muncul dah.” Ajana tayang muka kelat.
Afka ketawa. “Kenapa? Tak suka jumpa aku?”
“Kau nampak muka aku ni macam gembira ke bila nampak kau?” balas Ajana geram. Muncul je Afka, terus rosak mood dia! Kenapalah Afka suka sangat menganggu ketenteraman hidupnya?
Afka mengecilkan matanya memandang Ajana. “Hmm... Adalah sikit. Mungkin sebab dah lama kita tak jumpa jadi kau malu. Tapi hari ni dah takdir kita berjumpa.”
Ajana menjulingkan matanya ke atas. Perasan betul! Dalam ramai-ramai penduduk bumi ni, Afka lah orang yang dia tak mahu jumpa langsung.
“Boleh tak kalau kita terserempak sekali pun, kau tak tegur aku? Anggap je lah yang kita ni tak pernah kenal.”
Afka ketawa lagi. “Sombongnya anak Cik Mawar ni. Apa salahnya kalau jumpa kita bertegur.”
Ajana mengetap bibirnya kuat. Suka hati dia lah nak sombong ke apa ke. Jangan risau, dia sombong dengan Afka seorang je. Dengan orang lain Ajana okey je. Tapi bukan Afka. Sebab Afka bukan orang. Tapi sejenis makhluk perosak mood orang!
Daripada dulu lagi mereka memang tak sebulu. Nama aje jiran tapi Ajana memang tak boleh nak berbaik dengan Afka. Lainlah Afnan, abang kepada Afka. Berbeza sungguh perangai dua beradik tu. Nasib baiklah perangai Afnan tak sama macam Afka. Mungkin waktu kecik-kecik dulu Cik Embun bagi Afka terlebih minum susu lembu kut.
Malas nak layan Afka, Ajana cepat-cepat beredar menuju ke kaunter. Biarlah Afka nak cakap dia sombong sekalipun. Ingatkan lepas Afka sekeluarga pindah rumah lima tahun lepas, mereka tidak akan berjumpa lagi. Tapi dalam masa lima tahun tu kerap pula mereka berjumpa. Afnan yang Ajana harapkan, tapi Afka pula yang selalu muncul depan mata.
Keluarga Afka dan keluarga Ajana memang rapat. Terutama ibu-ibu mereka. Dah macam adik-beradik. Tapi anaknya pula tak sebulu. Afka memang kuat mengusik Ajana. Dia sendiri pun tak tahu kenapa suka sangat buat gadis itu marah.
Lepas buat pembayaran, Ajana melajukan langkah keluar daripada kedai buku.
Afka pula hanya tersenyum kecil sambil mata menghantar pemergian Ajana. Sebenarnya waktu dia lalu di kawasan sini tadi, dia ternampak Ajana masuk ke dalam kedai buku. Cepat-cepat dia mengikut gadis itu.
Bukan selalu mereka dapat berjumpa. Kalau dulu hari-hari boleh jumpa. Maklumlah rumah mereka bersebelahan saja. Dapatlah dia mengusik Ajana hari-hari.
MALAM itu di ruang makan, keluarga kecil Ajana berkumpul. Jarang-jarang mereka dapat berkumpul sekali. Maklumlah sejak dua menjak ni Ajana memang sibuk uruskan keluaran tudung terbarunya.
“Jarang-jarang abah dapat makan dengan tokey tudung ni.”
“Abah...” Ajana tahu Encik Aziz memerlinya. Salahnya juga sibuk sangat dengan kerja sampai tak sempat nak makan bersama orang tuanya itu.
Puan Mawar tersenyum kecil. “Abah dah merajuk sebab Ajana sibuk sangat,” celahnya.
“Ajana minta maaf. Keluaran kali ni lebih banyak daripada keluaran sebelum ni. Jadi Ajana kena betul-betul fokus daripada awal sampailah habis semuanya.”
Ajana tiada butik. Semua koleksi tudungnya dijual di dalam talian. Dia hanya menyewa sebuah studio untuk menyimpan stok tudung dan menguruskan pesanan pelanggannya. Buat masa ni Ajana hanya ada seorang staf yang membantunya.
Sebenarnya kalau boleh semua Ajana nak buat sendiri. Selagi boleh buat sendiri, baik buat sendiri. Tak perlu dia keluarkan kos untuk membayar gaji pekerja.
Sekarang ini jenama tudungnya, Ajana Couture semakin dikenali. Setiap kali koleksi baru keluar, semuanya habis disambar mereka. Sampai ada yang minta dia keluarkan semula koleksi yang sama. Tapi Ajana hanya keluarkan setiap koleksi sekali saja. Barulah tak jadi tudung awam.
“Tak apalah. Abah faham. Macam mana dengan jualan?”
Ajana tersenyum. “Laris semuanya! Macam pisang goreng panas.”
“Alhamdulillah.” Encik Aziz bangga dengan anaknya itu. Sejak daripada zaman sekolah lagi Ajana sudah bercita-cita untuk mempunyai koleksi tudungnya sendiri. Anak sulungnya itu sangat meminati fesyen terkini.
Berbeza pula dengan anak keduanya, Ajmal yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di India.
“Bolehlah belanja ibu dan abah,” usik Puan Mawar.
“Mestilah boleh. Kita pergi bercuti nak tak? Tunggu Ajmal balik cuti semester nanti.” Macam-macam aktiviti yang Ajana sudah rancang untuk lakukan bersama keluarganya.
“Abah ikut je. Maklumlah sekarang ni dah tanam anggur dekat rumah.” Encik Aziz baru saja menamatkan perkhidmatannya sebagai pegawai polis dua tahun lepas.
Ajana ketawa kecil. Barulah dia lega bila tengok abahnya itu ada di rumah selalu.
“Umur dah senja ni nak duduk rumah main dengan cucu je,” tambah Encik Aziz lagi.
Ajana langsung terbatuk kecil bila Encik Aziz sebut tentang cucu. Ni tak lain tak bukan nak suruh dia kahwin cepat lah ni.
Sekarang umurnya baru 28 tahun. Ajana rasa dia masih muda. Masih banyak lagi yang dia ingin kejar dalam kehidupannya. Walaupun kawan-kawannya ramai yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak.
“Malam esok Cik Embun sekeluarga nak datang rumah kita. Ajana tak pergi mana-mana kan?” tanya Puan Mawar. Hampir terlupa sahabat baiknya itu akan bertandang ke rumahnya malam esok.
Cakap pasal Cik Embun, Ajana terus teringatkan pertemuannya dengan Afka siang tadi. Ah, menyakitkan hati!
“Ajana tak pergi mana-mana esok.” Kalau dia ada plan lain pun, Ajana sanggup batalkan. Ya lah, teruja nak jumpa Afnan. Dah lama dia tak bertemu dengan lelaki itu.
“Bolehlah tolong ibu masak esok.”
Ajana hanya tayang sengih. Setakat tolong-tolong tu bolehlah. Tapi kalau nak harapkan dia yang masa, memang tak!
AFKA masuk ke dalam bilik. Duduk dilabuhkan di meja kerjanya. Beberapa fail disemak terlebih dahulu sebelum dia masuk mahkamah esok. Inilah tugasnya sebagai seorang peguam.
Sedang leka menyemak kertas kerjanya, Afka tiba-tiba teringatkan pertemuannya dengan Ajana siang tadi. Dia tersenyum kecil.
Daripada dulu sampai sekarang gadis itu memang dingin dengannya. Dia pun satu, suka sangat cari gaduh dengan Ajana. Makin Ajana marah, makin dia seronok mengusik.
Sebab tu lah hubungan Ajana lebih rapat dengan abangnya, Afnan berbanding dia. Daripada cara Ajana, Afka dapat merasakan yang Ajana menyimpan perasaan terhadap abangnya itu.
Telefon bimbitnya dicapai. Laman Instagram Ajana Couture dibuka. Melihat gambar-gambar Ajana yang menjadi model untuk tudung keluarannya sendiri itu sudah cukup buat hati Afka berbunga bahagia.
“Ajana...”
Share this novel