SELESAI majlis resepsi perkahwinan mereka, Afka mengikut Ajana pulang ke rumahnya terlebih dahulu. Malam ini mereka akan bermalam di rumah keluarga Ajana.
Kalau semalam Ajana selamat sebab Afka tak tidur di rumahnya. Tapi malam ni, mahu tak mahu dia kena hadap juga Afka yang akan tidur sebilik dengannya.
Sungguh Ajana tidak pernah terbayang langsung musuh nombor satunya kini sudah berubah status menjadi suaminya.
Masuk ke dalam bilik, Ajana terus tanggalkan tudung yang terlilit di kepala. Daripada tadi dia tahan rasa tak selesa. Nasib baiklah keluarga mereka bersetuju untuk mengadakan kedua-dua majlis pada hari yang sama. Kalau tak, dia kena hadap satu lagi majlis.
Ajana melepaskan ikatan rambutnya. Dia menghela nafas lega sambil merapikan rambut panjangnya separas bahu itu. Waktu itu juga Afka masuk ke dalam bilik Ajana buat pertama kalinya.
Afka tersentak. Dia berdiri di muka pintu sambil matanya tak lepas daripada memandang Ajana. Buat pertama kalinya dia lihat rambut Ajana.
“Ehem.” Afka berdehem perlahan.
Ajana yang terkejut itu segera menoleh. “Kau ni... Buat orang terkejut je lah.”
“Sorry.” Afka tayang sengih. Dia langsung menutup pintu bilik.
Bila pintu bilik tertutup, raut wajah Ajana langsung berubah. Dada dihempas debaran. Sekarang ni mereka berdua dalam satu ruangan yang sama. Ya, cuma mereka berdua.
“Kenapa?” soal Afka hairan.
Ajana pantas menggeleng. “Kau pergilah mandi dulu.”
“Tuala?” minta Afka.
Ajana bergerak ke almari. Sehelai tuala bersih dikeluarkan lalu dihulur pada Afka. “Nah...”
Sekali lagi mata Afka terpaku pada wajah isterinya itu. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyum.
“Cepatlah!” gesa Ajana bila Afka masih tak sambut hulurannya. Renungan Afka buat dia makin tak senang duduk. Entah kenapa Afka tenung dia macam tu. Ada apa-apa yang pelik ke dekat muka dia?
SELEPAS Afka membersihkan diri, giliran Ajana pula untuk mandi. Dengan selamba Afka keluar daripada kamar mandi dengan hanya berbalutkan tuala di pinggang.
“Eh, kau tak boleh pakai baju dekat dalam ke?” Ajana lantas memalingkan wajah daripada memandang Afka.
Afka menggosok rambutnya yang masih basah. “Aku tak biasa pakai baju dekat dalam bilik air.” Selamba Afka membalas. Dia keluarkan pakaiannya daripada beg.
“Sekarang ni kau dekat bilik aku. Hormatlah sikit.”
Afka ketawa kecil. “Alah, bukannya aku keluar bilik air tak pakai apa-apa pun.”
Ajana mengetap kuat bibirnya. Afka ni kan!
“Kenapa? Takut tergoda tengok aku?” Usik Afka lagi.
“Kenapa kau ni suka sangat buat aku geram dengan kau?” soal Ajana bengang.
“Hah? Kau geram dengan aku?” Afka pura-pura cuak. Ujaran Ajana sengaja disalahertikan.
“Eiii, annoying!” Dengan pantas Ajana berlalu masuk ke dalam bilik air. Tak kuasa dia nak layan perangai Afka yang menyakitkan hati tu.
SELEPAS makan malam, Ajana langsung masuk ke dalam bilik. Badannya terasa sungguh letih. Macam ni ke penatnya jadi raja sehari? Nasib baiklah sehari je. Kalau berhari-hari?
Pintu biliknya dibuka daripada luar. Muncul wajah Afka. Tadi dia berbual dengan bapa mentua dan adik iparnya di bawah.
“Dah nak tidur ke?” soalnya pada Ajana yang sudah berbaring di atas katil.
“Ya lah! Takkan nak menganyam ketupat pula.”
“Tanya pun nak marah.” Afka mencebik. Kesabaran isterinya itu memang senipis tisu!
“Cubalah tanya soalan cerdik sikit,” balas Ajana sebal.
“Ajana, aku nak cakap sikit ni.” Afka tiba-tiba bertukar mood serius. Dia melabuhkan duduk di birai katil.
Ajana panggung wajah memandang Afka. Debaran memukul dada. Tiba-tiba dia terbayang yang Afka minta dia layan lelaki itu malam ni. Aaaa, ibu tolong Jana!
“Cakaplah.” Ajana bangun daripada pembaringannya. Dia duduk bersandar di kepala katil.
“Ajana, aku tahu kau terima lamaran aku sebab kau sangka lamaran tu daripada Afnan.”
Ajana diam. Menunggu Afka meneruskan bicaranya.
“Aku bukan Afnan. Tak ada apa-apa yang istimewa tentang aku yang boleh aku tawarkan pada kau. Tapi...” Afka menarik tangan Ajana lalu digenggam.
“Tapi aku janji aku akan buat apa saja untuk bahagiakan kau. Aku akan lindungi kau semampu aku. Walaupun bukan aku lelaki yang kau harapkan.” Suara Afka semakin perlahan di hujung ayatnya.
Dia tahu betapa sukarnya untuk Ajana terima perkahwinan ini. Tapi Afka tidak akan mengalah. Dia akan buat apa saja untuk pertahankan perkahwinan mereka.
Ajana masih diam. Tubir matanya terasa hangat.
“Tak ada orang yang berkahwin nak bercerai. Aku dah handle banyak kes penceraian dan aku tak nak lalui benda tu. Jadi, boleh kau bagi peluang untuk rumah tangga kita?”
“Aku...” Ajana hilang diksi. Banyak yang bermain di mindanya tapi dia tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkannya.
“Aku tak berharap kau jatuh cinta pada aku dalam masa yang terdekat. Aku cuma nak kita kenal satu sama lain dengan lebih baik. Tak perlu rushing. Kita boleh mulakan dengan langkah kecil dulu. Dan aku janji, aku tak akan pernah paksa kau. Aku akan beri ruang dan masa untuk kau terima perkahwinan kita.”
Ajana dapat rasakan kesungguhan dan keikhlasan Afka. Buat pertama kalinya dia lihat Afka dalam versi yang sangat berbeza. Afka yang berada di depannya ini sangat matang. Berbeza dengan versi yang Afka dia kenal selama ini.
“Tapi aku mungkin akan ambil masa yang lama untuk terima semua ni. Aku tak boleh nak tunaikan tanggungjawab aku seba...”
“Aku faham. Aku tak akan sentuh kau selagi kau tak izinkan. Aku berkahwin bukan hanya nak memenuhi keinginan nafsu aku,” pintas Afka.
Tangan Ajana digenggam erat. “Terima kasih sudi bagi peluang pada rumah tangga kita.”
Detik ini Ajana rasakan ada satu rasa yang berbeza. Dia yang tak pernah meletakkan apa-apa harapan dalam rumah tangga mereka mulai percaya mungkin akan ada sinar harapan dalam hubungan mereka.
AJANA membuka mata perlahan-lahan. Masih dalam keadaan mengantuk. Dia merasakan ada sesuatu yang melingkar di pinggangnya. Bulat matanya apabila menyedari Afka memeluknya!
Afka yang sedang nyenyak tidur di sebelahnya itu ditatap lama. Teringat kembali perbualan mereka malam tadi. Kali pertama dia nampak lelaki di hadapannya ini serius.
Tapi kenapa Afka mahu berkahwin dengannya? Sampai sekarang Ajana tiada jawapan untuk soalan itu. Bila ditanya pada Afka sendiri, jawapan Afka tak pernah serius.
“Sebab aku nak menghantui kau seumur hidup.”
Mata Ajana masih lagi tidak lepas daripada menatap wajah Afka. Melihat wajah Afka sedekat ini, baru dia perasan kekacakan lelaki itu. Mungkin selama ini kekacakan wajah Afka tertutup dengan perangainya yang kuat mengusik Ajana itu.
Ajana tak menafikan yang Afka memang kacak. Waktu sekolah dulu, dia jadi rebutan pelajar perempuan di sekolahnya. Sampai ada yang sanggup bergaduh tarik tudung rebutkan Afka.
‘Bila tengok betul-betul, Afka lagi hensem daripada Abang Afnan...’ Bisik Ajana dalam hati. Hampir tidak percaya dengan pengakuannya sendiri.
Dia jatuh cinta pada Afnan bukan kerana wajah lelaki itu tapi sifat Afnan yang baik dan lembut dalam tutur kata.
Sedang Ajana ralit menatap wajah Afka, tiba-tiba lelaki itu membuka matanya. Membuatkan Ajana tersentak. Dia tidak sempat mengalihkan pandangannya.
“Kenapa tenung muka aku?” Usik Afka. Senyuman nakalnya menghiasi bibir. Tengoklah, buka je mata Afka dah mula nak mengusik Ajana.
Tangannya yang berada di pinggang Ajana segera dialihkan. Patutlah dia tidur lena semacam je. Rupanya ada bantal peluk baru.
“Mana... Mana ada. Perasan je!” Ajana terus mengalihkan pandangan ke arah lain. Ish, boleh pula terkantoi. Memang Afka usik dia kaw-kaw lah.
“Tak apa kalau nak tengok lama-lama pun. Aku tak kisah. Aku tak minta kau bayar pun. Kita kena menikmati indahnya ciptaan ALLAH,” usik Afka lagi sambil ketawa.
Ajana melempar jelingan tajam. “Perasan!” Namun entah mengapa hatinya jadi berdebar-debar melihat Afka ketawa. Takkan dia dah jatuh suka dekat Afka kut?
Share this novel