DUA Tahun Kemudian
"Sejak suami kau tinggalkan kau, makin cantik berseri nampaknya. Tak sabar nak cari pengganti ke?" usik Rania sambil menepuk perlahan paha Lily. Matanya menjeling tubuh sahabatnya itu dari atas ke bawah.
Lily tersenyum manis, jari-jemarinya kemas membetulkan rambut panjang yang jatuh lembut di bahunya. Gaun bertali nipis berwarna ungu gelap yang dikenakan melekap sempurna pada tubuh langsingnya. Solekan nipis menghiasi wajahnya, cukup menyerlahkan kulit putih kemerahan yang semulajadi cantik.
"Of course! Kita ni wanita moden yang elegant dan berkerjaya. Mestilah kena sentiasa nampak cantik, wangi, dan menarik. Baru ada datuk kaya yang berkenan," balas Lily sambil menggoyangkan rambutnya dengan gaya menggoda.
Shasha dan Rania tergelak besar mendengar jawapan selamba itu. Mereka tahu, perubahan Lily sejak kehilangan arwah Azrul cukup ketara. Dahulu, Lily lebih memilih penampilan sopan dan sederhana, tetapi kini, imejnya lebih berani dan menonjol.
"Kau ni asyik-asyik dengan datuk. Kau dah terdesak sangat ke nak cari suami baru berstatus datuk?" usik Shasha dengan nada menggoda, membuatkan Rania sekali lagi tergelak kecil.
Lily menjeling sambil mengangkat gelas minuman dan menyedutnya perlahan.
"Eh, kau macam tak kenal aku. Dari dulu lagi aku suka datuk, cuma bekas suami aku tu tak sempat nak jadi datuk. Ajal datang dulu. Tak ada rezeki, kan?" jawab Lily dengan senyuman sinis.
"Ajal maut ni kerja Tuhan. Bila-bila masa saja nyawa boleh ditarik," Rania mencelah, membuatkan suasana sejenak menjadi sunyi.
Lily mendecit kecil, jelas kurang senang dengan nada serius itu.
"Kau ni dah kenapa tiba-tiba nak bagi ceramah? Kalau rasa nak berdakwah, pergi masjidlah. Ramai nak dengar," sindirnya sambil menjongketkan kening.
Rania ketawa kecil.
"Ala, aku cakap saja. Takkan itu pun nak ambil hati. Okay, okay, kita enjoy. Lepas ni nak shopping dekat mana? Aku rasa macam nak tukar beg tangan baru."
"Beg tangan? Bukan ke baru minggu lepas kau beli yang tu? Cepat betul bosan," ujar Shasha sambil menjeling beg tangan yang sedang diangkat tinggi oleh Rania.
"Sha, kau ni macam tak faham konsep hidup kita. Ada duit, belanjalah. Buat apa nak simpan sampai berhabuk? Duit kita tu bukannya boleh bawa masuk kubur. Lagipun, kau ni tak ada anak, kahwin pun belum. Simpan duit buat apa? Enjoy!” kata Lily sambil ketawa kecil, mengundang tawa yang lebih kuat daripada Shasha.
Rania menyambut gelak itu dengan senyuman lebar.
"Betul juga tu. Eh, cepatlah. Aku ada janji dengan seseorang kejap lagi," Rania mencelah.
"Siapa?" tanya Lily dengan nada ingin tahu.
"Sugar daddy aku," jawab Rania dengan sengih nakal, membuatkan Shasha tertawa terbahak-bahak.
"Eii, geli aku dengan perempuan ni…" Lily menjeling, namun bibirnya tersenyum kecil.
"Whatever! Asalkan aku happy," balas Rania selamba sambil mengangkat bahu.
Sebaik sahaja menghabiskan hirupan terakhir minuman mereka, ketiga-tiganya segera bangun dan meninggalkan restoran. Langkah mereka kemudiannya dihala ke sebuah kedai beg tangan berjenama antarabangsa yang terletak tidak jauh dari situ. Sepanjang jalan, banyak mata yang tertumpu ke arah mereka, namun mereka langsung tidak peduli.
"Rania, kau tengok beg ni! Oh my God, lawa gila…" ujar Shasha dengan nada teruja sambil mengangkat sebuah beg tangan untuk ditunjukkan.
"Mana?" Rania mendekati Shasha, matanya bersinar melihat beg itu.
"Wow, cantiknya. I nak yang ni!" katanya sambil mengambil beg tangan itu dari tangan Shasha tanpa ragu.
"Hisy kau ni, aku yang jumpa dulu, aku nak lah!" balas Shasha yang pantas menarik semula beg tersebut, tidak mahu mengalah.
"Apa hal korang ni bising-bising macam budak tadika? Seriuslah sikit, please. Sorry miss, dorang ni masih tak matang, underage lagi," sindir Lily sambil menjeling mereka dengan hujung matanya, nada suaranya penuh sarkastik.
"Cik, kami ada stok lebih untuk beg ini," celah jurujual yang sejak tadi berdiri di sebelah mereka dengan senyuman profesional.
"Beg ini juga tersedia dalam tiga warna black, beige dan brown. Cik-cik nak yang mana satu?"
"Aku nak hitam. Kau ambil warna lain," kata Rania dengan tegas.
"Hitam tu warna kegemaran aku! Kau ambil la warna lain!" balas Shasha tidak mahu mengalah.
Lily yang sudah muak melihat pertengkaran kecil itu akhirnya melangkah mendekati mereka. Dia terus mengambil beg tangan di tangan Shasha dan menyerahkannya kepada jurujual.
"Bungkuskan dua beg ni. Saya bayar," katanya dengan nada tegas sebelum berjalan menuju ke kaunter pembayaran.
"Korang ni asyik bergaduh, buat malu sajalah. Ambil jer la warna yang sama, bukannya orang kisah pun," sambung Lily sambil menoleh ke arah mereka yang masih terdiam.
"Wahhh! Hari ini Datin Lily belanja kita handbag! Ini yang buat aku makin sayang kau!" ujar Shasha sambil mengucup pipi Lily.
Lily segera mengelap pipinya dengan riak menjengkelkan.
"Eiii, kau ni!" Marahnya.
"Kau nak jadi sugar mommy aku tak?" usik Rania sambil merangkul bahu Lily dengan manja.
"Excuse me!" Lily mengangkat jari tengah, wajahnya penuh sarkastik.
“Aku cuma layan timun je, okay? Kalau tak ada, boleh berambus!" sambungnya sambil mencebik.
"Gelinya kau ni, Lily. Sejak jadi janda, makin gatal eh," balas Shasha sambil mencebik.
"Shhh, diam kau! Dah la, jom," kata Lily sebelum melangkah keluar dari kedai dengan penuh gaya.
Shasha dan Rania mengekori di belakang sambil berjalan seiring dengannya, ketawa kecil mengisi ruang antara mereka.
"Argh!" jerit Lily perlahan apabila bahunya tiba-tiba dilanggar oleh seseorang dari depan.
"I'm so sorry, miss. I tak sengaja. You ada tercedera dekat mana-mana ke?" soal lelaki itu cemas sambil menatap wajah Lily.
"No, it's okay," balas Lily dengan tenang, membalas tatapan lelaki itu.
"Okay," ujar lelaki itu sebelum segera berlalu pergi.
Lily memerhatikan lelaki tersebut berjalan menjauh, dengan senyuman hambar menghiasi wajahnya. Dalam hati, dia tertanya-tanya mengapa lelaki itu kelihatan langsung tidak tertarik kepadanya.
“Lily, kau okay ke?" soal Rania dengan nada risau.
"Aku okay je. Jangan risau," jawab Lily sambil tersenyum, cuba menenangkan sahabatnya.
"Teruklah dia tu! Langgar orang, lepas tu pergi macam tu je," rungut Shasha dengan nada tidak puas hati.
"It's okay. Lagipun dia tak sengaja. Jomlah, kita pergi," balas Lily dengan senyuman lebar, langsung tidak mahu memanjangkan perkara itu.
Selepas itu, mereka bertiga meninggalkan pusat membeli-belah. Di kawasan parkir, masing-masing berjalan ke arah kereta sendiri dan meneruskan haluan masing-masing.
—
Noah melangkah pantas ke dalam kereta, jantungnya berdegup kencang. Nafasnya tercungap-cungap, dan matanya berpinar. Dengan tangan yang sedikit menggeletar, dia menanggalkan cermin mata lalu meletakkannya di atas paha. Peluh yang mengalir di pelipis disapu perlahan dengan sapu tangan.
"Tak mungkin dia!" desisnya perlahan.
Kepalanya digeleng laju, sukar mempercayai apa yang baru sahaja dilihatnya. Mustahil! Walaupun dikatakan di dunia ini ada tujuh orang yang memiliki wajah serupa, namun wanita tadi... saling tidak tumpah dengan arwah isterinya, Anggun.
-
“ANGGUN, janganlah menangis lagi. Anggun kena redha, ya. Tak baik menangis macam ni,” pujuk Noah lembut sambil mengusap bahu isterinya, cuba menenangkan wanita itu yang teresak-esak di hadapannya.
“Abang… anak kita dah tak ada. Anak kita dah mati…” rintih Anggun, suaranya pecah bersama tangisan yang semakin kuat. Dia memeluk erat sehelai baju kecil dalam genggamannya, seolah-olah masih mampu merasakan kehangatan tubuh si kecil yang telah pergi.
Noah menarik nafas panjang, menahan sebak di dada.
“Ya, abang tahu, sayang… Allah lebih menyayanginya. Kita kena sabar, ya.” Perlahan, dia merangkul tubuh Anggun, memberi sokongan yang diperlukannya.
Namun, Anggun menggeleng. Dia menatap wajah suaminya dengan mata yang basah, penuh kepiluan dan ketidakpercayaan.
“Anggun… Anggun tak percaya yang anak kita dah tak ada.” Suaranya bergetar, menggambarkan hatinya yang hancur.
Tiba-tiba, renungannya berubah.
“Abang… entah-entah pihak hospital sembunyikan anak kita. Lepas tu, dorang beri kita bayi orang lain. Betul tak?” Nada suaranya penuh harapan, seolah-olah memujuk dirinya sendiri untuk mempercayai teori yang tidak masuk akal itu.
Noah terpempan.
“Astaghfirullahalazim, Anggun… Apa yang Anggun cakapkan ni? Anggun sendiri nampak, kan? Anak kita sakit… dia dah meninggal,” ucapnya, cuba membawa isterinya kembali kepada realiti.
“Tak! Kenapa abang percaya sangat pada doktor tu? Anak kita tak mati lagi! Faham tak?” bentak Anggun dengan esakan yang semakin kuat.
Noah memejam mata seketika, hatinya pilu melihat keadaan isterinya.
“Allahuakbar… Anggun, tolonglah jangan buat abang risau. Anak kita dah tak ada…” rayunya dalam nada penuh sayu.
Namun, Anggun seolah-olah tidak mendengar. Dia masih memeluk pakaian kecil itu, menatapnya dengan penuh kasih sayang sambil berbisik sendirian. Sesekali, bibirnya mengukir senyuman kecil, seakan-akan berbual dengan seseorang yang tidak kelihatan.
Noah hanya mampu menggeleng, hatinya semakin sebak. Dia tahu, kehilangan ini terlalu berat buat isterinya. Sukar untuk menerima kenyataan bahawa insan yang dinanti dengan penuh kasih akhirnya pergi begitu sahaja. Lebih-lebih lagi, setelah melalui kepayahan melahirkan… Anggun pasti masih terkejut, masih belum mampu menerima hakikat sebenar dan itu yang paling merisaukan Noah.
Grrr! Grrr!
Getaran telefon di dashboard mengejutkan Noah dari lamunannya. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menstabilkan emosinya sebelum mengalihkan pandangan ke skrin telefon. Melihat nama yang tertera, dia mengeluh perlahan sebelum menjawab panggilan.
"Assalamualaikum," ucapnya lembut.
"Waalaikumsalam. Noah, dah lama kamu tak datang jenguk kami. Bila kamu nak balik ke sini?" suara lembut di hujung talian membuatkan hatinya sedikit sebak.
"Umi, insyaallah nanti ada masa saya balik, ya. Saya sibuk sekarang ni. Lagipun, umi pun tahu kan, kilang saya baru saja beroperasi bulan lepas? Banyak benda nak kena selesaikan," balas Noah, cuba menenangkan ibunya.
"Kalau macam tu, tak apalah. Fokus dulu dengan kerja kamu. Umi bukannya apa, umi kasihankan kamu. Duduk seorang diri dalam rumah besar tu… risau umi, tahu?" suara Noraini kedengaran penuh kerisauan.
Noah tersenyum hambar. Dia tahu ibunya bimbang, tapi dia sudah terbiasa hidup sendiri sejak pemergian Anggun.
"Umi jangan risau, saya okay saja. Okaylah umi, saya nak gerak dulu. Nanti kita berbual lagi ya. Kirim salam pada abi. Assalamualaikum."
"Okay. Jaga diri. Waalaikumsalam."
Talian dimatikan. Noah meraup wajahnya perlahan-lahan, menghela nafas panjang sebelum menyarungkan semula cermin matanya. Perasaannya masih bercelaru, bayangan wanita tadi terus bermain di fikirannya.
"Siapa sebenarnya dia?" bisiknya sendiri.
Dengan getaran yang masih terasa di dada, Noah menekan pedal minyak dan memandu menuju ke pejabat. Namun, fikirannya tidak pernah lepas daripada wajah itu. wlWajah yang mengingatkannya pada cinta yang telah lama pergi.
Setibanya di pejabat, Noah melangkah masuk ke bilik mesyuarat dengan ekspresi serius, menyembunyikan kekacauan yang masih bersarang di mindanya. Pasukan jualan sudah bersedia, beberapa orang eksekutif duduk dengan laptop terbuka, bersedia membentangkan laporan.
"Baik, kita teruskan dengan perkembangan produk baru," Noah memulakan mesyuarat, menukar mod dirinya kepada seorang ketua yang tegas.
Aiman, ketua bahagian jualan, segera berdiri dan membuka slide pembentangan.
"Alhamdulillah, permintaan untuk produk terbaru kita meningkat sejak minggu lepas. Namun, ada beberapa cabaran dari segi penghantaran ke kawasan luar bandar. Ada aduan mengenai kelewatan stok di beberapa cawangan."
Noah mengangguk perlahan, meneliti angka di skrin.
"Apa punca utama kelewatan?"
"Isu dengan pihak logistik, bos. Ada beberapa kenderaan mengalami masalah teknikal, ditambah pula dengan peningkatan permintaan yang kami tak jangka secepat ini."
Noah mengetap bibir.
"Saya tak nak pelanggan tunggu lama. Hubungi pihak logistik dan minta mereka cari penyelesaian segera. Kalau perlu, kita tambah rakan penghantaran lain."
Aiman mencatat arahan itu.
"Baik, saya akan uruskan segera."
Mesyuarat berterusan dengan perbincangan tentang strategi pemasaran dan sasaran jualan. Namun, di sebalik tumpuannya pada kerja, fikiran Noah masih terganggu. Wajah wanita yang menyerupai Anggun tetap menghantuinya. Siapa dia sebenarnya? Apakah hanya kebetulan… atau takdir mahu mempermainkannya?
Seketika, Noah tersedar apabila Aiman memanggil namanya.
"Bos, okay ke? Macam termenung tadi."
Noah berdeham kecil, mengawal riak wajah.
"Tak ada apa. Teruskan."
Namun jauh di sudut hati, dia tahu, dia tidak akan tenang selagi tidak bertemu dengan wanita tadi.
Share this novel